Tuesday 17 May 2022

Bercuti di Desaru - The Wetlands Kampung Belukar Durian

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnyašŸ˜„Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Pada sebelah pagi 21 Ogos kami berjalan-jalan di Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih, dan kami makan tengahari di Bandar Penawar. Pada sebelah petang pula kami melawat Desaru Fruit Farm.

 22/8/2020  
Ini adalah hari terakhir percutian kami. Pada malam 21 Ogos kami telah merancang untuk makan malam di Restoran Terapung Firefly dan seterusnya pergi melihat klip-klip. Namun kami telah membatalkan niat ini apabila melihat keadaan tempat yang terlalu ramai orang. Kami balik terus walaupun telah sampai ke destinasinya. Kami tidak ingin mengambil risiko dijangkiti covid-19

Pada sebelah pagi hari ini kami melawat Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas di Sedili Kechil. Oleh kerana kami masih ada banyak masa, pada sebelah petangnya kami mencari 
pula The Wetlands Kampung Belukar Durian. Berpusing-pusing jugalah kami mencari lokasinya. Tujuan ke sini hanyalah untuk melihat kawasan ini dan mencari maklumat mengenainya.
Jumpa pintu gerbang ke Kg Belukar durian tetapi
lokasi 'wetland' agak sukar mencarinya
Kompleks The Wetlands merupakan sebuah Pusat Aktiviti Pelancongan Desa bagi penduduk Kg Belukar Durian. Pusat ini diurus tadbir oleh Gerakan Daya Wawasan Kg Belukar Durian (GDW BD) yang telah memulakan aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan desa sejak tahun 2008. Antara agensi kerajaan yang banyak membantu & membimbing adalah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Akhirnya berjumpa juga setelah keluar-masuk jalan salah
beberapa kali mencari  jalan sebenar yang menuju ke lokasi
Mengikut maklumat yang dicari tempat ini sesuai untuk dijadikan tempat membuat aktiviti kem motivasi. Tempat ini menyediakan perkhidmatan sewaan chalet, bot river cruise dan pelbagai aktiviti homestay berasaskan cara hidup tradisional. Ia juga menyediakan penginapan asrama (dorm) dan dewan serta padang yang cukup luas untuk perkhemahan. Penginapan termasuk dengan penghawa dingin dan kipas syiling . Memang selesa dengan kesunyian desa dan jauh dari bandar.

Senarai harga penginapan mengikut jenis bilik :
Chalet A : RM 120
Chalet B : RM 150
Chalet C : RM 100 
Dorm : RM 400 (Dorm boleh memuatkan seramai 20 orang)

Ketika kami sampai di sini hujan sudah berhenti tetapi cuaca masih mendung. Oleh kerana itu perkhidmatan 'bot river cruise' dibatalkan pada hari itu. Maka terlepaslah peluang kami untuk mencubanya.
Suasana tenang dalam kawasan kompleks wetland
Selepas keluar dari kompleks ini kami terus balik ke Batu Pahat. Dalam perjalanan balik, ketika menuju ke jambatan "A", hujan turun semula dengan lebatnya. 
Jambatan Sungai Johor ..... juga digelar Jambatan A
Jambatan Sungai Johor merupakan sebatang jambatan lebuh raya yang merentasi Sungai Johor di Lebuhraya Senai-Desaru di Johor, Malaysia. Jambatan kabel penahan ini menghubungkan Pulau Juling berhampiran Kong Kong di sebelah barat ke Tanjung Penyabong di sebelah timur. Dibuka pada 10 Jun 2011, ia merupakan jambatan sungai terpanjang di Malaysia dan diikuti  Jambatan Raja Pemaisuri Bainun (Jambatan Sungai Dinding) di Perak, sebagai kedua terpanjang, buat masa ini.

Jambatan ini sepanjang 1,708 meter (1.7 km), dengan bentangan utama 500 meter (0.5 km) merentasi Sungai Johor. Dua tiang utama jambatan itu naik ke ketinggian 143 meter.

Beginilah berakhirnya lawatan pertama kami. Pada 26 Dec 2021 sekali lagi kami bercuti ke daerah ini  (Sg Rengit) bersama keluarga, anak-anak dan cucu-cucu.