Monday 30 June 2008

Ibu oh Ibu!


Dalam surah al-Israk: 23, Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Nabi pula pernah ditanya oleh seorang pemuda.

" Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik? ”.
Rasulullah bersabda, " Ibumu "
Kata pemuda itu, " Lagi? "
Jawab baginda, " Selepas itu, ibumu "
" Selepas itu? " tanya pemuda itu lagi.
" Ibumu ", kata Nabi.
Pemuda itu bertanya lagi, " Selepas itu? "
" Bapamu ” , balas Rasulullah.
(HR Bukhari dan Muslim)

Hanya selepas Nabi menjawab 3 kali ibumu, barulah disebut bapamu. Ini menujukkan menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana dia tidak menyalahi perintah Allah.

Ibu sendiri-Ibu mertua, Ibu tiri-Ibu angkat

Antara empat di atas manakah ibu yang paling baik? Kalau ditanya pada anak-anak yang normal sudah pasti jawapannya ibu sendiri. Namun pada hakikatnya jawapan yang standard ini tidaklah sentiasa benar. Dalam keadaan yang tertentu mana-mana ibu di atas boleh menjadi ibu yang paling baik.

Ada seorang kawan saya menceritakan mengenai ibunya yang membuat dia berada dalam keadaan serba salah. Dia tersepit di antara ibunya yang tidak berpuas hati dengannya dan suami yang tidak suka dengan sikap ibunya. Ibunya merasakan tidak cukup bantuan kewangan bulanan yang disumbangkan oleh mereka berdua walaupun kawan saya itu nampak apa yang mereka beri itu cukup bagi tujuan memenuhi perkara asas dalam kehidupan. Mereka tidak mampu untuk memberi lebih kerana mereka juga kena menyumbang kepada kaluarga suaminya. Dia memuji Ibu mertuanya yang sangat prihatin dengan keadaan mereka. Sebelum ibu mertuanya menerima sebarang sumbangan daripada mereka dia akan bertanya samada mereka sekeluarga mempunyai belanja yang mencukupi.

Apa yang dipersoalkan oleh suaminya ialah sikap ibunya yang suka menceritakan keburukan mereka berdua yang seolah-olah mengabaikan tanggung-jawab mereka, kepada sanak saudara yang datang menziarahinya. Lebih menyedihkan lagi ibunya cuba membandingkan dirinya dengan kakaknya, yang lebih bermewah dengan ibunya. Ini kerana kakaknya mempunyai suami yang lebih lumayan pendapatannya dan berasal dari keluarga yang kaya. Keadaannya bak kata pepatah, marah anak sindir menantu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu"
(Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

Anak-anak adalah amanah dari Allah yang diberi kepada ibu-bapa untuk dijaga, dipelihara serta dididik dengan membimbing mereka ke arah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Bimbingan ini seharusnya berterusan walaupun selepas mereka berumahtangga.

Ibu-bapa dituntut agar berlaku adil terhadap anak-anak kerana sikap membeza-bezakan anak boleh menjadi faktor yang merosakkan jiwa dan peribadi mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan hasad dengki di kalangan anak-anak yang seterusnya menyebabkan mereka saling bergaduh serta hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu-bapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, bijak atau bodoh, cantik atau tidak, sempurna atau cacat, kaya atau miskin, kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata. Hubungan antara ibu-bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab. Bukan hubungan kasih sayang semata-mata yang mana banyak mendorong  ibu-bapa bersikap tidak adil terhadap anak-anak.

Sesungguhnya ibu-bapa yang adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang disebut Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak per" empuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga."
(Hadis diriwayat Abu Daud & Hakim)

Doa seorang ibu juga adalah penting bagi anak-anak untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
(Hadis riwayat ad-Dailami)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
 “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua ke atas anaknya.”
(Hadis hasan al-Tirmizi)

 Berdasarkan hadis ini, beruntunglah mereka yang ibu bapanya mendoakan kebaikan kepadanya. Rugilah mereka yang menyebabkan ibu-bapa murka sehingga mendoakan sesuatu yang buruk.

Doakanlah kesemua anak-anak kita. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. 

Sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan tersalah doa...kasihanilah anak-anak.

Wednesday 25 June 2008

Menangani kenaikan kos sara hidup

SEKOLAH cuti, IPT cuti, para ibu sibuk melayani gelagat anak-anak yang berada "fulltime" di rumah. Kebanyakan masa habis digunakan untuk mengurus makan dan minum serta kain-baju mereka. Tidak ketinggalan juga mengemas rumah yang bersepah lebih daripada biasa. Namun dalam kesibukan itu saya sempat mengikuti perkembangan isu semasa yang menjadi tajuk hangat dalam setiap perbualan di "kedai kopi"; kenaikan harga petrol dan disel.

Bagi kita orang biasa ini memang tidak berkuasa hendak menukar apa-apa pada harga yang telah ditetapkan. Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan di sana-sini perbelanjaan harian kita agar kenaikan kos itu tidak terlalu dirasakan. Ini sudah tentu untuk mereka yang mampu berbuat demikian. Bagaimana pula bagi mereka yang sememangnya sudah lama berjimat cermat?

Bagi mengatasi masalah ini saya dan suami telah mengambil beberapa langkah berjimat cermat.

1. Meminta suami mengguna kereta yang lebih kecil enjennya (dpd 2000cc ke 600cc). Kereta yang kecil itu memakan minyak lebih sedikit daripada motor. Sudah tentu ini menjimatkan banyak belanja. Sebelum ini saya sudah meminta suami supaya berbuat demikian tetapi berbagai alasan yang diberi. Kami juga bercadang jika kami berdua saja yang menaiki kereta untuk ke mana-mana destinasi yang tidak berapa jauh agar menggunakan kereta yang kecil itu.

2. Mengurangkan penggunaan barangan letrik seperti cerek letrik. Ini kerana tarif letrik juga telah dinaikkan baru-baru ini. Pastikan semua lampu dan kipas yang tidak diperlukan ditutup.

3. Kurang makan di luar. ( Kalau dulu seminggu sekali makan di luar tetapi sekarang rasanya 3 minggu atau sebulan sekali, kecuali terpaksa )

4. Berbelanja pada barang yang kurang berjenama tetapi ada kualiti. Sesetengah barang dapur sangat berbeza harganya dari satu jenama ke satu jenama.

5. Elakkan pembaziran dalam makanan. Mana-mana makanan yang tidak habis elok disimpan dalam peti ais dan diguna semula, samada dipanas semula atau diubahsuai dan dijadikan menu yang baru.

6. Akhir sekali kurangkan kuantiti apa juga bahan yang kami gunakan jikalau boleh, seperti penggunaan air, sabun, syampu dan lain-lain.

Apa-apa pun dalam setiap sen yang kita belanja daripada rezki yang Allah beri, hendaklah kita ikhlaskan kerana Allah. Apabila ini berlaku barulah kita diberkati oleh Allah. Keberkatan yang Allah anugerahkan , membuat kita berasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Kita tidak akan keputusan wang untuk berbelanja walaupun dengan pendapatan yang kecil InsyaAllah. Semestinya amalan berjimat cermat itu tidak diabaikan.

Lagi satu amalan rohiyyah yang memurahkan rezeki kita ialah solat sunat Dhuha. Dalam kitab "An-Nurain" ada disebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

" Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Perhatikan doa yang diamalkan selepas selesai mengerjakan solat sunat Dhuha.

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”