Monday, 27 September 2021

Akhlak Remaja Bermula di Rumah

Sumber foto: Mr Google

" Baiti Jannati " ( Rumahku Syurgaku ). Satu gambaran bahawa rumahlah segala-galanya bermula dan tempat untuk kita dapat mengecapi kebahgiaan. " Syurga itu di bawah tapak kaki  ibu ", hadis dari Al-Tabarani. Hadis ini pula memberitahu bahawa kecemerlangan kehidupan seseorang itu bermula dengan mendampingi dan melayani kehendak seorang ibu.  Rumah dan ibu dikaitkan dengan syurga ...... suatu tempat yang menjadi idaman semua manusia yang beriman. Untuk mendapatkan syurga bukanlah semudah membeli barang. Ianya " priceless ". Hanya mereka yang bertakwa dan beriman yang layak mendapatkannya. Dari sini jelas dapat dilihat bahawa semua yang baik itu berpunca dari rumah yang didiami oleh seorang ibu atau bapa serta anak-anaknya. Rumahlah institusi pendidikan pertama bagi anak-anak.

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah  juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif  semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Peranan Ibu-bapa

Apabila membincangkan tajuk ini kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang peranan dan tanggungjawab ibu-bapa dalam mendidik dan mentarbiyah anak-anak. Ibu-bapa perlulah melihat anak-anak dalam kontek yang bebeza-beza agar timbul rasa keinsafan dalam diri dan rasa bersyukur terhadap anugerah Allah SWT ini. Cuba lihat bagaimana keadaan pasangan-pasangan yang tidak dikurniakan anak...... betapa 'kepinginnya' mereka kepada anak-anak.

1. Anak sebagai anugerah
Bila dilihat dari sudut ini, anak bukanlah rezeki semata-mata kerana tidak semua orang dapat anak sepertimana rezeki-rezeki yang lain. Semua orang tanpa terkecuali mendapat rezeki masing-masing..... cuma banyak dan sedikit sahaja yang membezakannya. Firman Allah yang bermaksud:

 “Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (QS Ali Imran: 38)

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Namun malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT dengan melakukan  tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

2. Anak adalah perhiasan hidup.
Orang kata anak adalah permata hati pada ibu bapanya. Dalam al-Quran pula  Allah berfirman yang bermaksud:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.
(QS Al-Kahfi:46)

 Dalam hal ini anak diletakkan sebagai perhiasan dan kekayaan dunia bagi orang tuanya. Jika seorang anak itu dianggap sebagai perhiasan, maka sudah semestinya ia perlu dijaga dengan baik, digilap selalu agar sentiasa kelihatan cantik dan indah. Anak itu juga menjadi suatu yang sangat berharga kepada kedua ibu-bapa. Oleh kerana itu menjadi kewajipan para ibu dan bapa menyusun dan mengatur tarbiyah anak-anak  supaya mereka menjadi anak-anak yang indah  akhlaknya menurut nilai-nilai Islam. Didiklah mereka menjadi insan yang disukai oleh orang ramai sebagaimana indahnya  sebutir mutiara, tiada siapa yang membencinya. Pasangan -pasangan yang akan mendapat anak juga digalakkan berdoa seperti di bawah:

Ya Allah kurniakanlah kami zuriat yang terbaik, sesungguhnya Kau mendengar doa kami’.

3.  Anak adalah amanah,
Ini bermakana ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua ibu bapa. Islam menggesa setiap ibu bapa mengambil berat aspek pentarbiyahan atau pendidikan anak-anak. Firman Allah yang bermaksud:

  “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
(QS At-Tahrim: 6)

Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna. Iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Tanggungjawab ini tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa bantuan daripada anak-anak.  Maksudnya, anak-anak remaja yang sudah boleh berfikir, juga perlu ada perasaan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Anak-anak yang bermasalah akan menyukarkan ibu-bapanya menjalankan tanggungjawab mereka.  
 
4. Anak adalah ujian.
 Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (QS Al Anfal : 28)

Anggaplah kerenah anak-anak yang  menimbulkan berbagai-bagai masalah itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT. Ibu-bapa yang terpaksa berdepan dengan anak-anak yang seperti ini haruslah banyak bersabar . Berdoa dan bermunajat untuk anak-anak agar mereka diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Jangan sekali-kali mendoakan keburukan terhadap anak-anak apabila dalam keadaan marah, takut-takut doanya termakbul ketika itu. Maksud hadis:

Dari Abi Hurairah, bahwasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang diridhai Allah ’Azza wa Jalla tanpa berpikir panjang, Allah akan mengangkatnya beberapa derajat dengan kata-katanya itu. Dan seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa berpikir panjang, Allah akan menjerumuskannya ke neraka Jahanam dengan kata-katanya itu”.
 (HR Bukhari, Ahmad, dan Malik).

Kebiasaan berbicara baik sudah masuk ke dalam memori otak bawah sedar, sehingga tanpa dipikir panjang pun, yang keluar dari lisannya selalu baik. Namun dalam keadaan marah selalunya apa yang diucapkan terkeluar dari kendalian otak yang bawah sedar sehingga terucap kata-kata keji yang dimurkai Allah.

5. Anak adalah pewaris
Pertama, anak akan mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan. Kedua, anak juga akan mewarisi agama dan perjuangan ibu-bapa. Anak-anak mestilah dididik agar membelanjakan harta yang diwarisi di jalan Allah SWT. Begitu juga dengan agama, anak-anak perlu diberitahu betapa pentingnya mempertahan dan memperjuangkan agama Islam yang dianutinya. Anak sebagai Zuriat (Penerus Keturunan), adalah anugerah Allah swt yang akan meneruskan garis keturunan dan cita-cita orangtua. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." ( QS Al-Baqarah:132)

6. Anak sebagai penerus amal soleh
Doa anak kepada ibu -bapa walaupun sesudah mati diterima oleh Allah SWT. Lain-lain Amal yang boleh dibuat oleh seorang anak terhadap ibu-bapanya yang telah meninggal dunia seperti bersedekah bagi pihak mereka dan menjelaskan hutang-hutang mereka samada dengan Allah maupun dengan manusia lain.

From Abu Hurayrah, may Allah be pleased with him, that the Messenger of Allah said:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّااِمنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَة

 (When a son of Adam dies, his deeds cease apart from three: a righteous child who will pray for him,
knowledge from which others may benefit after him, or ongoing charity.)

Makna hadis:

Apablia seorang anak Adam meninggal segala amalannya terputus kecuali tiga: anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya, ilmu yang manusia mendapat manfaat darinya dan sedekah yang berterusan. (HR Muslim)

7. Anak sebagai penyejuk hati
Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami  isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”. (QS Al-Furqan:74)

Kita semua sangat mengharapkan hadirnya anak yang soleh dan solehah yang boleh menyejukkan hati dan mata, yang dalam kehidupannya taat beragama dan berakhlak mulia, serta taat  kepada kedua ibu bapanya. 

8. Anak itu membawa rezki
Allah swt berfirman yang bermaksud:

  “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka.”  (QS Al An’am:151)

Walaupun anak itu sendiri bukan rezeki, tetapi kita harus yakin bahawa anak-anak yang lahir ke bumi sudah membawa rezki. Jika anak-anak itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah, yang membesar dalam beribadah kepada Allah, maka semakin bertambahlah kurnia yang Allah berikan kepada kedua orang tuanya. Hidup menjadi semakin berkat dengan kehadiran mereka. 

9.  Anak sebagai musuh. 
Allah swt berfirman yang bermaksud:

 “Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS At-Taghabun:14)

Di sini kita perlu lebih berhati-hati bagaimana anak-anak itu boleh menjadi musuh orangtua, kerana kemungkinan mereka boleh menjauhkan kita dari zikir kepada Allah dan berjuang di jalan-Nya dan boleh melemahkan tekad kita. Semoga kita boleh memaafkan mereka dan menyantuninya dengan penuh kasih sayang.

Bersyukurlah ibu-bapa yang dikurniakan anak, tidak kira dalam keadaan apa pun mereka itu berada.... yang bijak , yang kurang cerdik, yang kacak, yang tidak cantik, yang sempurna, yang kurang upaya, yang berakhlak, yang panjang akal dan sebagainya. Mereka telah diamanahkan kepada kita, maka lindungilah mereka dan penuhilah keperluan-keperluan mereka setakat yang termampu. Semua itu bermula di rumah....jangan harapkan pihak sekolah atau pengasuh melaksanakan tanggungjawab yang  sepatutnya kita pikul.

Bagi pihak anak-anak pula bersyukurlah dengan apa yang telah disediakan oleh kedua ibu-bapa. Jika kita terasa apa yang didapati daripada ibu-bapa itu masih belum mencukupi keperluan, cuba bayangkan mereka yang tidak ada ibu-bapa langsung. Jadilah anak yang tahu membalas jasa kedua ibu-bapa bagi menandakan kesyukuran kita terhadap mereka.

Related posts:

Pemuda-pemudi berakhlak tunjang negara

No comments:

Post a Comment