Monday 22 February 2010

Kampung Pulau Gaya Asli - Sungguh Unik!

Semasa lawatan saya ke Kota Kinabalu baru-baru ini, salah satu  destinasi pelancongan yang menarik dan menjadi target lawatan kami  ialah kampungan rumah atas air. Hari terakhir kami di sana,  kami telah berkesempatan menyewa sebuah bot yang membawa kami ke Kampung Pulau Gaya Asli. Di Pulau Gaya terdapat lima buah kampung iaitu  Kampung Pondo, Kersuapan, Lok Urai, Lok Baru dan Kampung Pulau Gaya Asli.
Kampung Pulau Gaya Asli
Kami membayar sebanyak RM40 untuk satu bot. Hari itu laut agak bergelora juga, membuatkan bot yang dinaiki seperti dipukul. Kalau lalu jalan darat, rasanya seperti terlanggar benda di atas jalan. Hati berdebar-debar juga (berlaku setiap kali naik bot)  kerana kelemahan kami yang tidak tahu berenang. Walau apapun,  pada hari itu kami dibekalkan jaket keselamatan ....... tenanglah hati sikit!

Dalam perjalanan ke pulau itu kami melalui sebuah penempatan yang agak terpisah dari yang berada di pulau. Ia terletak lebih jauh ke tengah laut dan rupa-rupanya itu adalah penempatan pendatang asing dari Filipina. Kadangkala mereka ini diserbu oleh pihak keselamatan. Manakala yang tinggal berhampiran dengan Pulau Gaya kebanyakannya adalah dari kalangan bangsa Bajau dan Ubian.
Penempatan pendatang asing dari Filipina

Apabila sampai di Kampung  Pulau Gaya Asli kami dibawa ke SM Pulau Gaya. Kami ditinggalkan di situ selama lebih kurang 15 minit untuk meninjau sekolahnya. Lawatan kami hari itu hanyalah ke sekolah ini. Jadi kami tidak berkesempatan untuk melihat kampungnya dengan lebih dekat. Kami juga tidak pergi ke SK Pulau Gaya yang terletak di bahagian lain tetapi hanya melihatnya dari jauh.  Walau bagaimanapun ianya adalah satu pengalaman yang unik ....... sekolah di atas air ..... lengkap seperti sekolah biasa ...... ada air-cond, ada surau, ada bot lagi menggantikan bas! Malangnya kami tidak dibenarkan masuk lebih jauh ke dalam ........ jadi kami tidak dapat melihat padang permainannya. Mengikut pemandu kecil kami (berumur 11 tahun) mereka bermain di "bawah" ....... di daratlah agaknya.
SMK Pulau Gaya yang terletak di Kampung Pulau Gaya Asli

Salah satu kemudahan yang ada di SMK Pulau Gaya ... satelit besar
Bot Sekolah yang berperanan sebagai kenderaan rasmi
Surau ........ lagi satu kemudahan penting yang disediakan pihak sekolah
Selepas lawatan ke sekolah, kami dibawa pusing-pusing dan melihat dari jauh beberapa buah pulau yang  berhampiran. Kami juga melihat beberapa aktiviti harian yang menjadi norma kehidupan di  perkampungan itu ........ ada bot yang menghantar bekalan air bersih. Bekalan air bersih harus dibeli untuk tujuan makan dan minum,  tetapi untuk tujuan membasuh dan mandi-manda, mereka menggunakan air hujan yang dikumpul.
Bot yang membekalkan air bersih dari KK
Bagi kita yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang mewah, mungkin akan mendapati kehidupan seperti itu agak  menyusahkan ......  cantik dilihat tetapi realitinya tidak seindah gambarannya. Namun bagi mereka yang sudah biasa itulah kehidupan yang mereka inginkan ...... tidak akan berpindah walaupun diberi alternatif. Bagi mereka yang ingin berdikari  dan memiliki rumah sendiri pula, inilah pilihan yang terbaik yang mereka mampu .......  kerana dengan hanya berbekalkan RM5000, mereka sudah boleh membuat sebuah rumah di pulau itu.



Friday 12 February 2010

Apa ada pada Bahasa

JUMAAT lepas saya mengikuti suami bertugas di Kota Kinabalu Sabah. Inilah pertama kali saya memijak bumi  "Negeri di bawah Bayu"  ini. Oleh kerana  ianya merupakan lawatan rasmi, kami tidak mempunyai banyak masa untuk makan angin. Jadi kami hanya memilih tempat yang menjadi "must see" saja untuk sesi berjalan-jalan di KK. Tempat pertama yang kami lawati ialah kaki pergunungan Gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dan menjadi kebanggaan penduduk Sabah.


Pemandangan gunung dari Kundasang
Pada petang Jumaat 29 Januari 2010 saya dan suami ke Kinabalu Park di Kundasang. Kami  ke sana dengan menaiki sebuah kereta sewa yang dipandu oleh seorang penuntut dari Politeknik Sabah. Jika kami sendiri yang memandunya kemungkinan tidak sampai ke destinasi yang dituju ....... takut sesat jalan . Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam. Jalan yang kami lalu itu boleh membawa kita terus ke Sandakan, yang akan mengambil masa selama lebih kurang 10 jam perjalanan dengan bas.

Di sepanjang perjalanan saya dapati terdapat begitu banyak papan tanda yang menunjukkan ke arah gereja di kawasan berkenaan. Mengikut kawan “pemandu” kami yang ikut serta dalam lawatan ini, ada 29 buah gereja di sepanjang perjalanan dari KK ke Sandakan. Beliau berasal dari  sana. Waktu perjalanan pulang dari kaki gunung, saya cuba mengira berapa buah gereja yang saya lalu. Malangnya kejap saya tertidur dan kejap terjaga. Namun dalam keadaan saya yang tidak
papantanda gereja dan patung Jesus

sepenuh sedar itu, saya dapat mengira terdapat hampir 15 buah papan tanda gereja yang kami lewati sebelum tiba ke KK. Tidak ada satupun papan tanda surau atau masjid yang terdapat di sana ……. kemungkinan tidak ditunjukkan papan   tandanya atapun memang tidak ada institusi itu di sana ……. sehinggalah  ketika kami masuk balik ke bandar KK, barulah kelihatan masjid yang tersergam indah.

papantanda menunjuk arah gereja
Apa yang jelas di sini ialah kawasan ini memang kawasan yang majoriti penduduknya beragama Keristian. Kadang-kadang kami jumpa gerai kepunyaan mereka yang terpampang papantanda seperti;  “Babi Hutan Salai” dan “Bahar (tuak) dijual di sini”. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu. Apakah orang-orang Islam Melayu patut rasa tersinggung dengan papantanda seperti ini? Sudah tentu tidak kerana  itu memang bahasa komunikasi masyarakat di sana. Bahasa tidak ada kena mengena dengan agama yang kita anuti.

Keadaan ini mengingatkan saya tentang isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia kini, iaitu penggunaan kata Allah oleh mereka yang bukan dari kalangan orang Islam. Setelah mendengar, membaca dan melihat  perbincangan- perbincangan ilmiah mengenai isu ini, saya lebih condong bersetuju dengan pendapat yang membenarkan orang Keristian mengguna kalimah Allah dan juga istilah-istilah lain yang berkait rapat dengan Islam. Namun begitu saya juga berpendapat  perlunya  ada pengawasan dari sudut penggunaannya agar tidak timbul kekeliruan yang melampau kepada penganut  agama Islam. Biarlah  keadaannya kekal seperti sekarang……. ada perbezaan yang jelas antara kedua-dua agama.  Kita tidak mahu  wujudnya  suasana yang kurang enak sepertimana berlakunya di Indonesia ....... sungguh mengelirukan ....... dari sudut nama, status agama, tanah perkuburan, ceramah agama sehinggalah ke rumah ibadah.

Bahasa bukanlah punca utama yang menyebabkan umat Islam terpesong aqidahnya. Salah  asuhan dan didikan agama yang  tidak cukup membuat seseorang cepat terpengaruh dengan gaya hidup masyarakat barat yang bersifat materialistik dan“hedonisma” atau hanya berseronok. Ini lebih bahaya dan patut diberi perhatian …… lihat saja berbagai-bagai pesta besar yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang berpengaruh seperti TV 3……... Semuanya mengajak orangramai lalai dan leka dengan hiburan yag disediakan.

Bagi ibu-bapa yang masih mempunyai anak-anak yang kecil, didiklah mereka dengan memberi pengetahuan yang cukup tentang Islam ……. bukan setakat teori sahaja tetapi jadikanlah ia sebagai satu cara hidup. Jikalau iklan Piala Dunia Bola  menghendaki peminatnya agar “tidur dengan bola, makan dengan bola, ……” dan seterusnya untuk menunjukkan keseriusan pihak penganjur, apatah lagi Islam. Hasil yang baik mestilah disertai dengan amalan yang berterusan ……. makan dengan Islam, tidur dengan Islam, bermain dengan Islam, berhibur dengan Islam ……. serba-serbi amalan dalam kehidupan kita sebagai orang Islam mestilah berlandaskan ajaran Islam. Barulah kita dapat melahirkan seorang Islam yang sejati yang aqidahnya tidak mudah tergugat dek kerana imannya yang tinggi.

Wallahu'alam!