Tuesday 21 March 2023

Bercuti di Desaru - UPDATE 2 (Muzium Nelayan)

Petikan dari post pertama:

Niat di hati hari ini hendak ke Pantai Desaru di Bandar Penawar, tetapi apabila cuba masuk jalan ke pantai, sudah ada penghalang merentas jalan serta penjaganya sekali.😒 Mungkin pantai sudah penuh agaknya kerana kami keluar sudah agak lewat sedikit. Kami pun teruskan perjalanan ke Sungai Rengit, yang merupakan bandar utama untuk Pengerang.

Pada 28/8/2022 kami pergi ke daerah Kota Tinggi untuk kali yang ke-3. Lawatan kali ini untuk menziarah anak yang tinggal di Pengerang kerana sudah lama tidak dapat berjumpa sejak kami berpindah ke Ipoh. Dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat (bermalam di sini sebelum balik ke Ipoh) kami singgah di beberapa tempat yang tidak dapat pergi ketika lawatan pertama. Salah satunya ialah pantai awam Desaru seperti yang diceritakan dalam petikan di atas. Alhamdulillah kami sampai juga akhirnya di sini walaupun hanya dapat singgah sebentar. 

Jom kita hayati keindahan pantai ni sekejap!
Pasir putih terhampar luas
Pantai Awam Desaru ... diambil pada 
petang 28 Ogos 2022
Selain dari pantai ini, kami juga telah pergi ke pantai dan dataranTanjung Balau yang telah siap akhirnya😎alhamdulillah! Sekali lagi kami hanya berjalan-jalan di dataran sambil menikmati suasana tepi laut yang begitu nyaman. 
Dataran Tg Balau .... 28 Ogos 2022
Petikan dari post pertama:
Hotel ini berdekatan dengan pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau. Malangnya ketika itu kedua tempat ini ditutup untuk kerja-kerja penaikan taraf. Dengar cerita Pantai Tanjung Balau ditutup untuk projek pantai 'walkway' yang masih belum siap setelah sekian lama.

Niat di hati pada pagi itu hendak melawat muzium nelayan yang terletak tidak jauh dari hotel tetapi malang sekali ia masih ditutup untuk kerja-kerja ubahsuai sejak dari September 2019 lagi. Walau bagaimanapun kami bergambar jugalah di luar pagar sebagai kenang-kenangan.

Lawatan kali ini juga membolehkan kami melawat Muzium Nelayan. Ada sedikit bayaran untuk masuk ke muzium tetapi kami diberi masuk percuma, khas untuk golongan warga emas😉alhamdulillah. Sudah lama tak masuk muzium. Seronok lawatan muzium kali ini ... menelusuri perjalanan kehidupan nelayan di zaman dahulu, yang secara tidak langsung mengembalikan kenangan silam kehidupan kami ketika kecil di kampung.  

Muzium Nelayan Tanjung Balau dibina di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Malaysia oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora). Muzium ini menyimpan dan mempamerkan pelbagai khazanah para nelayan tradisional negeri Johor seperti sampan, jaring, pancing, bubu dan lain-lain.

Jom kita masuk muzium!

Kompleks muzium ini mempunyai bangunan induk dan 4 galeri tambahan lain iaitu Galeri Geologi, Galeri Keselamatan dan Komunikasi Laut, Galeri Kapal Karam Desaru dan Galeri Pameran Khas. Ini satu-satunya muzium nelayan yang ada dalam Malaysia. Lokasinya yang agak terpencil mungkin menyebabkan tidak berapa ramai yang datang mengunjunginya. Ketika kami ke sini, kami berdua sahaja yang menjadi pelawatnya.
Ini di perkarangan muzium
Di perkarangan muzium terdapat sampan-sampan nelayan Melayu termasuk bot-bot tradisi, perahu burung Petawali dan perahu Payang yang cantik dihias awan larat seperti yang lazimnya digunakan nelayan pantai timur

Bangunan Induk  (Sejarah Peradaban Nelayan)
Bahagian ini menceritakan tentang sejarah Tanjung Balau, upacara dan adat kepercayaan masyarakat tradisional nelayan, serta kisah dunia nelayan. Ruang berikutnya menempatkan Peralatan Membuat Perahu, Kelengkapan Nelayan dan Peralatan Menangkap Ikan Tradisional.
Sejarah Tanjung Balau
Lembing ... antara peralatan menangkap ikan yang terawal
Maklumat jenis-jenis peralatan tradisional menangkap ikan
seperti serkap, bubu, pukat rawa, ambal, pukat kisa dan sauk tangan
Peralatan membuat perahu
Menceritakan tentang sail guard atau pengawal layar
yang berbagai bentuk seperti kepala naga, bangau, burung dan ayam
Di ruangan seterusnya bangunan induk ini terdapat sudut pameran tentang penjenisan ikan dan hidupan laut lain seperti udang, ketam, dan siput-siput laut. Terdapat juga replika hutan paya bakau bersama hidupan-hidupan dalamnya, yang seterusnya membawa kita ke diodrama perkampungan nelayan.

 
Bahagian pameran hidupan laut dan paya bakau
Replika hutan paya bakau
Di sudut diorama kampung nelayan, terdapat pameran permainan tradisional masyarakat nelayan seperti gasing, congkak, batu seremban, dan sepak raga.
Diodrama perkampungan nelayan
Antara permainan tradisional yang dipamerkan seperti batu seremban ,
sepak raga, congkak, kasut tempurung kelapa, guli, gasing dan wau
Pakaian harian nelayan, ketika memancing dan pakaian penyelam.
 Di ruangan ini pengunjung juga boleh menikmati suasana di dalam rumah nelayan kerana di bahagian ini terdapat model rumah nelayan yang mengandungi peralatan dan hiasan di rumah nelayan dahulukala.
Suasana di luar rumah nelayan ... tempayan, guri, basikal dan
sampan serta peralatan menangkap ikan  seperti
jala, serkap dan lain-lain
  Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an dan sebelumnya, orang Melayu banyak menggunakan tempayan dan guri sebagai tempat menyimpan air. Penggunaan tempayan dan guri yang dibuat dari tembikar sangat meluas ketika itu.Tempayan juga mempunyai pelbagai kegunaan yang lain, antaranya penggunaan untuk membuat ikan pekasam, menyimpan air untuk minum, memasak, basuh kaki dan memeram air tapai.

Pada zaman dahulu boleh dikatakan hampir di setiap rumah di hujung tangga di bahagian bawah akan disediakan sebuah tempayan air. Tujuan utama tempayan air ini adalah untuk memudahkan tuan rumah atau tetamu yang datang membasuh kaki sebelum naik atau masuk ke dalam rumah. Untuk menceduk air di dalam tempayan, akan disediakan batok atau gayung diperbuat daripada tempurung kelapa. Batok itu biasanya diletakkan di atas penutup tempayan atau disangkut di mana-mana bahagian. 

Inilah asal-usul peribahasa "melepaskan batuk di tangga", bilamana orang yang mengguna batok itu telah meninggalkannya di tangga sahaja selepas membasuh kaki. Sepatutnya ia perlu diletakkan kembali ke tempat asalnya iaitu di atas tutup tempayan atau tempat yang dikhaskan untuk batok ini.
Suasana dalam rumah ... ruang dapur, makan dan bilik tidur
.... ni pula sudut hiburan
video memaparkan suasana dalam rumah nelayan dahulukala

Muzium ini juga mempunyai 4 galeri tambahan yang lain iaitu:

1. Galeri Geologi
Secara am, geologi adalah salah satu bidang cabang sains yang mengkaji tentang ciri-ciri bumi. Ciri-ciri ini adalah termasuk fizikal bumi, kimia bumi serta proses-proses yang terlibat semasa pembentukkan atau perubahan bumi.

Terdapat lebih dari 200 jenis batu-batan dalam galeri ini. Batu-batan ini diperolehi dari sekitar kawasan Tanjung Balau dan beberapa tempat di semenanjung Malaysia contohnya seperti batu kapur, batu kristal dan sebagainya. Di galeri ini pengunjung juga boleh mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan tentang bentuk geografi Tanjung Balau. Pada tahun 2015, KEJORA menaiktaraf galeri dengan penambahan ruang galeri serta artifak seperti fosil dan mineral.
Kembali ke zaman purba
Berbagai bentuk mukabumi dan kejadian alam
        

video meggambarkan suasana dalam galeri

2. Galeri Kapal Karam Desaru
Galeri ini menempatkan artifak seperti te mpayan, pinggan, mangkuk, sudu tembikar dari Negara China. Ia diperolehi dari Kapal Karam Desaru yang karam di perairan Desaru pada tahun 1840an. Kapal karam ini dinamakan Desaru bersempena dengan tempat di mana kapal ini karam iaitu di Pantai Desaru. Terdapat juga penceritaan berbentuk dokumentari majalah 3 tentang penemuan kapal karam ini.


Artifak seperti tempayan, pinggan, mangkuk, sudu tembikar
 dari Negara China yang diambil dari kapal karam Desaru
Dokumen menceritakan Kapal Karam Desaru
3. Galeri Keselamatan & Komunikasi Laut
Galeri ini menempatkan replika bot dan kapal nelayan moden serta Bot Persiaran Mewah dan alat komunikasi yang digunakan oleh nelayan moden. Terdapat juga model rumah api yang merupakan salah satu keperluan bagi ahli pelayaran atau jurumudi untuk belayar dengan selamat. Selain dari itu kita dapat mempelajari dan menambah pengetahuan tentang alat-alat komunikasi dan keselamatan yang digunakan oleh nelayan semasa di laut.
Model Rumah Api serta maklumat berkenaannya

Model kapal yang berbagai jenis
4. Galeri Pameran Bermusim
Galeri ini mempamerkan Pameran Khas sekurangnya sekali atau dua (2) kali setahun. Pameran khas ini diadakan bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke Kompleks Muzium Nelayan. Di antara Pameran yang telah dijalankan ialah Pameran Wau dan Layang Antarabangsa, Pameran Rangka Paus Dan Barangan Antik, Pameran Alam Mistik, Pameran Keranda Mistik, Pameran Topeng dan pelbagai lagi pameran. 
Mengikut maklumat yang diambil dari sesawang muzium ini, pihak muzium ada merancang satu pameran khas iaitu Pameran Orang Asli Seletar Johor pada bulan November 2020. Saya tidak pasti samada pameran ini berlaku atau tidak. Namun pada hari lawatan tiada sebarang pameran khas diadakan. 

Kesimpulannya:
Apapun, muzium kecil ini ideal untuk memperkenalkan anak-anak kepada kehidupan nelayan dan pelaut. Bukan sahaja ada model sampan atau bot yang mereka gunakan di laut, tetapi juga ada jenis-jenis perangkap ikan yang digunakan secara tradisional.