Friday 8 February 2019

Kembara Cyprus - Limassol

Kembara Cyprus ini  bermula dari 23 Jun 2018 dengan perjalanan bermula dari KLlA, transit di Bangkok dan Amman sebelum sampai di Larnaka airport, Pulau Cyprus  pada 24 Jun lebih kurang 11.15 malam.

Dari (25 - 28) Jun kami menginap di Le Village Hotel yang terletak di Limassol. Bandar ini terletak di Republic Of Cyprus (Cyprus Selatan). Pada 28 Jun kami bertolak ke Turkish Republic of Northern Cyprus (Cyprus Utara) dan berada di sana sehingga 30 Jun. Di sini suami ada lawatan kerja ke METU atau Middle East Technical University. Kemudian kami balik semula ke Cyprus Selatan dan tinggal di sini selama 2 malam lagi, sehingga 2 Julai di mana kami dijadualkan balik ke Malaysia.

Semasa perjalanan pergi dan balik antara Cyprus Selatan dan Utara, kami sempat menjelajah Pulau Cyprus sehingga ke Semenanjung Karpas, tetapi sekadar berhenti dan mengambil gambar sahaja sebagai kenang-kenangan. Alhamdulillah .... satu pengalaman yang sangat menarik!

😊Jom saya kongsikan pengalaman yang dilalui sepanjang pengembaraan.ini!

Walaupun kami berada selama 3 hari di Limassol tetapi hanya sempat pergi ke beberapa tempat menarik yang berhampiran kerana suami ada seminar di sini. Jadinya keluar berjalan-jalan hanya bila ada kelapangan sahaja.
Seminar yang dihadiri suami
Limassol adalah bandar kedua terbesar di Cyprus, selepas Nicosia. Ia menjadi tarikan kepada pelbagai jenis pelancong, dari yang berminat bercuti di bawah matahari bertemankan laut dan pasir hingga ke peminat tempat-tempat bersejarah. Waktu malam pula warga kota seperti berpesta, membanjiri kafe dan bar yang banyak tedapat di pinggir laut bandar ini. Kebanyakan jalan-jalan berdekatan dijadikan jalan sehala, menyebabkan agak sukar memandu ke satu-satu tempat dengan hanya berpandukan 'google map''.

Berjalan-jalan di pusat bandar sambil mencari cenderamata
Limassol .... ptg 26 Jun 2018
Antara beberapa tempat menarik yang kami sempat pergi ketika berada di sini:

1.  Limassol Great Mosque


Kami juga melawat masjid besar Limassol. Berpusing-pusing jugalah kami mencarinya sebelum terjumpa. Ia juga dikenali sebagai Masjid Kepir. Masjid ini adalah tinggalan daripada masyarakat keturunan Turki yang ramai tinggal di sini sebelum tahun 1974. Namun apabila peperangan tercetus pada tahun ini, ramai di kalangan mereka yang berpindah ke bahagian utara pulau.. Pada tahun-tahun 1990-an masyarakat Turki  pulang semula ke Limassol beramai-ramai dan membina kembali penempatan mereka di sini.

Masjid ini dibina ketika zaman pemerintahan Usmaniyah dan masih berfungsi hingga ke hari ini. Ia menjadi salah satu daripada mercu-tanda sejarah yang banyak ditinggalkan oleh orang-orang Turki di sini dan juga sebagai simbol wujudnya pelbagai budaya di pulau ini. Kini masjid Kepir dikunjungi oleh orang-orang Islam yang tinggal di sekitar Limassol.

Limassol Grand Mosque ... bahagian depan
.... bahagian sisi masjid
Masjid ini menerima ramai pelawat bukan Islam ....
siap ada notis etika masuk masjid
 Tempat wuduk .... ciri khusus masjid senubina Usmaniyah
Jom masuk dalam masjid pula!




2. Limassol Promenade

Persiaran atau promenade di Limassol ini sangat popular di kalangan mereka yang bercuti kerana pemandangan lautnya yang cantik, pantai yang berpasir, dan persekitaran yang dihiasi pokok-pokok palma dengan berlatar belakangkan laut yang membatasi sepanjang daratan. Ia menjadi tempat kegemaran warga kota bersantai.
Limassol Promenade - ptg 26 Jun 2018
... dihiasi pokok palma ... 
ramai datang berjogging di sini 
Pantai berdekatan ... pasirnya hitam 
 Limassol ... senja 27 Jun 2018

3. Kourion Archaeological Site


Pamplet maklumat
.... menceritakan sejarah kota purba ini
Kourion adalah salah satu tapak arkeologi yang paling menakjubkan di pulau Cyprus. Ia adalah sebuah negara kota purba yang penting di pantai barat-daya pulau Cyprus. Hingga ke hari ini khazanah-khazanah baru masih ditemui di sana. Ia terletak 13 km ke barat dari Limassol dan ia termasuk di bawah jajahan British Overseas Territories (BOTs). Ia juga menjadi sebahgian dari Tapak Warisan Dunia UNESCO Paphos.
Peta tapak - bertanda no 1 adalah The Theatre
 Apa yang paling menonjol di tapak ini ialah 'Greco-Rom amphitheatre' (perani Rumawi) yang indah, dibina pada abad ke-2 B.C. Vila-vila dengan lantai mozek yang mewah dan gereja Keristian terawal adalah antara khazanah yang terdapat di sini.

Tempat ini sangat luas dan terdapat banyak kompleks atau vila dalamnya. Tidak terdaya kami pergi ke semua kompleks yang ada dalam peta itu.

Notis maklumat menceritakan sejarah pembinaan
 dan perkembangannya serta ciri dan fungsi
Pelan teater yang dibaikpulih dan
 perubahan pada pelan di berbagai periode 
Kedudukan theater di tepi laut dengan panorama yang indah
Teater yang sudah dibaikpulih ... kini digunakan
untuk persembahan terbuka teater dan muzik 

Episkopi Limassol .... ptg 26 June 2018
    Greco-Rom Amphitheatre   
Ada bahagian daripada kota ini dibina bumbung
supaya ia dapat dilawati pada setiap musim
Keadaan di bawah bumbung ... 
.... disediakan laluan seperti jambatan
untuk memudahkan kita melihat dari atas
Contoh lantai mozek mewah di bilik-bilik yang terdapat di sini



Tebing penara Kourion dengan kuburan purba
Matahari terik dan sangat panas ...... summer Jun 2018
Kota purba ini terletak berhampiran dengan pantai dan ia dibina di atas bukit-bukit di kawasan ini. Kedudukan ini membolehkan kita menikmati keindahan pantai dan kebiruan laut Mediterranean apabila berada di sini. Jika melihat pada persekitarannya, terasa seolah-olah seperti kawasan ini kering kerana rupabumi yang agak gersang. Namun mengikut pengkaji sejarah kawasan ini banyak air pada suatu masa dahulu, kerana terdapat banyak bekas-bekas seperti saluran atau paip air dan kolam-kolam mandi di tapak kota purba ini.


Bagaimana kota ini termusnah? Mengikut maklumat dari pamplet ia dimusnahkan oleh Elexander the Great bersama negara-negara kota lain, dalam misi perluasan negara Macedonia. Walaupun begitu ada juga pendapat yang mengatakan ia musnah disebabkan gempa bumi yang berlaku di sini.

4. Kolossi Medieval Castle
Pamplet maklumat
Sedutan dari pamplet
Istana ini terletak di pantai selatan Cyprus, di barat bandar Limassol. Benteng zaman pertengahan  ini adalah salah satu yang terpenting di pulau ini. Pada zaman itu istana ini sangat terkenal di kalangan pelawat yang datang ke kawasan ini kerana kedudukannya di tengah-tengah lembah yang subur dengan berbagai tanaman dan tumbuhan seperti buah zaitun, bijiran, tebu dan terutamanya buah anggur. Ia menjadi pengeluar utama wain tradisional Cyprus.

Kolossi Castle .... ptg 26 Jun 2018
Machicolation ( 5 lubang berjalur) ..... digunakan untuk
mencurah air panas ke atas musuh yang cuba masuk
Istana yang  ada sekarang ini adalah istana yang kedua dibina setelah yang pertama runtuh akibat diserang berkali-kali oleh pihak musuh dan juga beberapa kali dilanda gempa bumi. Istana baru yang lebih kuat dibina pada 1454 ... berdiri sehingga ke hari ini.

Runtuhan dari istana pertama dikekalkan
Lagi runtuhan dari istana pertama
Istana ini dibina dari batu dan mempunyai 3 tingkat dengan ketiggian 21 meter dan dinding setebal 1.2 meter. Tingkat bawah sekali, kemungkinan besar dijadikan sebagai tempat menyimpan barang. Untuk masuk ke tingkat pertama perlu melalui jambatan angkat (drawbridge).

Jom masuk .... lalu jambatan angkat atau 'drawbridge' 

Bahagian dalam istana
Jom naik ke bahagian atas sekali pula ...
gerun juga naik tangga ini
Yess .... akhirnya sampai juga dalam keadaan sakit lutut

Pemandangan dari sini sangat cantik
Nama Kolossi berasal dari nama penguasa feudal pertama di sini iaitu Garinus de Colos. Di bawah sistem feudal ini sebanyak 60 buah kampong diletakkan di bawah seorang penguasa yang mengawal  mengurus dan mempergunakan hasil tanah penduduk. Sejak akhir kurun ke 14 istana ini tidak lagi berfungsi sebagai benteng pertahanan sepenuhnya, tetapi menjadi tempat tinggal rasmi dan pusat arahan penguasa feudal ini.

 Ini lawatan pada 26 Jun. Pada 27 Jun kami ke Paphos, pelabuhan terbesar Cyprus yang terletak lebih kurang 50 km ke barat Limassol. Jom ke sana pula! 





Sunday 27 January 2019

Kembara Cyprus

Kembara Cyprus ini bermula dari 23 Jun - 3 Julai 2018. Walaupun 10 hari saya dan suami mengembara, tetapi lebih kurang 4 hari dihabiskan untuk pejalananan sahaja. Ini kerana penerbangan kami ke Cyprus memerlukan 2 kali transit - pertama di Bangkok Thailand dan kali kedua di Aman Jordan. Perjalanan pergi dan balik adalah sama dengan transit di Aman yang sangat lama.

Penerbangan terus tanpa henti dari Bangkok  ke Amman mengambil masa lebih kurang 8 jam menggunakan pesawat Royal Jordanian Airlines. Transit di Aman selama 17 jam sebelum ke Cyprus, hanya sejam penerbangan. Kami sempat keluar melawat Petra Jordan ketika transit ini. Manakala penerbangan balik pula transit di Amman selama 11 jam.dan kami keluar sekali lagi ke Amman untuk melawat Gua Ashabul Kahfi. Alhamdulillah kami dapat melawat 2 negara dalam satu perjalaanan walaupun lawatan ke negara Jordan ini sangat ringkas.

Jadual asal penerbangan balik ... delay di Bangkok selama 5 jam
Di airport QAIA (Queen Alia International Airport)
 memang ada servis transit tour bagi yang ingin keluar

Masjid Al-Kahfi di sebelah gua Al-Kahfi ... otw balik Malaysia
 Pengalaman menaiki Royal Jordan Airlines

Ini adalah pengalaman pertama kami menaiki pesawat Jordan Airline. Kami sangat berpuas hati kerana kemudahan yang diberi semasa transit sangat istimewa. Kami tidak tahu pun tiket kami itu layak untuk mendapat kemudahan penginapan semasa transit seperti yang tercatit di bawah.

Dari: https://www.rj.com/en/info-and-tips/our-hub-and-beyond/transit-accommodation
Transit Accommodations: Lay Over Service
As a special courtesy to our passengers, in certain cases where an itinerary calls for a longer stopover in Amman, Royal Jordanian airlines may provide hotel accommodation, meals and ground transportation for passengers facing extended transit times in Amman for the following general conditions:

The connecting flight time must be equal or exceeding eight (8) hours.

Layover services shall be provided for a maximum duration of twenty four (24) hours

Layover services shall not be provided when same day connection is available

Royal Jordanian will not bear layover expenses either acting as delivering or receiving carrier When travel is wholly within these destination Bahrain, Egypt, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Lebanon, Oman, Qatar, Saudi Arabia, Sudan, United Arab Emirates, Tunisia and Algeria

Not all fares are eligible for this stopover service. Please contact your nearest Royal Jordanian office to confirm whether this service is available for your journey. Charges may apply.

The confirmation of your hotel is subject to the room availability at Amman airport transit desk, and the confirmation does not guarantee entry into Jordan. This is entirely at the discretion of the Jordanian Immigration Authority. Royal Jordanian Airlines is not liable in the event entry is not permitted

 Ada beberapa tips yang ingin saya berkongsi disini:

1.Jika penerbangan kita memerlukan transit sekali atau pun 2 kali, pastikan semasa cek in di KLIA (atau airport lain), buat untuk semua penerbangan sehingga sampai ke destinasi akhir. Kadang-kadang jika ada 'flight delay' kita tidak sempat hendak cek in semasa transit kerana jadual penerbangan yang agak dekat antara satu sama lain dan pintu 'gate departure' yang sangat jauh. Semasa kami cek in untuk perjalanan ini, kami meminta pekerja kaunter buatkan untuk kami sehingga ke Cyprus. Dia buat beberapa panggilan untuk tujuan ini, sambil memesan kepada kami supaya 'comfirm flight' semula semasa transit.

2. Jika masa menunggu untuk transit kita  di mana-mana airport tersangat lama,  cuba dapatkan maklumat di kaunter pertanyaan samada tiket kita layak untuk mendapat apa-apa kemudahan semasa menunggu. Sebenarnya kami pun tidak menanyakan hal ini semasa di kaunter pertanyaan. Niat kami hanya untuk mengesahkan penerbangan ke Cyprus dan bagaimana cara hendak keluar ke Amman sekejap sebelum penerbangan seterusnya. Ketika itulah kami diberitahu yang kami layak untuk mendapat hotel dan termasuk makan sekali. Emirate Airline juga pernah bagi servis seperti ini tetapi sekarang hanya flight tertentu sahaja yang layak. Kali terakhir kami menaikinya ke Morocco tetapi tidak layak mendapat kemudahan ini walaupun transit selama 20 jam. Apa-apa pun kita bertanyalah pada kaunter pertanyaan untuk kepastian.

3. Jika berlaku 'delay' yang lama dari masa berlepas, cuba pastikan jika kita layak mendapat apa-apa 'pampasan' dalam bentuk makanan atau pun penginapan. Sewaktu kami pulang dari Cyprus, penerbangan dari Bangkok ke KL telah tergendala selama 5 jam. Kami semua diberikan baucer sebanyak 300 THB  setiap seorang. Agak mencabar jugalah mencari kedai yang menjual makanan halal dan yang menerima baucer ini.

Baucer tidak ditukar - kami terus keluar dari airport
kerana ada kawan yang siap menunggu untuk membawa kami ke Petra
Amman Airport hotel
Hidangan buffet di dewan makan hotel ... menarik hiasan dindingnya
Kami sampai di Larnaka International Airport Cyprus dalam pukul 11.15 malam. Hotel kami di Lamassol kerana di situ jugalah suami akan berseminar. Dari airport ke Limassol lebih kurang 70 km dan kami telah menyewa kereta untuk ke sana kerana di Cyprus tidak terdapat banyak kenderaan awam. Kebanyakan pelancong menyewa kereta di sini dan prosesnya juga agak mudah, tetapi depositnya sangat mahal. Kadar sewanya berpatutan. Pastikan kita ada alamat tinggal, untuk dihubungi ketika di sini. Lebih baik tempat tinggal yang diberi beralamat di Republic of Cyprus atau Cyprus Seatan, supaya tidak timbul banyak soalan disebabkan hubungan dingin antara Cyprus utara dan selatan.

Kebanyakan penerbangan antarabangsa mendarat di sini
Ini gambar sewaktu hendak balik ke Malaysia
Ada banyak syarikat kereta sewa di sini ....
 Hertz antara yang terkenal dan dipercayai
Kereta yang disewa .... jenis volkswagen
Deposit sewa kereta ..... EUR650 (RM3,000)
... tak ambil cash tapi guna kad kredit
Sewa kereta kecil yang agak berpatutan ....
4 hari EUR103.36 (RM490)
Walaupun  masa perjalanan dari airport ke Limassol hanya lebih kurang 50 minit. tetapi kami sampai di hotel yang ditempah pada 1.30 pagi. Ini kerana pengurusan menyewa kereta itu memakan masa agak lama dan kereta dipandu dengan perlahan, serta tiada sebarang petunjuk mencari lokasi hotel (tiada data mencari  di google map dan terlupa download lebih awal). Suami memandu mengikut rasa hati sahaja. Saya kira kami sangat bernasib baik kerana ketika berhenti menanyakan lokasi hotel pada seoang yang masih ada di luar, hotel tersebut berada tidak berapa jauh dari situ. Alhamdulillah ...

Le Village Limassol .... hotel yang dicari
Sepanjang berada di Cyprus kami tidak membeli sebarang data internet. Kami hanya menggunakan internet percuma dari hotel. Jadi untuk tujuan mengembara, kami muaturun peta tempat yang ingin dituju terlebih dahulu dan menyimpannya. Antara beberapa bandar yang sempat kami lawati selain dari Limassol ialah Larnaca, Paphos, Morphou, Nicosia, Dipkarpaz ( Semenanjung Karpas) dan Farmagusta

Pulau dibahagi 2 sejak 1974 - Turki mengumumkan
kuasanya secara resmi 1983 dan dipisahkan oleh "Garis Hijau"

Dari (25 - 28) Jun kami menginap di Le Village Hotel yang terletak di Limassol. Bandar ini terletak di Republic Of Cyprus (Cyprus Selatan). Pada 28 Jun kami bertolak ke Turkish Republic of Northern Cyprus (Cyprus Utara) dan berada di sana sehingga 30 Jun. Di sini suami ada lawatan kerja ke METU atau Middle East Technical University. Kemudian kami balik semula ke Cyprus Selatan dan tinggal di sini selama 2 malam lagi, sehingga 2 Julai di mana kami dijadualkan balik ke Malaysia.

Semasa perjalanan pergi dan balik antara Cyprus Selatan dan Utara, kami sempat menjelajah Pulau Cyprus sehingga ke Semenanjung Karpas, tetapi sekadar berhenti dan mengambil gambar sahaja sebagai kenang-kenangan. Alhamdulillah .... satu pengalaman yang sangat menarik!

Insya Allah kita berjumpa lagi di entri Kembara Cyprus yang seterusnya.