Monday 19 February 2018

Morocco (Maghribi) - Quarzazate ... The door of the desert

Negara Maghribi mempunyai kawasan yang berpantai dan pergunungan yang bersalji. Ia juga mempunyai kawasan yang bergurun. Ini menjadikan negara ini agak unik dari sudut aktiviti kehidupan penduduknya, atau negara yang 'exotic' untuk dikunjungi kerana kita dapat merasai berbagai pengalaman dalam satu kali lawatan.

Pada 29 Mac 2017 kami mengikuti rombongan 'A day trip from Marrakesh to Quarzazate'. Suami ambil 'cuti' sehari daripada seminarnya untuk membuat perjalanan serta lawatan yang sangat menarik ini. Ia satu pengalaman yang unik. Ada 2 sebab mengapa kami memilih pakej lawatan ini:
1. Perjalanan ini akan merentasi banjaran gunung Atlas.
2. Quarzazate adalah pintu masuk ke gurun Sahara .... satu nama yang sangat dekat dengan saya😊

Marrakech dan Quarzazate - dipisahkan oleh banjaran pergunungan Atlas
Walaupun Maghribi terletak di benua Afrika tetapi alamnya tidak jauh berbeza dengan negara-negara di benua Asia yang subur, hijau dan terdapat pengairan di mana-mana. Boleh dikatakan di antara negara-negara Arab dan Afrika, Maghribi termasuk negara pertanian terkemuka dan unggul.

Selain mempunyai kawasan gurun beriklim kering, Maghribi juga mempunyai kawasan pergunungan Atlas. Pemandangan bersalji bukanlah satu yang pelik di Maghribi. Bahkan ia mempunyai wilayah dengan suhu paling rendah di dunia Arab, iaitu Ifrane yang pernah bersuhu ( -24 ) darjah Celcius, setidaknya pada tahun 1935.

 Quarzazate
Cara menyebutnya ialah  Warzazat  (Arab: ورزازات‎), nama jolokannya 'Pintu Gurun' (The door of the desert). Ia sebuah bandar dan juga pusat bagi Wilayah Ouarzazate yang berada di bahagian tengah-selatan Maghribi. Ouarzazate berada pada ketinggian 1,160 m (3,810 ft) di tengah-tengah  dataran tinggi yang kontang, di selatan Pergunungan Tinggi Atlas. Gurun Sahara terletak ke selatan bandar ini. Penduduknya terdiri dari orang Barbar.

Jom kita ke sana


Contoh van yang akan membawa penumpang
 ke Quarzazate .... sebelum jam 8 pg kami sudah

 berada di sini ... pada pagi 29 Mac 2017
Marrakech ke Quarzazate - 200km .....
melalui jalan N9 dan genting Tiz-n-Ticha
Lawatan ini dibuat melalui ejen ... cari, booking dan bayar, semua melalui internet, 2 atau 3 hari sebelum perjalanan. Mereka akan ambil dan hantar balik ke hotel. Walaupun jarak dari Marrakech ke Quarzazate hanyalah 200km tetapi perjalanannya mengambil masa antara 4 -5 jam, bergantung pada keadaan cuaca.

Kami akan melalui jalan yang merentasi Banjaran Tinggi Atlas. Jalan gunung yang terkenal ini bermula dari dataran yang luas yang mengelilingi kota Marrakesh ke genting Tizi-n-Tichka (2 260 m dpl), sebelum terus ke Quarzazate.

 Selepas  meninggalkan kota Marrakesh (460 m dpl), kita akan mengikuti laluan lebuh raya N9, dengan lanskap yang sangat menarik bertemakan pertanian dan sedikit kawasan gersang di sana-sini, di sepanjang lembah Oued Zat (wadi) yang luas.  Pemandangan hijau yang indah,  sejuk mata memandang dan kedamaian yang dirasai  akan menjadi kenangan yang abadi.

Lembah  Oued Zat yang subur
Kebun Zaitun
 Subur dengan pelbagai tanaman
Sedikit kawasan gersang di lereng-lereng bukit
Menuju ke gunung
Banjaran Tinggi Atlas
Banjaran Atlas  menjadi tulang belakang Maghribi. Puncak-puncak gunungnya antara yang tertinggi di Afrika. Malah di antara puncak-puncak ini terletak sebuah resort untuk bermain ski. Gunung-ganang ini juga yang memisahkan bahagian berpantai Maghribi yang subur, dengan Gurun Sahara dan pada masa yang sama bertindak sebagai halangan cuaca. Apabila melintasi banjaran ini,  kita dapat melihat peralihan rupa bentuk bumi dalam perjalanan - dari kebun-kebun zaitun dan pokok limau yang subur, ke pedalaman dengan mukabumi yang kelihatan gersang.

Banjaran Atlas 
Ia adalah banjaran yang tertinggi di Afrika Utara. Orang-orang Barbar tempatan mengenalinya sebagai ‘Idraren Draren’ (Mountains of Mountains). Banjaran ini merentasi bumi Maghribi sejauh hampir 1000km. Di puncaknya yang tertinggi. salji akan turun dari bulan September hingga May. Keadaan ini membolehkan aktiviti sukan musim sejuk dijalankan di Oukaïmeden.

Puncak yang masih bersalji ..... pada pagi 29 Mac 2017 
Setelah keluar dari lembah wadi Zat, jalan ini akan perlahan-lahan mendaki lereng gunung Atlas. Di sepanjang perjalanan kita dapat melihat taburan kampung-kampung kecil orang Barbar yang bagaikan melekat di lereng-lereng gunung, di celah-celah kebun zaitun mereka ... penyatuan alam bersama kehidupan manusia yang mewujudlkan pemandangan panorama gunung yang sangat indah dan unik.

Kebun zaitun dan kampung di lereng gunung ... dari jauh

Salah sebuah kampung orang Barbar 
Rumah orang Barbar yang tipikal - dibuat daripada lumpur,
dengan pintu berwarna biru serta bingkai tingkap putih
Pemandangan sepanjang mendaki Atlas ini sangat menakjubkan. Setiap liku dan selekoh memaparkan keindahan alam ciptaan Allah. Rumah-rumah yang dibina dari lumpur dan gunung-gunung persekitaran  kelihatan bersepadu antara satu sama lain. Ia kelihatan seperti tambahan semulajadi pada lereng gunung-gunung itu. Tompok-tompok hijau tanaman mereka seolah-olah menghidupkan ketandusan persekitaran. Ia bagaikan sebuah lukisan di atas kanvas.

Lanskapnya berubah dengan ketinggian yang didaki secara dramatik. Sebelum sampai ke Genting Tizi-n-Ticha,  kelihatan rabung-rabung gunung yang gondol dengan tumbuhan-tumbuhan kecil. Dari sini juga bermulanya jalan yang berliku-liku tajam, yang mendebarkan.

Permukaan bumi yang semakin tandus .....
Hanya tumbuhan-tumbuhan kecil sahaja yang dapat hidup di sini
Semakin gondol
Liku-liku jalan yang dilalui sebelum sampai ke Genting Tizi-n-Ticha
Di Genting Tizi-n-Ticha - 2260 m  atas aras laut
Puncak di latarbelakang yang masih bersalji .... sejuk di sini
Cenderahati untuk pelancong ..... hasil tangan tempatan seperti
 rantai manik dan ukiran patung yang diperbuat daripada batu
Apabila kita turun di sebalik gunung, kita akan melalui lanskap yang amat berbeza tetapi tetap mempunyai keindahannya yang tersendiri. Lanskap di sini banyak dipengaruhi oleh iklim gurun Sahara yang kering. Bahang gurun yang hebat ini sudah boleh mula dirasai. Kita dapat melihat batu-batuan yang terbakar merah menyala bagaikan bara. Rumput dan pokok renek hanya tumbuh di bahagian-bahagian tertentu sahaja.

Muka bumi yang kering
Dua wajah yang kontra - gunung yang tandus dan kering
berdiri saing dengan gunung yang bersalji
Quarazate juga dikenali sebagai 'Bandar 1000 Kasbah'  Kasbah ini merupakan tempat tinggal pemimpin-pemimpin tempatan dan untuk pertahanan ketika kota itu diserang. Sebuah kasbah memiliki tembok tinggi yang biasanya tanpa tingkap. Di antara kasbah yang paling terkenal dan tercantik ialah Aït Benhaddou.

Kasbah Aït Benhaddou

Aït Benhaddou ( Arab: آيت بن حدّÙˆ‎) ialah sebuah kampung yang dikelilingi tembok sebagai pertahanan. Ia lebih tepat dipanggil sebuah "Ksar" (dalam bahasa Arab yang bermaksud istana) kerana di dalamnya terdapat beberapa buah kasbah, selain dari rumah-rumah biasa, dan ia berada di laluan perdagangan lama dari Marrakech ke Timbuktu, Mali. Antara barang dagangan yang dibawa seperti rempah, hamba abdi dan emas. Kampung kuno ini masih dihuni oleh beberapa buah keluarga. Mereka yang tertarik dengan industri pelancongan telah berpindah ke kampung baharu di seberang sungai. Sejak 1987 ia telah menjadi Tapak Warisan Dunia Unesco. 


Petikan dari web unesco.org
Located in the foothills on the southern slopes of the High Atlas in the Province of Ouarzazate, the site of Ait-Ben-Haddou is the most famous ksar in the Ounila Valley. The Ksar of Aït-Ben-Haddou is a striking example of southern Moroccan architecture. The ksar is a mainly collective grouping of dwellings. Inside the defensive walls which are reinforced by angle towers and pierced with a baffle gate, houses crowd together - some modest, others resembling small urban castles with their high angle towers and upper sections decorated with motifs in clay brick - but there are also buildings and community areas. It is an extraordinary ensemble of buildings offering a complete panorama of pre-Saharan earthen construction techniques. The oldest constructions do not appear to be earlier than the 17th century, although their structure and technique were propagated from a very early period in the valleys of southern Morocco. The site was also one of the many trading posts on the commercial route linking ancient Sudan to Marrakesh by the Dra Valley and the Tizi-n'Telouet Pass. Architecturally, the living quarters form a compact grouping, closed and suspended. The community areas of the ksar include a mosque, a public square, grain threshing areas outside the ramparts, a fortification and a loft at the top of the village, a caravanserai, two cemeteries (Muslim and Jewish) and the Sanctuary of the Saint Sidi Ali or Amer. The Ksar of Ait- Ben-Haddou is a perfect synthesis of earthen architecture of the pre-Saharan regions of Morocco.

Peta menunjukkan kedudukan masjid, kasbah dll
Maklumat sejarah kasbah
 Kasbah Aït Benhaddou - seni bina yang unik ... 
menaranya boleh dilihat dari jauh
Bangunan dan gunung bersepadu
Kasbah ini berada 30 km dari bandar Quarzazate. Ia dibina di atas tanah tinggi yang dikelilingi laluan sempit, untuk memberi perlindungan secukupnya daripada penceroboh. Pembinaannya dirancang agar efisien dalam ekonomi. Ia dibangun di tepi sungai Wadi al-Maleh, yang menjadi sumber pengairan  kepada kawasan pertanian berhampiran, dan ini menjamin pembekalan makanan yang berterusan.

Pembinaannya berhampiran dengan sumber air 
Sungai Wadi al-Maleh waktu kering - jalan pintas ke Kasbah
Disediakan jambatan untuk menyeberang ketika sungai dipenuhi air
Kawasan pertanian yang subur  berhampiran Kasbah
Jom masuk ....
Keldai sebagai pengangkutan .... kehidupan berjalan seperti biasa 
 dari dahulu sehingga sekarang .... seolah-olah masa tidak bergerak
Masih lagi dalam perjalanan ke bukit
Kampung Aït Benhaddou dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian yang moden dipenuhi dengan kedai-kedai untuk para pelancong dan tempat letak kenderaan. Bahagian kampung yang lama terletak di seberang sungai Wadi al- Maleh, yang dipanggil Ksar. Ia sudah wujud sejak kurun ke-17 lagi. Di sini bangunan yang ada bukan sekadar peninggalan sejarah, tetapi ia juga menjadi tempat perlindungan bagi beberapa buah keluarga, ysng masih menetap di sana.

Salah sebuah kedai yang beroperasi di kasbah ini ....
antara barang yang dijual adalah gambar dari filem-filem yang
pernah membuat pengambaran di sini seperti filem 'Gladiator'
Quarzazate juga dikenali sebagai 'The Holywood of Morocco' kerana ia adalah kota filem utama Morocco. Ia mula terkenal di persada antarabangsa melalui filem 'Lawrence of Arabia', di mana Ait Benhaddou muncul dalam filem ini. Untuk pengambaran filem 'Jesus of Nazareth', kesemua bahagian bawah kampung ini dibina semula. Banyak lagi filem terkenal yang menjadikan  Ait Benhaddou sebagai lokasi pengambaran.

Petikan daripada wikipedia
The Ouarzazate area is a noted film-making location, with Morocco's biggest studios inviting many international companies to work here. Films such as Lawrence of Arabia (1962), The Living Daylights (1987), The Last Temptation of Christ (1988), TheMummy (1999), Gladiator (2000), Kingdom of Heaven(2005), Kundun (1997), Legionnaire (1998), Hanna (2011),The Hills Have Eyes (2006), and Salmon Fishing in the Yemen (2011) were shot here, as was part of the TV series Game of Thrones.


Salah satu pemandangan dari atas
Di sebalik sana sungai itu adalah kampung yang baharu
Masih ada lagi bangunan yang diguna pakai
Pemandangan kawasan yang agak gersang .... kelihatan
seperti dipengaruhi iklim gurun Sahara yang kering
Pergunungan Atlas kelihatan di ufuk
Gudang menyimpan hasil tanaman ....
....... dikatakan dibina pada kurun ke-16
 Rumah-rumah di sini dibuat daripada lumpur dan kayu, sesuai dengan keadaan dan cuaca di kawasan ini, di mana ia menyejukkan ketika musim panas dan memberi kepanasan ketika musim sejuk. Bahan-bahan binaan yang diguna  memerlukan perhatian yang tinggi dan berterusan kerana ia sangat mudah rosak disebabkan cuaca.

Saki baki runtuhan bangunan di lereng gunung
Ini bangunan di kaki bukit
Keluar dari kasbah melalui jambatan
Sudah berada di hujung jambatan .... pada tgh 29 Mac 2017
Masjid  Ait Benhaddou
Kampung  Ait Benhaddou yang baharu
Selepas lawatan ke kasbah  Ait Benhaddou, kami dibawa untuk makan tengahari di bandar Quarzazate. Selepas makan kumpulan kami dibawa pula melawat lagi satu kasbah bedekatan dengan tempat makan kami iaitu Kasbah Taourirt, dengan berjalan kaki. Saya dan suami tidak menyertai mereka kerana kami ingin menunaikan solat zohor-asar. Dalam lawatan ini tidak diberi masa untuk solat walaupun pemandu pelancongnya orang Islam. Lagi pun kaki saya yang tidak berapa kuat itu sudah mula terasa sakit.


Di sinilah kami menjamu selera 
Suasana dalam restoran pada ptg 29 Mac 2017
Menu hari ini
Menunggu makanan yang dipesan
Meat and vegetables tagine - makanan tradisi Maghribi
Ada sedikit cerita yang melucukan berkaitan solat ini. Sebaik sahaja selesai makan, kami pun bertanya  tempat solat kepada salah seorang pekerja kedai. Dia kata ada musholla. Kami pun terasa legalah dan terbayang keadaannya macam tempat kita (Malaysia...lah😊). Cari punya cari .... tak jumpa. Bila tanya balik di mana ..... masya Allah ..... terkejut, terkedu  dan tersenyum sendiri, bila dah jumpa😞. Adalah diletakkan sekeping sejadah di bawah tangga .... itulah musola mereka. Walhal pekerjanya semua muslim. Tempat wuduk sudah tentulah tiada.

Inilah mushollanya
Walaupun Maghribi dikira sebagai sebuah negara Islam, rakyatnya tidaklah begitu komited dengan nilai-nilai Islam. Begitu juga kerajaannya, di mana tidak disediakan kemudahan-kemudahan untuk beribadat di tempat umum selain dari masjid. Contohnya di lapangan terbang, tidak disediakan tempat wuduk di bilik solat .... terpaksalah mengambil wuduk di bilik air umum. Suami juga mengalami kesulitan menunaikan ibadat solat ketika berseminar kerana tidak dikhaskan waktu untuk solat dalam agenda program mereka, walaupun peserta seminar itu kebanyakannya orang Islam.

Selepas selesai solat kami duduk di luar restoran sambil menghayati keindahan Kasbah Taourirt dari jauh, sementara menunggu ahli kumpulan yang lain balik ke van. Seterusnya kami akan dibawa pulang ke Marrakesh.






Kasbah Taourirt
Berdekatan dengan restoran ini juga ada muzium wayang atau cinema
Hamid - tour guide kami
Pemandu pelancong kami seorang Barbar yang tinggal di Quarzazate. Beliau boleh berbicara dalam 7 bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Sepanyol selain Barbar dan Arab. Beliau juga ada berlakon dalam filem Kingdom of Heaven (kalau tak silap) sebagai pelakon tambahan. Watak yang diberi adalah sebagai penjaga masjid.

Gurun Sahara


 

Gurun Sahara menutupi hampir sebahagian besar wilayah Afrika Utara. Ia merupakan sebuah gurun terpanas di dunia dan terbesar di Afrika. Gurun Sahara juga menutupi sebahagian wilayah Maghribi sehingga menyebabkan negara ini mengalami iklim panas dan kering. Gurun Sahara masih jauh dari
Quarzazate, lebih kurang 300 batu lagi. Namun secara jujurnya kita dapat merasainya di udara.

Jika kita mempunyai banyak masa, kita boleh meneruskan perjalanan ke Gurun Sahara. Banyak ejen pelancongan yang menawarkan pakej ini. Kami memang teringin sangat hendak ke sana dan melalui pengalaman kehidupan di sebuah gurun, tetapi apakan daya, masa tidak mengizinkan. Walaupun begitu kami masih bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di tempat yang termasuk dalam ketegori kawasan pre-Sahara.

Akhir sekali, jom kita tonton video Kasbah Ait Benhaddou  yang dibuat oleh UNESCO. Walaupun kami sudah sampai di sini, tetapi ada juga tempat yang kami tidak lawati seperti yang terdapat dalam video ini. Lawatan kami tempoh hari hanya melalui lorong-lorong di celah bangunan menuju ke puncak bukit dan memberi fokus lebih kepada menikmati pemandangan di sekeliling. Mungkin kalau pergi bersendirian boleh ambil banyak masa meninjau lebih jauh ke dalam kampung ini, seperti melawat masjidnya.




You might like these posts:

1. Marocco (Maghribi) - Chez Ali Fantasia

2. Jom kenali Maghribi (Morocco)

3. Morocco (Maghribi) - The Exotic Marrakech

4. Morocco (Mahgribi) - Semalam di Casablanca

5. Morocco (Maghribi) - Catatan Perjalanan ke Marrakech

6. Hujung Dunia - Europa Point Gibraltar ( جبل طارق)