Tuesday 4 February 2014

Kembara Borneo - Kampung Ayer Brunei

KAMPONG AYER di Brunei yang juga digelar "Venice Timur" merupakan penempatan terapung yang terbesar di dunia. Ini adalah kampung air yang kedua saya lawati, selepas Kampug Air Pulau Gaya Sabah. Kampong Ayer Brunei jauh lebih besar jika dibandingkan dengan yang terdapat di Pulau Gaya. Ia merupakan gagasan 42 buah kampung yang dibina di atas kaki bajang dan laluan pejalan kaki dari kayu dan diduduki lebih kurang 30,000 orang penduduk tetapi menurut banci negara Brunei tahun 2012, angka ini telah menurun kepada 13,162 orang. Perkampungan ini turut menempatkan 14 buah sekolah termasuk sekolah rendah agama dan dua buah sekolah menengah.
 
Keunikan budaya penduduk Kampong Ayer diwarisi sejak turun-temurun. Menyusuri Sungai Brunei melihat deretan rumah papan di Kampong Ayer adalah aktiviti wajib bagi pelancong kerana kunjungan ke negara terkenal dengan hasil minyak dikira tidak lengkap jika tidak melawat kampung itu.
Perkembangan semasa serta perubahan yang berlaku turut memberi tempias kepada Kampong Ayer. Rumah yang dulunya diperbuat daripada tiang kayu kini ditukar tiang konkrit. Saya tidak pernah masuk ke dalam rumah mereka tetapi mengikut cerita orang, bagi yang berkemampuan,  rekaan dalam rumah mereka boleh menyebabkan rasa tidak percaya ia terletak di Kampong Ayer.

Kampung air ini sebenarnya terdiri daripada perkampungan kecil yang dihubungkan oleh lebih dari 29,140 meter jambatan kaki, dan merangkumi 4,200 binaan termasuk rumah kediaman, masjid, restoran, kedai, sekolah dan sebuah hospital. Laluan pejalan kaki yang panjang tuntas 36 kilometer menghubungkan bangunan-bangunan kampung ini. Pengangkutan utama di kampung ini ialah sampan yang kebiasaannya dilengkapi dengan enjin bot; teksi air persendirian, ataupun swasta, yang kebanyakannya menyerupai bot laju panjang, menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang pantas. Dari jauh, kampung ini kelihatan seakan-akan kampung setinggan tetapi sebenarnya penduduk kampung ini menikmati kemudahan moden seperti bekalan elektrik, penyaman udara, televisyen satelit, Internet, dan sistem saliran. Beberapa orang kampung juga membela ayam dan bercucuk tanam dalam pasu. Rumah-rumah kediaman daerah ini mempunyai ciri seni bina unik — bahagian dalam rumah-rumah kayu penuh hiasan yang rapi.

Kampong Ayer telah diduduki selama 1,300 tahun. Antonio Pigafetta menggelarnya "Venice Timur" apabila armada Ferdinand Magellansinggah di kawasan itu pada tahun 1521 Dari segi budaya Brunei, daerah ini merupakan daerah yang penting yang mengekalkan asal-usul petempatan tebing sungai penduduknya. Mengikut Profesor Abdul Aziz daripada Universiti Brunei Darussalam, Kampong Ayer merupakan petempatan air yang paling luas dan termasyhur di Asia Tenggara. Dari segi sejarah, ia merupakan jati diri negara Brunei dan juga sebuah pusat perdagangan terpenting di Borneo.
Pada hari itu kami telah menyewa taxi air dengan bayaran B$20 untuk lawatan sejam. Keunikanya memang tidak boleh dinafikan. Penduduknya ada yang berkereta tetapi kereta mereka diletakkan di daratan bertentangan dengan kampung mereka. Mengapa mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka mampu memiliki rumah di darat dan kerajaan juga menggalakkan mereka untuk berpindah ke darat?

 Bagi yang berkemampuan dan sengaja tidak mahu berpindah, kemungkinan ianya disebabkan nilai warisan yang tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. Mereka tidak mahu meninggalkan kehidupan yang diwarisi turum temurun. Namun bagi sesetengahnya pula, kerana hanya itulah kehidupan yang mereka kenali.....sungai adalah tempat mereka mencari nafkah, iaitu dari memancing atau memandu teksi air.
Ada juga yang memberi alasan kerana gaya hidup yang sangat berbeza daripada di darat, di mana mereka harus memikul beban kos hidup yang lebih tinggi jika berpindah ke darat. Mereka berasa selesa tinggal di situ kerana hanya perlu membayar kos elektrik dan air kerana mereka sudah ada rumah sendiri. Jika tinggal di darat mereka perlu membayar sewa rumah, dan bagaimana pula dengan kereta?

kedudukan Kampong Ayer di Sg Brunei

Sejak kebelakangan ini kebakaran kerap berlaku di Kampong Air. Kerajaan telah menghentikan kebenaran membina rumah di perkampungan itu. Mengikut cerita pemandu bot kami, bagi mangsa-mangsa kebakaran ini, kerajaan telah menempatkan  mereka sementara waktu di rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan sendiri di kampung air itu juga.

Inilah penempatan sementara yg dibina khas utk mangsa2 kebakaran
.......pembinaan yg lebih tersusun
Kerajaan telah menyediadakan kemudahan-kemudahan asas yang cukup dan selayaknya demi keselesaan penduduk-penduduk kampung. Mereka ada semua kemudahan kecuali jalanraya yang tidak diperlukan kerana mereka ada laluan pejalan kaki.

laluan pejalan kaki yg menghubungkan antara setiap rumah dan bangunan

Sekolah Rendah Datu Godam
salah sebuah dari 16 sekolah yg terdapat di perkampungan ini
stesen minyak Shell  terapung
sistem saluran paip yg membawa air bersih ke setiap rumah

saluran paip utama yg banyak terdapat di sini

pencawang elektrik membekalkan tenaga elektrik ke seluruh kampung air

Bomba Kg Air....bot2 yg 'eveready' menyahut panggilan kecemasan

Ada beberapa masjid yang kami dapat lihat hari itu.



Masjid Pehin Datu Imam Hj Abd Mokti, Kg Burong Pungai Ayer, Daerah Brunei dan Muara




Masjid Sultan Omar Ali Saifuddein
Kehidupan  penduduk-penduduk di sini sama sahaja seperti mereka yang tinggal di darat. Mereka perlu kreatif dalam menyesuaikannya apabila berada di atas air.

selain mencari rezki sebagai nelayan dan membawa taxi air mereka juga menjalankan perniagaan 

salah sebuah rumah penduduk.......
seumpama tinggal di flat tingkat atas yg tidak bertanah

kalau di darat kita berkereta ke sana ke mari.......
.di sini mereka berbot  mengurus kehidupan seharian
walaupun rumah kelihatan dhaif, piring astro tetap ada..........hehe!
 Istana Nurul Iman ...... istana terbesar di dunia
pemandangan dari sungai