Friday 26 March 2010

Salam Bukan Muslim

Soalan:

Apakah hukum memberi atau menjawab salam mereka yang bukan muslim?


Jawapan:

Di sini dipetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad:

Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”.

Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya.

Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut al-Salam ‘alaika tanpa menyebut wa rahmatullah, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja).

Segolongan ulama berpendapat:

“Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya.

Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i:

“Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan soleh yang lain”.

Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi:

“Para ulama berbeza pendapat tentang menjawab salam mereka. Majoriti ulama berpendapat wajib menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”

Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi:

“Telah sabit dalam hadis, Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”

.(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).
Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas:

“Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (riwayat ini bertaraf hasan).

Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Fasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.

Adapun hadis-hadis yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadis baginda:

إِنَّ الْيَهُودَ إِذَا سَلَّمُوا عَلَيْكُمْ يَقُولُ أَحَدُهُمْ السَّامُ عَلَيْكُمْ فَقُلْ عَلَيْكَ

“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua keadaan.

Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadis di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian.

Justeru itu tokoh ulama hadis yang terkenal pada zaman ini, al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut:

“Ayat ini (Surah al-Mumtahanah ayat8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin.

Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”.
 (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).

(Jawapan dari Dr Mohd  Asri Zainul Abidin)


Monday 15 March 2010

Membaca Surah At-Taubah Tanpa Basmalah

Basmalah adalah ringkasan daripada ucapan (lafaz) Bismillahir Rahmanir Rahim.

Soalan


Saya pernah dengar kalau kita baca surah At-Taubah, tidak perlu baca basmalah terlebih dahulu.  Adakah ini benar ustaz dan apa alasannya ?

Jawapan

Disunatkan membaca basmalah kepada sesiapa yang ingin membaca al-quran,  samada pada permulaan surah atau pertengahan surah selain surah Al-Baraah (At-Taubah). Adapun pada surah Al-Baraah pula terdapat perselisihan pendapat di dalam Mazhab Shafie mengenai hukum membaca basmalah padanya. Menurut pendapat Ibn Hajar  haram membaca basmalah pada permulaan surah Al-Baraah dan makruh membaca basmalah pada pertengahan surah ini. Menurut pendapat Ar-Ramli pula,  makruh membaca bismillah pada permulaannya dan sunat membacanya pada pertengahan surah ini. Pendapat ar-Ramli inilah yang muktamad.

Walau bagaimanapun adalah dimaafkan jika kita terbacanya di permulaan surah.

Terdapat perbezaan tentang sebab permasalahan ini :

Ada yang mengatakan bahawa hal itu disebabkan surah At- Taubah diturunkan pada saat peperangan, pertempuran dan untuk membongkar keadaan orang-orang munafik sehingga tidaklah sesuai apabila ia diawali dengan basmalah yang di dalamnya mengandungi rahmat (kasih sayang), sebagaimana kebiasaan orang-orang Arab tatkala mereka menyerang orang lain dengan perkataan maka awal perkataannya adalah disesuaikan dengan isi perkataannya.

Juga yang diriwayatkan dari ibnu Abbas yang bertanya kepada Usman,”Mengapa tidak ditulis kalimah basmalah di antara surah At- Taubah dengan Al-Anfal?” Usman menjawab,”Kerana surah At- Taubah adalah surah yang terakhir turun dan sehingga Rasulullah saw wafat beliau tidak menjelaskan tentang permasalahan ini. Dan aku melihat  kisah awal surah ini hampir sama dengan kisah akhir-akhir surah Al- Anfal maka aku pun sertakan surah At- Taubah setelah surah Al- Anfal.
Wallahu a’lam


Rujukan:

E-Fiqh.com

Era Muslim.com

Sunday 14 March 2010

Hukum Menyentuh Al-Quran Tanpa Wudhuk

Soalan

Assalamua'laikum wbt,

Ustaz, saya ingin bertanya,

Bolehkah kita membaca atau menyentuh Al-Qur'an tanpa ada wudhuk ?

Terima kasih atas jawapannya.

Jawapan


Waalaikumussalam wbt,

Menyentuh Al Qur’an Tanpa Wudhu

Para imam telah bersepakat diharamkan membawa mushaf dan menyentuhnya bagi orang yang sedang haid, nifas maupun junub. Tidak seorang pun sahabat yang menentangnya. Namun hal tersebut dibolehkan oleh Daud dan Ibnu Hazmazh Zhahiriy.

Dalil yang digunakan oleh para imam adalah firman Allah :

إِنَّهُ لَقُرْآَنٌ كَرِيمٌ (77) فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ (78) لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ (79) تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (80)


Artinya : “Sesungguhnya Al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia. Pada Kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuzh). tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan. Diturunkan dari Rabbil 'alamiin.”

(QS. Al Waqi’ah : 77 – 80)

Bahawa yang dimaksud dengan al Kitab di situ adalah mushaf sedangkan makna menyentuh adalah menyentuh secara fizikal yang telah diketahui.

Dalil ini mendapat tanggapan dari sebagian ulama yang menafsirkan “kitab yang terpelihara” adalah Lauh Mahfuzh sedangkan makna “orang-orang yang suci” adalah para malaikat. Atau seandainya yang dimaksud dengan al Kitab adalah mushaf, maka orang-orang yang suci adalah orang-orang yang suci dari kesyirikan, kerana orang-orang musyrik adalah najis.  Pendapat ini dibenarkan oleh Ibnul Qoyyim didalam “At Tibyan fii Aqsaamil Qur’an, hal 141” bahawa yang dimaksud dengan al Kitab adalah yang ada ditangan para malaikat.

Para imam juga berdalil dengan hadis Ibnu Umar,

”Janganlah kamu menyentuh al Qu’an kecuali kamu dalam keadaan bersih”

Hadis disebutkan oleh Haitsami di dalam “Majma’ az Zawaid”. Dia mengatakan bahawa orang-orang yang meriwayatkannya boleh dipercayai. Sedangkan al Hafizh mengatakan bahawa sanadnya tidak masalah namun di dalamnya terdapat seorang perawi yang diperselisihkan.

Sedangkan dalil Daud dan Ibnu Hazm yang mengatakan tidak diperbolehkan membawa dan menyentuhnya adalah apa yang terdapat di dalam ash Shahihain, bahawa Nabi saw mengutus sebuah tulisan kepada Hiraklius yang didalamnya terdapat ayat :

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ (64)


Artinya : “Katakanlah: "Hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan…".

(QS. Al Imran : 64)

Termasuk tulisan-tulisan lainnya yang dikirim kepada mereka yang mana mereka tidaklah bersih dari junub.

Hal ini dijawab oleh para imam dengan mengatakan bahawa surat tidaklah boleh disamakan dengan mushaf dan tidak ada larangan dalam hal ini, seperti halnya membawa buku-buku agama yang didalamnya terdapat ayat-ayat al Qur’an. Dari sini kita dapat mengetahui bahawa membawa atau menyentuh mushaf bagi orang yang sedang haid atau junub adalah diharamkan. Tidak ada yang membantahnya. Hal itu merupakan bentuk penghormatan terhadap mushaf.

Adapun bagi orang yang berhadas kecil, maka hukumnya sebagai berikut :

1. Jumhur ulama mengharamkannya menyentuh dan membawa mushaf, ini adalah pendapat Malik, Syafi’i dan Abu Hanifah di dalam salah satu riwayatnya, dalil-dalil mereka sama dengan yang diatas.

2. Sebagian ulama membolehkannya, ini adalah pendapat Abu Hanifah di dalam salah satu riwayatnya sebagaimana juga dibolehkan oleh Daud bin Ali.

Sebahagian orang-orang yang mengharamkannya mengecualikan hal itu terhadap anak-anak kecil yang belum baligh atau bermimpi kerana keperluan mereka untuk menghafal Al Qur’an serta memudahkan penghafalannya bagi mereka. Jika pun seorang anak itu bersuci (wudhuk) maka bersucinya itu tidaklah sah disebabkankan tidak sah niatnya. Hal ini kemudian dianalogikan kepada orang-orang dewasa yang memerlukan al Qur’an untuk menghafal Al Qur’an. Adapun apabila untuk tujuan ibadah maka diharuskan ke atasnya untuk bersuci.

Demikianlah,  membaca al Qur’an tanpa menyentuh atau membawa mushaf dibolehkan bagi orang yang sedang berhadas kecil. Ini sudah menjadi kesepakatan para fuqoha, walaupun yang paling utama (afdhol) adalah dalam keadaan bersuci, khususnya apabila dimaksudkan untuk ibadah, kerana ibadah dengan bersuci lebih sempurna dan lebih boleh diharapkan untuk diterima. (Fatwa al Azhar juz VII hal 496)


Sumber : eramuslim.com

--~--~---------~--~----~-------

Wednesday 10 March 2010

Kejamkah Hukum Islam(2) - Hukum Tuhan Vs Hukum Manusia



  Baru-baru ini kita disibukkan dengan berita tentang 3 orang wanita dan 4 lelaki disebat kerana berzina. Berikutan itu terdengarlah suara-suara sumbang yang menentang hukuman yang telah dijatuhkan ka atas pezina-pezina itu. Selain dari mereka yang bukan Islam yang menyuarakan rasa kurang senang di  atas tindakan yang telah diambil, ada juga di kalangan orang Islam sendiri yang menentang hukum sebat ini. Termasuk yang menentangnya adalah para pemimpin negara.

Apakah benar andaian-andaian setengah pihak yang mengatakan hukum Islam itu kejam? Kebanyakan mereka yang mengiakannya bukanlah dari kalangan yang pakar hukum. Bahkan sebahagian daripada mereka itu pun bukan dari kalangan penganut agama Islam. Mereka mengatakan demikian hanya berpandukan kepada akal fikiran mereka sahaja.

Sekali lagi saya bertanya, benarkah hukum Islam itu kejam? Apakah hukum yang dibuat oleh manusia itu lebih adil dan berperikemanusiaan? Siapakah kita untuk menilainya sedangkan diri kita ini sendiripun "tuhan Allah" yang menciptanya. Apabila Allah menurunkan Adam dan Hawa ke mukabumi, Allah juga menurunkan peraturan-peraturan hidup yang lengkap untuk keturunannya. Jika Allah yang mencipta manusia, maka sudah pastilah undang-undang atau peraturan hidup yang ditetapkan ke atas manusia sememangnya sesuai dengan keperluan manusia itu sendiri. Secara logiknya tidak timbul persoalan samada hukum-hukum Islam itu kejam atau tidak. Manusia hanya boleh menilai sesuatu perkara hanya berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang cetek kerana akal fikirannya yang terbatas, sedangkan ilmu Allah itu tiada batasan. Firman Allah :

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَآءِ وَالاٌّرْضِ إِنَّ ذلِكَ فِى كِتَـبٍ إِنَّ ذلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.  ( surah Al-Hajj: 70)
 
Kembali semula kepada persoalan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sesuatu kesalahan. Contohnya dalam pembicaraan kita sekarang ialah hukuman untuk mereka yang berzina. Apakah bentuk hukuman yang sebenarnya?

Zina Sebagai Satu kesalahan

 Sungguhpun perbuatan zina telah ditetapkan sebagai  satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sejak tahun ketiga Hijriah tetapi penetapan tersebut belum menjadi undang-undang pemerintah. Pada masa itu zina masih bersifat sebagai kejahatan keluarga atau masyarakat biasa. Oleh kerana itu pihak keluargalah yang menghukumnya. Hal ini diterangkan oleh firman Allah:

  وَاللَـتِى يَأْتِينَ الْفَـحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَاسْتَشْهِدُواْ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعةً مِّنْكُمْ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً - وَاللَّذَانَ يَأْتِيَـنِهَا مِنكُمْ فَـَاذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُواْ عَنْهُمَآ إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّاباً رَّحِيماً

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).

Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

(An Nisa:15-16)

Dari ayat 15 surah ini nampak bahawa hukum zina masih bersifat sementara dan mengisyaratkan akan tiba hukum zina yang lebih pasti dan tetap.

Dua setengah tahun kemudian turunlah ayat-ayat yang terdapat dalam surah An Nuur yang menghukumi zina secara tetap, dan seterusnya dijadikan undang-undang negara Islam.

 Hukuman Berzina dalam Islam

Firman Allah dalam surah An Nur ayat 2,

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِى فَاجْلِدُواْ كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِاْئَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Permpuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman

Banyak yang perlu kita fahami sebelum kita mengambil ayat ini sebagai dalil hukuman zina. Ada beberapa sudut yang perlu dijelaskan di sini iaitu masalah perundangan, sejarah dan tata kesusilaan yang bila tidak diperinci akan menimbulkan kebingungan dalam memahami undang-undang hukum Allah dan berbagai masalah kehidupan keluarga.

Masyarakat yang masih dekat dengan perasaan fitrah manusia masih memandang zina sebagai perbuatan yang memudaratkan, yang harus mendapat hukuman berat pada si pelaku. Sungguhpun demikian sikap mereka dalam menghadapi perzinaan sedikit demi sedikit luluh dan sesuai dengan alur kebudayaan yang mempengaruhi masyarakat.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah meminda-minda hukuman zina yang telah ditetapkan dalam kitab-kitab mereka. Mereka telah meringankan hukumannya dengan alasan tersendiri. Mereka telah mengambil undang-undang Mesir Kuno, Babilona, Ashor dan Hindu, sebagai rujukan apabila merubah hukum yang asal.

Undang-undang Islam menetapkan pezina mesti dihukum dan hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap mereka yang telah berkeluarga. Dalam pandangan peraturan Islam, bila perbuatan zina dibiarkan begitu saja tanpa tali pengekang maka anak yang lahir dari hasil zina tidak akan dapat diketahui asal-usul keterunannya. Oleh kerana itulah hubungan lelaki dan perempuan hendaknya terbatas pada hubungan yang bersifat masih dapat dipertanggungjawabkan dengan peraturan. Hubungan yang terbatas ini tidak akan dapat terwujud selagi kita tidak menghalang tersebarnya unsur-unsur yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.
Pergaulan bebas seperti ini boleh membawa kepada perbuatan maksiat seperti zina dan seterusnya menjadi gejala sosial dalam masyarakat seperti pembuangan bayi hasil hubungan di luar nikah
Dalam Islam kesalahan berzina mempunyai hukuman yang berbeza di antara pezina yang sudah dan belum bernikah. Bagi yang belum bernikah mereka dijatuhkan hukuman disebat sebanyak 100 kali. Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin direjam sehingga mati.

Walaupun hukuman ini nampak kejam tetapi keputusan untuk melaksanakannya tidakah boleh diambil sewenang-wenangnya. Sebelum sebarang hukuman dijatuhkan keterangan yang pasti dan jelas perlu di dapati samada dari pengakuan pezina atau para saksi, sungguhpun perbuatannya telah tersebar luas.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa Undang-undang hukum Islam tidak mengharuskan terdakwa mengakui perbuatannya. Orang yang melihat perbuatannya pun tidak diharuskan melapor kepada pihak pengadilan (hakim, penegak hukum). Namun bila perkara sampai kepada hakim maka hakim tidak boleh memaafkan terdakwa apabila telah terbukti nyata. Lain halnya bila belum terbukti maka hakim diizinkan memaafkan dan membebaskan terdakwa.

Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa melaporkan hal-hal kotor maka hendaknya dia menutup-nutupinya kerana Allah. Apabila telah jelas bagi kami maka akan kami hukumi dengan Kitabullah."

Dalam hadis yang diriwayatkan Abi Daud, dikisahkan Maa'iz Al Asmami telah berzina dengan seorang budak (hamba) wanita. Kemudian dia telah disuruh oleh bapa angkatnya Hazzal bin Na'im untuk mengadap Rasulullah SAW dan mengakui perbuatannya, dengan harapan hukumannya akan diringankan. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menghukum rejam Ma'iz dan terhadap Hazzal, Rasulullah berkata,

 "Sekiranya engkau menutup-nutupi masalahnya dengan kebesaranmu tentu hal itu baik bagimu"


Rujukan daripada buku: KEJAMKAH HUKUM ISLAM oleh Abdul A'la Almaududi