Monday, 30 April 2018

Kembara Tanah Tinggi - Cameron Highlands

Dari 6-9 April lepas, saya dan suami serta seorang anak telah membuat satu perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa. Sebenarnya suami ada seminar di Cameron Highlands. Kebetulan saya ada seorang abang ipar yang tinggal di Pasir Mas Kelantan yang sedang sakit tenat. Jadi kami mengambil kesempatan ini menziarahinya di sana, kerana dari sini ke Pasir Mas hanya tinggal separuh perjalanan. Saya sangat bersyukur membuat perjalanan ini kerana abang ipar yang saya lawati itu kini sudah meninggal dunia, seminggu kemudian. Alhamdulillah kami sempat bertemu buat kali terakhir dengannya di bilik icu, dalam keadaan yang sangat lemah. Semoga  almarhum diterima di sisi Allah SWT, diterima semua amal baiknya dan diampuni segala dosanya .... ameen.

Jalan pergi dan pulang ....
 Batu Pahat - Cameron - Pasir Mas - Bukit Fraser - KL
Ketika perjalanan balik dari Pasir Mas kami sengaja mengambil jalan yang melalui Bukit Fraser - Kuala Lumpur kerana kami berhajat untuk menyinggah sebentar di Bukit Fraser. Kami belum pernah sampai ke sana. Kemudian dalam  perjalanan pulang, kami singgah pula di Kota Damansara menziarahi anak dan cucu sebelum pulang terus ke Batu Pahat, Johor.

Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.

Terdapat lapan buah gunung di Cameron Highlands. Gunung Batu Brinchang (2,031 meter), Gunung Berembun (1,840 meter), Gunung Irau (2,091 meter) yang merupakan puncak tertinggi di kawasan Cameron Highlands, Gunung Jasar (1,696 meter), Gunung Mentigi (1,563 meter), Gunung Perdah (1,576 meter) dan Gunung Siku (1,916 meter). Gunung Swettenham (1,961 meter) pula terletak di atas sempadan negeri Kelantan. Di puncak Gunung Batu Brinchang pula, terdapat stesen radio dan televisyen dan stesen pemerhatian setinggi 15 meter. Terdapat juga hutan yang dipenuhi lumut yang dikenali sebagai Mossy Forest berdekatan gunung ini.

Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah daerah dan pusat peranginan tanah tinggi di Pahang, Cameron Highlands terletak setinggi 1,829 meter dari aras laut dan bersuhu antara 10°C hingga 20°C. 

Terdapat tiga mukim dalam daerah Cameron Highlands iaitu Ringlet, Tanah Rata  dan Ulu Telom, dan sembilan buah pekan dan kampung iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla, Kampung Raja dan Blue Valley.

Terletak di bahagian barat laut negeri Pahang, jarak Cameron Highlands dengan beberapa bandar utama seperti Kuala Lumpur dianggarkan sejauh lebih kurang 200 kilometer, 355 kilometer dari Kuantan atau 90 kilometer dari bandar Ipoh, Perak. Cameron Highlands boleh diakses dengan menggunakan kenderaan sama ada melalui Tapah atau Simpang Pulai dari negeri Perak, melalui Gua Musang dari negeri Kelantan atau melalui Sungai Koyan dari negeri Pahang.

Nama Cameron Highlands diambil bersempena dengan nama Sir William Cameron, seorang juruukur British yang telah diarahkan oleh kerajaan British yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu untuk melakukan pemetaan persempadanan Pahang-Perak pada tahun 1885

Hanya selepas 40 tahun ditemui oleh  William Cameron, baharulah kawasan tanah tinggi yang kini dikenali sebagai Cameron Highlands dibangunkan bermula 1920-an. Sehingga hari ini, Cameron Highlands masih menjadi pusat peranginan dan percutian popular di negara ini. Kebanyakan bangunan lama yang ada sudah dimiliki oleh pemilik yang baharu, namun masih mengekalkan ciri-ciri sejarah yang mula dibina lebih 80 tahun yang lalu.

Kami telah beberapa kali pergi ke Cameron Highlands, sejak anak-anak masih kecil sehinggalah mereka dewasa. Ini kerana  kehidupan berkeluarga kami bermula di Ipoh, yang hanya berada 90 km dari Cameron Highlands. Jadi ia menjadi salah satu destinasi percutian kami. Walaupun begitu tidaklah semua tempat menarik di sini yang sudah  kami lawati. Masih banyak lagi tempat yang baharu yang  kami belum sampai.

Jom kita bergambar pula !

Kami masuk ke Cameron Highlands melalui Tapah, Perak. Sebelum sampai ke CH, kami melencong sekejap ke Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah. Di sini terdapat kolam air panas semulajadi. Kalau mengikut cerita suami yang pernah sampai ke sini waktu dulu-dulu, airnya panas sampai boleh nampak berasap di atas permukaannya. Namun kini airnya sudah tidak panas, hanya suam-suam kuku sahaja, tetapi pasir-pasir di dasarnya ada bahagian yang sangat panas apabila dipijak.

Kami tidak dapat bermain air lama di sini kerana hujan mula turun
Selepas Kuala Woh kami singgah pula di air terjun Lata Iskandar yang masih berada dalam Daerah Batang Padang, Perak - 25 kilometer sebelum sampai ke pekan Ringlet. Air terjun ini mempunyai ketinggian 25 meter dan amat sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk menyejukkan badan pada hari yang panas, tetapi kami ketika itu berada dalam kesejukan kerana baru lepas kena hujan. Kami hanya bergambar di sini.

Air terjun Lata Iskandar
Ber 'wefie' lah pulak .....
Cantik tempat ini ....
Lawatan yang terbaharu ini, kami hanya sempat pergi ke 3 tempat sahaja sepanjang berada di Cameron  Highlands. Ini kerana kami hanya berada di sini dari malam Jumaat sehingga tengahari Sabtu. Kemudian kami kena teruskan perjalanan ke Pasir Mas melalui jalan ke Gua Musang, Kelantan.

Tempat-tempat yang  kami pergi 
Thermometer gergasi depan hotel ....
 suhu 18 darjah Celcis pada pagi 7 Apr 2018
Copthorne Hotel .... tempat seminar suami dan juga penginapan
Petikan dari Website hotel:
 Copthorne Hotel is Cameron Highland's largest and highest resort, perched on a dramatic plateau near 1600 meters high overlooking Brinchang Valley. Located at Kea Farm along the main road to Tringkap, this family retreat is just a stone's throw away from the famous vegetable market. Meanwhile, rooms on the highest floors of the main building offer dramatic views of plantations and farms draped across the landscape.

Pemandangan dari belkoni memang cantik tetapi terlupa pulak
 ambil foto ... jadi pinjam foto - sumber: cameronhighland.net
 Kami sampai di sini lewat petang Jumaat. Malam itu selepas berihat, kami ke pasar malamnya yang terkenal di kalangan pelancong, yang sejak Feb 2017 telah berpindah  tapak ke Sungai Ruil berdekatan Golden Hills. Ia berada di tengah-tengah antara Tanah Rata dan Brincang. Pasar malam ini hanya dibuka pada hari Jumaat - Sabtu dari jam 6ptg -11 mlm, tetapi dibuka setiap hari pada musim cuti sekolah.

Pasar Malam Pekan Brinchang
Pasar malam Golden Hills Cameron Highlands
 .... sumber:http://www.mingguanwanita.my
Jagung susu dari pasar malam yang boleh dimakan terus
 tanpa masak .... RM7 sebiji😲
Besoknya sebelah pagi, suami menyampaikan 'keynote speech' nya di  seminar sekejap. Selepas itu barulah kami keluar berjalan-jalan di sini. Saya bersama anak ke Kea Farm yang terletak berhampiran dengan hotel. Suami turunkan kami sahaja kerana menghadapi masalah parking. Kebanyakan tempat yang menjadi tumpuan para pelancong ada masalah parking di sini.

Kuala Terla terletak di perjalanan kami ke Pasir Mas
Seterusnya kami ke Kuala Terla untuk aktiviti lasak - Cameron Adventurous. Ini adalah aktiviti menarik di Cameron Highland yang lebih mencabar. Kita boleh menikmati pemandangan ladang teh di Kuala Terla dengan menggunakan kenderaan seperti 4×4 jeep ataupun ATV. Perkhidmatan sewa kenderaan sebegini disediakan oleh Cameron Adventurous.

Maklumat dari website:
Services :
4x4 safari RM10/pax
Atv safari RM50/pax
Extreme AtV RM65/pax

Rules:
1.Only 16 years old of age and above is permitted to ride the ATV. No age limit for Safari 4x4
2.Participants for ATV will be required to sign the Liability Release Form before riding.
3.Strictly no passengers on ATV.
4.Never ride the ATV under the influence of alcohols, drugs or other medication that impairs judgment or coordination’s.
Doing so can result in serious injury.

Opening Hours: Daily 9am - 6pm

Address: Cameron Valley, Kuala Terla, 39000 Cameron Highlands, Pahang, Malaysia.

Walaupun dicadangkan supaya buat tempahan lebih awal untuk mengelak kekecewaan, tetapi kami pergi terjah begitu sahaja tanpa membuat apa-apa booking. Mungkin nasihat ini untuk musim-musim cuti panjang agaknya, di mana Cameron Highlands akan menjadi sangat sesak dengan manusia dan kenderaan.😃Kami hanya menaiki 4x4 safari .... RM10 seorang









Nostalgia bersama Keluarga

Dua atau tiga tahun yang lepas ada dua kali kami ke CH tetapi entah ke mana  perginya gambar-gambar yang diambil. Dalam zaman kamera digital ini kalau tidak diuruskan betul-betul gambar yang diambil kita mungkin akan kehilangannya. Walaupun begitu gambar-gambar lama yang disimpan dalam buku album masih ada dalam simpanan. Suka sangat mengimbau kembali zaman anak-anak masih kecil 😍..... terasa rindulah pulak zaman tu!


Ladang teh .... mungkin Ladang Boh ....tak berapa ingat 
Di celah-celah pokok teh
Lawatan ke kilang membuat teh
Ladang rose ..... di Rose Valley agaknya
Seronoknya mereka berdua ni ....😊
Sekarang budak 2 orang ini pun sudah ada keluarga masing-masing dan giliran mereka pula membawa anak-anaknya bercuti sepertimana mereka telah melaluinya. Semoga mereka berjaya dan bergembira mengharungi kehidupan berumahtangga mereka ..... ameen


Related Posts:

1. Kembara Tanah Tinggi - Bukit Fraser

2. Kembara Tanah Tinggi - Genting Highlands

3. Kembara Tanah Tinggi - Nyaman dan Memuaskan (part 1)

4. Kembara Tanah Tinggi - Nyaman dan Memuaskan (part 2)