Friday 20 September 2013

Minyak naik......Semua naik!

Pada bulan Jun 2008 saya telah menulis artikel di bawah, berkongsi bagaimana kami sekeluarga menangani krisis kenaikan harga petrol dan disel yang secara otomatik menaikkan kos barangan lain. Dan secara tidak langsung ia menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

Bagi kita orang biasa ini memang tidak berkuasa hendak menukar apa-apa pada harga yang telah ditetapkan. Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan di sana-sini perbelanjaan harian kita agar kenaikan kos itu tidak terlalu dirasakan. Ini sudah tentu untuk mereka yang mampu berbuat demikian. Bagaimana pula bagi mereka yang sememangnya sudah lama berjimat cermat?

Bagi mengatasi masalah ini saya dan suami telah mengambil beberapa langkah berjimat cermat.

1. Meminta suami mengguna kereta yang lebih kecil enjennya (dpd 2000cc ke 600cc). Kereta yang kecil itu memakan minyak lebih sedikit daripada motor. Sudah tentu ini menjimatkan banyak belanja. Sebelum ini saya sudah meminta suami supaya berbuat demikian tetapi berbagai alasan yang diberi. Kami juga bercadang jika kami berdua saja yang menaiki kereta untuk ke mana-mana destinasi yang tidak berapa jauh agar menggunakan kereta yang kecil itu.

2. Mengurangkan penggunaan barangan letrik seperti cerek letrik. Ini kerana tarif letrik juga telah dinaikkan baru-baru ini. Pastikan semua lampu dan kipas yang tidak diperlukan ditutup.

3. Kurang makan di luar. ( Kalau dulu seminggu sekali makan di luar tetapi sekarang rasanya 3 minggu atau sebulan sekali, kecuali terpaksa )

4. Berbelanja pada barang yang kurang berjenama tetapi ada kualiti. Sesetengah barang dapur sangat berbeza harganya dari satu jenama ke satu jenama.

5. Elakkan pembaziran dalam makanan. Mana-mana makanan yang tidak habis elok disimpan dalam peti ais dan diguna semula, samada dipanas semula atau diubahsuai dan dijadikan menu yang baru.

6. Akhir sekali kurangkan kuantiti apa juga bahan yang kami gunakan jikalau boleh, seperti penggunaan air, sabun, syampu dan lain-lain.

Apa-apa pun dalam setiap sen yang kita belanja daripada rezki yang Allah beri, hendaklah kita ikhlaskan kerana Allah. Apabila ini berlaku barulah kita diberkati oleh Allah. Keberkatan yang Allah anugerahkan , membuat kita berasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Kita tidak akan keputusan wang untuk berbelanja walaupun dengan pendapatan yang kecil InsyaAllah. Semestinya amalan berjimat cermat itu tidak diabaikan.

Lagi satu amalan rohiyyah yang memurahkan rezeki kita ialah solat sunat Dhuha. Dalam kitab "An-Nurain" ada disebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

" Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Perhatikan doa yang diamalkan selepas selesai mengerjakan solat sunat Dhuha.

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”

Baru-baru ini kita dikejutkan sekali lagi dengan kenaikan harga minyak.......entah yang ke berapa kali sejak 2008? Kali ini ia menjadi isu yang sangat hangat kerana kerajaan telah berjanji selepas pilihanraya agar tidak menaikkan harga minyak. Tambahan pula komentar-komentar yang diberi oleh para pemimpin mengenai isu ini sangat-sangat tidak wajar dan menyakitkan hati orang ramai.





Sepertimana biasa apabila harga minyak naik, ianya akan diikuti dengan kenaikan lain-lain keperluan seperti makanan, pengangkutan, gas, letrik dan berbagai lagi.
Bagi mereka yang berpendapatan besar kenaikan
 minyak petrolium sebanyak 20 sen tidaklah memberi kesan. Namun bagi kebanyakan orang yang tidak biasa apa-apa jua kenaikan akan membebankan mereka, tidak kira banyak atau sedikit.

Sama-samalah kita berharap semoga kita dikurniakan pemimpin yang lebih prihatin dan berjiwa rakyat pada masa akan datang. Pemimpin yang sanggup bekerja untuk rakyat, bukan sebaliknya.