Showing posts with label sibuk. Show all posts
Showing posts with label sibuk. Show all posts

Sunday, 3 January 2010

Kesibukan yang Melalaikan

Alhamdulillah, hari ini saya dapat menatap dan menulis dalam blog saya. Hampir dua bulan saya tidak  mempedulikannya dan sekali lagi saya gagal menulis sebarang artikel dalam bulan November. Jikalau tahun lepas disebabkan saya kehilangan laptop saya tetapi pada kali ini ianya adalah kerana gara-gara kesibukan mempersiapkan majlis perkahwinan anak lelaki saya pada tanggal 6 Disember baru-baru ini.

Alangkah indahnya jikalau kenduri majlis pernikahan itu dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tidaklah ia memenatkan dan menyukarkan persediaannya. Saya dan suami mengambil masa selama 2 minggu untuk  mengembalikan semula tenaga kami yang hilang disebabkan keletihan semasa persiapan dan mengendali  majlis itu. Suami saya terpaksa pergi bertugas ke KL hujung minggu berikutnya menyebabkan dia terus demam sekembali dari KL. Mungkin terlalu penat!

Kami hanya membuat satu majlis yang sederhana saja besarnya dan mudah dengan tujuan mengurangkan kos perbelanjaan dan juga  kerja-kerja persediaannya. Contohnya saya tidak menyediakan buah tangan pada tetamu dalam bentuk "goody bag"  atau "berkat" (nasi dan lauk bungkus) seperti kelazimannya di kawasan tempat tinggal kami, tetapi hanya sekadar sebiji "cup cake" dalam raga comel. Namun tindakan kami itu menjadi satu persoalan kepada rakan-rakan, jiran dan saudara-mara.


Sibuk! Itulah jawapan yang paling mudah untuk kita jadikan sebagai alasan mengelak dari menerima sebarang tugasan. Kesibukan hanyalah suatu yang "relative". Ada orang yang berada dalam situasi atau keadaan yang sama, tetapi yang seorang sibuk dan yang seorang lagi tidak. Saya ada menonton sebuah rancangan di TV yang cuba membersihkan rumah yang sangatlah kotor. Apabila ditanya tuannya mengapa dia membiarkan rumahnya dalam keadaan begiitu, dia kata, dia tiada masa membersihkannya sedangkan dia tidak bekerja di luar. Apabila ditanya apa yang dibuat sepanjang hari, katanya, dia menonton TV - program kegemarannya ditunjukkan satu lepas satu sehingga rasa tidak mahu berginjak dari tempat duduknya.

Memang benar sekali pendapat yang mengatakan kesibukan boleh melalaikan kita. Semua orang sibuk tetapi orang yang pandai menguruskan masanya dan tahu mengutamakan tanggungjawabnya , tidak akan menyedaripun kesibukannya itu. Kita jangan sesekali menjadikan sibuk itu sebagai jalan mudah mengelak dari sebarang tanggunjawab kita. Disebabkan sikap inilah ramai di kalangan masyarakat kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan juga masyarakat setempat.

Kerja tertangguh kerana tidak bersungguh!

Selepas menulis bahagian artikel di atas di waktu pagi 30 Disember tahun lepas, saya menangguhnya untuk disambung pada waktu petang. Akhirnya saya tidak menyambung terus kerana sibuk dengan kerja-kerja rumah menyebabkan saya terlupa terus niat di hati. Akibatnya saya tidak berjaya menulis sebarang artikel di bulan Disember juga. Rasanya bukanlah terlalu sibuk sangat sampai tidak ada ruang untuk menyiap dan mengemas apa yang telah dicoret. Namun itulah hakikatnya keadaan  manusia jikalau tidak ada kesungguhan..............semua kerja tidak menjadi dan tidak siap.

Itulah sebabnya Islam menganjurkan supaya kita bersegera dalam beramal ...... jangan ditangguh-tangguh.
Hadis Nabi yang bermaksud:

Jabir r.a. berkata : Pada hari perang Uhud, ada seorang bertanya kepada Nabi s.a.w. : Bagaimana pendapat mu kalau saya terbunuh dalam perang ini? Jawab Nabi s.a.w. : Di surga.  Maka segera orang itu membuang beberapa biji kurma yang masih ada dalam tangannya dan sedang dimakan, kemudian dia maju berperang, sehingga terbunuh.          (Bukhari, Muslim)

Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal saleh sebelum datang fitnah-fitnah seperti gumpalan malam yang pekat, seseorang berpagi hari dalam keadaan mukmin, lalu di petang harinya menjadi kafir, dan di petang hari ia dalam keadaam mukmin, lalu di pagi harinya menjadi kafir; dia menjual agamanya dengan harta duniawi."

(Riwayat Muslim dan Turmudzi ).

"Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal (saleh) sebelum datang tujuh perkara, (iaitu) tiadalah yang kamu tunggu melainkan hanya kemiskinan yang kamu lupakan; kaya yang membuat kamu melampaui batas; penyakit yang merosak diri kamu; lupa yang membuat kamu seperti anak kecil; maut yang mendadak; datangnya Dajjal, dia adalah sejahat-jahat orang yang sedang kamu tunggu; atau datangnya kiamat, dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit."                    
 ( Riwayat Turmudzi dan Hakim)