Thursday 1 April 2021

Jalan-jalan di China 2 - Makam Saad Abi Waqas


Lawatan ke Guangzhou ini merupakan percutian terakhir kami ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya

Di Guangzhou, China, terdapat satu makam sahabat yang dikatakan makam Saad bin Abi Waqas. Boleh dikatakan makam ini sangat popular di kalangan pelancong Malaysia, selain terkenal sebagai pusat memborong barangan murah.  Bahkan Makam Saad Bin Abi Waqas juga merupakan salah satu tarikan yang popular di Guangzhou di kalangan pelancong Islam dari negara lain.

Kami juga sempat menziarahi makam ini pada pagi Jumaat 30 Ogos 2019. Kami sengaja memilih hari ini supaya suami dapat bersolat Jumaat di masjid dalam kompleks ini, sebagai tujuan utama. Sebenarnya makam ini terletak dalam sebuah kompleks yang besar dan masjid yang terdapat di sini bukanlah masjid tua yang didakwa dibina oleh Saad Abi Waqaas seperti yang kebanyakan orang sangka, walaupun masjid ini juga dikenali sebagai Masjid As-sahabi Abi Waqas. Ia lebih dikenali sebagai Masjid Xianxian.

Tujuan kedua kami adalah kerana kebiasaannya terdapat pasar orang Islam yang menjual berbagai barangan seperti tudung, kopiah, dan termasuk makanan halal, pada setiap hari Jumaat di sebelah kompleks ini. Malangnya😞 pada hari tersebut pasar ini tidak dibuka kerana kawasan berdekatan sedang melakukan kerja-kerja pembinaan. Selepas solat Jumaat terpaksalah kami mencari makan tengahari pada hari itu di tempat lain.
Dalam bilik yang menempatkan binaan kubur ....  kebiasaanya ada kumpulan
membaca Yasin sebelum menunaikan solat Jumaat ..... pagi 30 Ogos 2019
Ini ruang di luar pintu bilik .... berbagai bangsa datang menziarahi kubur ini
Ada satu amalan pelik yang saya perhatikan dibuat oleh masyarakat Islam China ketika menziarahi kubur ini. Pengunjung Islam yang datang akan menyalakan api pada colok dan mencacakkannya dalam bekas yang disediakan di luar kawasan makam. Ia akan menimbulkan bau harum di kawasan tersebut. Amalan membakar colok sebagai pengharum telah diamalkan sejak turun-temurun oleh masyarakat Cina di Tanah Besar China termasuk dalam kalangan mereka yang beragama Islam.

Membakar colok dalam bahasa Cina ialah ‘jing xiang’ (Mandarin). Jing bermaksud mempersembahkan’ dan xiang pula ‘wangi’. Maka, jing xiang maksudnya ‘mempersembahkan wangian’. Budaya membakar colok dalam ritual seperti yang disebut di atas juga merupakan simbolik kepada tanda hormat, sama ada untuk orang yang lebih tua atau tokoh yang dihormati.
Amaran dan arahan cara mengguna colok
Bekas yang disediakan untuk mencacak colok
Bolehlah dirumuskan bahawa penggunaan colok dan seumpamanya lebih merupakan budaya dan ia tidaklah bertentangan dengan agama jika bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang, damai dan harum. Ia hanya menjadi haram sekiranya digunakan dalam ritual yang membawa kepada syirik terhadap Allah SWT ..... satu pengetahuan am yang baharu bagi saya😐 kerana selalu sangat melihat pembakaran colok untuk tujuan keagamaan.
Pintu Gerbang masuk ke kawasan perkuburan lama
Apakah benar ini kubur Saad Abi Waqas?
Perdebatan soal apakah makam tersebut benar-benar makam Saad bin Abu Waqqash terus didalami para ahli sejarah. Pernyataan ini sebenarnya membuka peluang untuk sebuah kebenaran. Lembaga dakwah Islam Guangzhou pun menyebut makam ini dengan nada ... “It is said that Shaabi Tomb was the tomb where Abi Waqas was buried,” satu kenyataan yang ada keraguan di situ, walaupun makamnya memang wujud dan dikenali sebagai makam Saad bin Abi Waqas.

Papan tanda makam yang didakwa milik Saad bin Abi Waqas
Ahli sejarah Islam sebenarnya sepakat mengatakan bahawa Saad bin Abi Waqas meninggal dunia di lembah Aqiq, Madinah dan dimakamkan di perkuburan Baqi'. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh kebanyakan ahli hadis seperti Imam Ahmad, Muslim dan An Nasa'i. Jadi makam siapakah di Guangzhou itu? 

Seorang sejarawan Islam China, Haji Ibrahim Tien Ying Ma merungkai kekeliruan ini di dalam bukunya yang bertajuk "Perkembangan Islam di China". Beliau menyatakan bahawa terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Saad bin Lubaid Al Habsyi yang mana telah memeluk Islam pada zaman permulaan dakwah Islam. Saad bin Lubaid telah mengikuti rombongan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah ketika Islam ditindas kafir Quraisy.

Beliau tidak lama tinggal di Habsyah dan kemudian mengikut pedagang-pedagang Yaman belayar ke timur jauh. Pelayar Yaman sememangnya sudah belayar ke timur jauh sejak dari zaman sebelum Islam. Pelabuhan yang biasa disinggahi oleh orang Yaman dari pelabuhan Aden ialah Hormuz (Iran)- Gujerat (India)- Poli (Pidie/Pedir, Aceh)- Kedah Tua - Sinraf (Panduranga, Champa- sekarang Phan Rhang, Vietnam) - Guangzhou.
 
Saad bin Lubaid akhirnya menetap di Guangzhou, menjalankan usaha dakwah serta wafat di sana. Kebetulan dalam catatan China juga menukilkan Khalifah Uthman bin Affan pernah mengutuskan Saad bin Abi Waqqas ke Xian, China bagi menemui Maharaja Gao Zhong (Dinasti Tang). Oleh kerana itu berlaku kekeliruan di kalangan orang-orang Islam di China. Makam Saad bin Lubaid Al Habsyi disangka makam Saad bin Abi Waqas.

Kalaupun kubur yang ada di China itu bukan kubur Saad bin Abi Waqas tetapi pastinya kubur tersebut adalah kubur seorang berbangsa Arab yang memiliki jasa besar kepada perkembangan Islam di China. Begitu juga jelas peranan besar Sa’ad bin Abu Waqas dalam menyiarkan Islam di China, tidak dapat diragukan lagi. Baik dari catatan sejarah China maupun catatan sejarah Arab, keduanya bersetju dalam hal ini.

Kubur-kubur lama yang berdekatan dengan makam
Saad ?? ..... dijaga dengan rapi
Dalam kawasan kompleks ini terdapat banyak kubur-kubur lama dan juga para syuhada'.  Mungkin mereka ini semua juga berperanan dan berjasa dalam mengembangkan Islam di negara China. Mengikut catatan sejarah hubungan awal Islam dengan China terjadi di Guangzhou. Kemudian ajaran agama tersebut menyebar ke wilayah lain. Dapat dikatakan bahawa Guangzhou merupakan tempat lahirnya Islam di China. Itulah sebabnya mengapa terdapat begitu banyak masjid-masjid lama dan tua di negara ini dan Masjid Huaisheng (bukan masjid dalam kompleks ini) yang berada di Guangzhou, dikatakan antara masjid yang tertua di negara China.
Papan tanda menunjuk ke arah ...
"Pavilion for three Muslim Martyrs"
(beberapa perkataan Inggerisnya kurang tepat ejaannya)😮
Ini kawasan kuburnya
Kawasan Kompleks Masjid Saad Abi Waqaas
Kawasan kompleks masjid ini bagaikan satu taman yang besar, dengan keluasan lebih kurang 25,000 meter persegi. Apabila berjalan di sini terasa nyaman sekali. Ia sebenarnya adalah tanah perkuburan khas bagi menghormati 40 mubaligh Muslim Arab terkenal yang dikebumikan di tanah perkuburan ini. 

Tempat yang bertanda 14 itu adalah kedudukan makam yang didakwa sebagai makam Saad Abi Waqas, dan yang bertanda 6 itu pula adalah Masjid Xianxian atau Masjid As-sahabi Abi Waqas.
Hadapan pintu pagar kompleks dan 
hadapan pintu masuk masjid
Pintu Masjid As-sahabi Abi Waqas
Masjid Xianxian Guangzhou, yang terletak di Guihuagang, adalah tempat bersejarah Islam yang sangat terkenal. Ia pertama kali dibina pada tahun ketiga Zhenguan, Dinasti Tang (618-907), dan sehingga kini ia mempunyai sejarah lebih dari 1300 tahun. Masjid Xianxian meliputi kawasan seluas 1.860 meter persegi dengan kawasan pembinaan sekitar 1,077 meter persegi.

Bangunan utamanya termasuk ruang solat, Walaupun maklumat dari internet mengatakan Masjid Xianxian mempunyai ruang solat dua tingkat, kami tidak perasaan bahagian binaan yang ini. Ia dikatakan boleh memuat sehingga 3,000 orang untuk mengerjakan solat. Semua dewan dan kemudahan lain di dalam tanah perkuburan dibina dengan gaya Dinasti Ming.
Dewan solat masjid .... sementara menunggu solat Jumaat
Para Jemaah dari berbagai bangsa
Mihrab dan mimbar masjid
Suasana di luar pintu masjid selepas
Solat Jumaat .... 30 Ogos 2019
Masjid Xianxian juga disebut Pemakaman HuiHui (bunyi berulang?), kerana suara di dalamnya akan bergema, mengikut maklumat dari internet. Ramai dari kalangan penduduk tempatan tidak berapa tahu tempat ini kalau disebut masjid. Kami menaiki teksi ke tempat ini walaupun dekat sahaja sebenarnya dengan hotel kami, kerana saya ada masalah berjalan. Banyak teksi yang tidak sudi mengambil kami  bila ditunjuk nama masjid (mungkin tidak pasti tempatnya?) dan yang sudi menghantar itu pun mengenakan tambang yang berganda-ganda.

Pada hari tersebut saya juga sempat melaksanakan solat Jumaat di masjid ini tetapi saya bersolat di luar, di kawasan yang telah disediakan kerana kebetulan di situ ada kerusi yang boleh saya duduk semasa solat. Sebenarnya ada juga bilik solat wanita yang disediakan di belakang kawasan ini.
Kawasan solat wanita yang disediakan di luar masjid
Alhamdulillah .... kami berjaya menambah koleksi masjid yang dilawati di luar negara, apatah lagi masjid ini berumur lebih dari 1300 tahun!


Related posts:
Jalan-jalan di China 2 - Shamian Island



Jalan-jalan di China 2 - Guangzhou

Jalan-jalan di China - Nanjing Yangtze River Bridge

Jalan-jalan di China - Berbuka di Restoran Lee's Hotpot Nanjing

Jalan-jalan di China - Masjid Jingjue Nanjing

Jalan-jalan di China - Shanghai