Showing posts with label sosial. Show all posts
Showing posts with label sosial. Show all posts

Monday, 9 September 2024

Fitnah di Hujung Jari

Betapa banyak kehidupan yang musnah angkara fitnah dan penipuan. Kewujudan aplikasi media sosial yang tidak terbendung menyebabkan bercampur aduknya maklumat yang sahih dan palsu, hingga masyarakat menjadi keliru, siapa teman siapa seteru. Sukar bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan.

Dari sebesar besar benda, hingga sekecil kecil perkara, dunia hari ini telah diselubungi oleh penipuan. Penipuan bukan sahaja di pentas politik besar, ia turut berlaku di dalam pasar, atau di hujung jari, atau di dalam kamar sendiri. Contoh yang paling ketara pada hari ini berlaku dalam isu Palestin. Media Barat telah menyebarkan berbagai berita palsu demi mempertahankan tindakan zalim negara haram Israel terhadap rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Berita ucapan Datuk R. Ramanan dalam pidato
di Himpunan Pembebasan Palestin
Dalam ucapan  di atas beliau berkata, "Banyak (media barat) laporkan rakyat Palestin itu pengganas, tapi kita kena tanya adakah kanak-kanak yang dibunuh itu pengganas? Jururawat itu pengganas? Doktor, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu pengganas?"

Dalam negara pula, hadir sekelompok masyarakat yang menjadikan gosip dan aib orang lain sebagai bahan dagangan, bahan kempen, untuk mengaut keuntungan dunia, dalam meraih populariti. Perbuatan ini semua terjadi kerana kemudahan dan  kecanggihan teknologi terkini. Taip sahaja kata kunci pada enjin carian internet, setiap perincian maklumat yang diperlukan akan dipamerkan. Isunya, adakah maklumat yang mudah untuk diperoleh ini, mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya?. Jika perkhabaran itu merupakan satu kebenaran, maka ia adalah baik bagi yang menerimanya, namun jika ia adalah sebaliknya maka pasti mengundang kepada permusuhan dan perselisihan.

Penyebaran berita viral melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan Whatsapp sering berlaku. Amat menyedihkan apabila berita dan video yang disebarkan sebahagiannya dibuat tanpa usul periksa, sekadar ingin mahu nama dan rating yang tinggi. Ada yang sanggup menyunting video lalu disebarkan bahawa si fulan ini memberi fatwa sesat atau melakukan perkara terkutuk dan sebagainya. Perbalahan  timbul hanya kerana satu dua video  yang pendek ini, dan kita mula bercakap dan menjatuhkan hukum. Kemudian diteruskan dengan menyebarkan aib, fitnah - memfitnah, dan akhirnya berlaku saman menyaman. 

Apa yang lebih dikesalkan, kadangkala produk kesihatan pun ditipu maklumatnya, melalui pengiklanan di saluran tv, radio dan kini di aplikasi media sosial. Minuman yang dipenuhi gula dikatakan berkhasiat, snek yang dipenuhi kimia dikatakan makanan berzat. Begitu juga ramai yang telah terpedaya dengan aktiviti scammer yang telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit disebabkan penipuan atas talian. Allah telah berpesan dalam firmannya yang bermaksud:

“Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat siksanya.” 
(al-Anfal: 25)

Kemudahan itu telah disalahgunakan bagi mengancam atau pun menjatuhkan seseorang mahupun sesebuah organisasi. Perkara ini boleh mengganggu gugat keharmonian dan keamanan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.

Dalam hal ini, kecanggihan teknologi maklumat tidak dapat disalahkan sepenuhnya tetapi diri manusia yang harus dipertanggungjawabkan. Setiap manusia diciptakan dengan akal fikiran yang dapat menilai perkara yang baik dan juga yang buruk. Dalam agama Islam,  perbuatan menabur fitnah itu hukumnya haram, tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Sebarkan perkara yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat akan menjadi saham yang sentiasa mengalirkan pahala.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَتَظْهَرَ الفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الهَرْجُ

Maksudnya: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”
  [Riwayat al-Bukhari (1036)]

Apakah sedang berlaku semua tanda-tanda akan berlakunya kiamat seperti yang disebut dalam hadis? Di antara tanda-tanda Kiamat adalah masa terasa begitu pantas. Apakah maksudnya?

Ada pendapat ulamak yang mengatakan, ini berlaku disebabkan hilangnya keberkatan (di dalam kehidupan), sedikitnya amalan untuk akhirat, membuang waktu pada perkara yang tidak penting dan berfaedah sehingga tiada lagi nilainya serta ia (masa) berlalu seperti berlalunya awan yang mana tidak dirasai oleh seseorang akan umurnya seakan-akan dia tidak hidup melainkan hanya sementara di waktu siang.

Maksudnya di sini, masa berlalu dengan begitu pantas adalah disebabkan keberkatan masa telah hilang dalam kehidupan kita. Apabila ini berlaku, ini menandakan kurangnya amalan soleh yang dilakukan dalam kehidupan kita, banyak masa-masa dalam sehari dihabiskan pada perkara yang tidak bermanfaat seperti melayari internet dan membaca berita-berita gosip, komen-mengomen, yang mana akhirnya kita terjebak dalam perbuatan memfitnah. 

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

 “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita. Iaitu seseorang yang pada waktu paginya beriman, tetapi dipetang hari sudah menjadi kafir.” (Riwayat Muslim)

Kita sering terlupa bahawa Allah SWT berpesan di dalam al-Quran bahawa umat Islam perlu berhati-hati dalam meneliti dan mencari bukti yang berkaitan isu apabila membuat sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Selalu bersikap tabayyun ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
( al-Hujurat: 6) )

Ulamak Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya.

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut\

2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Kesimpulannya sebelum memetik jari-jari ke keyboard, buatlah perkara-perkara ini:

1.Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial. Lakukan semakan dan bertanya setiap isu yang berbangkit kepada ahlinya. Hal ini amat penting agar kita tidak terjebak di dalam fitnah mengenakan seseorang yang akhirnya kita sendiri menyesalinya.
 
2.Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok, kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim.

3. Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah dengan mendekati para alim ulama’ dan orang-orang soleh serta menjauhi orang-orang yang suka menyebarkan fitnah.

4. Mengingati balasan yang dasyat yang disediakan bagi mereka yang melakukan fitnah dan menyebarkannya.

Dan akhir sekali, sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat, berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman. Berdoalah kepada Allah dengan doanya: 

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah. - [HR Tirmizi 3233].

Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.”     (QS Al – Maidah: 91)

Dalam perundangan Islam ada prinsip “andaian tidak bersalah”  dalam kes-kes jenayah. Ia digunakan bukan sahaja dalam kes-kes hudud, tetapi juga dalam jenayah-jenayah lain iaitu qisas dan takzir. Maka hendaklah kita sentiasa mengamalkan primsip ini dalam menangani isu-isu fitnah yang belum dibuktikan kesalahannya.

Sahara Mohamed Said
Kg Dato Ahmad Said, Ipoh
September 2024

Thursday, 1 August 2024

Kejamkah Hukum Islam (4) - Fitnah di Akhir Zaman

HARI ini fitnah akhir zaman melanda kehidupan kita dari segenap penjuru dan ruang. Fitnah tidak mengenal orang besar atau peniaga jalanan, orang politik atau rakyat marhaen. Fitnah tidak membezakan orang jahil atau ilmuan. Fitnah juga tidak pernah mengira lelaki atau perempuan, tua atau muda, kufur atau bertakwa. Ia datang dan cuba menggugat iman agar tergelincir, menghasut umat agar kucar kacir.

Fitnah sudah ada sejak dahulu lagi. Dalam sejarah Islam terdapat peristiwa fitnah yang melanda rumahtangga Rasulullah SAW di mana kisahnya telah disebut dalam Hadith al-Ifki (berita bohong). Fitnah ini dibuat terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW. Cerita ini telah sengaja diada-adakan dan disebar oleh kaum munafik.

Ringkasnya, Hadith al-Ifki menyaksikan Aishah difitnah berdua-duaan bersama seorang Sahabat, Sofwan Ibnu Mu'attol  ketika dalam perjalanan pulang dari medan perang menentang Bani Mustaliq pada Syaaban tahun kelima ( atau keenam ) Hijrah. Aishah telah dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral dengan Sofwan. Berikutan peristiwa tersebut, Aishah sendiri sebagai mangsa fitnah dan Rasulullah SAW sebagai suami telah menanggung aib dan malu. Kesan fitnah tersebut telah menyebabkan Nabi SAW tidak banyak bercakap dan terpaksa mengurungkan diri daripada masyarakat awam. Keadaan kembali pulih dengan turunnya wahyu Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) [11]. 
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: ini ialah tuduhan dusta yang nyata [12].
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangksan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta [13]”- 
Surah An-Nur:11-13.

Penyakit fitnah yang diwarisi kini  melanda masyarakat bagaikan barah yang merebak ke seluruh anggota lapisan masyarakat. Pada hari ini, fitnah berlaku berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding dahulu. Jika sebelum  ini fitnah disebar hanya dari mulut ke mulut, mungkin melalui jiran, ketika berborak di kedai kopi ataupun sekitar dalam kampung mereka sahaja tetapi pada hari ini teknologi yang semakin canggih menjadikan amalan fitnah juga berlaku di hujung jari dengan lebih pantas. Ia boleh dilakukan melalui teknologi maklumat seperti Internet yang mampu menyebarkan apa juga maklumat dengan sekelip mata tanpa dapat dibendung.

Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Nov 2020
Khutbah Jumaat negeri P. Pinang
Mac 2021
Perbuatan fitnah sudah menjadi seperti penyakit kronik di malaysia. Ia perlu dibendung sebelum lebih ramai yang teraniaya angkara fitnah dan penipuan yang tidak terkawal. Banyak sudah masjid-masjid dalam khutbah Jumaatnya mengingatkan  ahli kariah agar menjauhi perbuatan fitnah kerana kesan-kesan negatif yang ditinggalkan dalam kehidupan masyarakat.

Dosa fitnah juga disebut dalam hadis riwayat Ibnu Abbas RA. Ia berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah berjalan melewati dua buah kubur. Salah satu penghuni kubur tersebut adalah orang yang selama hidupnya suka melakukan fitnah, lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dua orang ahli kubur itu sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya diazab kerana dosa besar. Ya, benar. Sesungguhnya dosa itu amatlah besar. Salah seorang di antara keduanya ialah (mereka) yang berjalan di muka bumi dengan menyebarkan fitnah (mengumpat). Sementara yang lain tidak bertirai ketika kencing.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang suka menyebarkan fitnah akan mendapatkan siksa yang amat pedih di alam kubur. Itu adalah balasan yang sesuai kerana telah mengabaikan perintah Allah.

Hukuman jenayah fitnah di dunia
Di sisi undang-undang negara, seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah. Secara kasarnya, Seksyen 499 menyatakan bahawa jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

Lantas, jika sabit kesalahan memfitnah orang lain, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Selepas memfitnah bekas Menteri Agama ....
ada yang mohon maaf, ada yang menarik balik tuduhan
dan ada juga yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah
Hukuman jenayah fitnah ciptaan manusia ini amatlah ringan jika dibandingkan dengan hukuman dari Allah yang meliputi dunia dan akhirat seperti yang difirmankan  Allah di dalam al Quran yang bermaksud,  

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (surah An-Nur ayat 19)

Kejamkah hukum Islam

Petikan dari buku Kejamkah Hukum Islam
tulisan Abdul A'la Almaududi

Sebagai contoh, perbuatan qazaf yang bermaksud membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang yang tertentu.

Orang yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

Hukuman Hudud ke atas pesalah qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
( surah an-Nur:4)

Perlu difahami bahawa konsep undang-undang Hudud ini disyariatkan adalah untuk mendidik orang Islam khususnya dan orang bukan muslim amnya. Ini kerana untuk melaksanakan hudud itu sendiri bukanlah suatu yang mudah. Dalam sesuatu kes Hudud, ia memerlukan kepada kesaksian dan pembuktian yang ketat dan jelas. Jika terdapat keraguan walaupun sedikit maka pesalah tersebut tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud sepertimana yang ditunjukkan olah Rasulullah SAW. Prinsip “menolak hudud kerana ada keraguan” ini pada asasnya berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW. Antara hadis-hadis tersebut ialah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

“Tolaklah hudud daripada orang-orang Islam selagi boleh. Kalau masih ada jalan lepaskan mereka. Kerana kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman.” -Hadis riwayat al-Termizi6

Dengan kepayahan dan kesukaran untuk melaksanakan Hudud (contoh jenayah qazaf) jelas menunjukkan bahawa undang-undang ini tidaklah sekejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Malah sebaliknya ia telah pun mengambil kira unsur kemanusian bukan setakat kesan ke atas pesalah tersebut bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Undang-undang ini bukanlah semata-mata untuk menghukum tetapi untuk perkara yang lebih besar iaitu melindungi kehidupan manusia. 

Fitnah di hujung jari
Hari ini perbuatan fitnah dalam masyarakat berlaku terlalu pantas ditambah pula dengan kemudahan teknologi yang membolehkan sesuatu disebarkan tanpa merujuk kepada situasi yang sebenar. Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok membuatkan lebih banyak fitnah yang tersebar dan ia berlarutan seperti surat berangkai.

Hari ini angkara penipuan dan fitnah, telah berapa banyak rumahtangga yang musnah, hubungan kekeluargaan yang punah, silaturrahim yang terpisah, dan airmata yang tertumpah. Malangnya, fitnah akhir zaman yang sepatutnya dihindari, namun ramai yang berpusu- pusu terjun ke dalamnya. Maka jadilah kehidupan dunia hari ini, tenat dan melarat.  Kesannya, ramai yang terpalit dengan fitnah yang merupakan 'pembunuh' utama keharmonian masyarakat.

Namun apakah hakikat sebenar fitnah? Perkataan fitnah dalam bahasa Arab merujuk kepada  kekacauan, bencana, cubaan atau penyesatan. Walau bagaimanapun masyarakat pada hari ini, menggunakan kata fitnah itu memberi maksud suatu berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat.

Walau bagaimanapun, pengertian fitnah daripada definisi Islam mempunyai maksud yang lebih luas. Ia mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya, ghibah membicarakan keburukan orang lain berdasarkan kenyataan, sedangkan fitnah berunsur pembohongan. Namun, kedua-duanya diucapkan untuk maksud yang tidak baik. Hal itu sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: 

"Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu? Lalu Rasulullah menjawab; ‘Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu semasa ketiadaannya.’ Kemudian sahabat kembali bertanya; ‘Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar?’ Rasulullah kemudian menjawab; ‘Sekiranya yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” 
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi) 

Al-Ghazali dalam membicarakan tentang fitnah, beliau menyamakan fitnah sama ertinya dengan al-Namimah yang bermaksud membesar-besarkan perihal seseorang kepada pendengar - pendengar lain. Biasanya, dalam proses membesar-besarkan berita itu, terdapat penambahan yang tidak benar atau   biasanya manusia yang lemah imannya suka menyebar cerita-cerita yang sensasi dengan pembohongan. Sebab itu, al-Namimah terkandung di dalamnya fitnah dan mengumpat. Cuma perbezaan antara keduanya ialah fitnah lebih buruk dosanya daripada mengumpat.

Apakah hukumnya membuat fitnah? Perbuatan fitnah dari perspektif agama Islam hukumnya haram dan ditegah kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dan kemusnahan harta serta kehilangan nyawa. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dari sifat terkeji dan amat dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir”.
Surah Al-Baqarah:191

Al quran telah memberikan peringatan kepada umat manusia bahawa dosa fitnah jauh lebih besar daripada pembunuhan. Seseorang yang suka memfitnah orang lain akan kehilangan imannya kepada Allah. Tidak hairan, jika pelakunya akan mendapat ganjaran besar dari Allah, seperti yang disebut dalam Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang beriman, baik laki-laki maupun perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam, dan bagi mereka azab neraka yang membakar.” (QS. Al-Buruj: 10)

Dalam Hadis pula, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: 

Berkata malaikat yang mengiringi Baginda Rasulullah, adapun orang yang disiksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan sehingga seluruh ufuk penjuru dunia. 
 [HR Ibn Hibban 655]

Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Jenis-Jenis Fitnah Dalam Islam
1 Fitnah syubhah - ini merupakan fitnah yang paling berbahaya kerana kurangnya ilmu, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji seperti kekafiran, kemunafikan, dan bidaah penyebab perpecahan. 
2. Fitnah syahwat (penyakit yang mengikuti syahwat) - ia merupakan perbuatan yang dapat melemah dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu. Pelakunya akan mengikuti apa-apa yang disenangi oleh hati atau nafsu yang keluar dari batasan syari’at.

Ketika ini negara kita sedang dilanda fitnah syahwat yang melampau. Ia berlaku di kalangan ahli-ahli politk serta dituruti oleh pengiku-pengikut parti yang fanatik. Fitnah tahkta dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat, disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah lapok yang dimainkan pihak pembangkang
dan ditepis oleh PMX dalam dewan rakyat
Sebagai contoh kita lihat fitnah yang telah dilemparkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin dalam ceramah kempen sempena PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini, terhadap PMX, 

Ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, PMX telah berkata:

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat yahudi, ikut saja".

“Itu dari ustaz pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terangan. Fakta di sebaliknya mana mungkin saya lakukan ini semua,” 

Perdana Menteri menegaskan, beliau sama sekali bukan anak angkat Amerika Syarikat (AS) mahupun mengikut telunjuk Yahudi seperti yang difitnah.

Islam tidak melarang umatnya berpolitik dengan ideologi yang pelbagai. Namun perbezaan pendapat dan ideologi antara kita bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan memfitnah. Islam meletakkan syarat yang ketat apabila seorang Muslim ingin menuduh atau mendakwa seseorang yang lain seperti mengatakan si fulan itu penzina, pencuri, pemakan harta anak yatim, penyalah guna kuasa atau pelaku rasuah. Pendakwaan tersebut wajib disertai dengan saksi yang adil dan bukti yang kuat sebagai memenuhi syarat dia menuduh seseorang dengan sesuatu.

Dalam lipatan sejarah kita telah lihat bagaimana fitnah menjadi punca perselisihan para sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Akhirnya muncul fahaman dan aliran agama yang sesat lagi melampau seperti Syiah, Muktazilah, Jahmiyyah dan Murjiah yang kononnya diasaskan untuk menyelamatkan pengikutnya daripada fitnah sedangkan hakikat sebenar kemunculan ajaran ini juga berpunca daripada fitnah.

Perang Saudara Islam Pertama (656–661), juga dipanggil Fitnah Pertama. "Fitnah Pembunuhan Uthman" adalah perang saudara pertama dalam Khilafah Islam. Ia timbul akibat perselisihan siapa yang berhak menjadi khalifah. Pertikaian ini memecahkan perpaduan umat Islam dan memulakan arah aliran jangka panjang yang berakhir dengan pemecahan Islam kepada mazhab Syiah dan Sunni.

Dewasa ini amat sukar sekali bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan. Abu Hurairah RA telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang seperti potongan-potongan malam yang gelap gelita. Iaitu seseorang yang pada waktu paginya beriman, tetapi dipetang hari sudah menjadi kafir.” (Riwayat Muslim)
Marilah kita sama-sama membendung perbuatan fitnah agar seluruh masyarakat dapat hidup secara aman damai tanpa ada prasangka antara satu sama lain. Setiap kita mesti memainkan peranan dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial. 
Kedua: Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim. 
Ketiga: Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah.
Keempat: Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat dan berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman.

Bagi pembuat fitnah dan penyebar fitnah mereka kena sedar bahawa dengan sebab perbuatan mereka berapa ramai orang yang bercerai-berai, bergaduh antara adik beradik, memutuskan tali silaturrahim disebabkan oleh fitnah yang disebarkan. Mereka harus ingat apa yang mereka lakukan sekarang Allah pasti akan membalasanya sama ada di dunia ataupun di akhirat nanti. 

KDAS (Kg Dato' Ahmad Said) 
Ogos 2024

 


Monday, 27 September 2021

Akhlak Remaja Bermula di Rumah

Sumber foto: Mr Google

" Baiti Jannati " ( Rumahku Syurgaku ). Satu gambaran bahawa rumahlah segala-galanya bermula dan tempat untuk kita dapat mengecapi kebahgiaan. " Syurga itu di bawah tapak kaki  ibu ", hadis dari Al-Tabarani. Hadis ini pula memberitahu bahawa kecemerlangan kehidupan seseorang itu bermula dengan mendampingi dan melayani kehendak seorang ibu.  Rumah dan ibu dikaitkan dengan syurga ...... suatu tempat yang menjadi idaman semua manusia yang beriman. Untuk mendapatkan syurga bukanlah semudah membeli barang. Ianya " priceless ". Hanya mereka yang bertakwa dan beriman yang layak mendapatkannya. Dari sini jelas dapat dilihat bahawa semua yang baik itu berpunca dari rumah yang didiami oleh seorang ibu atau bapa serta anak-anaknya. Rumahlah institusi pendidikan pertama bagi anak-anak.

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah  juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif  semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Peranan Ibu-bapa

Apabila membincangkan tajuk ini kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang peranan dan tanggungjawab ibu-bapa dalam mendidik dan mentarbiyah anak-anak. Ibu-bapa perlulah melihat anak-anak dalam kontek yang bebeza-beza agar timbul rasa keinsafan dalam diri dan rasa bersyukur terhadap anugerah Allah SWT ini. Cuba lihat bagaimana keadaan pasangan-pasangan yang tidak dikurniakan anak...... betapa 'kepinginnya' mereka kepada anak-anak.

1. Anak sebagai anugerah
Bila dilihat dari sudut ini, anak bukanlah rezeki semata-mata kerana tidak semua orang dapat anak sepertimana rezeki-rezeki yang lain. Semua orang tanpa terkecuali mendapat rezeki masing-masing..... cuma banyak dan sedikit sahaja yang membezakannya. Firman Allah yang bermaksud:

 “Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (QS Ali Imran: 38)

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Namun malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT dengan melakukan  tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

2. Anak adalah perhiasan hidup.
Orang kata anak adalah permata hati pada ibu bapanya. Dalam al-Quran pula  Allah berfirman yang bermaksud:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.
(QS Al-Kahfi:46)

 Dalam hal ini anak diletakkan sebagai perhiasan dan kekayaan dunia bagi orang tuanya. Jika seorang anak itu dianggap sebagai perhiasan, maka sudah semestinya ia perlu dijaga dengan baik, digilap selalu agar sentiasa kelihatan cantik dan indah. Anak itu juga menjadi suatu yang sangat berharga kepada kedua ibu-bapa. Oleh kerana itu menjadi kewajipan para ibu dan bapa menyusun dan mengatur tarbiyah anak-anak  supaya mereka menjadi anak-anak yang indah  akhlaknya menurut nilai-nilai Islam. Didiklah mereka menjadi insan yang disukai oleh orang ramai sebagaimana indahnya  sebutir mutiara, tiada siapa yang membencinya. Pasangan -pasangan yang akan mendapat anak juga digalakkan berdoa seperti di bawah:

Ya Allah kurniakanlah kami zuriat yang terbaik, sesungguhnya Kau mendengar doa kami’.

3.  Anak adalah amanah,
Ini bermakana ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua ibu bapa. Islam menggesa setiap ibu bapa mengambil berat aspek pentarbiyahan atau pendidikan anak-anak. Firman Allah yang bermaksud:

  “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
(QS At-Tahrim: 6)

Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna. Iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Tanggungjawab ini tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa bantuan daripada anak-anak.  Maksudnya, anak-anak remaja yang sudah boleh berfikir, juga perlu ada perasaan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Anak-anak yang bermasalah akan menyukarkan ibu-bapanya menjalankan tanggungjawab mereka.  
 
4. Anak adalah ujian.
 Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (QS Al Anfal : 28)

Anggaplah kerenah anak-anak yang  menimbulkan berbagai-bagai masalah itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT. Ibu-bapa yang terpaksa berdepan dengan anak-anak yang seperti ini haruslah banyak bersabar . Berdoa dan bermunajat untuk anak-anak agar mereka diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Jangan sekali-kali mendoakan keburukan terhadap anak-anak apabila dalam keadaan marah, takut-takut doanya termakbul ketika itu. Maksud hadis:

Dari Abi Hurairah, bahwasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang diridhai Allah ’Azza wa Jalla tanpa berpikir panjang, Allah akan mengangkatnya beberapa derajat dengan kata-katanya itu. Dan seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa berpikir panjang, Allah akan menjerumuskannya ke neraka Jahanam dengan kata-katanya itu”.
 (HR Bukhari, Ahmad, dan Malik).

Kebiasaan berbicara baik sudah masuk ke dalam memori otak bawah sedar, sehingga tanpa dipikir panjang pun, yang keluar dari lisannya selalu baik. Namun dalam keadaan marah selalunya apa yang diucapkan terkeluar dari kendalian otak yang bawah sedar sehingga terucap kata-kata keji yang dimurkai Allah.

5. Anak adalah pewaris
Pertama, anak akan mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan. Kedua, anak juga akan mewarisi agama dan perjuangan ibu-bapa. Anak-anak mestilah dididik agar membelanjakan harta yang diwarisi di jalan Allah SWT. Begitu juga dengan agama, anak-anak perlu diberitahu betapa pentingnya mempertahan dan memperjuangkan agama Islam yang dianutinya. Anak sebagai Zuriat (Penerus Keturunan), adalah anugerah Allah swt yang akan meneruskan garis keturunan dan cita-cita orangtua. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." ( QS Al-Baqarah:132)

6. Anak sebagai penerus amal soleh
Doa anak kepada ibu -bapa walaupun sesudah mati diterima oleh Allah SWT. Lain-lain Amal yang boleh dibuat oleh seorang anak terhadap ibu-bapanya yang telah meninggal dunia seperti bersedekah bagi pihak mereka dan menjelaskan hutang-hutang mereka samada dengan Allah maupun dengan manusia lain.

From Abu Hurayrah, may Allah be pleased with him, that the Messenger of Allah said:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّااِمنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَة

 (When a son of Adam dies, his deeds cease apart from three: a righteous child who will pray for him,
knowledge from which others may benefit after him, or ongoing charity.)

Makna hadis:

Apablia seorang anak Adam meninggal segala amalannya terputus kecuali tiga: anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya, ilmu yang manusia mendapat manfaat darinya dan sedekah yang berterusan. (HR Muslim)

7. Anak sebagai penyejuk hati
Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami  isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”. (QS Al-Furqan:74)

Kita semua sangat mengharapkan hadirnya anak yang soleh dan solehah yang boleh menyejukkan hati dan mata, yang dalam kehidupannya taat beragama dan berakhlak mulia, serta taat  kepada kedua ibu bapanya. 

8. Anak itu membawa rezki
Allah swt berfirman yang bermaksud:

  “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka.”  (QS Al An’am:151)

Walaupun anak itu sendiri bukan rezeki, tetapi kita harus yakin bahawa anak-anak yang lahir ke bumi sudah membawa rezki. Jika anak-anak itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah, yang membesar dalam beribadah kepada Allah, maka semakin bertambahlah kurnia yang Allah berikan kepada kedua orang tuanya. Hidup menjadi semakin berkat dengan kehadiran mereka. 

9.  Anak sebagai musuh. 
Allah swt berfirman yang bermaksud:

 “Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS At-Taghabun:14)

Di sini kita perlu lebih berhati-hati bagaimana anak-anak itu boleh menjadi musuh orangtua, kerana kemungkinan mereka boleh menjauhkan kita dari zikir kepada Allah dan berjuang di jalan-Nya dan boleh melemahkan tekad kita. Semoga kita boleh memaafkan mereka dan menyantuninya dengan penuh kasih sayang.

Bersyukurlah ibu-bapa yang dikurniakan anak, tidak kira dalam keadaan apa pun mereka itu berada.... yang bijak , yang kurang cerdik, yang kacak, yang tidak cantik, yang sempurna, yang kurang upaya, yang berakhlak, yang panjang akal dan sebagainya. Mereka telah diamanahkan kepada kita, maka lindungilah mereka dan penuhilah keperluan-keperluan mereka setakat yang termampu. Semua itu bermula di rumah....jangan harapkan pihak sekolah atau pengasuh melaksanakan tanggungjawab yang  sepatutnya kita pikul.

Bagi pihak anak-anak pula bersyukurlah dengan apa yang telah disediakan oleh kedua ibu-bapa. Jika kita terasa apa yang didapati daripada ibu-bapa itu masih belum mencukupi keperluan, cuba bayangkan mereka yang tidak ada ibu-bapa langsung. Jadilah anak yang tahu membalas jasa kedua ibu-bapa bagi menandakan kesyukuran kita terhadap mereka.

Related posts:

Pemuda-pemudi berakhlak tunjang negara

Friday, 24 September 2021

Kesalahan Ibu Bapa Mendidik Anak

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.
Jikalau kita perhatikan perangai anak-anak ini secara dekat, ada anak-anak yang sangat mendengar kata, tidak melawan cakap. Namun ramai yang kita lihat anak-anak ini menjerit, menangis, melawan apabila tidak dapat apa yang mereka kehendaki. Perbezaan sikap ini banyak bergantung pada cara didikan dan sikap ibu-bapa sendiri dalam mengendalikan ragam anak-anak.

Nasihat atau tips pada ibu bapa yang ingin anak-anak yang mendengar cakap.
Sumber: https://mysumbermaya.com

1. Tidak perlu jadi pemarah, cukup jadi tegas.

Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai suka marah tetapi tidak tegas. Bab menjerit, kebanyakan ibu-bapa, no 1, tetapi cakap selalu "tak serupa bikin".

2. Jangan suka megugut anak dengan perkara yang kita tahu, kita tidak akan buat pun.

Kalau hendak ajar anak pasal "akibat" pun, pastikan cakap apa yang kita akan buat sahaja.

Contoh, "Pergi mandi sayang, kalau tak nanti mama tak bawa pergi taman petang ni". Kalau dia tidak buat, tidak perlu marah, tidak perlu menjerit, tetapi bila sampai petang, jangan bawa dia pergi ke taman, walaupun dia menangis, menjerit masa itu.

Biar anak kita tahu, kita bukan pemarah tapi kita tegas. Setiap apa yang kita cakap, kita akan buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakapkan, walaupun tanpa menjerit.

3. Katalah anak kita cuba merayu meminta maaf, dan berjanji tidak akan buat lagi, kemudian dia minta dibawa pergi ke taman pada hari yang sama dia buat kesalahan itu, maka jangan bawa, walaupun dia sudah meminta maaf.

Katakan pada dia, “Hari ni sayang dah buat salah, mama tak mau bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar kata, kita pergi esok.”

Jangan kesalahan ibu bapa mendidik anak ini terjadi disebabkan perkara yang remeh. Esoknya bila kita suruh anak mandi, dia akan mula teringat, "akibat" semalam di mana mama dan papanya betul-betul tidak bawa dia pergi ke taman. Dia mula berfikir ... "Hari ni kena dengar cakap".

4. Bila anak dengar kata, berikan reward atau ganjaran. Jangan hanya tahu mengugut bila anak tidak dengar kata tetapi tidak berikan ganjaran apabila dia mendengar kata.

5. Jangan lupa berdoa pada Allah swt. Usaha kita ini asbab sahaja, tetapi yang memberi rezeki anak yang mendengar kata itu adalah Allah swt, bukan kita sendiri.

Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sepatutnya menjadi role model untuk dicontohi anak-anak mereka terutama daripada segi mengamalkan gaya hidup sihat. Anak ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang membentuk anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.

Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” dan "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi" sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa.

Pendidikan awal bermula dari rumah. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.

Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibu bapa dalam mengawal tingkah laku serta perhubungan anak-anak mereka. Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini tetapi ini semua dapat dikawal jika ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam kaedah mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak.

Thursday, 1 August 2019

Pemuda-pemudi Berakhlak Tunjang Negara

Mukaddimah

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para pemimpin negara dan 'kita' yang prihatin.. Mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang

Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa suatu hari nanti dan merekalah yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara , negeri, daerah, kawasan, tempat kerja atau pun setidak-tidaknya sebagai ketua keluarga apabila sudah berumah-tangga nanti.. Nabi pernah bersabda yang bermaksud:

” Setiap daripada kamu adalah pemimpin.yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya. Pemimpin negara bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah pemerintahannya; seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami serta anak-anaknya; seorang hamba bertanggungjawab terhadap harta tuannya; kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas mereka yang dalam jagaan kamereka merupakanwaris kepimpinan negara pada masa akan datang.mu.”

( Hadis Sahih Bukhari )

Tiada siapa dalam dunia ini yang boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Sebagai pelajar , maka menjadi tanggungjawab mereka untuk belajar. Sebagai anak mereka juga ada tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Sebagai abang, kakak, adik., rakan , jiran dan berbagai-bagai lagi tanggungjawab yang boleh dipikul oleh seorang remaja.

Peranan Remaja

Remaja memainkan peranan penting dalam menentukan maju atau mundurnya suatu bangsa. Malah remaja menjadi tunggak harapan negara. Remaja juga disebut sebagai generasi penerus yang berperanan penting dalam perjuangan bangsa dan negara. Zaman remaja adalah masa muda dalam kehidupan yang penuh dengan tenaga, harapan dan semangat. Adalah penting agar golongan remaja ini diberi didikan dan pengetahuan yang jelas supaya jangan sampai tenaga yang penuh energetik itu disalahgunakan, sehingga timbul berbagai-bagai masalah yang tidak diinginkan samada kepada masyarakat atau pun dirinya sendiri.

Pemuda adalah barisan pemimpin pelapis negara yang akan mencorakkan lanskap negara masa depan. Jikalau rosak akhlak remaja hari ini, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri dari mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral. Disebabkan inilah remaja hari ini mesti diberi bimbingan dan didikan serta pengetahuan yang cukup sebagai persediaan membina barisan pelapis pemimpin negara yang berwibawa.

Persediaan awal ke atas remaja mestilah memfokuskan kepada 3 peranan remaja yang utama:

1. Remaja sebagai individu
2. Remaja sebagai anak
3. Remaja sebagai ahli masyarakat

1. Remaja sebagai individu

Apa yang dimaksudkan disini ialah tanggungjawab remaja terhadap Rabbnya yakni Allah SWT yang telah menciptanya . Dia hendaklah melihat dirinya sebagai hamba Allah yang kerdil, yang sentiasa mengharapkan petunjuk, pertolongan dan bantuan dariNya. Justeru untuk menjadi remaja yang cemerlang dan berkualiti mereka hendaklah berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya

2. Remaja sebagai anak

Sebagai seorang anak adalah menjadi kewajipannya mematuhi segala arahan ibu dan bapanya., selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Dia harus berusaha menjadi anak yang soleh dengan melakukan kebaikan kepada kedua mereka serta berlemah lembut dengan mereka ketika berbicara. Arahan ini jelas disebut dalam al-Quran surah al-Isra` ayat 23 yang bermaksud :

” Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

3. Remaja sebagai ahli masyarakat

Apabila seseorang remaja itu berakhlak mulia , dengan sendirinya dia akan menjadi ahli masyarakat yang baik, berbudi dan perihatin. Dia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan oleh kerana itu dia harus memainkan peranannya . Jika dia tidak mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dia hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Sentiasa bekerjasama dalam perkara kebaikan agar kehidupan lebih cemerlang sebagaimana pepatah mengatakan , ”Bersatu teguh bercerai roboh.”

Namun apa yang membimbangkan adalah hampir setiap hari terdapat laporan mengenai masalah sosial dan jenayah yang melibatkan remaja. Pembangunan modal insan yang diperlukan oleh negara sewajarnya bermula dari sekolah. Ini termasuk usaha membangunkan peribadi yang baik dalam kalangan pelajar dengan menyemai nilai-nilai murni. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, sama ada sekolah, institusi keluarga atau pihak lain yang berkenaan.

Remaja berkualiti

Remaja berkualiti adalah remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu dia tidak seratus peratus bergantung pada ibu-bapa atau orang lain. Remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan; dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai personaliti yang menarik iaitu dalam dirinya ada banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk .

Peranan Ibu-bapa

Ibu-bapa tidak boleh berlepas tangan dari tanggungjawab mendidik anak-anak ini. Golongan bawah umur ini amat mudah untuk terjebak di dalam kegiatan yang  membawa bahaya kepada diri mereka serta orang sekeliling mereka. seperti gangsterism, kongsi gelap, lepak, merokok, ponteng sekolah, merempit dan lain-lain lagi.

Tidak ada satu faktor penentu yang boleh menjadi penyebab utama terhadap berlakunya segala masalah atau perlakuan anti sosial ini. Ianya boleh berlaku akibat daripada pelbagai punca seperti kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga terutamanya pihak ibu-bapa serta penjaga terhadap anak-anak jagaan mereka, kurangnya pendedahan pendidikan di sekolah khususnya mengenai aspek masalah sosial yang kian menular dalam masyarakat dalam negara kita, silap memilih kawan, tiada tempat yang sesuai untuk dituju sekiranya menghadapi masalah, kurangnya penguatkuasaan undang-undang yang mengawal salah laku golongan bawah umur seperti larangan penjualan rokok serta bahan-bahan larangan yang lain khususnya terhadap golongan bawah umur dalam negara kita, pengaruh media dan internet yang susah untuk dikawal dan lain-lain punca lagi.

Akhlak remaja juga bermula dari rumah. Oleh kerana itu sangat penting ibu-bapa memainkan peranan mereka dalam menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak ini.

Cara mendidik anak ada diajarkan oleh Allah SWT seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 13-19 yang dapat kita simpulkan sebagai berikut :

1. Menanamkan jiwa tauhid.
2. Menghargai dan menghormati orang tua.
3. Memelihara dan memperlakukan orang tua dengan baik.
4. Kejujuran, bahawa tidak ada satupun yang dapat disembunyikan di hadapan Allah SWT.
5. Mendirikan sholat dan ibadah lain.
6. Mengajak kepada perbuatan baik dan mencegah perbuatan munkar.
7. Bersabar.
8. Melarang keangkuhan dan kesombongan dalam pergaulan.
9. Sederhana dalam sikap, berjalan dan berbicara.

Realiti hari ini

Negara kita masih berhadapan pelbagai masalah sosial seperti ancaman dadah yang serius serta jenayah juvana termasuk melibatkan kekerasan. Lebih menggusarkan, ancaman baharu seperti ketagihan bahan khayal seperti gam, petrol dan cecair pemetik api turut mencemari golongan muda yang bakal menjadi modal insan dan pemimpin akan datang.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini. Antaranya ialah melalui aspek pengukuhan undang-undang dengan mewujudkan akta khusus bagi membendung salah laku dikalangan golongan kanak-kanak dan remaja dalam negara kita.

Marilah kita sama-sama membantu menangani masalah sosial di kalangan mereka ini dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita dan berusaha memperbaiki keadaan dengan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.

Related posts:

Akhlak Remaja Bermula Di Rumah

Friday, 20 September 2013

Minyak naik......Semua naik!

Pada bulan Jun 2008 saya telah menulis artikel di bawah, berkongsi bagaimana kami sekeluarga menangani krisis kenaikan harga petrol dan disel yang secara otomatik menaikkan kos barangan lain. Dan secara tidak langsung ia menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

Bagi kita orang biasa ini memang tidak berkuasa hendak menukar apa-apa pada harga yang telah ditetapkan. Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan di sana-sini perbelanjaan harian kita agar kenaikan kos itu tidak terlalu dirasakan. Ini sudah tentu untuk mereka yang mampu berbuat demikian. Bagaimana pula bagi mereka yang sememangnya sudah lama berjimat cermat?

Bagi mengatasi masalah ini saya dan suami telah mengambil beberapa langkah berjimat cermat.

1. Meminta suami mengguna kereta yang lebih kecil enjennya (dpd 2000cc ke 600cc). Kereta yang kecil itu memakan minyak lebih sedikit daripada motor. Sudah tentu ini menjimatkan banyak belanja. Sebelum ini saya sudah meminta suami supaya berbuat demikian tetapi berbagai alasan yang diberi. Kami juga bercadang jika kami berdua saja yang menaiki kereta untuk ke mana-mana destinasi yang tidak berapa jauh agar menggunakan kereta yang kecil itu.

2. Mengurangkan penggunaan barangan letrik seperti cerek letrik. Ini kerana tarif letrik juga telah dinaikkan baru-baru ini. Pastikan semua lampu dan kipas yang tidak diperlukan ditutup.

3. Kurang makan di luar. ( Kalau dulu seminggu sekali makan di luar tetapi sekarang rasanya 3 minggu atau sebulan sekali, kecuali terpaksa )

4. Berbelanja pada barang yang kurang berjenama tetapi ada kualiti. Sesetengah barang dapur sangat berbeza harganya dari satu jenama ke satu jenama.

5. Elakkan pembaziran dalam makanan. Mana-mana makanan yang tidak habis elok disimpan dalam peti ais dan diguna semula, samada dipanas semula atau diubahsuai dan dijadikan menu yang baru.

6. Akhir sekali kurangkan kuantiti apa juga bahan yang kami gunakan jikalau boleh, seperti penggunaan air, sabun, syampu dan lain-lain.

Apa-apa pun dalam setiap sen yang kita belanja daripada rezki yang Allah beri, hendaklah kita ikhlaskan kerana Allah. Apabila ini berlaku barulah kita diberkati oleh Allah. Keberkatan yang Allah anugerahkan , membuat kita berasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Kita tidak akan keputusan wang untuk berbelanja walaupun dengan pendapatan yang kecil InsyaAllah. Semestinya amalan berjimat cermat itu tidak diabaikan.

Lagi satu amalan rohiyyah yang memurahkan rezeki kita ialah solat sunat Dhuha. Dalam kitab "An-Nurain" ada disebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

" Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Perhatikan doa yang diamalkan selepas selesai mengerjakan solat sunat Dhuha.

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”

Baru-baru ini kita dikejutkan sekali lagi dengan kenaikan harga minyak.......entah yang ke berapa kali sejak 2008? Kali ini ia menjadi isu yang sangat hangat kerana kerajaan telah berjanji selepas pilihanraya agar tidak menaikkan harga minyak. Tambahan pula komentar-komentar yang diberi oleh para pemimpin mengenai isu ini sangat-sangat tidak wajar dan menyakitkan hati orang ramai.





Sepertimana biasa apabila harga minyak naik, ianya akan diikuti dengan kenaikan lain-lain keperluan seperti makanan, pengangkutan, gas, letrik dan berbagai lagi.
Bagi mereka yang berpendapatan besar kenaikan
 minyak petrolium sebanyak 20 sen tidaklah memberi kesan. Namun bagi kebanyakan orang yang tidak biasa apa-apa jua kenaikan akan membebankan mereka, tidak kira banyak atau sedikit.

Sama-samalah kita berharap semoga kita dikurniakan pemimpin yang lebih prihatin dan berjiwa rakyat pada masa akan datang. Pemimpin yang sanggup bekerja untuk rakyat, bukan sebaliknya.

Saturday, 24 November 2012

Boikot Barang Keluaran Yahudi dan Sekutunya!

Boikot, boikot, ........ dan terus boikot

Pada tahun 2001 Syeikh Yusuf Qardhawi telah menyarankan agar umat Islam memboikot semua produk dari Israel dan sekutunya, Amerika. Pada akhir 2008 dan awal 2009 kempen ini diperhebatkan setelah Gaza diserang. Tahun ini Gaza diserang lagi. Marilah kita terus menerus berkempen mengajak orang ramai memboikot barangan Israel dan sekutunya. Jangan kita hanya cakna tentang isu Palestin ketika Palestin diserang sahaja. Isu ini harus diperjuangkan sehingga tanah Palestin menjadi milik Umat Islam semula ..... Do your best and Allah will do the rest!
Anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis  Israel

Ucapan: Syeikh Yusuf al-Qardhawi, 8 Oktober 2001 (Qatar)
Boikot Barangan Israel!
Bismillahirrahmanirrahim..
“Wahai kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia, memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika adalah kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Setiap ringgit yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola misalnya, akan menjadi sebutir peluru di dalam senjata orang-orang Amerika atau Israel yang akan diacu ke arah kita. Kita telah menyumbangkan wang kita setiap hari kepada McDonalds, KFC, Burger King dsb, tanpa memikirkan ke mana wang itu akan dibelanjakan.
Menurut pendapat saya, setiap Muslim harus bertanggungjawab dalam hal yang mempengaruhi keluarga dan gaya hidup mereka. Lihatlah kepada orang-orang Amerika yang telah membatalkan (veto) resolusi PBB untuk mengutuk aksi tentera Israel di Palestin. Jika mereka itu adalah pemelihara perdamaian seperti yang mereka dakwa, apakah mungkin mereka melakukannya (membatalkan resolusi PBB)?
Wahai manusia, tidakkah anda berfikir? Tidakkah anda memiliki perasaan lagi? Tidakkah anda merasakan kepahitan negara-negara Arab dan Islam dalam hal ini? Darah yang paling murah adalah darah kita! Kita telah menjadi bahan percubaan bagi senjata-senjata dan peluru-peluru serta teknologi mereka. Persenjataan perang ini dibiayai oleh kita, dalam gaya hidup konsumerisme yang mereka paksakan ke atas kita.
Saya bertanya kepada anda semua, dengan nama Allah. Saya bertanya pada anda semua, atas nama ribuan orang yang mati di tangan pengganas-pengganas itu pada tahun 1948, 1967, 1973 di Qana, di Dir Yassin, di Bahr al-Bakar semenanjung Gaza dan di al-Quds. Saya bertanya kepada anda semua, atas nama orang yang mati syahid untuk kehormatan kita. Saya bertanya ke atas anda, atas nama seorang anak kecil bernama Muhammad al-Durrah, yang syahid dalam pelukan ayahnya ditembusi peluru-peluru, dari wang yang telah kita sumbangkan kepada mereka.
Apakah akan jadi kepada kita? Kita memiliki mata yang tidak dapat kita gunakan untuk melihat. Kita memiliki telinga, tetapi kita tidak gunakan untuk mendengar. Kita memiliki hati, tetapi tidak lagi dapat merasai. Mereka telah menjadikan kita sebagai pengguna-pengguna yang buta, yang rela membayar wang untuk membiayai senjata mereka, untuk mendukung aksi keganasan mereka di dunia Arab dan Islam.
Boikot mereka sekarang! Sekarang atau peluang ini tidak muncul lagi selamanya!
Dunia Arab dan Islam harus bersatu agar menjadi kuat. Kembali dan siapkan persenjataan kita. Kembalikanlah dan bangunkanlah ekonomi kita agar kita dapat menghancurkan mereka. Allahu Akbar!!”
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR.
Ini adalah senarai label atau jenama yang dicadangkan di UK.
Manakala senarai label atau jenama yang perlu diboikot oleh rakyat Malaysia seperti di bawah:


Tuesday, 27 July 2010

Simbol Agama Lain Mampu Mempengaruhi Aqidah Umat Islam???

Berita 21 Julai 2010:

(AFP) - Muslims must not wear the famous Manchester United red jersey because of the "devil" emblem on its team crest, Malaysian clerics said today.

Manchester United and the rest of the English Premier League are massively popular in Muslim-majority Malaysia and the rest of the Asian region, but conservative religious scholars said the jersey is un-Islamic.

Also off limits are the shirts of teams including Brazil, Portugal, Barcelona, Serbia and Norway, all of which carry images of the cross on their team emblems.

"This is very dangerous. As a Muslim, we should not worship the symbols of other religions or the devils," Nooh Gadot, a top Islamic cleric from Johor, said.

"It will erode our belief in Islam. There is no reason why we as Muslims should wear such jerseys, either for sports or fashion reasons," said Nooh, an adviser to the Johor religious council.

"Even if it (the jersey) is a gift, we should decline it. It is even more sinful when people realise this is wrong and still buy these jerseys to wear," he added.

Nooh said there was no "fatwa", or religious edict, against the shirts but that one was not needed when it was clearly wrong for Muslims to don such a garment.

"These Muslims should repent, repent immediately," he said.

Another leading cleric, Harussani Zakaria, a cleric from Perak, agreed that devils should be shunned, not celebrated.

"Yes of course in Islam we don't allow people to wear this sort of thing," he said. "Devils are our enemies, why would you put their picture on you and wear it? You are only promoting the devil."

Malaysia is a generally moderate Islamic country, but conservative clerics have issued controversial edicts in the past including a ban on the ancient practice of yoga, which is criticised for including Hindu religious elements.


lambang pasukan bola Manchester United
Setelah membaca berita di atas pada minggu lepas, saya rasa terpanggil untuk menyentuh isu ini kerana sebahagian besar daripada kehidupan saya memang pernah berkait dengan simbol dan adat-adat agama Keristian. Benarkah simbol-simbol dan emblem yang tidak Islamik ini benar-benar mampu mempengaruhi aqidah umat Islam? Saya bukanlah seorang yang arif agama seperti ulamak kita di atas untuk mencanggah pendapat mereka. Namun saya ingin berkongsi  menceritakan pengalaman yang saya dan keluarga telah lalui dalam isu yang sama.

Dari sejak alam persekolahan sehingga kini, saya sudah lali dengan simbol "cross" agama Keristian. Begitu juga dengan anak-anak saya ...... mereka tidak berasa janggal dengan simbol itu.

Pada tahun 1968 saya telah dimasukkan ke sebuah sekolah Convent. Ini adalah sekolah yang dikendalikan oleh orang Keristian. Selama 11 tahun saya belajar di sekolah ini (6 tahun sekolah rendah dan 5 tahun sekolah menengah). Guru besarnya semasa di sekolah rendah adalah seorang "Nun" dan semasa di sekolah menengah pengaruh Keristian sudah mula cair. Guru besarnya adalah dari kalangan guru biasa tetapi beragama Keristian. Walaupun begitu aktiviti-aktiviti keagamaan masih seperti biasa.

Setiap hari dalam kelas, sebelum memulakan pembelajaran kami diminta memandang ke salib ( dilekatkan ke bahagian atas dinding depan) sambil membaca, "In the name of the holy father, the holy son and the holy  spirit"  (sambil membuat simbol "cross" dengan meletakkan hujung jari di atas dahi, di tengah dada, bahu kiri dan bahu kanan). Kemudian disambung dengan doa ringkas. Kadang -kadang ada guru yang menyambung dengan doa lain yang lebih panjang. Walaubagaimanapun kami murid-murid Islam dikecualikan daripada membaca doa itu. Namun kami mendengar doa itu dibaca setiap hari persekolahan selama 6 tahun semasa berada di sekolah rendah.


Rupa salib yang terpampang dalam kelas itu lebih kurang begini rupanya

Selain daripada ini, kadang -kadang kami juga terpaksa menghadiri kelas moral yang diisi dengan cerita-cerita daripda bible, apabila kelas agama Islam dibatalkan.  Waktu kelas muzik pun ada kalanya diajar lagu-lagu berunsur keagamaan yang biasa dinyanyikan di gereja. Ketika itu kami tidak tahu pun yang dinyanyikan itu lagu Keristian ........ seronok ikut menyanyi bersama .......  kerana lagunya sedap-sedap belaka!

Di waktu lain pula kami selalu dilawati paderi-paderi besar (memakai jubahnya) yang datang untuk program"pengampunan dosa". Saya sendiri sangat terpikat dengan keramahan dan kelembutan mereka dalam menegur dan menyapa murid-murid. Kadang-kadang mereka juga datang untuk mengadakan upacara sembahyang khas atau "mass" sempena peristiwa-peristiwa tertentu. Saya masih ingat saya dan kawan-kawan Islam yang lain dikehendaki mengahadirkan diri dalam salah satu upacara sembahyang ini yang diadakan kerana kematian seorang pembesar negara.

Lencana sekolah kami juga mempunyai lambang "cross". Saya memakainya selama 11tahun di alam persekolahan. Pada ketika itu ramai juga
Lencana sekolah sekarang ...... lambang
 cross telah diganti dengan bintang

anak-anak melayu yang bersekolah di sekolah itu. Ini kerana ianya adalah sekolah yang paling hampir dengan kampung kami. Seingat saya tidak pernah terdengar cerita-cerita murtad yang berlaku di kalangan kami, walaupun cerita-cerita berzina dan dadah memang sudah ada sejak zaman itu. Lambang sekolah sekarang sudah agak Islamik sedikit kerana lambang salibnya telah digantikan dengan bintang ......... simbol Islam agaknya?? Kalau tak silap warnanya pun sudah ditukar ........ dulu warnanya merah menyala!

Selepas tingkatan 5 saya terus menyambung pelajaran ke UK ....... sebuah negara Keristian. Sekali lagi saya bergelumang dengan nilai-nilai Keristian dan aktiviti-aktiviti yang tidak Islamik ....... Christmas, boxing day, valentines day, easter dan lain-lain. Pertama kali jejak kaki di bumi UK saya telah dibawa melawat Cathederal di Durham. Selama 4 tahun saya berada bersama mereka.

Saya telah kembali semula tinggal di UK pada tahun 1990 selama setahun dan lagi sekali dari tahun  2002 sehingga 2006. Kedua-dua kali ini saya bersama dengan anak-anak dan suami. Cabaran kali ini lebih besar kerana anak-anak bersekolah dan berada dalam sistem pendidikan mereka. Bukanlah suatu yang mudah untuk mengelak dari  terlibat dengan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka terutama semasa berada di sekolah. Buat pertama kali anak-anak terdedah dengan agama Keristian.

Di sekolah saya telah membenarkan anak-anak untuk terlibat sekali dalam akviti-aktiviti seperti Christmas play, lawatan ke churh dan Hindu temple dan Harvest festival. Ini untuk mengelak dari prasangka yang tidak baik dari guru terhadap anak-anak kerana pihak sekolah juga ada mengatur program berunsur agama lain. Mereka ada buat lawatan ke masjid. Mereka juga ada membuat pertunjukan Hari Raya. Semua aktiviti ini disertai oleh semua murid. Kebetulan sekolah anak saya ini ada ramai murid Islam.

Selama 4 tahun mereka bersekolah di sini saya tidak pernah rasa risau kot-kot mereka terpengaruh dengan agama Keristian. Ini kerana saya akan sentiasa meninjau pemikiran mereka dan pada masa yang sama memberi input dan informasi tentang agama Islam. Contohnya apabila gurunya menceritakan tentang kisah Nabi Isa versi orang Keristian saya akan menceritakannya balik versi agama Islam. Begitulah seterusnya, saya akan selalu membuat perbandingan antara agama Keristian dan agama Islam.

Kebetulan anak saya ramai lelaki. Jadi selama berada di Uk memang banyak mengumpul jersi bola dan barang-barang suvenir dari UK. Tidak dinafikan setengahnya ada simbol-simbol yang terlarang itu, tetapi semasa membelikannya saya tidak pernah terfikir untuk mengagung-agungkannya atau memujanya. Setiap perbuatan yang berlebih-lebihan  pasti akan meninggalkan kesan yang buruk. Islam sangat-sangat menggalakkan kesederhanaan dalam kehidupan kita.

Sebuah hadis riwayat Abu Dawud dan Akhmad mengingatkan kita yang ertinya :

Makanlah, minumlah, berpakaianlah, dan bersedekahlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermegah-megah.

Lambang (England) ini selalu digunakan di atas baju dan barang suvenir yang lain
Pada pendapat saya apalah pengaruh yang ada pada simbol-simbol ini jika hendak dibandingkan dengan kesan pengaruh yang ditinggalkan jikalau kita berada dalam sistem pendidkian mereka. Selama 11 tahun saya memakai lambang ini tidak pernah terlintas sekali pun di hati ingin menukar agama. Bahkan semasa di sekolah saya akan sentiasa teringat bahawa saya adalah orang Islam ....... ini membuat saya sangat berhati-hati dalam tindakan saya seperti tidak membeli masakan dari kantin yang diusahakan oleh orang bukan Islam. Mungkin ini adalah hidayah daripada Allah SWT.

Wallahua'lam. Saya dan anak-anak insyaAllah masih  teguh  aqidah kami walaupun pernah berada dalam sistem pendidikan mereka. Pokoknya di sini bukanlah mana-mana lambang atau pengaruh luar yang menjadi punca utama kerosakan aqidah. Sebab utamanya ialah kurangnya didikan agama di rumah dan pemantauan ibu-bapa.