Showing posts with label melancong. Show all posts
Showing posts with label melancong. Show all posts

Monday, 20 April 2026

Kembara Eropah - Merentasi English Channel di Dua Zaman

Saya dan suami pernah pergi ke tanah besar Eropah dari England dengan menaiki kereta menyeberangi English Channel 2 kali. Pertama kali kami pergi pada tahun 1990 dan kali kedua pula  pada tahun 2006.

Pada tahun 1990 kami melancong ke beberapa negara di Eropah Barat. Kami melalui 10 negara kesemuanya - termasuk England, Peranchis, Belanda, Belgium, Jerman, Luxembourg, Liechtenstein, Austria, Switzerland dan Itali.

Pada tahun 2006 pula kami melancong ke Sepanyol, juga dengan menaiki kereta. Kali ini kami hanya melalui negara Peranchis. Kami mengembara  selama 2 minggu dalam kedua-dua percutian itu dengan memandu sahaja.

Post ini telah diterbitkan pada Julai 2009. Hari ini bulan April 2026 saya menulisnya semula. Tujuannya untuk menambahbaik artikel ini dengan menambah maklumat dan mengganti semula  gambar-gambar yang telah hilang dari post asal. 
Ini antara negara-negara yang kami lalu
semasa Kembara Eropah yang pertama 
Dalam peta di atas, pin merah itu adalah negara Liechtenstetn yang merupakan sebuah negara kecil yang terletak sepenuhnya di kawasan pergunungan Alp, Eropah Tengah, di antara Switzerland dan Austria. Negara ini terkenal sebagai salah satu negara terkecil dan terkaya di dunia. Ia juga  merupakan satu daripada dua negara di dunia yang diklasifikasikan sebagai doubly landlocked—iaitu negara yang dikelilingi oleh negara-negara yang juga tidak mempunyai akses ke laut

Ada banyak laluan yang boleh diambil untuk  sampai ke Tanah Besar Eropah dari UK. Semasa percutian kami yang pertama, kereta kami menaiki feri untuk sampai ke seberang sana. Kami memilih untuk mengambil laluan  yang bermula dari Harwich UK ke Hook of Holland - Rotterdam, Netherland. 
Ini perjalanan feri ketika pergi ke Eropah
Untuk perjalanan balik pula kami menempah tiket dari Dieppe Perancis ke Newhaven  UK, sesuai dengan laluan kembara yang kami ambil.
Ini perjalanan balik feri dari Eropah
Masa perjalanan yang diambil tidaklah sama seperti yang tercatit di peta. Ini adalah masa untuk menyeberang yang diambil feri sekarang. Masa zaman dahulu masa yang diambil lebih kurang dua kali ganda lamanya.
Inii tiket pergi balik yang ditempah 
melalui syarikat Sealink
Syarikat ini pun sudah tidak wujud lagi
Boarding pas pergi dan balik
Cap paspot ketika keluar dan masuk semula UK
....cukup-cukup 2 minggu
Manakala perjalanan kami yang kedua ke Eropah pula mengambil laluan dari Folkestone - Dover, UK  ke Calais  Peranchis. Kali ini kereta kami menaiki keretapi melalui Eurotunnel iaitu laluan keretapi di bawah laut. Perjalanan melalui Eurotunnel hanya mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke Peranchis. Perjalanan (pertama) dengan feri pula mengambil masa selama 7 jam kerana laluan yang dilalui lebih jauh dan kelajuan feri yang lebih lambat


Atas dek feri ....11 September 1990
Bosan dah semua sementara menunggu feri bergerak
Zaman pertama di mana penggunaan internet belum meluas lagi. Semua urusan perjalanan dibuat melalui talipon. Eurotunnel pada masa itu masih dalam perancangan. Terfikir juga pada masa itu samada kami berpeluang melaluinya. Alhamdulillah!......Allah memurahkan rezeki kami untuk kembali semula ke England 12 tahun kemudian.

Selepas hampir 4 tahun kami berada di UK untuk kali yang ketiga (yang pertama kali...masing-masing pergi masa bujang!), saya dan suami pun membuat perancangan untuk bercuti di Spain sebelum pulang 'for good' ke Malaysia. Kami memang teringin sangat nak melihat Al-Hambra dengan mata kepala sendiri. Sebelum itu hanya melihat gambarnya yang banyak terdapat di internet. Inilah  zaman kedua percutian kami ke Eropah.....zaman yang penggunaan internetnya sangat meluas. Hampir keseluruhan urusan perjalanan adalah melalui internet. Kami berpeluang mengguna Eurotunnel!

Oleh kerana semua tiket perjalanan dbuat secara online maka tiadalah tiket hard copy yang boleh ditunjuk seperti perjalanan yang pertama. Gambar sahajalah yang dapat dikongsikan.  
Kereta masuk menuju ke dalam perut keretapi - diambil pada April 2006
Keadaan di dalam keretapi - traffic warden mengarah
kereta-kereta bergerak mengikut susunan mereka
- ada 2 lapis parking dalam keretapi ini
Ada ketikanya keadaan menjadi gelap di dalam tunnel
Excited sangat ...... first experience .... berada dalam kereta sendiri
sementara keretapi meluncur menuju ke France
melalui tunnel bawah laut
Gambar-gambar dalam keretapi diambil ketika waktu balik dari Peranchis ke UK. Saya tidak berjumpa kesemua gambar di awal perjalanan kerana hilang dalam komputer😏 .... samada terpadam atau pun berada dalam komputer yang telah dicuri. Gambar awal ni terpisah kerana memori kamera pada masa itu sudah penuh dan terpaksa memindahkannya ke mana? ....tak ingat😞

Inilah dua zaman yang kami lalui dalam situasi yang sama tapi tak serupa.....Percutian ke Eropah.

Walaupun pada zaman ini ramai orang menggunakan kapalterbang tambang murah dan bas pelancongan untuk melancong, suami saya tidak berapa gemar. Dia kata tidak ada "thrill" ikut cara itu. Dia suka cara bebas begini.....cuma risikonya banyaklah.

Insya Allah kalau ada rezeki akan update lagi kisah kembara kami ini ...👋sehingga berjumpa lagi.

Thursday, 27 November 2025

Kampung Gajah ... keme datang lagi

Kali pertama saya dan suami ke sini pada Julai 2023. Kami melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak yang terietak berhampiran dengan pekan ini. Kami juga sempat makan tengahari di sini dan bergambar di beberapa lokasi menarik yang terdapat di pekan Kg Gajah😃....dah jadi pekan tapi masih kampung.

Cerita selanjut, lihat di SINI 

Kali ini kami pergi dengan misi hendak makan durian Kg Gajah sambil melawat dusun buah durian dan lain-lain buah di Kompleks Warisan IGROW serta berjumpa Opah Yang Pulau Tiga. Kami tidak pergi pun ke pekan Kg Gajah kerana  lawatan kali ini mengikut rombongan Pn Zaiton Latif.

Rombongan Cik. Ton
Kg Batu Gajah bukan sahaja menjadi tumpuan pencinta sejarah tanah air, tetapi ia juga turut menjadi antara lokasi tumpuan 'hantu' raja buah terutama yang mengemari durian kampung setiap kali tiba musim durian selain di Batu Kurau. Kunjungan ke sini boleh diibaratkan seperti serampang dua mata kerana bukan saja boleh melawat tempat bersejarah sekali gus memburu durian nombor satu di Perak suatu ketika dahulu iaitu D148 atau lebih dikenali sebagai durian Paduka.
Bertanda merah ....lawatan ke Kg Gajah yg pertama
Bertanda kuning ...... lawatan kedua
Pulau Tiga adalah sebuah mukim di bawah pentadbiran Daerah Perak Tengah, manakala "Pulau Tiga" juga merujuk kepada sebuah kampung di dalam mukim tersebut. Mukim Pulau Tiga mengandungi 10 buah kampung, termasuk Kampung Pulau Tiga Kiri dan Kampung Pulau Tiga Kanan (sepatutnya Kampung Pasir Garam dan Pasir Kubu seperti yang tercatat dalam sumber). Ia terletak dalam daerah kecil Kampung Gajah.

Pulau Tiga di Perak memiliki sejarah yang panjang, pernah menjadi pusat pemerintahan beberapa Sultan Perak, termasuk Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak ke-14) yang memerintah dari tahun 1742 hingga 1750. Makam Sultan Ahmad Tajuddin Shah terletak di Kampung Jawa, berdekatan dengan Kampung Gajah, di mana juga terdapat makam Sultan Perak ke-11 dan ke-12.

ßenarai Sultan Perak yang terawal:

01.Sultan Mudzaffar Shah
02.Sultan Mansur Shah
03.Sultan Ahmad Tajuddin
._____________________________________
11.Sultan Mahmud Iskandar Shah
12.Sultan Alauddin Mughayat Shah
13.Sultan Mudzaffar Shah III
14.Sultan Muhammad Shah
Sebahagian dari senarai raja-raja Perak
Ada banyak lagi sejarah lain yang akan diceritakan dalam catatan akan datang insya Allah.

Dodol Opah Yang Kg Empai

Perniagaan dodol tradisional berjenama 'Dodol Opah Yang' ini diusahakan oleh pasangan suami isteri, Normi Ramli 53 dan Mohd Ramli Bakari 64.

Perusahaan ini menggunakan resepi dodol tradisional yang diwarisi sejak tahun 1959 daripada ibu Puan Normi, Saerah Abdul Majid 82. Mereka masih mengekalkan rasa dodol tradisional walaupun menggunakan teknik moden dan dibuat tanpa bahan pengawet dan bahan pewarna.

Selain itu, mereks juga berinovasi dengan dodol dalam bekas sumi (dodol sumi) yang lebih kecil, mudah dibawa dan dimakan. Tujuannya untuk menambat hati bukan sahaja pelanggan daripada golongan dewasa, tetapi juga kanak-kanak. Kini produk mereka mempunyai tiga perisa iaitu asli, pulut hitam dan durian.
Bergambar beramai bersama Opah Yang
Dapur memproses dodol opah...
salah sebuah kawah dodol letrik  yang dgunakan
Sebelum balik menjamu selera di cafe Opah Yang

Desa Warisan iGROW Pulau Tiga

Ini adalah sebuah kompleks pelancongan yang juga terletak di Pulau Tiga Kampung Gajah, dan telah menawarkan agro pelancongan sejak 2012, dengan penginapan konsep farmstay atau inap ladang. Kompleks pertanian ini sebuah kawasan luas dipenuhi dengan pelbagai tanaman seperti dusun dan ladang ternakan sekaligus mewujudkan suasana semula jadi. Mereka mempunyai 13 bilik yang boleh menempatkan 60 orang dan pelanggan akan di bawa berjalan ke dusun dengan menawarkan suasana kampung sebenar. 

Pàda pagi itu kami dibawa masuk ke kebun buah-buahan termasuk durian.  Di sini kita dapat mengenali ciri-ciri sesejenis buah itu dengan lebih dekat, seperti  buah durian yang luruh dengan sendirinya tanpa perlu dipetik. Pagi itu kami memungut 2 biji durian yg luruh sebelum kami tiba. Kami juga diberi peringatan supaya berhati-hati, tidak berada di bawah pokok durian.

Selepas lawatan ke kebun, kami diberi taklimat mengenai iGROW serta aktivitinya, oleh pemilik kompleks Desa Warisan iGROW, Nordin Abdul Malek 

Encik Nordin bersama suami
Mengikut maklumat yang diberi, di sini ada lebih 100 pokok pelbagai jenis dan kira-kira 10 hingga 15 pokok adalah durian Paduka. Nordin berkata, durian Paduka adalah durian kampung yang ditanam dan dikomersialkan oleh arwah bapanya, Abdul Malek Kulub Aji. Durian ini pernah menjuarai pertandingan durian di Perak pada 1985 dan 1995 sebelum didaftarkan sebagai D148 oleh Jabatan Pertanian.

Sejak dahulu Kampung Gajah sudah menguasai sektor durian dan raja buah itu melambangkan identiti ekonomi penduduk kawasan berkenaan. Dahulu nilai kekayaan seseorang itu bergantung dengan jumlah dusun durian yang dimilikinya. Dia juga menceritakan yang orang kmpung tidak suka anak- anak mereka berkahwin dengan orang luar disebabkan status kedudukan ini. 

Pada zaman dahulu, masyarakat dalam sesebuah kampung itu amat berpegang kuat pada status dan kedudukan. Sesebuah keluarga itu dikelaskan mengikut pepatah Melayu "enggang sama enggang dan pipit sama pipit". Keadaan ini secara tidak langsung mencorakkan pasangan yang ingin mendirikan rumahtagga.

Cerita ini dikaitkan pula dengan lagu Mr Os yang menggunakan loghat Perak  sebagai contoh keadaan masa itu. lagu "Durian dah berbunga" mengaitkan buah durian dengan hajat untuk meminang anak dara dari kampung Padang Tenggala yang berada di daerah Bota, seperti  lirik lagu di bawah:

Oh kome, deghoyan dah berbunge
(dah berbunge)
Moh kite minang anok dare
(anok dare)
Anok dare, anok dare kote
(dare kote)
Teman jumpe di Padang Tenggale
(iye)

Salah satu penginapan yang terdapat di sini ialah Rumah Kutai yang berumur lebih dari 100 tahun. Rumah ini asalnya di Sitiawan. Ia telah dibuka dan di pindahkan dan dipasang semula di sini

Rumah Kutai

Rumah Kutai ialah rumah tradisional Melayu di Perak  dan dipercayai dibawa oleh orang Bugis dari Kutai, Indonesia, seperti Daeng Selili, yang dianugerahkan pangkat Datuk Maharajalela. Perkataan "Kutai" juga bermaksud "lama" atau "tua" dalam bahasa Melayu, merujuk kepada usianya yang sudah lebih 200 tahun. Rekabentuknya juga dikaitkan dengan reka bentuk rumah di Aceh dan Makassar, Indonesia. Ia masih dapat ditemui di sepanjang lembah Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Parit. 

Rumah Kutai berasal dari Negeri Perak dan dipercayai dibawa oleh orang Bugis dari Kutai, Indonesia, seperti Daeng Selili, yang dianugerahkan pangkat Datuk Maharajalela. Perkataan "Kutai" juga bermaksud "lama" atau "tua" dalam bahasa Melayu, merujuk kepada usianya yang sudah lebih 200 tahun. Rekabentuknya juga dikaitkan dengan reka bentuk rumah di Aceh dan Makassar, Indonesia
Rumah ini terdiri daripada ruang serambi, rumah ibu, 
dan rumah dapur, yang dipisahkan oleh ruang selang. 
Menjelang awal kurun ke-20, senibina Rumah Kutai tidak lagi menarik perhatian rakyat tempatan Negeri Perak. Ini disebabkan oleh pengaruh senibina Rumah Limas mula diperkenalkan di Negeri Perak dan rekabentuk Rumah Limas ini nampak lebih menarik. Ia dapat memberi keselesaan dan beberapa kemudahan tertentu memandangkan saiznya yang lebih besar.

Sambil berjalan-jalan di kebun durian kami mengenali beberapa jenis pokok durian dengan nama-nama yang menarik.
Menarik kan nama-namanya?
Selepas mendengar taklimat dari pemilik kebun. kami dijamu pula pulut durian. Kami juga membeli sedikit buah durian untuk dibawa pulang. 


Menjamu selera
Melayan jurufoto😍
Beginilah ceritanya lawatan kedua kami ke daerah kecil Kg Gajah. Pengalaman yang berbeza tetapi tetap mengembirakan dan bersyukur dengan nikmat kesihatan dan rezeki yang telah Allah anugerahkan kepada kami .... alhamdulillah

Saturday, 6 July 2024

Galerì Rumah Lat

Kami telah melawat Galeri Rumah Lat ini pada 30 Julai 2023, iaitu antara hari-hari terakhir tawaran masuk percuma. Jadi tidak hairanlah pengunjung pada hari itu tersangatlah ramai. Sejak pembukaan rasminya pada 8 Julai, Galeri Rumah Lat dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 31 Julai, 2023. Hampir setahun sudah berlalu lawatan ini😀Inilah sudahnya kerja bertangguh!

 Kos pembangunan Galeri Rumah Lat dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kos pembinaan berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022. Galeri ini dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai 2023 dan dibuka kepada umum sehari kemudian.

Galeri Rumah Lat ialah galeri seni yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ia menempatkan hasil karya seni, memorabilia dan bahan-bahan berkaitan kartunis Malaysia, Lat. Dahulunya kawasan lokasi ini hutan, kawasan lombong tinggal, sunyi tetapi kini meriah  dengan kehadiran galeri ini. Ia dibuka pada setiap Selasa sehingga Jumaat dari jam 10 pagi sehingga 4 petang dan ditutup pada Isnin.

Galeri Rumah Lat terdiri daripada dua komponen iaitu Galeri Lat yang menempatkan ruang pameran karya Lat dan rumah kayu Lat.

Bahagian ruang pameran mengabadikan sejarah dan pencapaian Lat. Ini termasuklah  koleksi lukisan terpilih karikaturnya sejak dari 1963 serta biografi beliau. Terdapat juga  ruang mengadakan bengkel seni lukis kartun selain ruangan pameran. Di bahagian ini juga ada kedai cenderahati, kafe, taman karya Lat dan ruangan pejabat serta ruangan audiovisual. Di sudut lain turut boleh dilihat meja kegemaran yang digunakan oleh Lat melukis karyanya.

Di suatu sudut lain pula terdapat gambar poster bersaiz besar Lat bergaya di atas sebuah motosikal yang dibeli hasil beliau berkarya sewaktu usianya 17 tahun.

Terdapat juga jualan cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci, mug dan topi yang mengabadikan kartun beliau menjadi rebutan pengunjung.

Bergaya Lat di atas motosikal barunya 
......Motosikal Lat yang sebenar?

                                                 

Replika rumah kayu Lat yang dikenali sebagai Rumah Limas
Manakala Rumah Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas potongan Perak yang dibina menggunakan kaedah tradisional. Antara komponen di Rumah Lat ialah perabot, kelengkapan rumah bahagian anjung, rumah ibu dan dapur, hiasan dalaman dan kelengkapan dapur.

Apa yang membuatkan Galeri Rumah Lat menarik adalah replika rumah kayu ini dibina berdasarkan rumah Mat dalam Kampung Boy (majalah komik Lat yang terkenal). 

Rumah Mat dari majalah komik The Kampung Boy
Kami tidak masuk dalam rumah pada hari tersebut kerana terlalu ramai menunggu giliran untuk masuk pada hari itu. Mengikut maklumat dari internet, rumah kayu replika tradisional Perak yang menjadi lambang galeri ini turut menempatkan pelbagai barangan peribadi dan koleksi keluarga beliau. Mereka yang hadir di sini seolah-olah akan merasa kehadiran Lat di sini.

Lukisan-lukisan yang menggambarkan rumahnya
 

Datuk Lat dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Kota Bharu Kelantan. Nama sebenar beliau Datuk Mohd Nor Khalid tetapi lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Perjalanan seni Datuk Lat bermula sejak usia muda ketika beliau menemui minat terhadap bidang seni melukis. Beliau mengeluarkan jalur komik pertama pada tahun 1974 berjudul 'Kampung Boy' diterbitkan dalam Berita Minggu. Kampung Boy berkisar kehidupan seorang budak Melayu bernama Mat yang membesar di sebuah kampung tradisional di Malaysia. Kejayaan jalur komik ini membuatkan nama beliau menjadi terkenal.
Datuk Lat bersama .....
Antara lukisan karikatur yang dipamerkan
Lukisan awalnya sering menggambarkan kehidupan harian yang dapat mencerminkan budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia pada waktu itu. Karya-karyanya yang menceritakan tentang kehidupan rakyat dengan semangat, nilai kepelbagaian serta keunikan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Kartun beliau bukan sahaja menghiburkan, tetapi ia juga berfungsi sebagai cermin masyarakat Malaysia melalui aspek budaya, dinamik keluarga dan peristiwa politik.
 
Datuk Lat memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan dan pemahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Karya beliau dapat melampaui batas sempadan etnik dan budaya, membina identiti dan kebanggan kebangsaan. Kebolehan beliau untuk melukis cerita dengan menangkap suasana kehidupan seharian masyarakat membuatkan ia sangat dekat dalam hati masyarakat. 
Video menggambarkan suasana di luar dan dalam
kawasan galeri ... tengahari 30 Julai 2023

Thursday, 24 August 2023

Kampung Gajah di penghujung jalan A15

Lawatan ke Pasir Salak dan Kg Gajah ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.

Kampung Gajah terletak di tepi tebing kanan Sungai Perak, Perak, kira-kira 75 km dari Bandar Ipoh. Bandar Teluk Intan terletak di selatan Kampung Gajah, kira-kira 25 km

Kedudukan pekan Kampung gajah
Kampung Gajah merupakan sebuah pekan yang sedang membangun. Secara umum, penduduk Kampung Gajah berbangsa Melayu, kurang bangsa Cina dan India seperti bandar-bandar yang lain. Kampung Gajah juga adalah salah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.

Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak. Tidak jauh dari Kg Gajah, iaitu di mukim Pasir Salak, terdapat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Pekan Kg Gajah di tebing kanan Sg Perak
Pasir Salak di tebing kiri
Kampung Gajah juga sinonim dengan buah durian, kerana terdapat banyaknya kebun-kebun yang ditanam dengan pokok durian. Pokok-pokok durian ini berusia puluhan malahan ratusan tahun. Antara nama durian yang popular ialah durian Tok Paduka Raja. Antara kampung-kampung yang amat popular dengan tanaman durian ialah Selat Pulau, Kepala Pulau, Pasir Salak dan Pulau Tiga.

Ramai orang luar yang keliru antara Kampung Gajah dengan Batu Gajah dan Alor Gajah. Alor Gajah terletak di negeri Melaka. Batu Gajah terletak di Perak juga. Saya sendiri selalu tersasul apabila menyebut 2 tempat di Perak ini.
Penghujung Jalan A 15 atau KM 0 (bertanda biru)
di tengah pekan Kampung Gajah
Selepas balik dari lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak, kami terus ke Kg Gajah untuk mencari makan tengahari dan kemudian ke masjidnya untuk solat zohor. Sebelum balik ke Ipoh sempat bergambar di  beberapa tempat menarik di sini.
Masjid  Sultan Azlan Shah Kg Gajah
Jalan A 15 adalah jalan negeri Perak yang  utama. Ia juga dikenali sebagai Jalan Tanjung Tualang. Hujung utaranya bermula di Pusing Batu Gajah dan hujung selatannya pula berakhir di Kg Gajah. 
Dari sini 1 km ke Kg Gajah dan 60 km ke Ipoh
melalui jalan negeri A 15
Di pekan Kg Gajah ini sepatutnya boleh diletakkan monumen KM 0 sebagai tarikan kepada pelancong ke sini. Jadi petang itu kami mencari-carilah kalau ada sebarang penanda 0 km di pekan ini, tetapi memang tiada. Walaupun begitu ada beberapa monumen yang menarik untuk bergambar di pekan ini. 

Kami singgah makan di satu-satunya medan selera di Kg Gajah. Mengikut review orang ramai, inilah tempat yang paling 'best' kalau nak makan kerana terdapat pelbagai jenis lauk-pauk, dari sarapan hingga ke tengahari. Di sini ada  ikan dan ayam bakar yang dipanggang atas api arang, lauk-pauk kampung dan ulam-ulaman serta pelbagai jenis sambal seperti sambal kelapa Perak .... dan harganya berpatutan. Mungkin kekuranganya dari segi kebersihan yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki.

Selepas makan kami  bergambar di monumen "Kampong Gajah Kampungku Warisanku" yang terletak di hadapan medan selera ini.
Monumen Keris menceritakan sejarah
 ...... Peringatan Perang Perak 1875-1876
Beberapa monumen menarik yang terletak 
di tengah bulatan dan kawasan sekitar
Saya boleh andaikan bulatan atau "roundabout" inilah bermulanya Jalan A 15 negeri Perak di Kg Gajah atau selalu yang disebut KM 0 di lain-lain tempat.

Post berkaitan:




Thursday, 17 August 2023

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Lawatan ke Pasir Salak ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.

Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Kampung Gajah juga adalah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.
Kedudukan Kampung Gajah berdekatan dengan Pasir Salak
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak.

Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.
Kedudukan kompleks Sejarah Pasir Salak
Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah. Sungai Perak yang di sini airnya jernih kerana ia jauh dari kawasan pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Oleh kerana itu banyaklah pokok salak tumbuh liar di kawasan ini dan sesetengahnya ditanam.
Buah salak
Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.

Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penambang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penambang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.

Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.

Latarbelakang sejarah

Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor. 

Mengikut fakta sejarah Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa. 

Ia bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani dan Perak secara rasmi berada di bawah perlindungan kerajaan British. Perjanjian tersebut juga mewajibkan kerajaan negeri Perak menerima seorang penasihat yang akan menasihati Sultan atas semua urusan berkaitan pentadbiran negeri Perak kecuali hal yang melibatkan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Namun nasihat yang difahami oleh Sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang menandatangani perjanjian tersebut bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh pihak British. Nasihat di sini adalah bahasa diplomasi keatas pemerintah yang bermakna setiap “nasihat” Residen mestilah dituruti.

Bermula dari titik inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu rasa tidak dihormati sehingga membawa kepada terbunuhnya J.W.W. Birch pada 2 November 1875 sewaktu umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 2.

Tiga hari kemudian, tentera British memulakan siri serangan untuk membalas dendam di atas kematian Birch dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang Perak.

Jom ke kompleks!

Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Terletak di tebing Sungai Perak, kompleks sejarah ini dibina dengan harapan supaya generasi-generasi muda akan sentiasa memperingati peristiwa berdarah Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta mengenang akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Bangunan-bangunan yang berada di dalam kompleks ini dibina dengan bercirikan rumah tradisional Melayu Perak. Kompleks ini  dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.
Contoh rumah tradisional Melayu Perak .... model rumah
dan rumah dalam komik Lat The Kampung Boy
Pada hari kami melawat kompleks ini, hujan turun dengan sangat lebat, sehingga menghalang kami keluar dari kereta. Ketika kami berjaya masuk ke kawasan kompleks hujan masih turun renyai-renyai. Suasana tenang dan damai dapat dirasai ketika berada di kompleks yang sangat luas kawasannya. 

Walaupun kawasan kompleks nampak cantik dan terjaga namun agak sedih melihat keadaan bangunan yang kelihatan terabai dan semakin rosak. Banyak kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki, mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan. 
Lanskap yang sangat cantik ...... binaan dalam gambar
ini adalah "lookout tower" tetapi berkunci
Pemandangan di tepi Sungai Perak ... kawasan di hadapan
muzium atau Terowong Masa
Sundial atau Jam Matahari
tetapi sudah tidak berfungsi
Pihak media pernah melaporkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak lagi boleh dikunjungi orang ramai. Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak. Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.

Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.

Kami bernasib baik kerana terowong masa masih boleh dikunjungi pada hari itu. Sebenarnya ia adalah sebuah muzium dan ia dinamakan sebagai Terowong Sejarah. Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak. Di sini juga terdapat Galeri Keris.
Pintu masuk terowong Sejarah
Kaunter tiket
Dalam terowong sejarah ini tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Tidak tahulah apa tujuan larangan ini .... mungkin untuk keselamatan negara seperti larangan di setengah bahagian dalam kawasan lapangan terbang😀
Sempat ambil gambar ini sebelum diberitahu
 pasal larangan mengambil gambar dalam muzium
Untuk masuk ke muzium setiap pengunjung dikenakan sebanyak RM 4 bagi dewasa dan RM 2 bagi kanak-kanak dan tidak ada peruntukan khas bagi warga emas. Walaupun bayaran masuk nampak sangat murah tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki keadaan dalam muzium agar lebih selesa ketika berada di dalamnya. 

Sebahagian besar kawasan muzium sangat gelap. Saya rasa perlu ada pencahayaan yang lebih agar pengunjung di kalangan warga emas seperti kami terasa lebih selesa apabila membaca maklumat-maklumat yang dipamerkan. Sebahagian besar juga kawasan dalam muzium terasa sangat panas kecuali di Galeri Keris. Tidak pasti samada penyaman udara sengaja ditutup atau ia mengalami kerosakan. Dengan suasana yang gelap dan keadaan yang panas kami tidak mampu untuk berlama-lama di dalamnya.
Dapur Keris
Salah satu keris yang dipamerkan dalam 
Galeri Keris ... gambar yang diambil secara curi-curi
Situasi ini sangat berbeza dengan yang terdapat di Muzium Nelayan di Tanjung Balau Johor. Konsep yang sama digunakan iaitu teknik pameran diorama, tetapi dalam suasana yang lebih selesa .... sangat terang dan sejuk. Bayaran masuk hanya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak=kanak. Kami sebagai warga emas diberi masuk percuma😃 .... dan tiada larangan mengambil gambar langsung. Tangkaplah dan ambillah sebanyak mana yang kita mahu😂

Kompleks sejarah ini sangat berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong ke daerah Kampung Gajah secara khusus dan Perak secara amnya. Namun ia perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan terlebih dahulu jika ingin mengembalikan kegemilangannya semula.

Video memaparkan suasana dalam kawasan  kompleks yang tenang dan damai, diambil  dari dalam bangunan muzium, dari anjungnya.
Keadaan di luar kompleks pun sangat
menyedihkan ... tanda nama jalan yang hampir roboh
Pandak Endut adalah salah seorang watak yang utama dalam perancangan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch 

Kalau ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pasal Muzium Nelayan, boleh membaca di bawah ini ....