Showing posts with label food. Show all posts
Showing posts with label food. Show all posts

Friday, 19 May 2017

Crispy fried Elephant Ear fish

Jalan-jalan cari makan ..... kebiasaannya itulah yang dibuat oleh seorang pelancong. Namun apabila melancong dengan menggunakan khidmat agen pelancongan, kita sudah tidak perlu mencari makan lagi. Semuanya (sarapan, makan tengahari dan malam) sudah disediakan. Memang bermacam-macam jenis hidangan yang disediakan tetapi tidak pula diberitahu pada kita menunya. Maka makanlah apa saja yang dihidangkan tanpa mengetahui apa nama masakan yang sedang dinikmati.

Semasa kami melancong ke Vietnam 2 tahun  lepas, salah satu tempat yang dilawati ialah kawasan Delta Sungai Mekong. Waktu makan tengahari seperti biasa kami dihidangkan dengan berbagai jenis masakan yang enak sekali. Pada waktu itu ada dua jenis masakan yang menonjol dari sudut 'presentation'- nya...... satu jenis pencuci mulut yang berbentuk seperti belon dan satu lagi ikan "berdiri".

 Kami  bertanya pada Ha (pemandu pelancong) jenis ikan yang digunakan. Mengikut katanya,  ikan itu dipanggil "Elephant Ear" dan ia hanya didapati di sungai Mekong ini. Mungkin ikan itu digelar sedemikian rupa kerana apabila didirikan di atas pinggan ia kelihatan seperti telinga gajah.


Satu bentuk seperti belon dan satu lagi ikan goreng "berdiri"
Ada yang memanggilnya sebagai Elephant fish sahaja. Masakan ini dinamakan "crispy fried elephant ear fish" dan ia sangat terkenal di kawasan delta Mekong. Mengikut kata seorang 'chef '  dari Vietnam,  ikan jenis ini hanya terdapat di sungai Mekong dan di kawasan deltanya.

Bila saya layari internet untuk mencari maklumat tentang ikan ini, terjumpalah resepi masakan ini oleh chef Luke Nguyen. Bolehlah mencubanya di rumah tetapi terpaksa menggantikan dengan ikan jenis lain.
Ini ikan yang dimasak oleh chef Luke Nguyen

Selamat mencuba dan Selamat menyambut Ramadhan - bulan yang penuh barokah dan rahmah serta kemuliaan.

Wednesday, 14 May 2014

Ambuyat - makanan istimewa orang Brunei

Kami ke Brunei pada pertengahan Februari 2 tahun lepas (2012). Kami bermalam di sini untuk satu malam sahaja. Jadi pada malam berkenaan kami keluar mencari makan di Restoran Aminah A'rif. Restoran ini agak terkenal juga di kalangan pelancong dan juga kerana ambuyatnya. Memang sedap makanannya.....cuma sayang ambuyat bukan selera kami.

Ambuyat (sago starch)
Sebelum keluar makan saya sempat berFb dengan anak kami yang pernah ke Brunei. Dia berpesan pada kami supaya mencuba makan "ambuyat". Kebetulan  di restoran yang kami pergi ini ada menu ambuyat. Kami pun bertanya serba sedikit tentang makanan istimewa orang Brunei ini, lalu memesannya berserta nasi sekali kerana kuatir ia tidak dapat memenuhi selera kami.

Ambuyat yang diiringi oleh lauk-pauknya ....... sayur goreng, ikan asam pedas, daging rendang, sambal asam berserta ulam ....... suasana romantik dalam restoran menjejaskan kualiti gambar

  Set makanan ini + nasi dan air minuman
untuk 2 orang berharga B$19.20


Tepat sekali seperti yang dijangka, kami tidak mampu
menghabiskan semangkuk besar ambuyat yang dipesan. Selepas makan beberapa suap menggunakan alat seperti copstik, kami menggantikannya dengan nasi, menggunakan sudu dan garpu pula. Lauk-pauknya sama ...... yang beza cara makannya.

Ambuyat merupakan makanan tradisional kaum Bisaya di Brunei dan Sabah. Ambuyat berwarna putih cair dan teksturnya seperti gam, Ambuyat menjadi makanan wajib ketika kenduri perkahwinan dan ketika hari keramaian bagi penduduk Bisayuh. Ia diperbuat daripada sagu pokok rumbia yang telah diproses.


Tuesday, 13 May 2014

BulGoGi Jungol - makanan istimewa orang Korea

Lunch di Itaewon

Semasa kami mengunjungi daerah Itaewon, Seoul, kami telah mencuba makanan gaya orang Korea di Restoran Maharaja, sebuah restoran Pakistan.

Kami memesan "BulGoGi" .......  It is listed at number 23 on World's 50 most delicious foods readers' poll  compiled by CNN Go in 2011


Namun yang kami pesan hari itu bukanlah Bulgogi original (panggang)  tetapi  Bulgogi Jungol (disebut Pulgogi Jungol) atau barbecued beef stew. Ia sejenis sop yang menggunakan daging perap Bulgogi sebagai bahan utama dan dicampur dengan sayur-mayur seperti cendawan dan mi yang kelihatan seperti suun. Hari itu kami membuat pilihan untuk memakannya bersama nasi goreng. Termasuk dalam hidangan ini ialah side dish seperti kimci, ikan bilis goreng, sayur goreng dan cili hijau berkicap. Ada  lagi satu tetapi saya sudah  lupa. 

Memang sedap makanan ini terutama ketika musim sejuk kerana ia boleh memanaskan badan. Kebetulan semasa kami ke Korea hari itu juga dalam musim sejuk

Bulgogi stew on hot pot ........ dengan side dishes 
termasuk kimchi dan di makan bersama nasi
side dish ..... kimci
Bulgogi stew

Friday, 27 December 2013

Tuhau Pembuka Selera

Apabila kita berjalan-jalan atau 'makan angin' ke tempat orang, rasanya tidak lengkap lawatan itu tanpa kita merasai makanan 'istimewa' mereka. Bak kata pepatah "Jauh perjalanan luas pemandangan". Bukan sekadar kita tahu secara teori sahaja budaya sesuatu tempat tetapi mengalaminya sekali. Inilah yang menyeronokkan sesuatu pengembaraan.

Ketka lawatan terakhir saya ke Sabah, saya terjumpa makanan ini (tuhau) secara kebetulan. Saya terjumpanya semasa membeli sayur di salah sebuah gerai sayuran yang banyak terdapat di Kundasang. Memang menjadi tabiat saya kalau melihat sesuatu yang ganjil yang menarik minat saya akan bertanya mengenainya dengan lebih mendalam pada peniaga. Selalunya mereka dengan senang hati  akan memberi maklumat yang dikehendaki.  Menariknya 'tuhau' ini, ia sudah boleh dimakan terus seperti 'kimchi' orang Korea....tidak perlulah saya memprosesnya dari awal.

Tuhau adalah sebutan dalam bahasa Kadazan dan Dusun atau nama saintifiknya E.Coccinea, dan bahasa Iban berbunyi Upak Kecalak. Ia sejenis tumbuhan herba yang hidup subur di kepulauan Borneo, dari jenis pokok rendah dan tidak berbatang keras. Mengikut penjual di gerai  saya membelinya, pokok tuhau ini lebih kurang sama dengan pokok kantan yang terdapat di Semenanjung.

 Untuk kebanyakan resepi tuhau ini, bahagian batang daripada pokok itu digunakan. Namun begitu ada juga yang mengguna bunganya sebagai bahan hidangan. Serunding tuhau juga adalah salah satu masakan yang mengguna samada batang atau bunga pokok ini. Ready-made seruunding ini juga ada dijual di gerai ini tetapi saya tidak membelinya.

batang tuhau.....dikupas lapisan luar dan diambil batang yang lembut
tuhau yang masih berbaki.......
Saya telah membeli 3 biji bekas seperti gambar di atas dengan harga RM 10.00. Masih ada lagi sedikit yang tinggal walaupun hampir setahun saya membelinya. Ia seperti jeruk yang tahan lama kerana diperap dengan air cuka atau limau. Jika disimpan dalam peti ais lagi  lama jangka hayatnya.  Sebelum menghidangkan ready-made tuhau ini, ia boleh diolah mengikut cita rasa masing-masing.....tepuk dada tanya selera....hahahaa.

serunding tuhau. - diproses daripada bunganya....
....sudah ditambah ikan bilis dan kacang tanah goreng
tuhau yang ditambah bawang dan cili api sebagai pembuka selera


sambal tuhau......ditambah belacan, cili api dan udang kering yang ditumbuk

Tuesday, 1 January 2013

Jalan-jalan Cari Durian (Merah)


Dalam post saya yang bertajuk Driving from KK to Lawas, saya ada menceritakan bagaimana saya telah berjaya membeli, makan dan merasai keunikan rasa durian merah. Ini adalah durian liar atau hutan yang banyak terdapat di Sabah. Itulah kali pertama saya mencubanya, iaitu pada Februari 2012 di Lawas.

Pada Disember 2012 sekali lagi saya dapat merasainya tetapi kali ini saya bukan sekadar merasa-rasa sahaja tetapi makan dengan sepuas-puasnya. Anehnya, jika waktu pertama kali  makan, rasanya tidaklah sedap sangat  tetapi  pada kali ini, memang terasa kelazatan dan keunikannya. Pada kali kedua ini saya beli bukanlah kerana teringin nak merasanya lagi tetapi memberi peluang untuk 2 orang anak remaja yang ikut serta bersama kami  mencuba, merasanya. Walau bagaimanapun mereka tidak teruja sangat ketika memakannya ..... tidak seperti kami waktu perama kali mencuba ...... kerana kami peminat durian!

 Saya berpendapat ada beberapa faktor mengapa wujud kelainan dalam keenakannya. Pertama jenis buahnya ..... walaupun semuanya dikategori sebagai durian hutan tetapi dari sudut bentuk dan rupanya jelas sekali berbeza. Mungkin ini juga membezakan rasanya. Faktor kedua, asal-usul buahnya ...... dibeli dari 3 tempat yang berbeza iaitu dari Lawas, Kundasang dan Kota Belud. Orang kata durian dari tempat yang berlainan mempunyai kesedapan yang berbeza. Harga yang dibeli juga berbeza.

Perbezaan juga wujud dari segi kualiti buahnya, di mana isi durian lebih tebal dan tidak terlalu lembik di samping rasa yang lebih enak. Namun isi durian dari Lawas lebih menarik warnanya walaupun nipis dan tidak berapa sedap.

Ini  'Durian Sukang' ( isi oren, kulitnya berduri panjang  dan berwarna hijau)...... di beli di tepi jalan di Kundasang dengan harga RM20 sekilo .... isi paling tebal dan paling sedap walaupun warna yang tidak berapa  "merah"   

Ini pula 'Durian Dalit' (isi merah, kulitnya berwarna kuning dan berduri pendek) ....... dibeli di PasarTani Kota Belud dengan harga RM10  untuk 10 biji buah yang bersaiz sebesar bola lisut .... isinya tidak berapa tebal tetapi tidak lembik dan sedap rasanya, dan warna yang lebih "merah"

Durian pertama yang dibeli di Pasar Tamu Lawas dengan harga RM30 untuk 4 biji ( 2 isi merah & 2 isi kuning) buah bersaiz  sebesar bola raga ..... rasa yang kurang sedap, dan isi yang nipis serta lembik, tetapi mempunyai warna yang lebih menarik berbanding yang lain
Apa-apa pun buah ini tidak terdapat di Semenanjung dan rasanya memang unik. Apabila memakannya terasa seperti makan coklat ..... manis, lemak berkrim,yang cair dalam mulut serta melekat di dalam mulut selepas memakannya. Mereka yang pernah memakannya menceritakan ia mempunyai  'avocado-like flavour' dan 'carrot-like flavour'. Memang agak susah untuk menceritakan  apa rasanya, melainkan merasanya sendiri!

Tuesday, 23 June 2009

Jalan-jalan Cari Makan

Musim cuti sekolah baru-baru ini (30 Mei - 7 Jun)  saya dan keluarga telah balik kampung di Utara Malaysia. Kami tinggal di Selatan Malaysia. Dalam perjalanan ke Utara kami singgah di bandar Taiping. Rasanya sudah lebih 10 tahun kami tidak lalu di bandar itu. Kami juga bermalam di situ....saja nak bawa anak-anak melihat bandar Taiping keesokan harinya kerana kami tiba sudah lewat petang.

Kami tidak pergi ke mana-mana pun tempat  menarik yang banyak terdapat di Taiping kerana kesuntukan masa. Suami saya sebenarnya ada urusan resmi di Alor Star dan Langkawi. Jadi kami ingin bermalam di Taiping semalam, sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi.

Bandar Taiping - kami pusing-pusing melihat bandar yang sudah agak lama kami tidak ziarah
Anak saya sempat menyinggah di salah satu shopping kompleks yang terdapat di sana dan membeli beberapa keping video untuk ditonton dalam kereta semasa dalam perjalanan yang jauh itu.

Tua tetapi masih ada daya tarikan - pokok tua yang banyak terdapat di Taman Tasik Taiping
Terdapat beberapa tempat yang menarik yang sesuai dijadikan tempat bersantai bersama keluarga di hujung minggu, di kawasan berhampiran. Kami hanya meninjau dari atas kereta. Walaubagaimana pun kami ada menyinggah di satu tempat yang popular dengan 'mee udangnya', sebelum kami meneruskan perjalanan semula. Tempatnya di Kuala Sepetang atau pun nama lamanya Port Weld.

hah!...... inilah mee yang terkenal itu - Mee Udang Banjir...sedapkaaan
Suami saya kata dia mesti mencubanya, walaupun ketika itu kami masih lagi kekeyangan kerana sarapan lewat. Memang sedap ...... sehingga habis kuahnnya anak bongsu saya hirup!

Tak toleh kiri kanan dah! ....... punyalah sedap sehingga licin tinggal mangkuk