Wednesday, 24 February 2016

Labbaikallahumma Labbaik - Aku memenuhi panggilanMu (2)


Bacaan Talbiah:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ


Labbaikallahumma Labbaik

Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik

Innalhamda Wan Ni'mata

Laka Wal Mulk

Laa Syarikalak

Erti bacaan talbiyah:

Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Kenangan lalu

Masih terdengar-dengar lagi bacaan talbiah yang kami baca beramai-ramai di dalam bas hampir 3 minggu lepas ketika melaksanakan ibadah umrah. Pada 27 Januari lepas, saya, suami dan seorang anak perempuan telah pergi membuat umrah. Ini umrah pertama kami selepas menunaikan ibadah haji pada tahun 2002. Pakej umrah kami bermula dari 27 Januari sehingga 7 Februari 2016 melalui Al-Zahabi Travel.

Pada 2011 saya ada menulis di sini melahirkan perasaan rindu saya kepada Mekah dan Madinah dan keinginan melihat kaabah sekali lagi. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah sekali lagi dalam keadaan saya yang kurang cergas. Dalam tulisan itu saya mengharapkan ibadah haji saya diterima oleh Allah, seterusnya mendapat haji mabrur. Pada ibadah umrah kali ini juga saya mengharapkan perkara yang sama. Amat rugi sekali jika ibadah umrah kita tidak diterima memandangkan begitu banyak wang ringgit dan tenaga yang dikeluarkan demi menunaikan ibadah ini.

Puas!......selama seminggu, tiap-tiap hari tengok kaabah dan bermunajat di hadapannya
Kelihatan pancuran emas yang mengalirkan air dari bumbung kaabah

Perkongsian

Kali ini saya bukan hendak menulis khusus pasal pengalaman ibadah umrah ini sahaja tetapi lebih kepada pengalaman menjalani kehidupan selama seminggu di sekitar Masjidil Haram, sebagai seorang musafir. Di Madinah tidak banyak yang hendak dikongsikan kerana kami hanya berada di sana selama 3 hari. Saya  juga ingin berkongsi beberapa panduan atau tips yang boleh saya rumus dari pengalaman yang dilalui.

Panduan pertama dan utama yang ingin dikongsikan ialah bagaimana memilih pakej umrah yang terbaik untuk diri kita. Setiap dari kita inginkan yang terbaik tetapi ada kalanya kekangan kewangan tidak mengizinkan kita memilih pakej yang diidamkan. Tips yang akan saya berikan hanya sesuai bagi mereka yang mempunyai bajet yang 'ketat' dan ada masalah kesihatan. Kami pergi bertiga dan saya pula ada masalah sakit lutut yang tidak membolehkan saya berjalan jauh. Kalau boleh saya ingin mencari pakej yang menawarkan tempat tinggal, 3 orang sebilik serta yang jaraknya  hanya 50m dari masjid, dan ini mustahil berlaku dengan bajet yang telah kami tetapkan.

Kami telah menetapkan bajet hanya sekitar RM5,000 seorang, dan melalui Al-Zahabi Travel kami mendapat pakej yang menawarkan lebih kurang RM5,200 seorang. Sudah tentu ini bukan pakej yang diidamkan, yang jauh lebih mahal dari ini. Walau apa pun kami terpaksa berpuas hati dengan apa yang kami dapat.....yang penting hajat untuk membuat umrah tercapai dan masalah lain yang akan datang terserah pada Allah SWT. Kami iringi pemergian kami dengan doa...."Semoga Allah permudahkan urusan ibadah umrah kami"

Apabila kita mencari travel agent untuk umrah, kita tidak boleh hanya melihat kepada harga pakej dan status agen sahaja. Tidak semestinya pakej yang mahal dan syarikat agennya besar, bermakna semuanya akan baik belaka. Saya ada terbaca dan mendengar cerita dari mutawwif umrah kami, di mana agen-agen yang ternama ini juga kadang-kadang  tidak terlepas  dari kelemahan-kelemahan dalam khidmat yang  mereka beri kepada para jemaah mereka.

Fakta dan Tips

1. Harga pakej - banyak bergantung pada

-  syarikat kapalterbang yang dinaiki (penerbangan terus, transit, tambang murah dll)

-  masa (musim cuti sekolah, Ramadan dll)

-  khidmat yang ditawarkan (mutawwif, makan, jumlah *umrah yang diberi, tempat yang diziarah. kursus dll)
     *umrah ni bermakasud pihak agen membawa kita ke miqat secara 'percuma'. Contohnya, Al-Zahabi menawarkan 3 kali umrah kepada kami dengan membawa kami ke miqat Bir Ali, Ja'ranah dan Hudaibiyah dengan bas. Maknanya tambang bas sudah termasuk dalam harga pakej. Jikalau kita pergi sendiri, contohnya ke Tanai'm (lagi satu miqat), tambang teksi yang paling murah pun sebanyak 60 Riyal, pergi dan balik. Ada syarikat agen yang menawarkan hanya 2 kali umrah.

- berapa orang sebilik ( 2,3,4 atau 5?)    .....lagi ramai lagi *murah
   *murah ..... kami mengambil pakej 4 orang sebilik. Jadi saya dan anak perempuan terpaksa berpisah daripada suami.Dalam pakej ini jumlah bilangan penghuni bilik ini sahaja yang berbeza tetapi servis yang lain-lain semua sama. Ada sedikit kesusahan yang dialami apabila berkongsi ramai sebilik iaitu giliran ke bilik air selain masalah komunikasi dengan suami. Namun rasanya berbaloi dengan penjimatan harga yang didapati dari pakej ini.

-  jarak hotel dari masjid.....lagi dekat lagi *mahal
    *mahal ..... di Madinah hotel yang diberi berjarak 150m dari Masjid Nabawi. Tidak terlalu jauh tetapi disebabkan saya sakit lutut, terasa jugalah 'keletihan' berjalan. Jadi kami tidak balik ke hotel setiap lepas waktu solat. Ada kalanya kami terpaksa tidak balik makan tengahari atau malam jika ada urusan lain antara waktu solat kerana tidak sempat hendak balik hotel.
...... di Mekah pula jarak hotel kami dari Masjidil Haram ialah 400m. Bagi saya memang terasa jauh tetapi bagi yang sihat tidak berapa jauh. Di sini juga kami buat seperti di Madinah tetapi kami selalu balik ke hotel dengan menaiki teksi. Tambang teksi 10 Riyal sekali jalan ( kena tawar- menawar). Purata kami menghabiskan antara 30-40 Riyal sehari untuk tambang teksi. Jadi 7 hari tambang teksi kami (3 orang) ialah antara 200-300 Riyal. Perbelanjaan tambahan ini juga berbaloi kerana jika kami ambil pakej hotel yang lebih dekat, kami terpaksa membayar tambahan beribu RM jumlahnya untuk 3 orang. Ada agen yang menawarkan pakej yang tidak sampai RM5,000 tetapi bila dilihat jarak hotel dari masjid hampir 1km .... ini terlalu jauh bagi saya.

2. Mutawwif - jika boleh buat pilihan carilah agen yang menawarkan mutawwif yang muda dan lebih aktif dalam memberi khidmat nasihat ketika di Tanah Haram. Kami kurang berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh mutawwif kami. Mungkin kerana faktor umur.

3. Kursus - hadir kursus yang diberi terutama bagi mereka yang firstimer. Walaupun telah pernah pergi haji atau umrah sebelum ini elok juga hadirkan diri. Kursus ini dapat membantu kita supaya bertambah yakin melaksanakan ibadah yang bukan tiap-tiap hari kita buat. Kadang-kadang ada perkara yang kita terlupa berkait dengan ibadah ini.... yang mana satu rukun, yang mana wajib dan yang mana pula sunat umrah. Kemudian ada larangan yang boleh dan tidak boleh kita buat ketika berikhram dan lain-lain lagi, yang barangkali kita sudah lupa.

4. Kebanyakan agen menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Waktu makan telah ditetapkan dan jika kita lewat, kita kenalah tanggung risiko kehabisan makanan. Makanan di luar sangat mahal terutama di kedai-kedai besar, ditambah pula nilai ringgit yang menurun. Makanan ringan seperti biskut, saya bawa dari Malaysia untuk menjimatkan kos atau perbelanjaan. Ia menjadi bekalan makanan saya antara waktu ketika menunggu waktu solat di masjid, jika saya lapar. Air minum tidak menjadi masalah kerana ada disediakam air zamzam dalam masjid. Ubat-ubatan juga elok dibawa dari Malaysia.

Bekalan air zamzam yang disediakan di dalam masjid
5. Zikir...... سبحانالله والحمدلله ولااله الا الله والله اكبر ...... menjadi sumber tenaga saya. Setiap kali saya berjalan dan terasa lutut begitu sakit, saya akan membaca zikir di atas dan alhamdulillah saya mampu terus berjalan. Keadaan ini berlaku ketika berjalan kaki  dari hotel ke masjid atau sebaliknya, ketika tawaf dan terutama ketika sai'. Saya hampir-hampir kena naik kerusi roda ketika hendak membuat sai' pertama dan kedua tetapi membatalkan niat di saat akhir kerana takut tidak mendapat kepuasan sebenar bersai' dengan cara itu. Lagi pun sewa kerusi roda itu boleh mencecah sehingga 70 Riyal. Akhirnya saya berjaya melaksanakan 3 umrah dengan berjalan secara sempurna....alhamdulillah!

6. Ditipu - berhati-hati dengan penjaja di jalanan. Saya dan seorang lagi ahli kumpulan kami telah diperdaya oleh penjaja-penjaja ini. Saya telah membeli 3 helai baju abaya yang dijual murah kononnya, secara tergesa-gesa (seolah-olah memaksa), tetapi apabila diperiksa secara teliti ketika di bilik, ternyata semua baju itu sudah rosak. Kawan saya pula telah terbeli quran wakaf tiruan dengan harga yang jauh lebih murah dari yang asli. Quran yang ori ada cop untuk diwakafkan ke masjid dengan harga 50 Riyal sebuah tetapi quran tiruan berharga hanya 20 Riyal sebuah dan tiada cop untuk wakaf. Beliau terpaksa beli yang lain untuk diwakafkan ke Masjidil Haram.

7. Hilang
-  bukan setakat selipar saja yang hilang di tanah suci. Orang juga boleh hilang. Ketika kami di Mekah ada 2 orang Malaysia (lelaki dan perempuan) yang hilang di samping beberapa warganegara lain. Notis kehilangan mereka ini ditampal di tiang-tiamg di tepi jalan. Melalui mutawwif kami, dikhabarkan lelaki yang hilang itu telah dijumpai kembali dalam keadaan kebingungan. Jadi perlu berhati-hati sangat dengan orang 'jahat' di sini. Mereka boleh jadi pemandu teksi, pekerja masjid, pencuci. buruh binaan atau sesiapa sahaja. Kebanyakan mereka adalah pekerja asing, bukan orang Arab.

-  satu lagi yang selalu sangat hilang di sini ialah selipar, samada yang disimpan di luar atau dalam masjid. Semasa buat haji pada 2002 suami saya kehilangan seliparnya di Masjidil Haram. Pada kali ini  giliran saya pula hilang selipar di Masjid Nabawi. Kemudian anak perempuan saya pula kehilangan seliparnya (yang baru dibeli di Madinah) di Masjidil Haram. Sedih sangat dia kerana belum puas lagi pakai selipar itu, sudah hilang. Allahu akbar!....tak tau nak kata apa. Kawan saya yang ditipu dengan quran tiruan itu juga kehilangan selipar sebanyak 2 kali. Jadi untuk mengelak perkara itu berulang kami bawalah selipar ke mana sahaja kami solat tetapi jika ingin bertawaf terpaksa juga ditinggalkan selipar di mana-mana yang selamat dan kena ingat tempat  yang ditinggalakan. Pernah 2 kali berlaku pada kami ...... terlupa tempat di mana kami menyimpan kasut dan menghabiskan masa hampir setengah jam mencarinya.

Rak kasut di tepi dinding dalam Masjidil Haram
......di sini juga selipar boleh hilang...angkara siapa agaknya?
8. Sim kad talipon bimbit - pakejnya sangat mahal. Kalau kita hendak berkomunikasi antara keluarga tentulah memerlukan sekurang-kurangnya 2 sim kad. Jikalau satu sim kad sahaja, pakej permulaannya sudah berharga 70 riyal ..... 2 kad kita kena berbelanja sehingga 140 riyal. Kadang-kadang kad yang dibeli tidak boleh berfungsi, mengikut kata mereka yang sudah berpengalaman. Oleh kerana itu ramai di antara kami tidak dapat menggunakan talipon sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Keadaan ini sangat menyusahkan apabila kita perlu berkomunikasi antara satu sama lain apabila terpisah. Saya dan suami ada terfikir ..... lain kali mungkin boleh guna walkie talkie sebagai alternatif. Sekurang-kurangnya boleh berhubung ketika berada di hotel atau di kawasan masjid.

9. Kulit kering - jika pergi ketika musim sejuk pastikan bawa bekalan 'body lotion' yang banyak dan juga pelembap muka. Ketika kami di Madinah cuaca sangat sejuk dan kering menyebabkan luka-luka di jari-jari tangan saya kerana kulit terkoyak di tepi-tepi kuku, sehingga ada yang bernanah. Jika ada yang bernanah, pakaikan inai yang banyak terjual di sana. Selain daripada tangan, kulit tapak kaki juga akan mengering dan menjadi kasar sehingga boleh menyebabkannya berdarah apabila bergesel dengan setoking yang dipakai, jika dibiarkan. Seluruh badan juga akan terasa gatal setiap kali lepas mandi. Untuk mengelak daripada keadaan yang tidak selesa ini, sapulah seluruh badan dengan 'body lotion'.

10. Akhir sekali perbanyakkan doa dan ikhlaskan ibadah kita hanya untuk Allah SWT. Saya sentiasa berdoa sepanjang di sana agar Allah permudahkan urusan ibadah kami. Ternyata doa saya dimakbulkan ...... saya mampu melaksanakan ibadah saya dengan sempurna walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik. Saya tidak mendapat selsema dan batuk di sana walaupun saya jenis yang mudah dijangkiti. Walaupun begitu saya terkena juga batuk dan selsema ketika dalam kapalterbang sewaktu perjalanan pulang.

Allah itu maha besar. Masalah-masalah kesihatan yang saya hadapi di sini seperti penyakit 'berangin', yang menyebabkan kita sukar menyimpan wuduk, tidak saya hadapi ketika di tanah suci. Dua kali pengalaman berada di tanah suci menyakinkan saya akan sifat rahmah Allah terhadap hambanya ...... alhamdulillah! Saya juga bersyukur semua aktiviti yang dirancang untuk kami berjalan lancar tanpa sebarang gangguan yang besar. Terima kasih pada Al-Zahabi di atas khidmat yang tidak cemerlang tetapi 'mencukupi'.

Akhir kalam ... semoga ibadah umrah kami diterima Allah  dan mendapat haji mabrur ....... ameen