Showing posts with label haji. Show all posts
Showing posts with label haji. Show all posts

Wednesday, 24 February 2016

Labbaikallahumma Labbaik - Aku memenuhi panggilanMu (2)


Bacaan Talbiah:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ


Labbaikallahumma Labbaik

Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik

Innalhamda Wan Ni'mata

Laka Wal Mulk

Laa Syarikalak

Erti bacaan talbiyah:

Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Kenangan lalu

Masih terdengar-dengar lagi bacaan talbiah yang kami baca beramai-ramai di dalam bas hampir 3 minggu lepas ketika melaksanakan ibadah umrah. Pada 27 Januari lepas, saya, suami dan seorang anak perempuan telah pergi membuat umrah. Ini umrah pertama kami selepas menunaikan ibadah haji pada tahun 2002. Pakej umrah kami bermula dari 27 Januari sehingga 7 Februari 2016 melalui Al-Zahabi Travel.

Pada 2011 saya ada menulis di sini melahirkan perasaan rindu saya kepada Mekah dan Madinah dan keinginan melihat kaabah sekali lagi. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah sekali lagi dalam keadaan saya yang kurang cergas. Dalam tulisan itu saya mengharapkan ibadah haji saya diterima oleh Allah, seterusnya mendapat haji mabrur. Pada ibadah umrah kali ini juga saya mengharapkan perkara yang sama. Amat rugi sekali jika ibadah umrah kita tidak diterima memandangkan begitu banyak wang ringgit dan tenaga yang dikeluarkan demi menunaikan ibadah ini.

Puas!......selama seminggu, tiap-tiap hari tengok kaabah dan bermunajat di hadapannya
Kelihatan pancuran emas yang mengalirkan air dari bumbung kaabah

Perkongsian

Kali ini saya bukan hendak menulis khusus pasal pengalaman ibadah umrah ini sahaja tetapi lebih kepada pengalaman menjalani kehidupan selama seminggu di sekitar Masjidil Haram, sebagai seorang musafir. Di Madinah tidak banyak yang hendak dikongsikan kerana kami hanya berada di sana selama 3 hari. Saya  juga ingin berkongsi beberapa panduan atau tips yang boleh saya rumus dari pengalaman yang dilalui.

Panduan pertama dan utama yang ingin dikongsikan ialah bagaimana memilih pakej umrah yang terbaik untuk diri kita. Setiap dari kita inginkan yang terbaik tetapi ada kalanya kekangan kewangan tidak mengizinkan kita memilih pakej yang diidamkan. Tips yang akan saya berikan hanya sesuai bagi mereka yang mempunyai bajet yang 'ketat' dan ada masalah kesihatan. Kami pergi bertiga dan saya pula ada masalah sakit lutut yang tidak membolehkan saya berjalan jauh. Kalau boleh saya ingin mencari pakej yang menawarkan tempat tinggal, 3 orang sebilik serta yang jaraknya  hanya 50m dari masjid, dan ini mustahil berlaku dengan bajet yang telah kami tetapkan.

Kami telah menetapkan bajet hanya sekitar RM5,000 seorang, dan melalui Al-Zahabi Travel kami mendapat pakej yang menawarkan lebih kurang RM5,200 seorang. Sudah tentu ini bukan pakej yang diidamkan, yang jauh lebih mahal dari ini. Walau apa pun kami terpaksa berpuas hati dengan apa yang kami dapat.....yang penting hajat untuk membuat umrah tercapai dan masalah lain yang akan datang terserah pada Allah SWT. Kami iringi pemergian kami dengan doa...."Semoga Allah permudahkan urusan ibadah umrah kami"

Apabila kita mencari travel agent untuk umrah, kita tidak boleh hanya melihat kepada harga pakej dan status agen sahaja. Tidak semestinya pakej yang mahal dan syarikat agennya besar, bermakna semuanya akan baik belaka. Saya ada terbaca dan mendengar cerita dari mutawwif umrah kami, di mana agen-agen yang ternama ini juga kadang-kadang  tidak terlepas  dari kelemahan-kelemahan dalam khidmat yang  mereka beri kepada para jemaah mereka.

Fakta dan Tips

1. Harga pakej - banyak bergantung pada

-  syarikat kapalterbang yang dinaiki (penerbangan terus, transit, tambang murah dll)

-  masa (musim cuti sekolah, Ramadan dll)

-  khidmat yang ditawarkan (mutawwif, makan, jumlah *umrah yang diberi, tempat yang diziarah. kursus dll)
     *umrah ni bermakasud pihak agen membawa kita ke miqat secara 'percuma'. Contohnya, Al-Zahabi menawarkan 3 kali umrah kepada kami dengan membawa kami ke miqat Bir Ali, Ja'ranah dan Hudaibiyah dengan bas. Maknanya tambang bas sudah termasuk dalam harga pakej. Jikalau kita pergi sendiri, contohnya ke Tanai'm (lagi satu miqat), tambang teksi yang paling murah pun sebanyak 60 Riyal, pergi dan balik. Ada syarikat agen yang menawarkan hanya 2 kali umrah.

- berapa orang sebilik ( 2,3,4 atau 5?)    .....lagi ramai lagi *murah
   *murah ..... kami mengambil pakej 4 orang sebilik. Jadi saya dan anak perempuan terpaksa berpisah daripada suami.Dalam pakej ini jumlah bilangan penghuni bilik ini sahaja yang berbeza tetapi servis yang lain-lain semua sama. Ada sedikit kesusahan yang dialami apabila berkongsi ramai sebilik iaitu giliran ke bilik air selain masalah komunikasi dengan suami. Namun rasanya berbaloi dengan penjimatan harga yang didapati dari pakej ini.

-  jarak hotel dari masjid.....lagi dekat lagi *mahal
    *mahal ..... di Madinah hotel yang diberi berjarak 150m dari Masjid Nabawi. Tidak terlalu jauh tetapi disebabkan saya sakit lutut, terasa jugalah 'keletihan' berjalan. Jadi kami tidak balik ke hotel setiap lepas waktu solat. Ada kalanya kami terpaksa tidak balik makan tengahari atau malam jika ada urusan lain antara waktu solat kerana tidak sempat hendak balik hotel.
...... di Mekah pula jarak hotel kami dari Masjidil Haram ialah 400m. Bagi saya memang terasa jauh tetapi bagi yang sihat tidak berapa jauh. Di sini juga kami buat seperti di Madinah tetapi kami selalu balik ke hotel dengan menaiki teksi. Tambang teksi 10 Riyal sekali jalan ( kena tawar- menawar). Purata kami menghabiskan antara 30-40 Riyal sehari untuk tambang teksi. Jadi 7 hari tambang teksi kami (3 orang) ialah antara 200-300 Riyal. Perbelanjaan tambahan ini juga berbaloi kerana jika kami ambil pakej hotel yang lebih dekat, kami terpaksa membayar tambahan beribu RM jumlahnya untuk 3 orang. Ada agen yang menawarkan pakej yang tidak sampai RM5,000 tetapi bila dilihat jarak hotel dari masjid hampir 1km .... ini terlalu jauh bagi saya.

2. Mutawwif - jika boleh buat pilihan carilah agen yang menawarkan mutawwif yang muda dan lebih aktif dalam memberi khidmat nasihat ketika di Tanah Haram. Kami kurang berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh mutawwif kami. Mungkin kerana faktor umur.

3. Kursus - hadir kursus yang diberi terutama bagi mereka yang firstimer. Walaupun telah pernah pergi haji atau umrah sebelum ini elok juga hadirkan diri. Kursus ini dapat membantu kita supaya bertambah yakin melaksanakan ibadah yang bukan tiap-tiap hari kita buat. Kadang-kadang ada perkara yang kita terlupa berkait dengan ibadah ini.... yang mana satu rukun, yang mana wajib dan yang mana pula sunat umrah. Kemudian ada larangan yang boleh dan tidak boleh kita buat ketika berikhram dan lain-lain lagi, yang barangkali kita sudah lupa.

4. Kebanyakan agen menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Waktu makan telah ditetapkan dan jika kita lewat, kita kenalah tanggung risiko kehabisan makanan. Makanan di luar sangat mahal terutama di kedai-kedai besar, ditambah pula nilai ringgit yang menurun. Makanan ringan seperti biskut, saya bawa dari Malaysia untuk menjimatkan kos atau perbelanjaan. Ia menjadi bekalan makanan saya antara waktu ketika menunggu waktu solat di masjid, jika saya lapar. Air minum tidak menjadi masalah kerana ada disediakam air zamzam dalam masjid. Ubat-ubatan juga elok dibawa dari Malaysia.

Bekalan air zamzam yang disediakan di dalam masjid
5. Zikir...... سبحانالله والحمدلله ولااله الا الله والله اكبر ...... menjadi sumber tenaga saya. Setiap kali saya berjalan dan terasa lutut begitu sakit, saya akan membaca zikir di atas dan alhamdulillah saya mampu terus berjalan. Keadaan ini berlaku ketika berjalan kaki  dari hotel ke masjid atau sebaliknya, ketika tawaf dan terutama ketika sai'. Saya hampir-hampir kena naik kerusi roda ketika hendak membuat sai' pertama dan kedua tetapi membatalkan niat di saat akhir kerana takut tidak mendapat kepuasan sebenar bersai' dengan cara itu. Lagi pun sewa kerusi roda itu boleh mencecah sehingga 70 Riyal. Akhirnya saya berjaya melaksanakan 3 umrah dengan berjalan secara sempurna....alhamdulillah!

6. Ditipu - berhati-hati dengan penjaja di jalanan. Saya dan seorang lagi ahli kumpulan kami telah diperdaya oleh penjaja-penjaja ini. Saya telah membeli 3 helai baju abaya yang dijual murah kononnya, secara tergesa-gesa (seolah-olah memaksa), tetapi apabila diperiksa secara teliti ketika di bilik, ternyata semua baju itu sudah rosak. Kawan saya pula telah terbeli quran wakaf tiruan dengan harga yang jauh lebih murah dari yang asli. Quran yang ori ada cop untuk diwakafkan ke masjid dengan harga 50 Riyal sebuah tetapi quran tiruan berharga hanya 20 Riyal sebuah dan tiada cop untuk wakaf. Beliau terpaksa beli yang lain untuk diwakafkan ke Masjidil Haram.

7. Hilang
-  bukan setakat selipar saja yang hilang di tanah suci. Orang juga boleh hilang. Ketika kami di Mekah ada 2 orang Malaysia (lelaki dan perempuan) yang hilang di samping beberapa warganegara lain. Notis kehilangan mereka ini ditampal di tiang-tiamg di tepi jalan. Melalui mutawwif kami, dikhabarkan lelaki yang hilang itu telah dijumpai kembali dalam keadaan kebingungan. Jadi perlu berhati-hati sangat dengan orang 'jahat' di sini. Mereka boleh jadi pemandu teksi, pekerja masjid, pencuci. buruh binaan atau sesiapa sahaja. Kebanyakan mereka adalah pekerja asing, bukan orang Arab.

-  satu lagi yang selalu sangat hilang di sini ialah selipar, samada yang disimpan di luar atau dalam masjid. Semasa buat haji pada 2002 suami saya kehilangan seliparnya di Masjidil Haram. Pada kali ini  giliran saya pula hilang selipar di Masjid Nabawi. Kemudian anak perempuan saya pula kehilangan seliparnya (yang baru dibeli di Madinah) di Masjidil Haram. Sedih sangat dia kerana belum puas lagi pakai selipar itu, sudah hilang. Allahu akbar!....tak tau nak kata apa. Kawan saya yang ditipu dengan quran tiruan itu juga kehilangan selipar sebanyak 2 kali. Jadi untuk mengelak perkara itu berulang kami bawalah selipar ke mana sahaja kami solat tetapi jika ingin bertawaf terpaksa juga ditinggalkan selipar di mana-mana yang selamat dan kena ingat tempat  yang ditinggalakan. Pernah 2 kali berlaku pada kami ...... terlupa tempat di mana kami menyimpan kasut dan menghabiskan masa hampir setengah jam mencarinya.

Rak kasut di tepi dinding dalam Masjidil Haram
......di sini juga selipar boleh hilang...angkara siapa agaknya?
8. Sim kad talipon bimbit - pakejnya sangat mahal. Kalau kita hendak berkomunikasi antara keluarga tentulah memerlukan sekurang-kurangnya 2 sim kad. Jikalau satu sim kad sahaja, pakej permulaannya sudah berharga 70 riyal ..... 2 kad kita kena berbelanja sehingga 140 riyal. Kadang-kadang kad yang dibeli tidak boleh berfungsi, mengikut kata mereka yang sudah berpengalaman. Oleh kerana itu ramai di antara kami tidak dapat menggunakan talipon sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Keadaan ini sangat menyusahkan apabila kita perlu berkomunikasi antara satu sama lain apabila terpisah. Saya dan suami ada terfikir ..... lain kali mungkin boleh guna walkie talkie sebagai alternatif. Sekurang-kurangnya boleh berhubung ketika berada di hotel atau di kawasan masjid.

9. Kulit kering - jika pergi ketika musim sejuk pastikan bawa bekalan 'body lotion' yang banyak dan juga pelembap muka. Ketika kami di Madinah cuaca sangat sejuk dan kering menyebabkan luka-luka di jari-jari tangan saya kerana kulit terkoyak di tepi-tepi kuku, sehingga ada yang bernanah. Jika ada yang bernanah, pakaikan inai yang banyak terjual di sana. Selain daripada tangan, kulit tapak kaki juga akan mengering dan menjadi kasar sehingga boleh menyebabkannya berdarah apabila bergesel dengan setoking yang dipakai, jika dibiarkan. Seluruh badan juga akan terasa gatal setiap kali lepas mandi. Untuk mengelak daripada keadaan yang tidak selesa ini, sapulah seluruh badan dengan 'body lotion'.

10. Akhir sekali perbanyakkan doa dan ikhlaskan ibadah kita hanya untuk Allah SWT. Saya sentiasa berdoa sepanjang di sana agar Allah permudahkan urusan ibadah kami. Ternyata doa saya dimakbulkan ...... saya mampu melaksanakan ibadah saya dengan sempurna walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik. Saya tidak mendapat selsema dan batuk di sana walaupun saya jenis yang mudah dijangkiti. Walaupun begitu saya terkena juga batuk dan selsema ketika dalam kapalterbang sewaktu perjalanan pulang.

Allah itu maha besar. Masalah-masalah kesihatan yang saya hadapi di sini seperti penyakit 'berangin', yang menyebabkan kita sukar menyimpan wuduk, tidak saya hadapi ketika di tanah suci. Dua kali pengalaman berada di tanah suci menyakinkan saya akan sifat rahmah Allah terhadap hambanya ...... alhamdulillah! Saya juga bersyukur semua aktiviti yang dirancang untuk kami berjalan lancar tanpa sebarang gangguan yang besar. Terima kasih pada Al-Zahabi di atas khidmat yang tidak cemerlang tetapi 'mencukupi'.

Akhir kalam ... semoga ibadah umrah kami diterima Allah  dan mendapat haji mabrur ....... ameen



Wednesday, 12 October 2011

Labbaikallahumma Labbaik - Aku memenuhi panggilanMu

Bacaan Talbiah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni'mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak

Erti bacaan talbiyah:

Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu



Setiap kali  mendengar bacaan talbiah ini teringat ketika saya dan suami berada di Tanah Suci menunaikan ibadat haji lebih kurang 10 tahun yang lalu. Pilu dan sedih mendengarnya dek perasaan rindu untuk menziarahinya sekali lagi. Kami teringin sangat untuk kembali ke sana tetapi keadaan tidak menizinkan buat masa ini.

Sehingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya, "Apakah saya mendapat haji mabrur?", "Apakah saya sudah laksanakan semua rukun-rukun haji itu dengan sempurna?". Alangkah ruginya kalau ibadat haji saya itu tidak diterima ..... kerana itulah perlu berhati-hati dalam menunaikannya ...... persediaan dari sudut fizikal dan rohani amat-amat  diperlukan.

Apakah Haji Mabrur?

Para pakar fiqh mengatakan bahawa yang dimaksud haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan pada ketika melaksanakan rangkaian manasiknya (tata cara haji).

Al Hasan Al Bashri rahimahullah mengatakan,

“Haji mabrur adalah jika sekembali dari haji menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan merindukan akhirat.”

Al Qurthubi rahimahullah  menyimpulkan,

“Haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori oleh maksiat ketika melaksanakan manasik dan tidak lagi gemar bermaksiat setelah balik haji.”


Manakala An Nawawi rahimahullah pula berkata,

“Pendapat yang paling kuat dan yang paling terkenal, haji mabrur adalah haji yang tidak  dinodai oleh dosa, diambil dari kata-kata birr yang bermakna ketaatan. Ada juga yang berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima. Di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari pergi haji dan tidak membiasakan diri melakukan berbagai maksiat. Ada pula yang mengatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri unsur riya’. Ulama yang lain berpendapat bahawa haji mabrur adalah jika sekembali dari haji tidak lagi bermaksiat. Dua pendapat yang terakhir telah tercakup dalam pendapat-pendapat sebelumnya.”

Setelah faham apa yang dimaksudkan dengan haji mabrur, maka sewajarnya orang yang berhasil mencapai ketetapan  tersebut akan mendapatkan keutamaan sebagaimana yang disebutkan dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“Dan haji mabrur tidak ada balasan yang layak baginya selain syurga.”

(HR. Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1349).

An Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Yang dimaksud, ‘tidak ada balasan yang layak baginya selain syurga’, bahawasanya haji mabrur tidak cukup jika pelakunya dihapuskan sebagian kesalahannya; bahkan ia memang layak untuk masuk syurga.”

Di antara bukti dari haji mabrur adalah gemar berbuat baik terhadap sesama insan.Dari Jabir, ia berkata bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang haji yang mabrur. Jawapan beliau,

إطعام الطعام و طيب الكلام

“Suka bersedekah dengan cara memberi makan dan memiliki tutur kata yang baik”      (HR. Hakim no. 1778)
Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan.

Demikianlah kriteria haji mabrur. Kriteria penting pada haji mabrur adalah haji tersebut dilakukan dengan ikhlas dan bukan atas dasar riya’, hanya ingin mencari pujian, seperti ingin disebut “Pak Haji”. Ketika melakukan haji pun melalui jalan yang benar, bukan dengan cara menipu atau menggunakan harta yang haram. Ketika melakukan manasik haji, harus menjauhi maksiat, ini juga termasuk kriteria mabrur. Begitu pula disebut mabrur adalah sesudah menunaikan haji tidak boleh lagi berbuat maksiat tetapi berusaha menjadi yang lebih baik.

Adalah  menjadi tanda tanya besar jika seseorang selepas haji  masih meneruskan maksiat yang dulu sering ia lakukan, seperti seringnya ponteng solat lima waktu, masih suka mengisap rokok atau malah masih berseronok berkumpul untuk berjudi. Kalau di kalangan artis pula masih aktif dengan aktiviti lama mereka dan kalau yang perempuan masih tidak menutup aurat, malah masih ada yang berpakaian seksi. Manakala para pemimpin pula tidak menunjukkan sebarang perubahan pada cara kepimpinan mereka, masih mengamalkan rasuah, menipu dan tidak amanah.

Jika demikian keadaannya, maka sungguh sia-sia haji yang ia lakukan. Pembiayaan  yang beribu dan tenaga yang tercurah selama haji, jadi sia-sia belaka.

Monday, 8 November 2010

Kemuliaan dan Keutamaan 10 hari Pertama Bulan Zulhijjah

Hari ini 1 Zulhijjah 1431 Hijrah ...... bermulalah "Jualan Mega" yang Allah tawarkan kepada kita selama 10 hari. Marilah kita sama-sama merebut tawaran ini dengan mengutip sebanyak pahala yang mungkin dengan memperbanyakkan amal ibadah sepanjang 10 hari tertentu ini.

Pada sepuluh hari pertamanya terdapat banyak kemuliaan dan keutamaan serta dipenuhi barakah. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh yang bersifat tahunan. Maka hendaknya seorang muslim menantikan kehadirannya, memanfaatkannya dengan melaksanakan berbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar mendekatkan dirinya kepada Allah Ta’ala dan membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa yang tenang dan semangat yang berkobar.

Bukti kemuliaan ini, Allah Ta’ala bersumpah dengannya dalam Al-Qur’an al-Karim.

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Demi fajar, dan malam yang sepuluh.” (QS. Al-Fajr: 1-2)

Imam al-Thabari dalam menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh), “Dia adalah malam-malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujjah dari ahli ta’wil (ahli tafsir).” (Jaami’ al Bayan fi Ta’wil al-Qur’an: 7/514)

Penafsiran ini dikuatkan oleh Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat ini, “Dan malam-malam yang sepuluh, maksudnya: Sepuluh Zulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid, dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf.” (Ibnu Katsir: 4/535)

Kemuliaan sepuluh hari ini juga disebutkan dalam Surat Al-Hajj dengan perintah agar memperbanyak menyebut nama Allah pada hari-hari tersebut. Allah Ta’ala berfirman,

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak.” (QS. Al-Hajj: 27-28)

Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat ini menukil riwayat dari Ibnu Abbas radhiyallaahu ‘anhuma, “al-Ayyam al-Ma’lumat (hari-hari yang ditentukan) adalah hari-hari yang sepuluh.” (Tafsir Ibnu Katsir: 3/239)

Maka dapat disimpulkan bahawa keutamaan dan kemuliaan hari-hari yang sepuluh dari Zulhijjah telah datang secara jelas dalam Al-Qur’an al-Karim yang dinamakan dengan Ayyam Ma’lumat karena keutamaannya dan kedudukannya yang mulia.

Dari hadis pula, terdapat keterangan yang menunjukkan keutamaan dan kemuliaan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah ini, di antaranya sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun.”                (HR. Abu Daud dan  Ibnu Majah).

Oleh kerana itu dianjurkan atas orang Islam pada hari-hari tersebut untuk bersungguh-sungguh dalam ibadahnya, di antaranya solat, membaca Al-Qur’an, zikrullah, memperbanyak doa, membantu orang-orang yang kesusahan, menyantuni orang miskin, memperbaharui janji kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Masih ada satu amalan lagi yang utama pada hari-hari tersebut, yaitu berpuasa sunnah di dalamnya.

Terdapat dalam Sunan Abu dawud dan lainnya, dari salah seorang isteri Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, dia berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ

“Adalah Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada tanggal 9 Zulhijjah.”

(HR. Abu Dawud no. 2437 dan dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih wa Dhaif Sunan Abi Dawud no. 2081)

Syaikh Muhammad bin Salih al-Munajjid –Salah seorang ulama besar Saudi Arabia- berkata,

“Di antara musim ketaatan yang agung adalah sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah, yang telah Allah muliakan atas hari-hari lainnya selama setahun".

Hadis ini dan hadis-hadis lainnya menunjukkan bahawa sepuluh hari ini lebih utama dari seluruh hari dalam setahun kecuali, sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadlan. Syaikh Munajjid menambah, keutamaan sepuluh hari pertama ini diperkuat dengan beberapa bukti di bawah ini:

1. Allah Ta’ala telah bersumpah dengannya. Dan bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil keutamaannya dan besarnya manfaat. Allah Ta’ala berfirman,

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Demi fajar, dan malam yang sepuluh.” (QS. Al-Fajr: 1-2)

Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata: Bahawasanya dia itu adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah.

Ibnu Katsir membenarkan pendapat ini (Tafsir Ibni Katsir: 8/413)

2. Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam pernah bersaksi bahawa hari-hari tersebut adalah seutama-utamanya hari-hari dunia sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis sahih.

3. Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam menganjurkan untuk memperbanyak amal salih di dalamnya. Sesungguhnya kemuliaan masa diperoleh oleh setiap penduduk negeri, sementara keutamaan tempat hanya dimiliki oleh jama’ah haji di Baitul Haram.

4. Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan untuk memperbanyak tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Dari Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma, dari Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh-Nya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Zulhijjah), kerananya perbanyaklah tahlil, takbir, dan tahmid di dalamnya.” (HR. Ahmad 7/224, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan isnadnya).

5. Di dalamnya terdapat hari Arafah. Hari ‘Arafah adalah hari yang disaksikan; yang di dalamnya Allah menyempurnakan ajaran din-Nya sementara puasanya akan menghapuskan dosa-dosa selama dua tahun.

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? maka jawab Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang.
(Hadis isnad sahih dari imam Muslim, Tarmizi)
6. Di dalamnya terdapat ibadah udhiyah (berkorban) dan haji.

Dalam sepuluh hari ini juga terdapat yaum nahar (hari penyembelihan) yang secara umum menjadi hari teragung dalam setahun. Hari tersebut adalah haji besar yang berkumpul berbagai ketaatan dan amal ibadah padanya yang tidak terkumpul pada hari-hari selainnya.

Sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan sebahagian dari nikmat Allah yang besar atas hambaNya. Hanya orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikanlah yang mampu menghormatinya dengan selayaknya. Dan kewajipan seorang muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya untuk menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah Ta’ala atas hamba-Nya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan berbagai bentuk ketaatan agar semangat seorang muslim berterusan dan tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Tuhannya.

Shaikh Munajjid rahimahullaah menjelaskan, ada beberapa amal istimewa yang harus selayaknya dikerjakan oleh seorang muslim pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, di antaranya:

1. Berpuasa. Seorang muslim disunnahkan berpuasa pada tanggal 9 Zulhijjah kerana Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam sangat menganjurkan untuk beramal salih pada sepuluh hari ini, dan puasa salah satu dari amal-amal shalih tersebut. Terlebih lagi, Allah Ta’ala telah memilih puasa untuk diri-Nya sebagaimana terdapat dalam hadis Qudsi, Allah Ta’ala berfirman,

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Semua amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa, sungguh puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.

(HR. al-Bukhari no. 1805)

Dan sungguh Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam melaksanakan puasa 9 Zulhijjah. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari salah seorang isteri Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنْ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ

Adalah Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam melaksanakan puasa 9 Zulhijjah, hari ‘Asyura, dan tiga hari setiap bulan serta Isnin pertama dari setiap bulan dan dua hari Khamis.

(HR. Al-Nasai dan Abu Dawud. Hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani Shahih Abi Dawud: 2/462)

2. Bertakbir. Disunnahkan membaca takbir, tahmid, tahlil, dan tasbih selama sepuluh hari tersebut. Dan disunnahkan mengeraskannya di masjid-masjid, rumah-rumah, dan di jalan-jalan. Dan setiap tempat yang dibolehkan untuk zikrullah disunnahkan untuk menampakkan ibadah dan memperlihatkan pengagungan terhadap Allah Ta’ala. Kaum laki-laki mengeraskan  suaranya sementara kaum wanita melembutkannya.

Allah Ta’ala berfirman,

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

“Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak.”

(QS. Al-Hajj: 28)

Menurut Juhmur ulama, makna al-ayyam al-ma’lumat adalah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sebagaimana yang diriwatkan dari Ibnu Abbas radiallaahu ‘anhuma, “Al-Ayyam al-Ma’lumat: Hari sepuluh.”

Salah satu bentuk kalimat takbirnya adalah:

الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلا الله، والله أكبر ولله الحمد

Dan masih ada lagi bentuk takbir yang lain.

3. Melaksanakan haji dan umrah. Sesungguhnya di antara amalan yang paling utama untuk dikerjakan pada sepuluh hari ini adalah berhaji ke Baitullah al-Haram. Maka siapa yang diberi taufik oleh Allah untuk melaksanakan haji ke Baitullah dan melaksanakan manasiknya sesuai dengan ketentuan syariat, maka dia mendapatkan janji –Insya Allah-  dari sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam,

Haji yang mabrur ridak ada balasannya kecuali surga.
(HR. al-Bukhari dan Muslim)

4. Melaksanakan amal-amal soleh secara umum. Sesungguhnya amal soleh dicintai oleh Allah Ta’ala. Dan ini pasti akan memperbesar pahala di sisi Allah Ta’ala. Maka barangsiapa yang tidak memungkinkan melaksanakan haji, maka hendaknya dia menghidupkan waktu-waktu yang mulia ini dengan ketaatan-ketaatan kepada Allah Ta’ala berupa solat, membaca Al-Qur’an, zikir, doa, sedekah, berbakti kepada orang tua, menyambung tali persaudaraan, memerintahkan yang baik dan melarang yang munkar, dan berbagai amalan kebaikan lain.

5. Berkorban. Di antara amal soleh pada hari yang kesepuluhnya adalah mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembelih haiwan korban yang gemuk dan baik, dan berinfaq di jalan Allah Ta’ala.

Ibadah Korban
6. Taubat Nasuha. Di antara yang sangat ditekankan juga pada sepuluh hari ini adalah bertaubat dengan benar-benar (taubatan nasuha), meninggalkan perbuatan maksiat dan melepaskan diri dari seluruh dosa.
Taubat adalah kembali kepada Allah Ta’ala dan meninggalkan apa saja yang dibenci-Nya yang nampak maupun yang tersembunyi sebagai bentuk penyesalan atas perbuatan buruk yang telah lalu, meninggalkan seketika itu juga, bertekad untuk tidak mengulanginya, dan beristiqamah di atas kebenaran dengan melaksanakan apa-apa yang dicintai oleh Allah Ta’ala.

Semoga kita tergolong sebagai hamba-hamba Allah yang mampu berterusan dan istiqamah dalam beribadah kepadaNya. Memanfaatkan setiap kesempatan yang telah disediakan untuk menuai pahala. Sehingga kita datang kepada Allah dengan membawa bekal yang cukup dan memiliki modal yang memadai untuk memasuki surga-Nya yang Maha indah dan menyenangkan.

Coretan:

Dari koleksi emel Masjid Annahl Group