Sunday 2 January 2022

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnya😄Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Pada sebelah pagi 21 Ogos kami berjalan-jalan di Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih, dan kami makan tengahari di Bandar Penawar.
Restoran MK Swat Jalal
Pada sebelah petang pula kami melawat Desaru Fruit Farm dan mengikuti  salah satu dari beberapa aktiviti pakej lawatan yang ditawarkannya. Pakej yang kami ambil, iaitu Pakej Walk In (Tour + Fruit Box) dengan harga RM30 seorang dewasa.
Pakej tour yang ditawarkan
Mengikut pakej yang paling murah ini, aktiviti yang ditawarkan termasuklah, lawatan berjalan kaki ke ladang buah-buahan dengan berpandu, lawatan ke petak sayur, taman herba dan taman haiwan ternak mini. Di akhir lawatan setiap orang diberi sebekas potongan buah-buahan segar.

Desaru Fruit Farm telah dianugerahkan sebagai "tapak Agro- Pelancongan Terbaik"di Malaysia pada 2006 dan Tarikan Pelancongan Inovatif - Agro Pemuliharaan Pelancongan oleh Anugerah Pelancongan Malaysia 2010.  Tempat ini sangat sesuai untuk orang-orang bandar yang jarang dapat masuk ladang, terutama kanak-kanak. Bagi orang dewasa, kita memang kenal buah-buah bermusim yang biasa dijual di pasar tetapi amat jarang sekali kita dapat melihat bunganya sebelum menjadi putik buah. Di sini kita berpeluang mengenali pokoknya serta bunga, putik dan buahnya.

Jikalau kita mahu anak-anak tengok sendiri dari mana datangnya makanan mereka, Desaru Fruit Farm ini antara tempat terbaik. Tempat ini memang khas dibuat untuk menerima pelancong. Keluasan kebun buah ini melebihi 180 ekar, dengan jumlah pokok mencecah 3-4 ratus spesis. Selain dari itu ada disediakan aktiviti-aktiviti menarik bukan sahaja untuk dewasa tetapi juga untuk anak-anak.

Pasar mini Desa Fruit Farm
Bagi mereka yang mengambil pakej yang paling murah ini, semua peserta diminta berkumpul di bangunan ini, sebelum dibawa ke ladang dengan lori.😒Dalam hati rasa cemas bila disebut kena naik lori, tetapi terus tersenyum😊 apabila lori kami sampai.
Suasana dalam lori yang sangat menarik
Lori ini dalamannya telah diubahsuai seperti sebuah pondok tradisional, dan disediakan tangga kecil yang memudahkan orang seperti saya untuk naik ke dalam lori .... alhamdulillaaahh ....

Aktiviti utama di sini ialah:

1. Melawat Kebun Buah
Selain dari pokok buah yang biasa kita tengok di kampung, seperti rambutan, pisang, jambu dan mangga, tempat ini memberi peluang pada kita melihat pokok-pokok yang jarang ada di kawasan rumah. Antaranya pokok koko yang mana bijinya diproses untuk dijadikan coklat, amra atau kedondong, cermai dan durian belanda.

Jom saya belanja gambar-gambar pokok dan buah yang menarik!

Dalam kawasan ladang
Pokok dan buah cermai atau malay gooseberry
Berbagai jenis pisang dan bunga jantung secara dekat
Ada jantung pisang yang menyacak ke atas dan ini pertama sekali saya melihatnya. Selalunya  jantung pisang menghala ke bawah. Ada pula yang jantungnya kelihatan lebih besar dari tandan buahnya dan kalau tidak silap yang ini dipanggil pisang belalai gajah atau thousand fingers banana.
Dari kiri mengikut putaran jam: buah markisa,
buah ciku, buah amra dan pokok ciku
Ini pula pokok koko, buah serta bunganya .... bijinya diproses  
dan dijadikan sebagai serbuk koko atau coklat
Kiri: pokok mengkudu serta bunganya
Bawah: pokok longan atau mata kucing
Buah malberi
2. Tanaman sayur dan herba
Atas: pokok misai kucing serta bunganya
Bawah: pokok selasih atau basil serta bunganya
Atas: pokok cili dan buah cili habanero yang sangat pedas
Bawah: pokok kantan yang mengeluarkan bunga kantan dan
pokok serta buah kacang botol yang sedap dijadikan ulam
3. Taman Haiwan Mini
Ini kawasan berkonsepkan "petting zoo". Di sini terdapat arnab dan kambing di mana anak-anak boleh memberi makan sambil membelainya. Mereka juga boleh bermain-main dengan ayam katik, ayam belanda dan ayam leher botak. 
Kura-kura besar dan kecil yang ada di sini
Saya lebih berminat melihat kura-kura yang ada di sini kerana ada seekor yang umurnya sudah agak tua, tetapi saya sudah lupa berapa tahun umurnya yang sebenar. Kura-kura dengan tempurung yang paling besar itu kelihatan seperti sudah berada lama di sini kerana tempurungnya sudah berlumut, sama seperti lantai tempat tinggalnya.
Ayam di sini semuanya leher botak ...
jarang dapat lihat ayam jenis ini
4. Berihat di taman
Di separuh lawatan, kami diminta berihat di sebuah taman sambil menjamu mata melihat lanskap yang menarik. Kalau dahaga boleh beli jus buah segar yang dibuat dari buah yang terdapat di ladang, yang dijual di gerai dalam taman. Ada juga kawasan kolam ikan koi warna-warni di sini. Bagi anak-anak yang suka memberi makan ikan bolehlah berseronok dengan aktiviti ini.
Pokok hiasan dalam ladang ....
Dari kiri atas: pokok Jatropha podagrica, bunganya dan buah pokok palma
Bawah: pokok kaktus. pokok bunga aliamanda atau golden trumpet dan bunganya
Lembu di belakang itu hanya hiasan

Berihat sambil menikmati lanskap yang menarik ....
kolam-kolam dengan jambatan yang merintangi kolam
 dan lain-lain hiasan selain dari pokok-pokok
Pokok palma menghiasi kolam menceriakan taman ....
boleh juga duduk berihat di tepi kolam sambil
menikmati jus buah yang dibeli di kedai berdekatan
Di akhir lawatan kami dibawa balik semula ke bangunan pasar mininya dengan bas. Kemudian kami diberi taklimat pasal lebah dan madu yang terdapat di ladang ini. Akhirnya kami diberi sebekas potongan buah - buahan segar setiap orang, sebelum meninggalkan ladang.