Friday 29 October 2021

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Percutian ini berlaku pada 20 Ogos 2020. Sudah lebih setahun, baru nak mencatatnya😄Memang blog saya ni bukan "live", tetapi lebih sebagai catatan dairi peribadi.

Alhamdulillah sebelum ke Desaru kami sempat menyinggah di Dataran Pontian dan melawat Taman Negara Tanjung Piai. Ketika di Desaru kami menginap di Bayu Balau Beach Resort (Hotel), yang telah ditempah lebih awal. Hotel ini terletak di Tanjung Balau. Resort ini juga ada penginapan jenis chalet. Asalnya resort ini dikenali sebagai  Pelangi Balau Resort dan ditukar ke Bayu Balau Beach Resort (BBBR).

Hotel ini berdekatan dengan pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau. Malangnya ketika itu kedua tempat ini ditutup untuk kerja-kerja penaikan taraf. Dengar cerita Pantai Tanjung Balau ditutup untuk projek pantai 'walkway' yang masih belum siap setelah sekian lama. 
Belangkas masak lemak cili api .... makanan eksotik
BBBR juga ada menyediakan makanan eksotik dan tradisional. Belangkas dan Siput Gonggong telah diletakkan sebagai menu utama hotel. Malam itu kami makan malam di sini sahaja. Kami bertiga makan nasi putih yang berlaukkan belangkas masak lemak cili padi dan ikan pari masak asam pedas. Alhamdulillah sedap masakannya ataupun kami yang memang lapar😀

BBBR adalah hotel ketegori sederhana yang menawarkan harga RM180 semalam untuk hotel dan RM100 untuk chalet. Kedudukannya juga tidak jauh dari Bandar Penawar.
Bandar Penawar ..... tidak berapa jauh dari sini
21/8/20
Pagi ini selepas Subuh kami berjalan ke pantai untuk melihat matahari naik. Ini salah satu aktiviti kegemaran kami jika ada kesempatan. Untuk sampai ke pantai memang banyak halangan kerana ianya ditutup kepada orang ramai disebabkan kerja-kerja projek pantai walkway itu.
Keadaan langit sebelum dan ketika matahari terbit dari
7.00 pg - 7.15 pg pada 21 Ogos 2020
Keadaan pantai Tanjung Balau
Bergambar depan hotel sebelum keluar

Ini bahagian chalet hotel .... cantik kawasan persekitaran
Inilah perjalanan kami pada 21/8/2020
Niat di hati hari ini hendak ke Pantai Desaru di Bandar Penawar, tetapi apabila cuba masuk jalan ke pantai, sudah ada penghalang merentas jalan serta penjaganya sekali.😒 Mungkin pantai sudah penuh agaknya kerana kami keluar sudah agak lewat sedikit. Kami pun teruskan perjalanan ke Sungai Rengit, yang merupakan bandar utama untuk Pengerang.

Inilah pertama kali kami sampai ke bandar Sungai Rengit. Untuk menyimpan kenangan ini, kami telah pergi ke datarannya untuk bergambar sambil menikmati keindahan laut. Kemudian kami ke Teluk Rumania mencari pantai, kalau ada .... 😃😃 tak jumpa! Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.

Dikatakan orang Singapura banyak masuk ke Johor melalui sini. Dari sini mereka akan ke Sungai Rengit dengan menaiki teksi untuk menikmati makanan laut, terutama menu 'lobster' atau udang kara, yang dikatakan lebih murah dari negara mereka. Di sini juga boleh melihat matahari terbenam sambil makan di tepi laut. Kalau laut di sebelah Desaru, kita hanya boleh melihat matahari naik.
Dataran Sungai Rengit dengan mercu tanda lobster
serta pemandangan laut yang ditaburi pelantar minyak
Mee Rebus Legend Wak Nasro
Walaupun masih terasa kenyang kerana baru lepas bersarapan ketika itu, kami pesan juga sepinggan mee rebus ini untuk 'merasainya' ...... yumm ... memang sedap! Ingat hendak mencuba makan lobster untuk makan tengahari tetapi tidak kesampaian kerana banyak kedai makan masih belum dibuka pada masa itu.

Dalam  perjalanan ke Tanjung Pengelih kami lalu di hadapan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC). Pertama kali kami melihatnya walaupun selalu mendengar cerita tentangnya kerana ada seorang menantu yang masih bekerja di sini. Sebelum ini salah seorang daripada anak kami juga bekerja di sini tetapi telah berhenti kerana masalah keluarga yang ditinggalkan di Shah Alam. Teruja jugalah bila dapat melihat sendiri keadaan tempat ini, walaupun hanya melihatnya dari jauh.

Sedikit maklumat dari wikipedia:
Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) is a megaproject development in Pengerang, Kota Tinggi District, Johor, Malaysia. It spans over an area of 80 km2 and will house oil refineries, naphtha crackers, petrochemical plants, liquefied natural gas (LNG) terminals and a regasification plant upon completion.The site where it stands now was chosen because of its location along major shipping routes between the Middle East and China. The project was launched to increase Malaysia's petrochemical output. The components of PIPC was first initiated with the development of the 5 million cubic meters capacity of Pengerang Deepwater Terminal (PDT), a joint-venture between Dialog Group, Royal Vopak of the Netherlands and Johor. The other component of PIPC is the Petronas Pengerang Integrated Complex (PIC). 
Antara beberapa lokasi kompleks yang dapat dilihat dari jalanraya
..... keseluruhan kawasan meliputi keluasan 80 km2
Mengikut maklumat yang dikumpul dari internet terdapat 10 terminal feri di Johor yang mana 8 daripadanya adalah terminal feri antarabangsa sementara 2 lagi terminal feri domestik.Terminal Feri Antarabangsa merangkumi Muar, Minyak Beku Batu Pahat, Tanjung Pengelih dan Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dan Terminal Feri Stulang, Stulang Laut ( Berjaya Waterfront Ferry Terminal) di Johor Bahru serta Terminal Feri Pasir Gudang. Sepatutnya ada satu lagi terminal feri yang baharu yang dijangka beroperasi tahun ini, tetapi tiada kedengaran berita mengenainya, iaitu Terminal Feri Desaru Coast yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandar Penawar, Kota Tinggi. Terminal feri domestik pula adalah Jeti Penumpang Mersing dan Jeti Tanjung Leman.
Kedudukan Marina dan Jeti penumpang Tg Pengelih

Marina Awam Tg Pengelih
Sebahagian dari bangunan kompleks jeti penumpang
Ada cerita menarik di sebalik pembinaan marina-marina awam di Malaysia ini, yang saya sendiri pun baru mendengarnya. Mengikut satu berita, dikatakan daripada 11 marina awam yang dibina, hanya lima masih beroperasi tetapi gagal menggalakkan industri kapal layar dan pelancongan marin di Malaysia. Kesemua 11 projek marina awam ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9 yang menelan belanja keseluruhan RM323.16 juta.😲Kononnya objektif pembangunan marina awam ialah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi pendaratan kapal rekreasi di seluruh negara bagi menggalakkan aktiviti pelayaran dan pelancongan marin. Bagaimanapun, ia gagal mencapai objektifnya.

 Nama-nama 11 marina awam yang dibina
Menurut satu laporan,  marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003, manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010. Menurut satu berita pada 2019 Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menswastakan pengurusan 6 marina awam bermasalah termasuk di Pulau Mentagor yang kini dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia. Lima marina lain ialah di Batu Uban (Pulau Pinang), Pulau Indah (Selangor), Melaka, Pulau Tioman dan Kuching. Dua lagi marina awam, iaitu di Muar, Johor dan marina Tanjong City di Pulau Pinang pula menghentikan operasi apabila mengalami kerosakan serius pada struktur pontun, manakala marina Tanjung Gemok di Pahang yang berhenti operasi diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Beralih kepada Tanjung Pengelih, salah satu jeti yang ada marina awam, juga ada cerita yang menarik di sebalik pembinaannya. Jeti asal yang dibina pada 1936 ini pernah beberapa kali dicadangkan supaya ditutup kerana saingan daripada Jeti Tanjung Belungkor dekat sini dan dikatakan berbahaya, apabila pusat latihan tentera KD Sultan Ismail yang terletak berhampiran dibuka. Sebaliknya, kerajaan menaik taraf jeti dengan menyediakan kemudahan serba lengkap dengan kos RM39 juta, yang memberi khabar gembira kepada penduduk sekali gus mengubah wajah Tanjung Pengelih serta memberi impak besar kepada penduduk.

Kompleks yang mula beroperasi pada 2009 dilengkapi kemudahan untuk pelbagai saiz bot penumpang awam dan kapal layar berlabuh, serta menyediakan kemudahan marina awam untuk pemilik bot dan kapal layar persendirian. Ia turut dilengkapi jeti sepanjang 36.4 meter, kemudahan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) yang menempatkan 4 jabatan kerajaan, iaitu Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan. Terdapat juga restoran, Kelab Marina, kedai serba guna dan kemudahan letak kereta yang luas. Jeti ini menyediakan perkhidmatan bumboat ke Changi Point Singapura dan perkhidmatan feri ke Pulau Batam dan Pulau Bintan (Tanjung Pinang) Indonesia.

Bercerita pasal jeti ini, ada satu jeti lama yang menjadi lokasi popular bagi mereka yang suka bersuafoto, iaitu jeti lama Sungai Rengit di Kg Sungai Rengit Pengerang. Ketika kami ke sini tidak tahu pula wujudnya struktur jeti lama yang sangat menarik ini. Mungkin akan mencarinya kalau ke sana lagi insya Allah. Mengikut kata mereka yang sudah ke sini disarankan datang pada awal pagi atau hampir maghrib untuk mendapat pemandangan yang memukau. Terpaksa pinjam gambar dari google untuk meninjukkan keindahannya ....
Jeti lama Sg Rengit
Sumber foto:https://www.facebook.com/viralmuafakatjohor
Selain daripada cerita jeti dan marina awam, ada satu lagi lokasi menarik di Tanjung Pengelih ini. Kami pun tidak tahu ia wujud sehinggalah membaca mengenainya di internet, iaitu Pengerang Coastal Battery (unit bersenjata), yang merupakan salah satu tinggalan kubu Tentera British semasa Perang Dunia Kedua. Ia terletak di kampong Tanjung Pengelih dan merupakan kubu pertahanan Tentera British terbesar dan terkuat bagi pertahanan rantau ini dari serangan tentera Jepun ketika perang dunia kedua. Kemudahan yang terdapat di kubu ini termasuk tempat simpanan peluru, wisma pegawai, hospital dan bilik jentera bawah tanah.

Di sini juga terletaknya KD SULTAN ISMAI, sebuah pangkalan TLDM yang berfungsi sebagai pusat latihan perajurit muda yang telah dibuka pada tahun 2000 dengan nama pusat latihan rekrut TLDM (PULAREK TLDM). Pada tanggal 18 Februari 2005 PULAREK telah di tauliahkan dengan nama KD SULTAN ISMAIL (KDSI). Dengan keluasan 200 ekar, pusat latihan ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti latihan untuk Perajurit Muda TDLM. Walaupun pusat latihan ini telah lama wujud namun mungkin tidak semua rakyat mahupun anggota TLDM sendiri tahu bahawa pusat latihan ini dibina di atas tapak tinggalan sejarah era Perang Dunia Kedua (World War II).

Inilah serba sedikit sejarah dan latar belakang Sungai Rengit dan Tanjung Pengelih yang agak menarik juga untuk dijadikan sebagai destinasi percutian dalam negara.


 Related  Posts:

Bercuti di Desaru - Pontian

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm


Bercuti di Desaru - UPDATE 3 (Sungai Rengit)

Sunday 24 October 2021

MAULIDUR RASUL, LONJAK PERJUANGAN ISLAM

Alhamdulillah sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Tahun 1443H disambut pada 19 Oktober 2021 dan bertemakan "Manhaj Rabbani, Umah Berkualiti".

Cinta baginda telah pun mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1443 tahun dahulu sehingga membuatkan kekasih Allah ini terlalu istimewa untuk umatnya. Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini..

Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah :

Daripada Anas Radiallahuanhu, berkata, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya (Riwayat al-Bukhari)

Bulan ini adalah bulan Maulidurasul, maka sewajarnyalah kita menyambut kelahiran Ar-Rasul SAW dengan suatu penghasilan yang membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat Islam kini. Realiti masyarakat Islam kita hari ini berada dalam suatu keadaan seolah-olah kita berada dalam satu lembah yang dikelilingi oleh banjaran gunung yang membuat pelakuan, pemikiran dan nilai afektif, tertahan oleh banjaran gunung ini.

Masyarakat Islam sejak beberapa dekad lalu telah mula merasai keperluan terhadap konsep perjuangan memakmurkan Islam dan penganutnya. Namun ia terbantut oleh banjaran gunung pemisah ini. Bersempena dengan bulan kelahiran Ar-Rasul marilah kita menyemak semula komitmen dan iltizam kita untuk merelisasikan sebuah masyarakat yang benar-benar dalam penghayatan Islam.

Marilah kita beriltizam dengan melaksanakan persediaan terhadap kefahaman tentang tasawur perjuangan Ar-Rasul. Tasawwur amal Ar-Rasul SAW, hendaklah diasaskan kepada dasar dakwah sebagaimana diperjuangkan oleh Ar-Rasul SAW. Dakwah Ar-Rasul SAW adalah berdasarkan kepada kefahaman terhadap ayat Quran Surah An-Nahl, 36 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada setiap umat ( untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut."

 Ar-Rasul diutuskan bagi menyeru supaya manusia kembali berubudiyah kepada Allah SWT. Seteruskan Allah SWT memberikan jalan dan peluang kepada kita , melalui ayat Quran Surah Al-Ahzab, 45-46, yang bermaksud:

”Hai Nabi!, sesungguhnya  Kami mengutuskan kamu untuk menjadi saksi, dan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada deen Allah dengan izinnya dan menjadi cahaya yang menerangi.” 

Ayat-ayat tersebut menjelaskan matlamat pengutusan Ar-Rasul untuk memanggil manusia kepada penyembahan kepada Allah SWT dan juga menerangkan beberapa ciri usaha dakwah. Antaranya:

1) Syahid atau saksi. 

Ar-Rasul SAW adalah saksi kepada keesaan Allah, bahawa tidak ada Ilah yang disembah kecuali Allah. Baginda adalah saksi yang adil dan diterima terhadap umat manusia dan amal perbuatan mereka yang baik atau buruk kelak di hari kiamat.

2) Mubasysyir atau pembawa berita gembira.

Mubasysyir adalah penyampai khabar gembira kepada kaum mukmin yang bertakwa, beriman, beramal soleh dan meninggalkan maksiat. Di dunia mereka akan diberikan balasan kebaikan, sedangkan di akhirat mereka diberi kenikmatan yang kekal. Amal yang mendatangkan khabar gembira itu adalah amal soleh, iaitu amal yang diperintahkan Allah dan Rasul SAW.

3) Nazir atau pemberi peringatan.

Nazir adalah pemberi peringatan kepada orang-orang kafir, yang mendustakan dan pelaku maksiat. Di dunia mereka akan mendapat hukuman akibat kebodohan dan kezalimannya, sedangkan di akhirat mereka akan mendapat azab yang mengerikan, menyakitkan dan berpanjangan. Amal yang mendatangkan peringatan itu adalah amal maksiat, terutama sekali yang paling besarnya iaitu syirik dan kekufuran serta dosa-dosa besar lainnya.

4) Da’i iallah atau penyeru kepada Allah.

Da’i adalah penyeru kepada Allah. Allah SWT mengutus Ar-Rasul SAW untuk menyeru dan mengajak manusia kepada maaruf dan melarang kepada kemungkaran, serta memerintahkan mereka untuk beribadah hanya kepada Allah SWT. Itulah tujuan penciptaan manusia. Mukmin harus tetap istiqamah dalam berdakwah, mengenalkan manusia kepada Allah SWT dan syariatNya.

5) Sirajan Munir atau Sebagai cahaya yang terang

Sirajan munir adalah pelita yang menerangi. Allah SWT mengutus Ar-Rasul SAW, menyinari kegelapan, sehingga manusia mengetahui kebenaran.

Bagaimanapun, melahirkan rasa cinta kepada Baginda SAW bukan hanya sekadar berarak dengan membawa sepanduk dan berselawat semata-mata. Ia sepatutnya lebih daripada itu. Kita hendaklah menghayati semangat dan roh di sebalik sambutannya. Kita tidak melupakan perjuangan baginda menyebarkan Islam di seluruh pelusok dunia. Maka, kita yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik.

Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam segenap aspek kehidupan agar kehidupan kita akan diberkati dunia dan akhirat.

IKRAM Batu Pahat, [20.10.21 10:18]