Saturday, 6 July 2024

Galerì Rumah Lat

Kami telah melawat Galeri Rumah Lat ini pada 30 Julai 2023, iaitu antara hari-hari terakhir tawaran masuk percuma. Jadi tidak hairanlah pengunjung pada hari itu tersangatlah ramai. Sejak pembukaan rasminya pada 8 Julai, Galeri Rumah Lat dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 31 Julai, 2023. Hampir setahun sudah berlalu lawatan ini😀Inilah sudahnya kerja bertangguh!

 Kos pembangunan Galeri Rumah Lat dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kos pembinaan berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022. Galeri ini dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai 2023 dan dibuka kepada umum sehari kemudian.

Galeri Rumah Lat ialah galeri seni yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ia menempatkan hasil karya seni, memorabilia dan bahan-bahan berkaitan kartunis Malaysia, Lat. Dahulunya kawasan lokasi ini hutan, kawasan lombong tinggal, sunyi tetapi kini meriah  dengan kehadiran galeri ini. Ia dibuka pada setiap Selasa sehingga Jumaat dari jam 10 pagi sehingga 4 petang dan ditutup pada Isnin.

Galeri Rumah Lat terdiri daripada dua komponen iaitu Galeri Lat yang menempatkan ruang pameran karya Lat dan rumah kayu Lat.

Bahagian ruang pameran mengabadikan sejarah dan pencapaian Lat. Ini termasuklah  koleksi lukisan terpilih karikaturnya sejak dari 1963 serta biografi beliau. Terdapat juga  ruang mengadakan bengkel seni lukis kartun selain ruangan pameran. Di bahagian ini juga ada kedai cenderahati, kafe, taman karya Lat dan ruangan pejabat serta ruangan audiovisual. Di sudut lain turut boleh dilihat meja kegemaran yang digunakan oleh Lat melukis karyanya.

Di suatu sudut lain pula terdapat gambar poster bersaiz besar Lat bergaya di atas sebuah motosikal yang dibeli hasil beliau berkarya sewaktu usianya 17 tahun.

Terdapat juga jualan cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci, mug dan topi yang mengabadikan kartun beliau menjadi rebutan pengunjung.

Bergaya Lat di atas motosikal barunya 
......Motosikal Lat yang sebenar?

                                                 

Replika rumah kayu Lat yang dikenali sebagai Rumah Limas
Manakala Rumah Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas potongan Perak yang dibina menggunakan kaedah tradisional. Antara komponen di Rumah Lat ialah perabot, kelengkapan rumah bahagian anjung, rumah ibu dan dapur, hiasan dalaman dan kelengkapan dapur.

Apa yang membuatkan Galeri Rumah Lat menarik adalah replika rumah kayu ini dibina berdasarkan rumah Mat dalam Kampung Boy (majalah komik Lat yang terkenal). 

Rumah Mat dari majalah komik The Kampung Boy
Kami tidak masuk dalam rumah pada hari tersebut kerana terlalu ramai menunggu giliran untuk masuk pada hari itu. Mengikut maklumat dari internet, rumah kayu replika tradisional Perak yang menjadi lambang galeri ini turut menempatkan pelbagai barangan peribadi dan koleksi keluarga beliau. Mereka yang hadir di sini seolah-olah akan merasa kehadiran Lat di sini.

Lukisan-lukisan yang menggambarkan rumahnya
 

Datuk Lat dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Kota Bharu Kelantan. Nama sebenar beliau Datuk Mohd Nor Khalid tetapi lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Perjalanan seni Datuk Lat bermula sejak usia muda ketika beliau menemui minat terhadap bidang seni melukis. Beliau mengeluarkan jalur komik pertama pada tahun 1974 berjudul 'Kampung Boy' diterbitkan dalam Berita Minggu. Kampung Boy berkisar kehidupan seorang budak Melayu bernama Mat yang membesar di sebuah kampung tradisional di Malaysia. Kejayaan jalur komik ini membuatkan nama beliau menjadi terkenal.
Datuk Lat bersama .....
Antara lukisan karikatur yang dipamerkan
Lukisan awalnya sering menggambarkan kehidupan harian yang dapat mencerminkan budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia pada waktu itu. Karya-karyanya yang menceritakan tentang kehidupan rakyat dengan semangat, nilai kepelbagaian serta keunikan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Kartun beliau bukan sahaja menghiburkan, tetapi ia juga berfungsi sebagai cermin masyarakat Malaysia melalui aspek budaya, dinamik keluarga dan peristiwa politik.
 
Datuk Lat memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan dan pemahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Karya beliau dapat melampaui batas sempadan etnik dan budaya, membina identiti dan kebanggan kebangsaan. Kebolehan beliau untuk melukis cerita dengan menangkap suasana kehidupan seharian masyarakat membuatkan ia sangat dekat dalam hati masyarakat. 
Video menggambarkan suasana di luar dan dalam
kawasan galeri ... tengahari 30 Julai 2023