Tuesday 7 November 2017

Morocco (Mahgribi) - Semalam di Casablanca

Apabila sebut nama Casablanca terus saya teringat kepada sebuah filem kelasik Amerika berjodol yang sama,. Ia diterbitkan pada tahun 1942 dan dibintangi oleh pelakon-pelakon terkenal di zaman itu. Agaknya itulah sebab mengapa dulu-dulu saya ingatkan Casablanca ini adalah sebuah bandar yang letaknya di negara Barat.

Kami tiba di Casablanca pada pagi 1 April 2017, dari Marrakech. Ini adalah sebahagian dari perjalanan pulang ke Malaysia. Penerbangan balik ke Dubai dijadualkan bertolak tengahari esoknya. Jadi kami ada satu hari penuh untuk jalan-jalan 'makan angin' di Casa.

Casablanca membawa maksud 'Rumah Putih' atau Arabnya, الدار البيضاء‎ ( ad-dār al-bayḍā ), Ia berasal dari  cantuman dua perkataan Portugis (branca "putih" dan casa "rumah"). Nama sekarang ini adalah versi Sepanyol untuk "Casabranca". Orang tempatan memanggilnya dengan nama Kaza sahaja. Bandar ini terletak di bahagian barat-tengah Morocco bersempadan dengan Lautan Atlantik. Ia adalah bandar terbesar di Morocco dan juga salah satu bandar yang terbesar dan terpenting di Afrika, dari sudut ekonomi dan demografi. Ia juga adalah pelabuhan terbesar Morocco. Bandar ini telah dibuka dan didiami oleh  kaum Berber pada kurun ketujuh sekurang-kurangnya. Pada tahun 1910 secara rasminya bandar ini telah jatuh ke tangan Perancis sehingga 1956. di mana Morrocco telah mendapat kemerdekaan.

Kedudukan Casa .... perjalanan dengan keretapi
dari Marrakech mengambil masa lebih dari 3 jam
Masjid Hassan 11

 Apabila mendapat tahu flight ke Morocco akan mendarat di Casablanca, kami sudah berangan-angan untuk melawat Masjid Hassan II. Alhamdulillah .... kami berjaya merealisasikan angan-angan itu 😃

Menara setinggi 210m - tertinggi di dunia
Menara masjid ini merupakan yang paling tinggi di dunia. Dari puncak menara ini, akan terlihat sinar laser yang terang yang mengarah ke kiblat, iaitu ke arah Kaabah di Mekah pada waktu malam hari.
Masjid ini didakwa sebagai masjid terbesar ketiga di dunia setelah Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Dianggap terbesar karena masjid ini mampu menampung sekitar 25 ribu jamaah di bahagian dalam, dan 80 ribu pada bahagian dataran luarnya. Dari sudut senibina, keindahan masjid ini hampir sama dengan masjid Cordoba yang ada di Spanyol.

Bahagian bawah menara
Masjid terapong .... dibangun atas daratan dan juga lautan
Sumber foto - Mr Google
Bangunannya yang menganjur ke Lautan Atlantik membuatnya kelihatan seolah-olah ia berada di tengah laut dan kelihatan seperti terapung. Oleh kerana itu masjid ini mendapat jolokan sebagai masjid terapung terbesar di dunia dan kini ia megah menjadi penanda kota Casablanca. Dua buah pemecah ombak dibina sebagai pelindung kerana ombaknya boleh mencapai setinggi lebih 10m.

Gaya senibina Masjid Hassan II memperlihatkan pengaruh gaya “Moorish” yang kuat dan mengingatkan orang pada kemegahan Alhambra dan Mezquita, dua peninggalan kebudayaan Islam yang termasyhur di daratan Sepanyol. Pintu-pintu di luar maupun di dalam ruangan masjid dicirikan oleh lengkungan berbentuk ladam kuda. Manakala dinding dan tiang-tiang di dalam ruangan dihiasi dengan berbagai macam pola ukiran yang rumit dan indah.

Pintu-pintu  masjid dicirikan oleh lengkungan berbentuk ladam kuda
Menara yang dihiasi indah ....
Ruangan utama, tempat solat, dilapisi dengan karpet merah ...
.... para pelawat wanita tidak perlu menutup aurat sebagaimana
kebiasaan amalan di negara kita

Bahagian dalam masjid ini tidak boleh dimasuki
oleh para pelawat
Salah satu tiang yang dihiasi dengan ukiran yang rumit dan indah
Kehalusan seni ukiran yang mengagumkan
Istimewanya, sebahagian lantai masjid dibuat daripada kaca tebal sehingga mereka yang beribadah atau sujud dapat melihat terus ke dalam laut Lautan Atlantik. Namun kini kawasan ini tidak lagi boleh dimasuki oleh orang ramai kecuali kerabat di Raja.

Balkoni - ruang solat khusus wanita
Berada di balkoni untuk solat  Zohor berjemaah .... 1April 2017
Balkoni khusus untuk wanita dan anak-anak diletakkan di sebelah kanan pintu masuk dan dibuat dari kayu yang diukir dengan indah. Di bawah lantai (ruangan bawah tanah), terdapat tempat permandian umum gaya Turki dan juga air pancut yang dapat digunakan sebagai air wuduk. Air pancut ini dibuat daripada batu marmar dan dikatakan ada lebih dari 40 buah jumlahnya yang terdapat di sekitar masjid. Ukiran tangan para pengukir dengan dekorasi hasil cetakan semen yang dipanggil zellij, menambah kecantikan masjid ini.

Air pancut (wuduk) .... hanya dibuka airnya pada hari Jumaat
Pangkal tiang dan dinding dihiasi dengan seni zellij
Hammam atau pemandian khas Turki .... macam tidak digunakan
Kawasan hammam ....dinding dihiasi seni zellij
Bahan bahan binaan yang diguna berupa kayu-kayu cedar dari kawasan Atlas, batu marmar dari pergunungan Agadir dan batuan granit dari Tafroute. Sedangkan bahan-bahan tiang granit putih dan lampu-lampu cendelier dibawa dari Murano, Venezia, Itali.

Selain itu, ada juga pemanas lantai untuk mengawal suhu ruangan masjid melalui lantainya ketika cuaca dingin. Pintunya dipasang elektrik dan bumbungnya pula boleh dibuka-tutup menggunakan teknologi terkini. Ia hanya dibuka waktu solat khas seperti solat Jumaat.

Masjid Hassan II merupakan salah satu masjid moden yang berfungsi sebagai pusat kegiatan umat Islam, tidak hanya tempat ibadah. Masjid ini juga menyediakan berbagai kemudahan lainnya, seperti klinik, perpustakaan, dan tempat berolahraga.

Bahagian luar masjid yang berada di atas laut
Dataran di luar masjid yang mampu menampung
 seramai 80,00 jamaah dalam satu masa
Bahagian luar masjid yang berada di daratan
Masjid ini dibuka untuk orang bukan Islam melawatnya. Walau bagaimanapun mereka mesti menyertai lawatan bersama pemandu dalam masa yang ditetapkan. Lawatan ini termasuk melihat bumbung yang boleh dibuka-tutup. ruangan solat utama, hammam dan tempat berwuduk. Pelawat wanita tidak perlu menutup aurat .... cukup sekadar pakaian yang tidak terlalu dedah.

Tour group kami .... khusyuk mendengar penerangan dari tour guide
yang berbahasa Inggeris
Ni tour guide kami
Tiket untuk 'guided tour' ini sangat mahal. Kami terpaksa membayar MAD 120 seorang. Kami boleh sahaja masuk tanpa 'guided tour' ini tetapi apabila bersama kumpulan pelancong, kita mendapat lebih maklumat dan tahu cerita di sebalik apa yg dilihat. Saya ada terbaca, bahawa tiket yang mahal itu adalah untuk tujuan membiayai kos penyelenggaraan  masjid yang besar ini. Pemandu pelancongnya pun tidak dibayar. Mereka hanya meminta 'tip' daripada pelancong.

Ini pelekat yg diberi untuk setiap pelancong memakainya ....
kata-kata yang bermaksud, "Ziarah Masjid Hassan kedua"
Masjid ini kononnya menelan belanja sebanyak 800 juta dolar AS. Waktu itu Masjid Hassan II disebut-sebut sebagai masjid yang termahal di dunia. Walaupun masjid ini menjadi kebanggaan rakyat Morocco, namun para pengkritk membangkitkan isu kemiskinan yang wujud seiring dengan kemewahan yang dipamerkan. Masjid yang begitu mahal dan mewah di samping rakyatnya yang  miskin, adalah dua keadaan yang begitu kontra. Ia menggambarkan ketidakseimbangan yang berlaku dalam kehidupan masyarakatnya. Pada 2014 dikatakan satu perlima daripada rakyat Morocco hidup di paras atau di bawah paras kemiskinan.

Pusing-pusing di kota 

Pada sebelah petangnya kami berjalan-jalan di pasar lama sambil membeli-belah. Kami berjalan sampai di luar kawasan istana tetapi tidak ada apa yang dapat dilihat melainkan tembok. Sebelum pulang kami singgah di pasar jeruk dan rempah ratus.

Pasar lama
Pasar jeruk
Jeruk buah zaitun yang pelbagai warna dan perisa
Lunch - sandwhich dan potato chips ... antara menu yang termurah
..... dimakan bersama jeruk yang baru dibeli 
Jeruk buah zaitun dan timun kecil
Sebelum mengakhiri entri ini, saya ingin menunjukkan beberapa keping gambar hiasan dalaman hotel kami. Ia sebuah bangunan yang lama dan ia mempunyai beberapa ciri yang menarik.


Ada masjid dan perabot antik ...
Kurang pasti alat apa ini?
Dinding dan siling yang berukir indah di Hotel Majestic 

Susunan perabot (meja makan) di bilik makan yang unik
Sarapan terakhir kami di Morocco
 Selepas bersarapan kami terus ke airport.

Mohammed v International Airport .... مع السلامة  
Dalam bangunan terminal ... tak ada pulak nama Morocco
untuk diabadi sebagai kenanagan
You might like these posts:

1. Marocco (Maghribi) - Chez Ali Fantasia

2. Morocco (Maghribi) - Quarzazate ... The door of the desert

3. Morocco (Maghribi) - The Exotic Marrakech

4. Jom kenali Maghribi (Morocco)

5. Morocco (Maghribi) - Catatan Perjalanan ke Marrakech

6. Hujung Dunia - Europa Point Gibraltar ( جبل طارق)