Kami telah melawat Galeri Rumah Lat ini pada 30 Julai 2023, iaitu antara hari-hari terakhir tawaran masuk percuma. Jadi tidak hairanlah pengunjung pada hari itu tersangatlah ramai. Sejak pembukaan rasminya pada 8 Julai, Galeri Rumah Lat dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 31 Julai, 2023. Hampir setahun sudah berlalu lawatan ini😀Inilah sudahnya kerja bertangguh!
Kos pembangunan Galeri Rumah Lat dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kos pembinaan berjumlah RM3.81 juta dan siap sepenuhnya pada Januari 2022. Galeri ini dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai 2023 dan dibuka kepada umum sehari kemudian.
Galeri Rumah Lat ialah galeri seni yang terletak di Batu Gajah, Perak. Ia menempatkan hasil karya seni, memorabilia dan bahan-bahan berkaitan kartunis Malaysia, Lat. Dahulunya kawasan lokasi ini hutan, kawasan lombong tinggal, sunyi tetapi kini meriah dengan kehadiran galeri ini. Ia dibuka pada setiap Selasa sehingga Jumaat dari jam 10 pagi sehingga 4 petang dan ditutup pada Isnin.
Galeri Rumah Lat terdiri daripada dua komponen iaitu Galeri Lat yang menempatkan ruang pameran karya Lat dan rumah kayu Lat.
Bahagian ruang pameran mengabadikan sejarah dan pencapaian Lat. Ini termasuklah koleksi lukisan terpilih karikaturnya sejak dari 1963 serta biografi beliau. Terdapat juga ruang mengadakan bengkel seni lukis kartun selain ruangan pameran. Di bahagian ini juga ada kedai cenderahati, kafe, taman karya Lat dan ruangan pejabat serta ruangan audiovisual. Di sudut lain turut boleh dilihat meja kegemaran yang digunakan oleh Lat melukis karyanya.
Di suatu sudut lain pula terdapat gambar poster bersaiz besar Lat bergaya di atas sebuah motosikal yang dibeli hasil beliau berkarya sewaktu usianya 17 tahun.
Terdapat juga jualan cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci, mug dan topi yang mengabadikan kartun beliau menjadi rebutan pengunjung.
Bergaya Lat di atas motosikal barunya ......Motosikal Lat yang sebenar?
Replika rumah kayu Lat yang dikenali sebagai Rumah Limas
Manakala Rumah Lat pula merupakan rumah Melayu berbumbung lima atau Rumah Limas potongan Perak yang dibina menggunakan kaedah tradisional. Antara komponen di Rumah Lat ialah perabot, kelengkapan rumah bahagian anjung, rumah ibu dan dapur, hiasan dalaman dan kelengkapan dapur.
Apa yang membuatkan Galeri Rumah Lat menarik adalah replika rumah kayu ini dibina berdasarkan rumah Mat dalam Kampung Boy (majalah komik Lat yang terkenal).
Rumah Mat dari majalah komik The Kampung Boy
Kami tidak masuk dalam rumah pada hari tersebut kerana terlalu ramai menunggu giliran untuk masuk pada hari itu. Mengikut maklumat dari internet, rumah kayu replika tradisional Perak yang menjadi lambang galeri ini turut menempatkan pelbagai barangan peribadi dan koleksi keluarga beliau. Mereka yang hadir di sini seolah-olah akan merasa kehadiran Lat di sini.
Lukisan-lukisan yang menggambarkan rumahnya
Datuk Lat dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Kota Bharu Kelantan. Nama sebenar beliau Datuk Mohd Nor Khalid tetapi lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Perjalanan seni Datuk Lat bermula sejak usia muda ketika beliau menemui minat terhadap bidang seni melukis. Beliau mengeluarkan jalur komik pertama pada tahun 1974 berjudul 'Kampung Boy' diterbitkan dalam Berita Minggu. Kampung Boy berkisar kehidupan seorang budak Melayu bernama Mat yang membesar di sebuah kampung tradisional di Malaysia. Kejayaan jalur komik ini membuatkan nama beliau menjadi terkenal.
Datuk Lat bersama .....
Antara lukisan karikatur yang dipamerkan
Lukisan awalnya sering menggambarkan kehidupan harian yang dapat mencerminkan budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia pada waktu itu. Karya-karyanya yang menceritakan tentang kehidupan rakyat dengan semangat, nilai kepelbagaian serta keunikan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Kartun beliau bukan sahaja menghiburkan, tetapi ia juga berfungsi sebagai cermin masyarakat Malaysia melalui aspek budaya, dinamik keluarga dan peristiwa politik.
Datuk Lat memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan dan pemahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Karya beliau dapat melampaui batas sempadan etnik dan budaya, membina identiti dan kebanggan kebangsaan. Kebolehan beliau untuk melukis cerita dengan menangkap suasana kehidupan seharian masyarakat membuatkan ia sangat dekat dalam hati masyarakat.
Lawatan ke Pasir Salak dan Kg Gajah ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.
Kampung Gajah terletak di tepi tebing kanan Sungai Perak, Perak, kira-kira 75 km dari Bandar Ipoh. Bandar Teluk Intan terletak di selatan Kampung Gajah, kira-kira 25 km
Kedudukan pekan Kampung gajah
Kampung Gajah merupakan sebuah pekan yang sedang membangun. Secara umum, penduduk Kampung Gajah berbangsa Melayu, kurang bangsa Cina dan India seperti bandar-bandar yang lain. Kampung Gajah juga adalah salah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak. Tidak jauh dari Kg Gajah, iaitu di mukim Pasir Salak, terdapat Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Pekan Kg Gajah di tebing kanan Sg Perak Pasir Salak di tebing kiri
Kampung Gajah juga sinonim dengan buah durian, kerana terdapat banyaknya kebun-kebun yang ditanam dengan pokok durian. Pokok-pokok durian ini berusia puluhan malahan ratusan tahun. Antara nama durian yang popular ialah durian Tok Paduka Raja. Antara kampung-kampung yang amat popular dengan tanaman durian ialah Selat Pulau, Kepala Pulau, Pasir Salak dan Pulau Tiga.
Ramai orang luar yang keliru antara Kampung Gajah dengan Batu Gajah dan Alor Gajah. Alor Gajah terletak di negeri Melaka. Batu Gajah terletak di Perak juga. Saya sendiri selalu tersasul apabila menyebut 2 tempat di Perak ini.
Penghujung Jalan A 15 atau KM 0 (bertanda biru) di tengah pekan Kampung Gajah
Selepas balik dari lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak, kami terus ke Kg Gajah untuk mencari makan tengahari dan kemudian ke masjidnya untuk solat zohor. Sebelum balik ke Ipoh sempat bergambar di beberapa tempat menarik di sini.
Masjid Sultan Azlan Shah Kg Gajah
Jalan A 15 adalah jalan negeri Perak yang utama. Ia juga dikenali sebagai Jalan Tanjung Tualang. Hujung utaranya bermula di Pusing Batu Gajah dan hujung selatannya pula berakhir di Kg Gajah.
Dari sini 1 km ke Kg Gajah dan 60 km ke Ipoh melalui jalan negeri A 15
Di pekan Kg Gajah ini sepatutnya boleh diletakkan monumen KM 0 sebagai tarikan kepada pelancong ke sini. Jadi petang itu kami mencari-carilah kalau ada sebarang penanda 0 km di pekan ini, tetapi memang tiada. Walaupun begitu ada beberapa monumen yang menarik untuk bergambar di pekan ini.
Kami singgah makan di satu-satunya medan selera di Kg Gajah. Mengikut review orang ramai, inilah tempat yang paling 'best' kalau nak makan kerana terdapat pelbagai jenis lauk-pauk, dari sarapan hingga ke tengahari. Di sini ada ikan dan ayam bakar yang dipanggang atas api arang, lauk-pauk kampung dan ulam-ulaman serta pelbagai jenis sambal seperti sambal kelapa Perak .... dan harganya berpatutan. Mungkin kekuranganya dari segi kebersihan yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki.
Selepas makan kami bergambar di monumen "Kampong Gajah Kampungku Warisanku" yang terletak di hadapan medan selera ini.
Monumen Keris menceritakan sejarah ...... Peringatan Perang Perak 1875-1876
Beberapa monumen menarik yang terletak di tengah bulatan dan kawasan sekitar
Saya boleh andaikan bulatan atau "roundabout" inilah bermulanya Jalan A 15 negeri Perak di Kg Gajah atau selalu yang disebut KM 0 di lain-lain tempat.
Lawatan ke Pasir Salak ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.
Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Kampung Gajah juga adalah sebuah mukim dalam Daerah Perak Tengah.
Kedudukan Kampung Gajah berdekatan dengan Pasir Salak
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak.
Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.
Kedudukan kompleks Sejarah Pasir Salak
Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah. Sungai Perak yang di sini airnya jernih kerana ia jauh dari kawasan pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Oleh kerana itu banyaklah pokok salak tumbuh liar di kawasan ini dan sesetengahnya ditanam.
Buah salak
Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.
Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penambang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penambang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.
Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.
Latarbelakang sejarah
Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor.
Mengikut fakta sejarah Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa.
Ia bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani dan Perak secara rasmi berada di bawah perlindungan kerajaan British. Perjanjian tersebut juga mewajibkan kerajaan negeri Perak menerima seorang penasihat yang akan menasihati Sultan atas semua urusan berkaitan pentadbiran negeri Perak kecuali hal yang melibatkan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Namun nasihat yang difahami oleh Sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang menandatangani perjanjian tersebut bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh pihak British. Nasihat di sini adalah bahasa diplomasi keatas pemerintah yang bermakna setiap “nasihat” Residen mestilah dituruti.
Bermula dari titik inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu rasa tidak dihormati sehingga membawa kepada terbunuhnya J.W.W. Birch pada 2 November 1875 sewaktu umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 2.
Tiga hari kemudian, tentera British memulakan siri serangan untuk membalas dendam di atas kematian Birch dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang Perak.
Jom ke kompleks!
Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Terletak di tebing Sungai Perak, kompleks sejarah ini dibina dengan harapan supaya generasi-generasi muda akan sentiasa memperingati peristiwa berdarah Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta mengenang akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
Bangunan-bangunan yang berada di dalam kompleks ini dibina dengan bercirikan rumah tradisional Melayu Perak. Kompleks ini dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.
Contoh rumah tradisional Melayu Perak .... model rumah dan rumah dalam komik Lat The Kampung Boy
Pada hari kami melawat kompleks ini, hujan turun dengan sangat lebat, sehingga menghalang kami keluar dari kereta. Ketika kami berjaya masuk ke kawasan kompleks hujan masih turun renyai-renyai. Suasana tenang dan damai dapat dirasai ketika berada di kompleks yang sangat luas kawasannya.
Walaupun kawasan kompleks nampak cantik dan terjaga namun agak sedih melihat keadaan bangunan yang kelihatan terabai dan semakin rosak. Banyak kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki, mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
Lanskap yang sangat cantik ...... binaan dalam gambar ini adalah "lookout tower" tetapi berkunci
Pemandangan di tepi Sungai Perak ... kawasan di hadapan muzium atau Terowong Masa
Sundial atau Jam Matahari tetapi sudah tidak berfungsi
Pihak media pernah melaporkan keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang satu ketika dahulu gah tetapi kini semakin hilang seri apabila beberapa bangunan di situ sudah reput dan tidak lagi boleh dikunjungi orang ramai. Tinjauan mendapati semua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks tersebut tidak boleh dimasuki pengunjung termasuklah Galeri Sejarah Negeri Perak. Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih boleh dikunjungi pelawat.
Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.
Kami bernasib baik kerana terowong masa masih boleh dikunjungi pada hari itu. Sebenarnya ia adalah sebuah muzium dan ia dinamakan sebagai Terowong Sejarah. Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak. Di sini juga terdapat Galeri Keris.
Pintu masuk terowong Sejarah
Kaunter tiket
Dalam terowong sejarah ini tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Tidak tahulah apa tujuan larangan ini .... mungkin untuk keselamatan negara seperti larangan di setengah bahagian dalam kawasan lapangan terbang😀
Sempat ambil gambar ini sebelum diberitahu pasal larangan mengambil gambar dalam muzium
Untuk masuk ke muzium setiap pengunjung dikenakan sebanyak RM 4 bagi dewasa dan RM 2 bagi kanak-kanak dan tidak ada peruntukan khas bagi warga emas. Walaupun bayaran masuk nampak sangat murah tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memperbaiki keadaan dalam muzium agar lebih selesa ketika berada di dalamnya.
Sebahagian besar kawasan muzium sangat gelap. Saya rasa perlu ada pencahayaan yang lebih agar pengunjung di kalangan warga emas seperti kami terasa lebih selesa apabila membaca maklumat-maklumat yang dipamerkan. Sebahagian besar juga kawasan dalam muzium terasa sangat panas kecuali di Galeri Keris. Tidak pasti samada penyaman udara sengaja ditutup atau ia mengalami kerosakan. Dengan suasana yang gelap dan keadaan yang panas kami tidak mampu untuk berlama-lama di dalamnya.
Dapur Keris
Salah satu keris yang dipamerkan dalam Galeri Keris ... gambar yang diambil secara curi-curi
Situasi ini sangat berbeza dengan yang terdapat di Muzium Nelayan di Tanjung Balau Johor. Konsep yang sama digunakan iaitu teknik pameran diorama, tetapi dalam suasana yang lebih selesa .... sangat terang dan sejuk. Bayaran masuk hanya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak=kanak. Kami sebagai warga emas diberi masuk percuma😃 .... dan tiada larangan mengambil gambar langsung. Tangkaplah dan ambillah sebanyak mana yang kita mahu😂
Kompleks sejarah ini sangat berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong ke daerah Kampung Gajah secara khusus dan Perak secara amnya. Namun ia perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan terlebih dahulu jika ingin mengembalikan kegemilangannya semula.
Video memaparkan suasana dalam kawasan kompleks yang tenang dan damai, diambil dari dalam bangunan muzium, dari anjungnya.
Keadaan di luar kompleks pun sangat menyedihkan ... tanda nama jalan yang hampir roboh
Pandak Endut adalah salah seorang watak yang utama dalam perancangan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch
Kalau ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pasal Muzium Nelayan, boleh membaca di bawah ini ....
Kuala Sepetang adalah sebuah perkampungan nelayan yang menarik yang terletak di salah satu kawasan hutan paya air masin yang paling penting di Malaysia dan merupakan hab pelancongan yang sentiasa berkembang. Terkini ada beberapa aktiviti menarik yang sesuai dijadikan sebagai aktiviti bercuti bersama keluarga. Antaranya seperti pusat eko-pelajaran hutan paya laut Matang, kilang arang Kuala Sepetang, lawatan bot Kuala Sepetang, dolphin tour dan eagle feeding.
Bagi mereka yang cintakan keindahan semulajadi flora dan fauna, Kuala Sepetang atau nama popularnya Port Weld merupakan destinasi yang sangat menarik dan juga termasuk dalam eko perlancongan yang wajib dikunjungi.
Ini antara pakej naik bot yang ditawarkan
Ini pula salah seorang dari tour agen di sini yang beroperasi di depan restoran mee udang Mak Jah
Jika bercakap pasal makanan popular di sini, sudah tentu mee udang antara makanan yang wajib dicuba. Resepinya istimewa, dengan rasa yang tersendiri dan bahan utamanya udang adalah bahan segar yang ditangkap di perairan Kuala Sepetang. Maka tidak hairanlah kenapa ia menjadi makanan kegemaran ramai yang datang ke sini.
Suasana dalam restoran .... 28 May 3.20 PM
Sejak sekian lama Kuala Sepetang bukan sahaja terkenal sebagai tapak stesen keretapi terawal di Malaysia, tetapi juga industri pembuatan kayu arang paling tua. Industri berkenaan bertapak di sini sejak 1930 dan dari masa ke semasa produk kayu arang dari Kuala Sepetang mendapat permintaan yang tinggi kerana ia antara yang terbaik di dunia.
Kali ini saya akan menyentuh sedikit tentang pembuatan arang kayu di Kuala Sepetang. Sebenarnya kami hanya melawat kilang yang tidak beroperasi pada hari berkenaan kerana cuti umum. Jika betul-betul berminat boleh sahaja melawat kilang yang berbayar yang menyediakan 'tour guide' sekali. Namun begitu kita boleh bayangkan pembuatannya dengan hanya melihat suasana dalam kilang dan dengan membaca sedikit mengenainya dari maklumat hasil pencarian di internet.
Suasan dalam kilang arang kayu bakau
Proses menghasilkan arang kayu bakau dibahagikan kepada 3 peringkat dan memakan masa kira-kira lebih sebulan. Bagaimanapun, proses penghasilannya bukanlah semudah yang disangka.
Ia bermula dengan proses memilih bahan mentah iaitu pokok bakau. Terdapat dua jenis pokok bakau iaitu pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhiziphora Apiculato) dan berusia sekurang-kurangnya 30 tahun untuk ditebang bagi mendapatkan hasil kayu arang terbaik. Oeh kerana permintaan terhadap bahan bakar ini amat tinggi, pengeluaran arang dikawal oleh Jabatan Perhutanan Perak dan mempunyai had penebangan hutan bakau.
Kawasan yang diberikan permit penebangan akan dimasuki pekerja untuk proses penebangan pokok menggunakan gergaji rantai. Setiap pokok yang ditebang akan dikerat sepanjang 2 meter dan diangkut menggunakan bot untuk dihantar ke kilang arang. Sungai semula jadi adalah laluan terpenting bagi membawa kayu bakau ke kilang arang yang kebanyakannya terletak di pinggir sungai.
Sebaik bot tiba di kilang, kayu akan dipunggah ke darat untuk proses pengeringan antara 2-3 hari. Kayu yang kering akan diangkut ke tempat pembakaran iaitu gok (panggilan lain dapur atau tanur)
Gok ialah sebuah struktur yang berbentuk separuh bulat (seperti igloo) dengan satu pintu masuk dan ia diperbuat daripada batu bata dan selut tanah yang bercampur pasir halus.
Gok ,,, tempat pembakaran kayu sebelum jadi arang
Kayu bakau yang dipotong sepanjang 2 meter perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum dibakar
Seterusnya kayu bakau disusun secara menegak sehingga penuh dan satu gok mampu memuatkan sehingga 1400 atau 1500 kayu bakau, bergantung pada saiz gok. Proses pembakaran bermula dengan api besar dan api kecil selama 20 hari sebelum relau ditutup sepenuhnya selama 10 hari untuk proses penyejukan.
Selepas kayu bakau menjadi arang, gok akan melalui proses penyejukan sebelum pekerja mengeluarkan arang untuk dimuatkan dalam lori, ditimbang dan dihantar ke kilang pemprosesan terakhir untuk dijadikan pelbagai produk. Selain bahan bakar, arang juga digunakan dalam industri pembuatan barangan lain termasuk kosmetik, bahan pencuci, baja dan ubat nyamuk.
Antara produk sampingan hasil industri arang kayu
Di atas ini adalah antara produk yang saya telah beli dari kedai atau gerai yang dibuka oleh kilang ini. Arang yang boleh menyerap bau ini ada sedikit berbeza cara prosesnya berbanding arang yang digunakan sebagai bahan bakar. Ubat giginya kekal berwarna hitam tetapi rasanya sama seperti ubat gigi biasa. Manakala cuka kayu ini pula untuk pertanian, bukannya cuka untuk masak.
Cuka kayu pertanian adalah produk sampingan yang terhasil daripada pembakaran kayu tanpa udara bagi menghasilkan arang. Secara umum, cuka kayu dapat meningkatkan kualiti tanah, mengawal perosak dan menggalakkan pertumbuhan pokok
Kualiti kayu arang yang dibakar boleh dinilai melalui 2 kaedah iaitu dengan melihat kepada jenis warna asap yang terhasil daripada lubang asap atau hanya menggunakan tangan dalam menentukan kelembapan wap bagi arang siap dimasak sepenuhnya.
Mengimbau sejarah, Kuala Sepetang ini dahulu cukup terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah sehingga melahirkan seorang tokoh perusahaan seperti Che Ngah Ibrahim atau gelarannya Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Jaafar sekitar 1870-an. Namun atas beberapa peristiwa industri perlombongan bijih timah mulai berkurangan sehingga banyak lombong di daerah Larut ditinggalkan.
Kini Kuala Sepetang dikenali sebagai antara pengeluar arang kayu daripada pokok bakau terbaik dunia.