Saturday 5 June 2021

Novel ISABELLA

Cordoba-April 2006
                                                                                                                                                                         


ISABELLA
sebuah novel berdasarkan kajian perbandingan Islam dan Kristian
oleh Maulana Mohammad Saeed
terjemahan Abdullah Hussain

............ ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... ......... .....

BAB 1 Taman Yang DiBerkati

Di bandar Cordova, negeri Sepanyol terdapat sebuah taman yang amat terkenal kerana keindahan bunga-bungaan dan kesegaran tanam-tanaman di dalamnya, berbeza sedikit dari Taman Firdausi. Taman ini selalu dibanjiri oleh para pelancong jauh dan dekat. Pada suatu petang yang damai di salah satu sudut taman itu yang agak terpencil, duduk dua orang lelaki muda yang kelihatannnya seperti orang berilmu. Mereka sedang tenggelam di dalam satu perbincangan agama yang serius.

Hari semakin petang dan matahari sudah hampir ghurub di langit barat. Kicauan burung yang pulang ke sarangnya menimbulkan suasana riang kepada orang-orang yang lalu-lalange. Sorang gadis kristian yang dikenali namanya dalam sejarah sebagai Isabella kebetulan duduk bercengkerama dengan beberapa orang kawannya di sebalik serumpun tumbuhan berhampiran dengan tempat kedua lelaki muda itu. Isabella sering datang ke taman itu dengan kawan-kawannya untuk menikmati keindahan alam semula-jadi. Dia adalah anak ketua paderi bandar Cordova dan baru berusia 17 tahun. Kecantikan wajahnya dan keanggunan perawakannya selalu digambarkan oleh pemuda-pemuda yang mengenalinya sebagai jelmaan bidadari dari syurga. Orang-orang bangsawan termasuk para paderi banyak yang tergila-gilakannya. Mereka ingin mengambilnya sebagai isteri untuk menjadikan hidup mereka bahagia dan gembira. Tetapi keinginan mereka itu dihalangi oleh cita-cita bapa Isabella yang mahukan anaknya itu mengikuti jejak Siti Mariam, ibu Nabi Isa, hidup membujang sampai ke akhir hayat, mengabdikan dirinya kepada Jesus Kristus. Dia tidak bermaksud memberi suami kepada anaknya itu tetapi sebaliknya mendidiknya dengan ilmu agama sehingga Isabella dalam usia semuda itu telah mahir dalam berbagai-bagai masalah yang berkaitan dengan keagamaan dan sangat mengambil perhatian berat di dalam perbincangan- perbincangan yang mengenai ilmu ketuhanan.

Dalam masa dia bergurau senda dengan kawan-kawannya itu terdengar olehnya suara dari sebalik rumpun bunga, orang bercakap tentang agama. Dia tersentak apabila orang di sebalik rumpun itu berkata ''padahal paderi-paderi Kristian''. Dia lalu dengan berhati-hati memasang telinganya.

Pada waktu itu, kedua orang lelaki muda itu kerana terlalu asyik dengan perbincangan mengenai agama Kristian tidak sedar bahwa perbincangan mereka sedang didengar oleh beberapa orang gadis Kristian.Salah seorang pemuda itu berkata, "Saint Paul telah menulis di dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan dan Jesus Kristus telah datang untuk menyelamatkan kita daripada kutukan tersebut. Apakah makna kata-katanya itu?" Terdengar ketawa kecil kawannya. "Umar, sahabatku. Engkau mahu aku menerangkan kepadamu padahal paderi-paderi Kristian sendiri ...."

Waktu itulah Isabella sedang mendengar percakapan itu. Dia lalu berkata kepada kawan-kawannya, "Nampaknya orang-orang di sebelah kita ini sedang memperkatakan tentang agama kita. Mari kita dengar apa yang sedang mereka kata." Salah seorang kawannya menyampuk dengan nada sinis, "Sejak orang-orang Islam datang ke mari, agama kita diancam bahaya." "Diamlah!" herdik Isabella. "Nanti mereka tahu kita ada di sini. Mari kita dengar apa yang sedang mereka kata."

"Apa maksudmu, paderi-paderi Kristian sendiri. Apakah mereka juga tidak memahaminya? Apakah mereka itu menganut agama Kristian hanya secara membuta tuli saja?" tanya orang yang bernama Umar. Namanya yang lengkap ialah Umar Lahmi seorang terpelajar yang terkenal di kalangan cendekiawan agama.

"Cubalah ajukan pertanyaan itu kepada paderi yang terkemuka dan dengar apa jawabannya. Tetapi sebelum itu terangkan lebih dulu kepadaku apakah yang menyebabkan tuan tidak bersetuju dengan kata-kata St. Paul itu!" ujar Maaz, demikian nama seorang lagi.

Sambil memandang muka sahabatnya, Umar Lahmi berkata, "Bukan aku tidak bersetuju tetapi aku hanya mahu memahaminya saja. Tuan seorang yang banyak bergaul dan bercakap dengan orang-orang Kristian. Tuan juga banyak banyak membaca kitab-kitab mereka. Maka sebab itulah aku meminta penerangan daripada tuan. Menurut pendapatku apabila hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan dan Nabi Isa datang mahu menyelamatkan penganut-penganut agama Kristian dari kutukan itu maka pencurian, penzinaan, penderhakaan kepada ibubapa seharusnya dapat dibenarkan di dalam agama Kristian meskipun barangkali tidak ada orang Kristian yang percaya tentang pembenaran berlakunya perkara-perkara itu."

Maaz agak kebingungan sejurus mendengar kata-kata sahabatnya itu. "Bagaimana boleh pencurian dan penzinaan dikaitkan dengan hukum-hukum agama menjadi satu kutukan? Aku tidak berapa faham dengan maksud tuan."

"Apa yang aku maksudkan," jawab Umar Lahmi, "ialah di dalam Kitab Perjanjian Lama, hukum-hukum agama memerintahkan bahwa kita tidak boleh mencuri, tidak boleh berzina, tidak boleh menimbulkan kesukaran kepada tetangga, tidak boleh derhaka kepada orangtua dan lain-lain lagi. Apabila seluruh hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, maka mematuhi perintah-perintahny a juga merupakan satu kutukan karena perintah-perintah itu adalah sebahagian daripada agama, malah ia adalah intisarinya yang sebenar. Jikalau yang dikatakan oleh St Paul itu benar, maka orang-orang Kristian boleh mencuri, boleh berzina dan boleh melakukan dosa-dosa lain. Apabila mereka mematuhi hukum-hukum agama ini maka mereka termasuk orang yang dilaknat dan orang-orang Kristian yang menentang pula dapat dihukum bersalah kerana mereka tidak mematuhi peraturan-peraturan agama."

Maaz tersenyum kecil apabila sahabatnya itu selesai menghuraikan hujahnya yang panjang lebar itu. Sambil mengangguk-anggukkan kepala, dia berkata, "Agak aneh. Tuan mahu aku menjelaskan perkara yang sama yang seringkali aku kemukakan kepada orang-orang Kristian."

"Apa?" Umar Lahmi agak terperanjat mendengar kata-kata Maaz itu. "Tuan juga telah bertanya kepada mereka? Jadi, apa jawaban mereka?"

"Mereka cuba memberi penjelasan tetapi terlalu membingungkan. " jawab Maaz.

Sebaik saja Maaz selesai bercakap, dari menara masjid yang berhampiran dengan taman kedengaran suara azan maghrib dilaungkan oleh muazzin yang merdu dan amat syahdu. Kedua-dua orang sahabat itu pun bangun dari duduknya, menuju ke sebuah tempat air untuk berwuduk dan kemudian menuju ke masjid untuk ikut berjemaah bersama-sama dengan saudara-saudara Muslimin yang lain.

Isabella yang sejak tadi mengintai mendengar perbincangan Umar Lahmi dan Maaz merasa amat terkilan apabila kedua-dua orang itu bangun secara tiba-tiba meninggalkan tempat itu. Dia mendengar percakapan kedua orang itu dengan penuh minat apatah pula dia memang sangat tertarik dengan soal-soal yang berhubungan dengan ketuhanan dan dapat pula membuat penilaian terhadap penentangan yang dikemukakan oleh kedua orang muda itu. Dia cuba mencerna persoalan itu dan mencari jawaban kepada pokok perbincangan yang ditimbulkan tetapi ternyata tidak berdaya. Akhirnya dia mengambil keputusan akan mengemukakan hal tersebut kepada bapanya. Setelah membuat keputusan itu, dia mengajak kawan-kawannya pulang.

Isabella berpisah dengan kawan-kawannya di satu persimpangan jalan. Dia berjalan menuju ke pintu gerbang sebelah timur Cordova.

BAB 2 Masalah Yang Kacau

Apabila sampai di pintu gerbang sebelah timur kota itu, Isabella, anak gadis yang masih muda dan cantik itu mengambil jalan yang membawanya lurus ke Qasrus Syuhada.

Kerajaan Islam pada masa itu telah mengeluarkan biaya yang banyak bagi memperindahkan seluruh negeri Sepanyol. Jalanraya di kota Cordova diperluas dan dibina dengan binaan yang baik, dihiasi dengan lampu-lampu yang cantik pada jarak yang dekat, sehingga menyilaukan mata memandang. Seperti yang pernah dikatakan orang, kita boleh berjalan sejauh dua puluh lima kilometer di bawah cahaya lampu jalan yang benderang serupa itu. Isabella berjalan perlahan-lahan dengan penuh keanggunan di atas jalanraya yang lebar dan bermandikan cahaya lampu. Dia menuju ke Qasrus Syuhada ke arah rumah kediamannya dengan kepala yang berat berisi pertanyaan. Namun hayunan langkahnya tetap teratur sebagai gadis terhormat.

Pada kebiasaannya, dia akan singgah di rumah teman-teman yang dekat apabila dia pulang dari bersiar-siar pada petang hari serupa itu tetapi kali ini dia terus menuju ke rumah dan kelihatan seperti tenggelam dalam suatu fikiran yang merunsingkan.

Kira-kira setengah jam kemudian, dia pun sampai di pintu gerbang rumah yang juga seperti sebuah istana. Orang gaji sedang menunggu di muka pintu untuk menyambut ketibaannya. Sambil menjawab dengan ringkas akan pertanyaan orang gaji akan sebab-musabab dia lambat pulang, Isabella terus masuk ke dalam bilik lalu menghempaskan diri ke atas sebuah kerusi malas. Dia mencapai sebuah kitab lalu membaca.

Orang gaji, setelah menyambut Isabella, terus ke dapur menyediakan makan malam. Meja makan dikemas dan hidangan diletakkan di atas. Setelah itu, dia memanggil Isabella tetapi Isabella tidak menyahut karena terlalu asyik dengan kitab yang dibaca. Kitab yang sedang ditelaah itu ialah Kitab Injil dan perhatiannya khusus ditujukan kepada surat-surat St Paul yang menuduh hukum-hukum agama sebagai satu kutukan. Dia membaca surat-surat itu berulang-ulang tetapi tidak mendapat jawaban kepada kesangsiannya malah semakin kacau setiap kali dia membaca. Apabila otaknya terasa penat, dia meletakkan kitab sambil membuat keputusan akan bertanya kepada bapanya saja. Sudah tentu bapanya dapat memberikan penjelasan yg sangat memuaskan.

Pada fikiran Isabella masalah itu tidaklah terlalu sukar sehingga tidak dapat dihuraikan. Andaikata dia menemui jalan buntu, bapanya tentu dapat menolong karena bapanya ialah seorang terpelajar agama yang tidak ada dua di negara Sepanyol.

Setelah tenang kembali barulah dia keluar ke ruang makan dan makan seorang diri sambil dilayan dengan penuh hormat oleh orang gaji. Isabella kembali mentelaah Kitab Injil sebaik saja kembali ke bilik. Dia membaca kitab itu sampai tertidur dan tidurnya pula amat nyenyak hingga ke pagi.

Isabella bangun agak awal karena dia mesti pergi ke gereja. Pagi itu pagi Minggu. Waktu pulang dari gereja dia dipanggil bapanya dan bertanyakan Kitab Injil yang dibacanya tadi malam. Isabella sedang terlibat di dalam pembelajaran tentang pemahaman makna hakiki metafizika.

Isabella menemui bapanya di bilik bacaan yang besar yang dipenuhi dengan berbagai-bagai buku. Dicapai tangan kanan bapanya lalu dicium.

"Sila duduk anakku." kata bapanya sambil memberi isyarat dengan tangan. Isabella mengambil sebuah kerusi dan duduk tidak jauh dari bapanya.
"Sampai ke mana sudah pelajaranmu? " tanya bapa Isabella sambil merenung muka anaknya.
"Saya sudah membaca Jonah 21, Bab 3. Kalau bapa memberi izin, saya ingin bertanya karena saya belum lagi dapat mencari jawaban."
"Sudah tentu, anakku. Tanyalah dan bapa akan menjawab." ujar bapa Isabella dengan perasaan gembira melihat kecerdasan anaknya.
"Dua Belas Firman Tuhan yang Tuhan firmankan kepada kita di dalam Perjanjian Lama melalui Nabi Musa, apakah itu ada mengenai dengan hukum-hukum agama?"
"Ya, semua itu ada berkaitan dengan hukum-hukum agama." jawab bapa Isabella dengan perasaan agak hairan sedikit tentang pertanyaan anaknya itu.
Isabella diam sejurus sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian dia bertanya lagi.
"St Paul ada berkata di dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, betulkah begitu, bapa?"
"Memang benar. Hukum-hukum agama itu adalah satu kutukan dan untuk menyelamatkan kita daripada itu, Jesus Kristus diturunkan ke dunia ini dan disalib."
"Jadi jelaslah sekarang bahwa hukum-hukum agama itu satu kutukan dan begitu hebat kutukan itu maka Jesus Kristus turun ke dunia ini untuk membuangnya dan kemudian dia disalib." Isabella mengulangi.
Kemudian dia menyambung, "Kalau begitu bererti mematuhi hukum-hukum agama itu pun satu kutukan jugalah, bapa?"
"Memang benar ia satu kutukan dan orang-orang Kristian sekarang sepatutnya daripada mengikut hukum-hukum agama, adalah lebih baik mengimani Jesus Kristus karena hukum-hukum agama hanya sah berlaku sehingga Tuhan Jesus belum disalib."
"Jadi bolehlah kita mencuri?"
"Apa ada kaitan dengan hukum-hukum agama? Anakku, sebelum kau membuat pertanyaan, fikirlah dulu masak-masak kerana kalau ada orang lain mendengar, mereka akan mengatakan kau ini anak yang bodoh."
"Maafkan saya, bapa." ujar Isabella sambil merendahkan suara. "Barangkali pertanyaan yang saya kemukakan itu tidak begitu jelas. Apa yang saya maksudkan ialah di antara firman-firman itu yang baru bapa katakan, adalah bahagian daripada hukum-hukum agama. Salah satu daripadanya ialah kita tidak boleh mencuri dan yang satu lagi kita tidak boleh menindas tetangga kita dan yang ketiga kita tidak boleh menderhakai ibubapa kita. Semua perintah ini masih menjadi bahagian daripada 'hukum-hukum agama' yang menurut St Paul merupakan satu kutukan. Jadi, mematuhi Firman-Firman Perjanjian Lama ini iaitu tidak mencuri, tidak berzina ialah sesuatu yang dibenci sementara tidak mencuri dan tidak menganiaya ibubapa pula satu kutukan."
"Anakku," kata bapa Isabella, "kau sebenarnya belum begitu faham betul tentang kedudukan hukum-huum agama. Tapi, cubalah beritahu aku siapa gerangan yang telah memasukkan pertanyaan bodoh serupa itu ke dalam kepalamu. Syaitan manakah pula yang menyebabkan kau ragu-ragu begini?"

Isabella sebagai anak yang baik lalu menceritakan kepada bapanya tentang perbincangan dua orang Muslim yang dapat didengarnya di taman petang kelmarin. Setelah mendengar keterangan anak yang disayangi itu, bapa Isabella pun berkata dengan suara rendah membujuk.
"Anakku," katanya "kau telah tahu benar bahwa orang-orang Muslim itu ialah orang-orang kafir dan sentiasa menentang agama suci kita. Mereka mengkritik kitab-kitab suci kita kerana fikiran mereka telah dihasut syaitan."
Dia berhenti sejenak. Memandang muka anaknya untuk melihat reaksi dari keterangannya. Kemudian dia menyambung.
"Kau patut bertaubat segera dan berjanji tidak akan mendengar percakapan mereka itu lagi. Mereka orang-orang Muslim tidak beriman dan selalu menuduh agama yang benar orang lain. Tahukah kau, anakku, apakah agama mereka itu? Pertumpahan darah ialah pekerjaan yang patut dipuji dalam agama mereka. Cuba lihat! Mereka menyerang negara kita, Sepanyol dan membunuh beratus-ratus orang yang tidak berdosa. Sesudah itu, mereka paksa pula agama mereka kepada kita. Aku tahu tentang kecaman-kecaman yang kau telah dengar dari orang-orang Muslim itu. Kalau kecaman itu daripada fikiranmu sendiri maka dapatlah aku membersihkannya tetapi bagaimana aku akan menjawab kepada mereka?"

Isabella menyesal kerana dia telah menyebut tentang orang-orang Muslim itu. Kalau tidak, masalahnya telah dapat diselesaikan. Satu idea tiba-tiba melintasi di fikiran.
"Baik aku tanyakan masalah ini kepada guruku. Aku selalu bertanya kepadanya apabila menghadapi sesuatu masalah dalam pelajaran," kata hatinya.

Keesokan hari, Isabella pun menjumpai guru yang bernama Michael lalu mengemukakan pertanyaan yang sama. Gurunya dengan penuh keyakinan merasa bahwa dia boleh menerangkan masalah yang dihadapi oleh muridnya. Jawabannya pasti dapat menghilangkan semua keraguan Isabella.

Penjelasan Michael tidak dapat memenuhi rasa ingin tahu Isabella. Dia mulai sedar bahwa keraguan itu timbul bukan kerana daya pemahamannya yang kurang tetapi masalah itu sendiri ialah satu masalah berat yang bukan saja untuk dirinya malahan juga untuk cendekiawan Kristian. Di sinilah bermula timbul rasa curiganya terhadap dasar-dasar lemah dalam ajaran Kristian. Kecurigaan itu semakin memberat di dalam fikiran.

Terus membaca di Novel Isabella

No comments:

Post a Comment