Showing posts with label elephant trekking. Show all posts
Showing posts with label elephant trekking. Show all posts

Sunday, 15 December 2019

Jalan-jalan di Krabi

Saya dan keluarga selalu sahaja  menyeberang sempadan ke Thailand dengan kereta, tetapi hanya ke Padang Besar dan paling jauh ke Hatyai. Setiap kali kalau balik kampung di Perlis akan buat 'shopping' di Padang Besar. Kadang-kadang kami seberang sempadan untuk berjalan-jalan di sebelah Thailand.

Tahun lepas saya berpeluang menemani suami berseminar di Krabi Thailand. Kami mengambil kesempatan ini dengan berjalan-jalan di sini pula kerana ia merupakan lawatan pertama kami ke daerah ini. Semasa di sani kami terjumpa ramai rakyat malaysia yang bercuti bersama keluarga masing-masing. Ramai juga yang ke sana melalui jalan darat dari Padang Besar Perlis.

Dari Padang Besar boleh ke Krabi melalui jalan darat
Thailand merupakan sebuah  negara yang agak besar dan terkenal yang sering dikunjungi oleh pelancong, termasuklah Krabi. Bagi mereka yang datang untuk bercuti semata-mata memang banyaklah tempat menarik yang boleh dikunjungi. Namun bagi saya dan suami yang datang sambil berkerja hanya sempat ke beberapa aktiviti menarik yang sesuai dengan 'kemampuan' kami yang sudah berumur ini.

Kami ke Krabi dari 19-23 Mac tahun lepas dengan menaiki kapalterbang dari KL. Penerbangan ke sana hanya mengambil masa sejam setengah. Dari airport ke bandar Krabi kami menaiki teksi van dan dikenakan bayaran sebanyak THB 150 (RM 21) seorang.

Antara beberapa tempat menarik yang kami sempat kunjungi di celah-celah waktu bertugas:

1. Andaman Sunset at Ao Nang Beach

Pada petang 20 Mac kami ke Pantai Ao Nang untuk melihat detik-detik matahari terbenam. Lokasi ini terkenal di kalangan peminat-peminat aktiviti ini. Hotel penginapan kami agak jauh dari pantai. Jadi kami terpaksa naik tuk tuk dan dikenakan bayaran sebanyak THB 100 untuk 2 orang.

Ao Nang yang biasa disebut sebagai "Krabi", adalah sebuah daerah kecil dan merupakan bandar peranginan di Daerah Mueang Krabi, dalam wilayah Krabi, Thailand. Secara rasmi ia dikenali sebagai Ao Phra Nang ("Princess Bay") tetapi semua orang menggunakan bentuk pendek, Ao Nang. Ia adalah pantai yang paling banyak menerima pengaruh "barat" di Krabi. Pada asalnya ia merupakan tempat tumpuan bagi pelancong "backpacker" tetapi kini tidak lagi. Berbagai jenis pelancong datang ke sini sekarang.

Musim kemuncak kunjungan pelancong ke sini lebih kurang dari 1 November hingga 30 April. Pada musim ini ia menjadi destinasi pantai yang paling sibuk dan paling berorientasikan pelancongan di wilayah ini. Akibatnya ia menjadi salah satu tempat paling mahal di Thailand, di luar Bangkok. Phuket lebih murah jika dibuat perbandingan. Di luar musim kemuncak bandar ini seolah-olah ditinggalkan. Banyak tempat ditutup sepenuhnya, ada yang menghadkan waktu operasi mereka, manakala harga pula kembali menjadi normal dan bandar agak sepi.
Dalam tuk tuk untuk ke Pantai Ao Nang dari hotel
Welcome to Ao Nang Krabi
Monumen ikan todak di Ao Nang Krabi
Pantai Ao Nang .... petang 20 Mac 2018
Laut Andaman ...
Ramai yang menunggu di tembok batu
untuk menyaksikan saat matahari terbenam
Andaman sunset
Menunggu saat matahari terbenam ...
Akhirnya matahari terbenam ... 6.30 pm
Ao Nang waktu malam ... di Muslim Street
Menu: Fried Liang Leave with Egg (Bai Liang Phad Khai), 
Tom Yam Po aek, ikan goreng siakap dan air kelapa .... THB 675
Sebelum berjalan-jalan lebih jauh, kami singgah makan malam terlebih dahulu di Restoran Bangboo Halal Seafood. Restoran ini terkenal di kalangan pelancong muslim. Walaupun harganya agak mahal tetapi ia mempunyai pilihan makanan halal yang berbagai. Restoran ini terletak di Muslim Street yang berhadapan dengan masjid. Sepanjang jalan ini terdapat banyak kedai dan gerai yang menjual makanan halal. Pasar malam juga terdapat di sini.
Masjid Aonang al-Munuawarah berada di tengah pekan
Indah pada waktu malam ... lampu menara bertukar-tukar warna 
Membeli ole-ole untuk dibawa balik di pasar malam ..... 
harga di sini lebih murah dibanding tempat lain di Ao Nang
2. Elephant Trekking

Elephant trekking merupakan salah satu aktiviti menungang gajah yang menarik di Krabi. Walau bagaimana pun aktiviti ini menjadi kontroversi di kalangan pelancong. Ada yang berpendapat industri ini menzalimi gajah-gajah yang digunakan dan ia patut diboikot. Namun bagi saya dan suami tidak melihat dari sudut ini. Pemboikotan sahaja tidak mencukupi untuk menghapuskan industri ini. Ia memerlukan usaha yang lebih dari ini.


Berbagai jenis pekej aktiviti dengan harga yang berlainan
di Aonang Elephant Park
Buat masa ini kami mengambil peluang mencuba pengalaman yang disediakan dan pada masa yang sama aktiviti ini membantu memberi peluang pekerjaan pada pengendali-pengendali gajah ini. Mungkin pada masa akan datang pihak kerajaan boleh memberi pekerjaan alternatif pada kesemua mereka yang terlibat dengan industri ini, dan secara beransur tempat seperti ini akan ditutup terus atau diurus dengan lebih baik sehingga tidak ada gajah yang dizalimi.

Ada orang berpendapat menaiki gajah adalah sama seperti menaiki kuda, keldai dan lain-lain binatang. Pada asalnya binatang-binatang ini juga liar. Kalau ditanya pada kuda, setujukah ia ditunggang dan dipergunakan dalam berbagai-bagai pekerjaan, sudah tentu ia menolak😁. Namun manusia masih mempergunakannya termasuk dalam perlumbaan kuda, tanpa rasa bersalah. 

Gajah sudah digunakan sebagai pengangkutan sejak berzaman-zaman lamanya. Dalam al- Quran juga ada diceritakan kisah Raja Abrahah bersama tentera bergajahnya yang datang ke Mekah untuk merobohkan Kaabah. Gajah juga pernah digunakan untuk menarik batang-batang balak, tetapi kini aktiviti itu sudah dihapuskan. Banyak gajah yang telah diselamatkan dari industi balak ini. Sekurang-kurangnya penglibatan gajah-gajah dalam industri pelancongan ini lebih ringan tanggungannya jika dibandingkan dengan industri pembalakan. 

Kita rasa seperti kejam bila melihat pengendali gajah membawa 'bullhook' atau pencangkuk tajam untuk mengawal gajah yang dinaiki, sama seperti tali sebatan yang digunakan ke atas kuda atau lembu tunggangan. Namun apabila ditanya pada pengendali gajah keperluannya, kami diberitahu, ia digunakan ketika waktu kecemasan sahaja. Memang benar, sepanjang kami berada di atas gajah ianya tidak pernah digunakan.

Bullhook yang dibawa
Pengendali gajah duduk di lehernya

Keadaan hutan yang dilalui
Salah seekor gajah menunggu penumpang
Krabi Town

Aktiviti bersama gajah ini kami buat pada sebelah pagi 21 Mac 2018 dengan bayaran sebanyak THB 550 seorang. Pada sebelah petangnya kami ke bandar Krabi dengan menaiki tuk tuk dari depan hotel. Dari Ao Nang ke Krabi lebih kurang 15 km jauhnya. Menaiki tuk tuk ke sini memang agak lama, hampir 45 minit. Kami mengambil tuk-tuk ini untuk perjalanan pergi dan balik, sambil membawa kami berjalan-jalan di sekitar bandar Krabi. Jumlah bayaran yng diminta sebanyak THB 500 ... puas naik tuk-tuk😄
Ao Nang ke Krabi 15 km

Bandar Krabi .... petang 21 Mac 2018 .....uniknya
di atas kepala tiang  
diletak patung binatang ....
Tiang lampu isyarat.... "ape men" mewakili sejarah Krabi
sebagai tapak pra-sejarah Thailand yang tertua
yang kini berumur 30,000 tahun 
Tiang lampu ......  2 ekor gajah menggantung lampu di belalai ....
Gajah mewakili cara hidup orang Thai di mana binatang ini telah
 memainkan peranan besar dalam sejarah dan perjuangan mereka
3. Chaofah Park
Chaofah Park
Chaofah Park adalah sebuah taman di benteng sungai yang terletak di tengah-tengah bandar Krabi. Ia merangkumi beberapa serta berbagai tarikan untuk pengunjung. Daya tarikan utama adalah laluan pejalan kaki yang panjang di sepanjang sungai. Waktu yang paling selesa ke sini ialah waktu petang di antara 5.30pm -7.30pm, di mana cuaca mula sejuk sedikit.

Pemandangan sungai dari Chaofah Park sangat indah. Pekan Krabi terletak di muara sungai yang luas, terdapat hutan bakau di tebingnya dan di kejauhan kelihatan dengan jelas puncak kembar Khao Kanab yang telah dijadikan sebagai salah satu lambang bandar ini. Walaupun lokasi ini agak sibuk, tetapi ia juga merupakan tempat yang nyaman di mana orang datang untuk bersantai, bersiar-siar sambil menikmati keindahan pemandangannya.
Di latarbelakang .... puncak kembar Khao Kanab
 Selain pemandangannya yang cantik, terdapat juga banyak kemudahan rekreasi di sini. Antara lokasi yang menarik di sini termasuklah seperti:

Black Crab.

Jika anda ke Krabi, tidak lengkap kiranya jika anda tidak melawat Monumen Ketam Gergasi yang dipanggil Black Crab. Ia terletak di tebing Sungai Krabi dan merupakan salah satu tarikan utama di bandar ini. Gelaran Black Crab yang diberikan oleh penduduk setempat melambangkan kehormatan terhadap hutan bakau dan habitat semulajadi ketam hitam. Selain itu, ia juga memberikan gambaran tentang gaya hidup tradisional penduduk setempat. Monumen ini  berjaya menarik ramai pelancong ke kawasan ini untuk bersiar-siar dan bergambar.
Bergambar di sini dulu sementara menunggu giliran 
bergambar bersama Giant Black Crab
Akhirnya ...... sangat ramai pelancong pada petang itu
Ibu dan anak ketam juga menandakan kesuburan
 hutan bakau yang terdapat di seberang sungai
Nok Awk 

Bandar Krabi mempunyai beberapa patung yang menarik, dimana salah satu daripada patung ini adalah helang laut berdada putih. Patung ini terletak di garis pantai Sungai Krabi, berhampiran pusat bandar. Patung burung helang itu dipamerkan dengan sayapnya terbentang seolah-olah bersedia untuk terbang ke udara. Ini menggambarkan bahawa terdapat pembiakan helang-helang ini di wilayah itu.
Nok Awk or White-breasted Sea Eagle ...
Helang melambangkan kekuatan, pengetahuan
dan sikap memupuk orang lain
Maklumat menceritakan biologi burung ini
Batu prasati ini juga sebagai penanda KM 0
0 KM di Jalan Uttarakit sebagai titik rujukan di mana
semua pengiraan jarak jauh di wilayah ini bermula
Di Chaofah Park ini juga ada pasar malam yang menjual makanan tiap-tiap malam, tetapi kami tidak ke sini. Sebaliknya, sebelum waktu Maghrib kami bergerak balik ke Ao Nang, dan membeli makanan di pasar malam yang berdekatan dengan hotel.

Makan malam dengan kebab dari gerai halal ini
4. Four Islands Hopping

Ini adalah aktiviti terakhir kami di Krabi yang bermula dari pagi hingga petang 22 Mac 2019. Kami mengambil pekej "4 Islands Tour" kerana pulau-pulau yang akan dilawati itu berada tidak berapa jauh dari Ao Nang dan nampak seperti tidak "memenatkan". Namun sebenarnya aktiviti ini  agak berat jugalah untuk kami yang "tidak berapa sihat" nih😬
3 buah pulau yang dilawati ....
Ko Poda, Ko Tup dan Ko Kai 
Aktiviti ini memerlukan kita turun dan naik bot beberapa kali, yang memerlukan tenaga yang banyak untuk turun/naik tangga menegak yang disediakan di tepi bot. Ada kalanya perlu terjun ke dalam air yang setinggi pinggang. Ketika inilah talipon bimbit suami termasuk air laut kerana ia berada dalam poket seluar. Talipon yang berumur baru 6 bulan terpaksa dibuang saja akhirnya kerana sudah tidak boleh dibaiki. Jadi kalau ingin mengikuti aktiti seumpama ini pastikan talipon anda dimasukkan dalam beg kalis air terlebih dahulu.
Beg kalis air untuk talipon bimbit .... kepunyaan anak
 ketika mengikuti Island Hopping di Mersing
1. Tub Island - Ko Tup adalah pulau yang pertama kami singgah. Terletak di barat daya Ao Nang dan kedudukan antara Pulau Poda dan Pulau Ayam, Pulau Tup juga adalah antara pulau kecil yang terdapat di kepulauan ini.
Antara pulau tang paling kerap dilawati ....
sikit punya ramai pengunjung bagi sebuah pulau yang kecil
'Longtail boat' yang digunakan untuk membawa pengunjung
Di sini berlaku fenomena alam yang disebut sebagai
Thale Waek atau seperated sea
Thale Waek atau Laut Terpisah adalah fenomena alam yang unik di mana ketika air surut satu tebing pasir akan timbul menghubungkan Pulau Ayam ke dua buah pulau yang lebih kecil iaitu Pulau Mor dan Pulau Tup. Keadaan ini membolehkan kita berjalan melalui tebing ini ke pulau-pulau tersebut. Fenomena ini boleh dilihat dengan jelas 5 hari sebelum dan selepas bulan penuh di antara bulan Disember dan awal May, apabila air pasang dan surut berberapa kali sehari.
Ko Tup ..... tengahari 22 Mac 2018 ...
pasir yang putih dan sangat cantik .... 
Ko Mor dan Ko Tup dari jauh
2.Chicken Island - Ko Kai (Ko Poda Nok) atau Pulau Ayam merupakan persinggahan ke dua kami, tetapi kami tidak mendarat di sini. Bot berhenti di perairan berdekatan denga pulau ini untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin membuat aktiviti snorkeling atau berenang-renang sahaja. Perairan di sekeliling pulau ini menjadi lokasi yang baik untuk melihat terumbu karang yang luar biasa. Oleh kerana itu ia amat sesuai untuk aktiviti seperti scuba diving dan snorkeling.

Pulau Ayam adalah sebuah pulau kecil kepunyaan kepulauan Poda yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Ao Nang di wilayah Krabi. Ia mendapat nama jolokan ini daripda pembentukan batu yang menyerupai kepala seekor ayam, yang telah diberi oleh pengunjung ke pulau ini. Sangatlah terkenal nama ini sehingga tidak dikenali nama asalnya.
Fenomena Thale Waek - Ko Kai disambungkan oleh
benteng pasir ke Ko Tup dan Ko Mor
Air yang jernih di sekeliling Pulau Ayam
Tak pandai berenang .... main dengan ikan
di anak tangga bot saja

Inilah Pulau Ayam yang terkenal tu ...
batu kepala ayam ini berada di hujung selatan pulau
3. Poda Island - Ko Poda tempat persinggahan ketiga. Di sini kami dijamu makan tengahari, yang telah dibawa dari Ao Nang. Pulau ini adalah antara pulau yang terkecil yang terdapat di Krabi di mana saiznya tidak lebih daripada satu kilometer diameternya. Hampir seluruh pulau dikelilingi oleh pantai pasir putih yang lembut. Namun Ko Poda adalah pulau yang terbesar dalam kumpulan kepulauan Poda,  yang terdiri dari Ko Kai, Ko Mor, Ko Tup dan Ko Poda. Kumpulan pulau ini adalah sebahagian dari Mu Ko Phi Phi National Park.

Di belakang itu adalah pulau kecil batu kapur 
di kelilingi laut ....... ciri unik Pulau Poda
Indah dengan panorama pantai Krabi sebagai latar belakang
Railay Beach - Pantai Phra Nang sebenarnya tempat akhir kami singgah. Dari Ko Poda  hanya mengambil masa selama 25 minit untuk ke pantai Semenanjung Railay. Ia adalah salah satu pantai di Thailand yang paling banyak menarik pelancong untuk mengunjunginya. Pantai ini berada di sebelah selatan Pantai Ao Nang, di sekeliling tanjung yang berbatu. Ia hanya boleh diakses dengan bot sahaja walaupun pantai ini bersambung dengan tanah besar.


Railay Beach - sebuah semenanjung kecil
dengan 4 buah pantai
Dalam perjalanan ke Railay Bech ... panorama pantai Krabi

Semakin menghampiri Pantai Phra Nang
Peta maklumat - tempat menarik yang ada di Phra Nang
Mengikut maklumat yang diberi banyak aktiviti menarik yang boleh dibuat di Phra Nang ini. Selain pemandangannya yang indah dan tenang, keunikan pantai ini ialah ia mempunyai pantai pasir putih yang indah, tebing batu kapur yang tinggi, gua dan lagun yang tersembunyi di sebalik tebing, semuanya  dalam jarak yang sangat dekat, boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja. Walaupun begitu kami tidaklah pergi ke semua tempat yang disebut kerana kesuntukan masa dan kurang berupaya.
Phra Nang Cave Beach .... dikatakan yang tercantik
di Semenanjung Railay .... petang 22 Mac 2018
Teringin nak mencelup dalam air yang begitu cantik ....
tetapi suasana tidak menizinkan😞
Tebing Batu Kapur yang banyak terdapat di sini
Close-up view .....
Gua ini dijadikan tempat pemujaan penganut
simbol lingga (phallic symbol)
Saya hanya melihat dari luar gua tempat pemujaan ini kerana batang-batang zakar yang dijadikan sebagai objek pemujaan itu agak memalukan bagi kaum wanita😳Mengikut pencarian saya di internet, pemuja simbol lingga merupakan pengikut dari aliran atau anutan sesuatu golongan yang melakukan pemujaan terhadap lambang atau simbol yang menyerupai kemaluan lelaki atau zakar.

Mengikut cerita orang Thai, pada zaman dahulu kebanyakan nelayan akan datang ke sini untuk memuja sebelum turun ke laut. Mereka percaya persembahan yang dibuat akan membantu mereka mendapatkan hasil tangkapan yang lumayan serta melindungi mereka dari bahaya. Kini masih ada lagi nelayan yang datang ke sini untuk memuja tetapi tidak ramai.

Secara keseluruhannya aktiviti Island Hopping ini menyeronokkan tetapi sayang, saya dan suami tidak dapat mengikuti dengan sepenuhnya semua aktiviti yang disediakan. Alangkah seronoknya jika kami dapat melalui aktiviti ini di zaman muda😊Apa-apa pun saya bersyukur masih diberi peluang melaluinya.

Selepas melalui trip ini kami bercita-cita untuk membuat 'family trip' pula ke sini melalui jalan darat tetapi masih belum berjaya. Insya  Allah kami akan mencuba jika dipanjangkan umur.