Tuesday 9 December 2008

Musibah - ujian dari Allah

PADA pagi Jumaat 31 Oct rumah kami telah dimasuki pencuri. 2 buah laptop dan 2 biji handphone serta sedikit wang tunai telah diambil. Musibah menimpa kami lagi. Rasanya hampir tiap-tiap tahun kami ditimpa musibah samada kena tipu, kena curi atau pun kemalangan. Sudah semestinya ia melibatkan kehilangan harta-benda.

Kadang-kadang tertanya juga dalam hati apa kesalahan kami hingga ditimpa musibah berulang kali. Mungkin ada hak orang lain dari sebahagian harta kami itu yang belum kami langsaikan. Jadi kami cuba sedaya upaya membersihkannya dengan membayar zakat. Namun ia masih berulang. Apa agaknya yang Allah cuba hendak memberitahu kami.  Kami tidak dapat nak mengagak jawapannya melainkan ianya sebagai ujian dari Allah

Dalam keadaan "stress" begitu kemungkinan boleh saja terpantul keluar dari hati  dan mulut kata-kata seperti, "Kenapalah kita saja yang  ditimpa malang. Allah tidak adil."  Kadang-kala kita terlupa bahawa diri kita dan apa jua yang kita miliki adalah kepunyaan Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambil balik apa -apa saja yang menjadi haknya. Kami  bersyukur pada malam ( atau pagi ) kejadian pecah rumah itu tiada sesiapa di kalangan ahli keluarga yang tercedera. Begitu juga kejadian-kejadian sebelum ini tidak melibatkan kehilangan nyawa , tetapi hanya kecederaan kecil.

Allah turunkan musibah ke atas kita untuk menguji apakah kita benar-benar beriman dan ikhlas dengan semua amalan kita. Janganlah kita menyangka apabila kita telah buat semua apa yang diperintahkan oleh Allah (dalam ertikata yang lain menjadi orang baik) kita tidak akan diuji lagi oleh Allah. Kita tidak tahu samada segala amalan ibadah yang kita buat itu seratus peratus ikhlas kerana Allah atau sebaliknya, hanya untuk mengutip pahala semata-mata dan menjadi manusia yang baik di mata masyarakat. Wallahua'lam.