Sunday 4 March 2018

Marocco (Maghribi) - Chez Ali Fantasia




Kata-kata aluan daripada website Restoran Chez Ali

Chez Ali Restaurant is the place of 1001 nights with Moroccan hospitality .We offers guests a sumptuous dinner and a memorable show in Berber tents. Belly dancers, acrobats, riders, fireworks, folk music are on the menu … An enchanting wonderland.

Kami bukan sengaja datang makan malam di sini. Kehadiran kami secara kebetulan. Pada malam 30 Mac 2017 para peserta seminar dan keluarga masing-masing dijemput oleh pihak penganjur ke majlis makan malam di sini. Sebenarnya kami tidak tahu menahu langsung pasal tempat ini dan ia bukanlah jenis tempat yang akan kami kunjungi jika pergi secara bersendirian. Bayaran masuk untuk menikmati makan malam dan pertunjukan Fantasia, mencecah lebih  dari RM 200 bagi seorang dewasa.

Mengikut cerita dari internet, tempat ini berada 10 km ke utara Marrakech, lebih kurang setengah jam perjalanan dari pusat bandar. Ia sebuah kompleks yang sangat besar, ala-ala Disneyland. Oleh kerana kami datang dengan niat untuk makan sahaja, kami tidaklah fokus sangat apa yang ada di sini, selain sekadar lalu bersama rombongan kami ke tempat makan.

Apa yang menarik, saya rasa pada malam itu ialah sambutan yang diberi ketika tiba di tempat ini. Dari awal ketibaan sehingga ke tempat makan, kami diraikan seperti seorang raja atau pembesar di sepanjang laluan. Teruja juga sebab tidak pernah lagi mendapat layanan seperti itu.

Kami dibawa ke sini dengan bas
Ketibaan kami  disambut oleh sebarisan penunggang kuda
Macam pembesar lalu disambut oleh masyarakat kampung .... kaann😀
Apabila masuk ke dalam kami disambut pula oleh kumpulan-kumpulan penghibur tradisional kaum Barbar, lengkap dengan pakaian tradisional mereka. Mereka ini datang dari berbagai tempat seperti Quarzazate dan Ait Benhaddou, selain dari Marrakech. Di sini juga pertama kali saya mendengar secara 'live' bunyian 'ulululu' dibuat oleh mereka, kerana meraikan  kehadiran kami semua.

Sepanjang perjalanan ke dewan makan, kami dihiburkan oleh nyanyian, tarian dan muzik mereka .... sungguh meriah. Kemudian kami ditunjukkan ke tempat makan dalam sebuah khemah besar yang  dihias indah. Makan malam semua disediakan di satu kawasan luas dalam khemah-khemah khas Morocco yang dipanggil caidal. Hiasan dalam dewan makan sangat cantik bertemakan 'Arabian Night'. Susunan kerusi mejanya juga unik - ada bahagian tempat duduk yang jenis dipan selain dari kerusi biasa.

Dalam perjalanan ke dewan makan
Salah satu kumpulan yang menyambut kami
Ini pula kumpulan lelaki

Kumpulan pemuzik 
Makan malam ialah hidangan 4 jenis sajian. Mula-mula kami disaji dengan sup Harissa, sejenis sup yang dibuat dari kacang lentil, dihidang bersama roti. Kemudian kami dihidangkan Mechoui - kambing yang bercucuk dan dibakar atas api. Sajian seterusnya ialah couscous yang dimasak bersama ayam dan sayur. Akhir sekali pencuci mulut yang hanya terdiri dari buah limau yang tidak dipotong ... akhirnya dibawa balik sahaja. Minumannya air kosong sahaja. Jika ingin yang lain terpaksa membelinya.

Ketika kami sedang makan, penghibur-penghibur yang di luar tadi masuk ke dalam khemah sambil menyanyi, menari serta bermain muzik melawat semua meja yang ada. Jika kita membaca "review" dari mereka yang telah datang ke sini, ada yang terhibur dengan cara ini tetapi ada juga yang menyampah kerana mengganggu ketenteraman mereka semasa makan. Apa-apa pun hakikatnya itulah yang dikatakan ragam manusia - ada yang pandai menyesuaikan diri dengan budaya orang lain, ada yang tidak. Bagi kami, ia satu pengalaman yang menyeronokkan, bukan sahaja kerana dapat makan percuma tetapi suasana dan hidangan yang disediakan sangat berbeza dari kebiasaan.

Tengok video dari you-tube ni ..... baru dapat 'feeling'

Selepas makan kami semua berjalan ke arena di mana pertunjukan kebudayaan diadakan. Kawasan ini agak gelap kerana pencahayaannya tidak.menyeluruh. Jadi ada bahagian yang boleh dilihat dan ada yang tidak jelas. Jadi foto yang diambil dapatlah bayang-bayang sahaja. Antara persembahan yang dibuat malam itu ialah pertunjukan akrobatik oleh penunggang-penunggang kuda, tarian gelek, karpet terbang dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Arena pertunjukan seluas padang bola
Salah satu persembahan - para pejuang berkuda serta bersenapang
siap bersedia untuk bertempur
😁ini adalah flying carpet
😡ish! siap ada tarian gelek lagi
Kereta kuda yang boleh dinaiki pengunjung - sudah tentu kena bayar
'A man on a donkey'- berjalan sekeliling arena sebagai selingan
Untuk melihat dengan lebih jelas, jom kita tonton video dari U-tube yang dimuatnaik oleh seorang pengunjung ke sana.




Pahlawan Barbar


Salah seorang pahlawan Barbar
yang beraksi dalam pertunjukan Fantasia
Ibnu Khaldun menggambarkan karakter orang Barbar sebagai manusia pemberani, kuat, hebat, dan memiliki semangat perpaduan yang tinggi. Ibnu Khaldun menambahkan bahawa orang Barbar benar-benar manusia sejati yang sederajat dengan orang Arab, Persia, Yunani, dan Rom. Penggunaan nama Barbar pada orang-orang Afrika Utara adalah tidak tepat. Nama yang sering dipakai oleh orang-orang Barbar untuk menyebut diri mereka sendiri ialah  “Amazigh” (jamak: Imazighen) yang bererti “orang bebas” (free man). Secara umum kaum Amazigh tinggal secara berkelompok di Afrika Utara, negara yang sekarang disebut Marocco, Algeria, Tunisia , Libya, Mesir , Mali , Niger hingga Mauritania.

Asalnya  istilah Barbar ini adalah gelaran orang-orang Rom dan Greek kepada sesiapa sahaja yang bukan dari kalangan mereka. Barbar bermaksud "orang asing". Sebenarnya bangsa Barbar adalah bangsa yang mendiami Eropah (selain dari bangsa Rom dan Yunani), iaitu bangsa Arya. Mengikut satu teori, orang-orang Arya ini berasal dari India yang kemudian menyebar ke seluruh penjuru Eropah dan terus berjalan ke selatan mencari daerah jajahan baru sebagai tempat kehidupan yang lebih baik.

Bangsa Arya ini masih merupakan orang yang kurang berperadaban. Mereka adalah kumpulan orang Barbar yang gemar berperang dan percaya pada banyak perkara mistik. Mereka adalah para penentang yang kuat. Orang-orang ini berbadan besar dan menyukai tentangan. Sejarah persebaran mereka ke seluruh penjuru Eropah adalah kisah tentang kepahlawanan dan menjadi epik wiraan yang diceritakan secara lisan oleh anak cucu mereka, turun temurun hingga ke hari ini.

Agaknya dari sinilah istilah "barbaric" berasal kerana ia membawa maksud kekerasan, kekejaman, kebodohan, pelanggaran terhadap norma, keterbelakangan, dan segala tindakan negatif yang boleh dilakukan oleh manusia, iaitu merujuk kepada sikap mereka. Gelaran Barbar ini juga disematkan kepada bangsa Afrika Utara ketika Perancis menakluk Afrika Utara.

Dalam sejarah Islam bangsa Amazigh inilah yang banyak menyumbang kepada penyebaran Islam sampai ke Eropah khususnya Andalusia. Panglima perang Thariq bin Ziyad, bersama 7000 tentera, yang kebanyakannya berasal dari suku Amazigh, menyeberang ke Spanyol pada tahun 711 M. Ia mendarat dekat gunung batu besar yang kemudian dinamai dengan namanya, Jabal (gunung) Thariq. Orang Eropah menyebutnya Gilbraltar  dan mereka menamakan selat yang memisahkan Afrika Utara dengan Eropah, Selat Gibraltar. Negerinya juga dinamakan Gibraltar.

Cueta, Selat Gibraltar dan negara Gibraltar (A)
Perjalanan kami dengan kereta pada tahun 2006
 dari Granada di Sepanyol ke Gibraltar 
Jabal Thaariq atau Rock of Gibraltar
Ada satu kisah menarik dan terkenal pasal panglima Tariq ini setelah armadanya mendarat di Sepanyol. Beliau dikatakan telah membakar kapal-kapalnya dan memberi pidato yang bersemangat kepada tenteranya selepas itu. Beliau dikatakan berbuat demikian agar tenteranya tidak boleh berpatah balik ke kapal jika mereka tidak mahu meneruskan peperangan, melawan musuh yang berkali-kali ganda jumlahnya berbanding tentera Iskam.

Mengikut  pengkaji sejarah, kisah ini tidak benar. Mereka mengatakan kisah ini tidak ada disebut dalam penulisan ahli-ahli sejarah Andalusia yang hidup di zaman itu. Kisah ini hanya tercatat dalam  zaman moden ini yang kebanyakan ditulis oleh kaum orientalis, yang kemudiannya direkod dan disebarkan oleh pengikut-pengikut mereka. Antara sebab logik yang boleh dijadikan alasan untuk menolak kebenaran kisah ini adalah seperti,

1. Kebanyakan kapal bukan kepunyaan orang Islam tetapi dipinjamkan oleh Raja Cueta. Jadi mereka ada tanggungjawab menjaga amanah itu.

2. Perbuatan membakar kapal-kapal itu adalah salah mengikut syariah. Seorang yang beriman dan takutkan Allah, seperti Thariq, tidak akan bertindak demikian.

3. Kisah ini memperkecilkan semangat jihad pejuang-pejuang Islam yang pergi berperang - seolah-olah orang Islam berperang untuk mendapatkan habuan dunia dan takut mati

4. Jika peristiwa itu benar-benar berlaku, sudah tentu ada di kalangan para ilmuan dan pakar ketenteraan yang memberi komen dan menyentuh akan isu ini

Peninggalan orang Islam -Tower of Homage di Moorish Castle, Gibraltar
 Dibangun pada abad ke-14, merupakan satu-satunya bangunan tinggalan
Empayar Marinid di luar Afrika - sentiasa mengibarkan bendera Union Jack
Selain dari panglima Thariq yang menjadi kebanggaan orang Amazigh, mereka juga boleh berbangga dengan Ibnu Batutah, seorang pengembara muslim terkemuka yang dicatat oleh sejarah sebagai pengembara terbesar pra-moden, adalah orang Amazigh tulen. Bahkan, Zinadine Zidane, pemain bolasepak terkemuka yang telah membawa Perancis menjadi juara dunia dan Eropah, adalah orang Amazigh yang berhijrah ke Perancis.