Tuesday, 21 October 2008

Mesir Bumi Anbiya

Hari ini sudah lebih kurang 10 hari kami kembali dari Mesir. Selama 8 hari kami berada di bumi para anbiya' dan melalui satu pengalaman yang sangat baru. Selain daripada ke Mekah dan Madinah untuk tujuan beribadah Haji, kami tidak pernah lagi sampai ke mana-mana  negara di Timur Tengah.
Cairo Egypt...or...Kaherah Mesir
Sumber foto : MR Google
Kawasan Mesir merupakan tapak tamadun awal Mesir Purba. Monumen-monumen Mesir Purba seperti Piramid Giza, Sphinx, Kuil Luxor dan sebagainya menjadi tarikan berjuta-juta pelancong luar negara setiap tahun. Kini, Mesir merupakan antara negara Arab terpenting di Timur Tengah.

Mesir juga adalah sebuah negara yang sarat dengan sejarah peninggalan para Nabi dan ulamak terkenal seperti  Salehuddin al-Ayubi, Muhammad Bin Idris (Imam as-Shafie), Sheikh Zakaria al-Ansori dan as-Syahid Hassan al-Banna ( seorang tokoh agama yang banyak berjasa di kurun ke-20). Bagi mereka yang berminat, boleh datang  melawat makam Nabi-nabi dan ulamak-ulamak yang bertaburan di bumi Mesir ini. 

 Selain daripada membuat lawatan ke tempat-tempat sejarah, Mesir juga ada tempat bagi mereka yang suka membeli-belah. Antara yang menjadi tarikan pelancong luar ialah kilang Asfour Crystal dan Bazar Khan al- Khalili.
Kilang Asfour Crystal .... antara tempat yang selalu dikunjungi pelancong .... berbagai-bagai jenis kristal dijual di sini...... daripada hiasan rumah sehingga ke barang kemas wanita
Sumber foto : MR Google
Bazar Khan al Khalili juga terkenal di kalangan pelancong .... berbagai barangan dijual di sini  tetapi perlu-berhati-hati ketika membelinya .... tawar habis-habisan dan periksa kualitinya
Sumber foto : MR Google
Walaupun Mesir mempunyai keluasan tanah yang besar (1 juta km²), kebanyakan penduduknya mendiami kawasan-kawasan tebing Sungai Nil, terutamanya bandar Kaherah dan Iskandariah (Alexandria).

Kami tinggal 2 malam di Cairo di Rumah Pahang,  dan 5 malam seterusnya kami  berada di Alexandria. Kedua-dua bandar ini sangatlah berbeza dari sudut lanskapnya. Jikalau di Cairo sangat payah hendak berjumpa  kawasan yang berhijau tetapi di Alex tidak. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Alex dari Cairo, di penuhi dengan ladang-ladang pisang dan tamar di kiri kanan jalan. Ia adalah kawasan delta sungai Nil yang subur.  Sebaliknya di Cairo, di mana saja kita berjumpa padang rumput kita akan nampak orang duduk-duduk berkelah dan bersantai walaupun tempat itu di tepi jalan  yang sibuk. Maklumlah bukan ada pilihan macam kita boleh berkelah di hutan lipur.

Salah satu jolokan bagi negeri Mesir ialah Negeri Seribu Menara. Mesir mempunyai banyak sekali masjid-masjid yang berdiri megah dengan menaranya yang menjulang tinggi, Semasa di Cairo kami telah sempat menziarahi beberapa buah masjid dan makam tokoh-tokoh ulamak yang terkenal. Antara yang dilawati ialah:

1.  Masjid Amr-al-'As 
Masjid Saidina Amru al-‘As merupakan masjid yang pertama didirikan di kawasan benua Afrika ini. Masjid ini telah dibina oleh Saidina Amru ibn al ‘As bersama beberapa orang sahabat ketika itu. Pembinaannya dimulakan pada tahun 21H / 641M di Fustat , Ibu Kota Mesir pada waktu itu sebelum Kaherah. Ia telah berfungsi sebagai pusat menimba ilmu, lama sebelum Masjid al-Azhar. Imam Shafie rahimahu’Llah telah memulakan kelas pengajiannya di dalam masjid ini dan memperkenalkan mazhab barunya yang dikenali sebagai 'Mazhab Jadid'. Masjid ini telah beberapa kali mengalami proses pemulihan dan perluasan, sehingga kini masih diteruskan.

Di sepanjang bulan Ramadhan yang lepas Sheikh Jibril telah mengimamkan solat tarawikh. Pada malam-malam 27 Ramadhan ke atas, jemaah yang bersolat tahajjud melimpah sehingga ke atas jalan-jalan berdekatan masjid. Kami bersolat Zohor dan Asar di situ.



2. Masjid dan makam Imam As Shafie
Masjid ini berbeza dari yang lain kerana di kemuncak bumbungnya ada lambang kapal layar. Kebiasaannya di masjid yang lain  guna lambang bulan sabit dan bintang.  Masjid Imam As-Syafie dinamakan sedemikian kerana di masjid ini ,bersemadinya jasad seorang ulama terkenal iaitu Muhammad Bin Idris atau lebih dikenali dengan gelaran Imam As-Shafie. Beliau merupakan pengasas Mazhab As-Shafie,.Di dalam masjid ini juga terdapat maqam ulama terkenal Sheikh Zakaria al-Ansori.
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Shafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf. Imam Shafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.
Lambang kapal di atas kubah masjid menandakan ilmunya yang seluas lautan

Ini makamnya yang berada dalam maajid
3Masjid Rifai dan Masjid Sultan Hassan
Dua masjid ini duduk sebelah menyebelah. Jika dilihat dari jauh, dua buah masjid ini kelihatan seperti satu masjid yang dibelah dua, walaupun jarak masa binaan antara keduanya lebih dari 500 tahun. Ini kerana terdapat banyak persamaan dalam reka bentuk luarannya antara kedua-dua masjid. Masjid al-Rifai sengaja dibina untuk menyaingi struktur Masjid Sultan Hassan dari sudut saiz dan juga ketinggiannya.


Pemandangan dari atas Kubu Salahuddin - kedua-dua masjid
Masjid Sultan Hassan sebenarnya sebuah kompleks yang juga menempatkan sebuah madrasah. Walaupun begitu ia mendapat status masjid jami' yang membenarkan solat Jumaat. Jadi solat Jumaat dilakukan bergilir-gilir antara kedua-duanya. Masjid ini direka agar dapat memuatkan keempat-empat mazhab ahli Sunah: Shafi'i, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Mengikut sejarah, Sultan Hassan telah mengimpot jurutera dari seluruh dunia untuk membina masjidnya ini dan dikatakan mempunyai senibina yang sangat halus dan indah.


Masjid al-Rifai pula, sebahagian besar daripada kawasan masjidnya dikhususkan untuk makam keluarga di  Raja Mesir. Ia dibina atas permintaan Khushyar Hanim, ibu kepada Khedive Isma’il Pasha pada 1869. Anehnya walaupun masjid ini dinamakan al-Rifai, seorang ulama' terkenal, tetapi jasad al-Rifail sendiri tidak dimakamkan di sini, tetapi ia dikebumikan di Iraq. Ada kemungkinan ianya dinamakan sedemikian kerana sebahagian dari kawasan  masjid itu adalah bekas tapak zawiyah (masjid kecil) di mana pengikut dan anak murid al-Rifai dimakamkan. Antara mereka yang dimakamkan di sini selain daripada keluarga di Raja ialah 2 orang ulamak  Ali Abo Shebak dan Yahya Ansari dan  juga Shah Iran pada 1980.



4. As-syahid Imam Hassan al-Banna
Kami juga sempat menziarahi makam  Imam Hassan Al Banna. Pada Mac 1928, Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Ketika itu beliau berusia 23 tahun. Beliau banyak melakukan kerja-kerja dakwah bagi membetulkan aqidah masyarakat yang makin hari semakin jauh menyimpang dari al-Quran dan as-Sunnah. Beliau juga mengenengahkan pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah. Beliau meninggal kerana ditembak pada waktu tengah hari 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin.
Ini tembok  luar makam
Malangnya saya tidak ada gambar yang boleh ditunjukkan di sini kerana gambar yang diambil pada hari ini telah hilang bersama laptop yang telah dicuri. Kesemua foto yang dipaparkan di atas adalah  ihsan dari Mr. Google.

Pada keesokan harinya kami masih lagi membuat lawatan di sekitar bandar Cairo tetapi hanya untuk separuh hari kerana kami perlu ke Alex pada sebelah petangnya.

Kubu (Qal'ah) Salahuddin al-Ayubi

 Kami ke Kubu Salahuddin al-Ayubi yang terletak berhampiran dengan pusat bandar Cairo.
 Tiket untuk masuk berharga LE40. Di dalam kubu ini terdapat 3 buah masjid dan beberapa buah muzium termasuk Muzium Tentera. Kedudukan kubu ini di atas bukit Muqattam. Jadi ketika berada di dalamnya kita boleh melihat keseluruhan bandar Cairo di bawah.

Pemandangan bandar Cairo dari atas Kubu Salahuddin al-Ayubi
Ini peta yang menunjukkan kedudukan masjid dan muzium yang terdapat dalam kubu 
Ukiran batu yang mewakili Sulltan
 Salahuddin al-Ayubi
1169-1193 A.D

....di luar kawasan Muzium Tentera

   Ini dalam kawasan Masjid Muhammad Ali ....... salah satu 
 dari 3 masjid yang terdapat dalam kubu ini
Ini pula pemandangan dari bahagian luar

Masjid Ibn Thulun
 Selepas lawatan ke kubu kami ke satu lagi destinasi pelancong yg terkenal iaitu Masjid Ahmad IbnThulun. Ia sebuah masjid lama yang dibuat seratus peratus daripada bata tanah liat . Pembinaannya di sekitar tahun abad ke-13 tetapi pembinaan asal lebih awal lagi.  Semasa lawatan itu pihak berkuasa sedang melakukan "restoration" atau baikpulih. Keadaannya sama seperti yang dilakukan pada Masjid al-Hambra di Granada Sepanyol di mana mereka membuat semula ukiran-ukiran yang berupa kalimat Allah di tiang-tiang dan dinding-dindingnya.

Masjid ini juga dikenali sebagai Jami' Ahmad Ibn Thulun dan terkenal dengan menara pusingnya. Binaan Masjid ini banyak dipengaruhi oleh senibina Masjid Jami' Samarra di Iraq terutama menara pusing .... satu-satunya yang terdapat di Mesir. Pada masa yang lalu ia pernah dijadikan tempat Solat Jumaat tetapi kini tidak lagi aktif. Ia hanya dijadikan sebagai monumen sejarah yang dilawati pelancong-pelancong.

.Masjid ini adalah masjid yang tertua di Mesir yang masih kekal dalam bentuk asalnya. Kompleks masjid ini merangkumi kawasan seluas lebih 6 ekar. Ini meletakkannya sebagai masjid yang ketiga terbesar di dunia. Masjid ini juga pernah menjadi lokasi pengambaran filem James Bond "The Spy Who Loved Me".
Ini plan Masjid Ibn Thulun terkini - yang asal siap dibina pada 879 AD  atas Jabal Yashkur  oleh Ahmad Ibn Thulun, pengasa Dinasti Tulunid (868-905 AD)

......yang di belakang itulah "fountain" atau pancutan air untuk tujuan berwuduk - berada  di tengah-tengah halaman dalam masjid  
.....kelihatan menara pusing yang terselindung di balik kubah pancutan air


Maklumat yang terdapat di Masjid
Maklumat tambahan menceritakan projek baikpulih masjid yang sedang dijalankan

.....ini sambungannya.....yang di sebelah kanan sekali (tengah) itu adalah menara pusing

Selepas lawatan ini kami terus ke Alexandria.


dalam perjalanan dari Cairo ke Alex menaiki kereta ..... singgah membeli buah
 (tak ingat namanya) di tepi jalan
Perjalanan dengan kereta dari Cairo ke Alex mengambil masa selama 2 jam lebih. Di sana kami tinggal di Windsor Palace Hotel yang mengadap ke laut. Pemandangan dari atas kawasan ini sangatlah cantik sekali. Kami ada melawat beberapa kawasan  pelancongan yang terdapat di sini. Tiap-tiap malam, di sepanjang tembok yang memisahkan tanah dan laut di depan hotel kami itu dipenuhi manusia tua, muda dan kecil. Mereka duduk-duduk saja berborak sambil menikmati angin laut yang nyaman. Ada juga yang berkelah di atas tembok di waktu malam!

Pemandangan dari atas hotel
Windsor Palace Hotel adalah sebuah bangunan lama....
.ini pintu lift antik
masih mengguanakan lift style lama.....antik!

tembok di depan hotel waktu malam ....... dipenuhi warga kota Alex
Tiap-tiap malam kami keluar mencari kedai makan yang memenuhi selera kami. Beberapa kali kami hanya berjaya makan sandwich dan sayur salad serta jeruk saja. Ini adalah  kerana kami tidak pandai nak memesan, kerana tidak pandai berbahasa Arab. Namun malam terakhir kami di Alex kami dapat makan nasi dan ayam panggang kerana kebetulan pakcik yang menjual itu boleh berbahas Inggeris sikit-sikit. Lagi pula kedai yang kami singgah itu hanya kedai kecil dan kami ditunjuk  makanan yang ada siap dimasak. Senanglah sikit bila nampak bendanya. Apabila datang yang dipesan  selalunya lebih dari apa yang kita minta kerana setiap pesanan selalunya termasuk dua atau tiga jenis salad dan mesti ada jeruk.

selepas penat berjalan-jalan (di siang hari)  singgah lunch di gerai ini .... roti lagi ....
Sambil mencari kedai makan kami sempat juga meninjau-ninjau kedai lain. Rupanya orang Arab suka buat shopping waktu malam. Suasana kedai dan orang ramai tidak ubah seperti waktu siang hari. Malah rasanya lebih ramai yang keluar pada waktu malam samada kerana berbelanja ataupun untuk tujuan bersiar-siar. Di taman-taman pun dipenuhi orang, bukan berduaan tetapi berkeluarga. Budaya ini sangatlah berbeza dari negara kita. Saya pernah juga diberitahu oleh seorang kawan yang pernah ke Dubai, di sana juga keadaannya seperti itu. Mereka 'bershopping' sampai lewat malam. Di Alex kami tidak tahu sampai bila kedai dibuka kerana selalunya pukul 10 malam kami sudah balik ke bilik dan waktu itu masih ramai yang berbelanja. Kami sudah tidak mampu berjalan lama pada waktu malam kerana  sepanjang waktu siang kami berada di luar berjalan.

Jom ke Alex!

Perjalanan pulang
 Kami bertolak awal pagi ke Cairo kerana tidak mahu terlambat walaupun penerbangan balik hari itu dijadualkan sebelah petang. Lagi pun hari itu hari Jumaat di mana kami kena singgah masjid untuk solat Jumaat. Oleh kerana kami ada banyak masa lagi yang boleh diluangkan, kami telah dibawa oleh pemandu kami ke beberapa tempat menarik dalam perjalanan.

Sebelum solat Jumaat kami dibawa ke Taman Haiwan. Mungkin ini untuk menghabiskan masa sementara menunggu waktu solat di salah sebuah masjid yang banyak terdapat dalam perjalanan.

Dapatlah bermain-main dengan unta

Inilah tamannya.......

Pusara Anwar Sadat - kami hanya melihatnya daripada jauh kerana takut kesuntukan masa. Pada hari ptu memang kawasan ini terdapat ramai pelancong
Dalam perjalanan pulang ke Aiport Cairo kami melintasi pusara bekas Presiden Mesir Anwar Sadat
yang terletak di Dataran Rabaah
Berhampiran kawasan itu juga letaknya Universiti tertua Mesir Universiti al-Azhar.

.....dan di jalan yang sama kami lalu di hadapan pintu gerbang Universiti al-Azhar ....

Kami mula berjaulah ke Mesir sejak 1 Raya lagi dan pulang 11 Raya walaupun berada di sana hanya 8 hari. Jadi jumlah hari perjalanan kami adalah selama 11 hari. Ketika pulang, orang Malaysia masih lagi "beraya". Jikalau di Mesir, pada hari kami tiba di sana, mereka sudah tidak "beraya" .....kehidupan sudah berjalan seperti biasa. Tiada kelihatan langsung tanda-tanda baru lepas atau masih menyambut perayaan.

 Inilah satu perjalanan yang sangat memberi kepuasan dan manfaat kepada kami. Kami dapat melihat dengan secara dekat kesan-kesan peninggalan sejarah yang teragong dalam Islam. Sebenarnya masih ada banyak tempat sejarah yang belum dilawati. InsyaAllah kalau ada rezeki kami akan kembali menjejaki kesan- kesan sejarah ini lagi.

Yes......Kami sudah berada di Cairo Airprt
Suami bersama pemandu-pemandu kami

5 comments:

  1. alhamdulillah saya pun baru pulang dari melawat mesir. 11 hari 0 malam rasanya memang tak cukup rasa nak ke sana lagi,,,insyaallah...hehhehe

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah ..Terima kasih tuan ats perkongsiannya..Doakan sy semoga dimudahkan segala urusan utk berangkat ke sana bulan 10 utk daurah sanad al-Quran

    ReplyDelete
  3. Terima kasih juga kerana sudi membaca dari blog saya. Semoga segala urusan tuan ke sana nanti dipermudahkam Allah swt .... ameen

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah .. terima kasih atas perkongsian 💕

    ReplyDelete