Tuesday, 16 September 2008

Ramadhan September 2008


RAMADHAN tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun yang lepas. Kalau tahun yang lepas-lepas saya sibuk  menjahit baju melayu anak-anak saya tetapi kali ini saya membeli yang sudah siap saja. Alasannya supaya saya ada masa yang lebih untuk beribadah.  Pendapatan suami yang lebih "besar" dari dulu-dulu juga melayakkan saya  untuk menumpukan masa yang lebih pada amalan ibadah dalam bulan yang mulia ini.

Namun masih ada beberapa perkara yang merunsingkan saya menjelang sambutan Aidilfitri kali ini. Suami telah mengajak saya menemaninya berseminar di Mesir dan hari yang ditetapkan sangat hampir dengan Hari Raya ini. Apa yang menggusarkan saya adalah pengurusan anak-anak selepas percutian Hari Raya . Masing-masing kena balik ke tempat belajar mereka. Selalunya saya akan "monitor" mereka sebelum balik supaya tidak ada benda-benda penting yang tertinggal, memastikan  bekalan perbelanjaan  yang mencukupi dan sebagainya.

Persediaan yang cukup rapi harus ada supaya semua yang dirancang berjalan seperti yang dikehendaki. Namun kita hanya boleh merancang kerana yang menentukan kejayaannya  hanyalah Allah SWT.  Kekadang yang dirancang tidak menjadi seperti apa  yang dikehendaki kerana sudah ditakdirkan sedemikian  Apa yang kita patut  buat ialah kita berusaha, kemudian bertawakkal serta berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan yang mendatang.

Saya amat menghargai keinginan suami membawa saya bersamanya ke luar negara, tetapi masa yang kurang  sesuai menyebabkan saya tidak begitu teruja. Kerisauan mengatasi kegembiraan berpeluang menziarahi negara yang sarat dengan sejarah Islam. Perasaan  tidak yakin dengan kemampuan anak-anak  mengurus diri mereka sendiri menguasai diri saya. Semalam kami telah berbincang dengan anak sulung apa yang patut dia buat semasa ketiadaan kami. Sepatutnya kami boleh mengharapkannya untuk mengurus adik-adiknya, tetapi seperti yang saya sebut tadi saya kurang yakin dengannya.

Saya betul-betul mengharapkan bantuan dari Ilahi dalam hal ini. Semoga semua yang dirancang  berjalan seperti yang dikehendaki.