Thursday 13 April 2017

Saigon - The Water Puppet Show


Saya berpeluang melancong ke bandar Saigon pada 30 Oktober 2015. Inilah kali pertama saya dan suami menjejak kaki ke bumi Vietnam. Sebenarnya saya mengikuti suami yang bertugas di sana sebagai pengiring kepada pelajar-pelajarnya yang membuat program mobiliti ke bandaraya Ho Chi Minh ( HCM ). Boleh dikatakan ianya aktiviti "2 in 1" atau bak kata pepatah Melayu "Sambil menyelam minum air". Oleh kerana itu, tempat yang dilawati agak terhad kerana sebahagian dari masa yang ada terpaksa diisi dengan program universiti.

"Percutian" kami ini diurus sepenuhnya oleh ejen pelancongan. Ini merupakan kali kedua kami melancong melalui sebuah ejen. Semua program berjalan baik tanpa sebarang masalah - makanan yang sedap, bilik yang sederhana selesa. bas yang elok serta pemandu yang cekap dan pemandu pelancong yang sangat peramah dan rajin berceloteh.

Tertulis di pamplet: Not watching Vietnamese water puppet show
means NOT visiting Vietnam yet!
Antara aktiviti yang sempat kami buat secara bersendirian ialah menonton "Water Puppet Show". Bagi mereka yang telah pergi menonton pertunjukan ini mesti mengatakan bahawa ianya merupakan "a must-see" untuk pelancong-pelancong di Vietnam. Memang benar sekali ..... saya sangat seronok menyaksikan pertunjukan ini, yang sangat menghiburkan dengan watak dan plot cerita yang berbagai serta aksi-aksi yang menarik.

Pertunjukan ini sangat terkenal di Hanoi kerana ia berasal dari kampung-kampung yang berada di delta Sungai Merah di Vietnam Utara. Ia adalah sebahagian dari seni tradisional masyarakat Vietnam, yang diwarisi sejak 800 tahun lalu. Di Saigon juga ada pertunjukan ini bagi yang tidak berkesempatan ke sana.

Lokasi teater Golden Gragon Water Puppet dan waktu pertujukan
 Kami menontonnya di Golden Dragon Water Puppet Theatre. Ada 3 pertunjukan setiap hari di sebelah petang dan setiap penonton dikenakan bayaran sebanyak  230,000VND (lebih kurang RM37 ketika itu). Tiket kami dibeli oleh Ha (pemandu pelancong kami) terlebih dahulu kerana kebiasaannya ia cepat habis.


Bergambar kenangan di hadapan teater
Bahagian luar pamplet program
Bahagian dalam pamplet
Setiap penonoton dibekalkan dengan sehelai pamplet yang menyenaraikan agenda program pada hari itu dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris. Ia sangat membantu kita dalam memahami jalan cerita kerana pertunjukan ini sepenuhnya dalam bahasa Vietnam. Pertujukan diiringi oleh beberapa orang pemuzik yang memainkan peralatan tradisional, sesuai dengan latarbelakang cerita yang bertemakan desa dan cerita-cerita rakyat Vietnam.

Ada 3 elemen utama dalam pertunjukan ini iaitu, tukang karut yang dipanggil Teu, pemuzik dan watak-watak dalam cerita, selain dari pentas khas yang berupa kolam besar yang dipanggil thuy dinh. Sudah tentu bahagian yang paling utama dalam menjayakan pertunjukan ini ialah mereka yang berada di sebalik tabir iaitu tukang dalang yang mengawal pergerakan patung-patung itu di atas air.

Apa yang sangat menarik di sini ialah mereka mempunyai tukang-tukang dalang yang sangat tinggi kemahirannya dalam seni ini. Pergerakan patung-patung itu sangat lancar, seolah-olah mereka hidup. Tukang dalang ini juga mempunyai kesabaran yang tinggi kerana terpaksa berendam dalam air setinggi pinggang selama lebih kurang sejam pertunjukan. Sepanjang pertunjukan tangan mereka berada dalam air mengawal batang kayu yang dilekatkan dengan patung yang berbagai watak itu.

Babak dari slot  Fairy Dance
Mengguna special effect dalam persembahan .....
Api keluar dari mulut naga
Apakah berbaloi kita membayar tiket yang agak mahal untuk pertunjukan ini? Bagi yang berjiwa seni, sudah tentu ia suatu yang menghiburkan dan sangat berbaloi. Namun bagi yang tidak suka dan   kurang menghargai seni tradisional menganggap ianya membuang masa dan langsung tidak menyeronokan. Itulah manusia ...... perbezaan pendapat yang pasti wujud kerana kita bukan robot atau patung, seperti yang digunakan dalam pertunjukan ini.

Jom tengok vidionya dan anda nilai sendiri ........











No comments:

Post a Comment