Friday, 13 March 2009

Jaulah ke Mesir


1 syawal 1429H sekali lagi kami membuat perjalanan pulang ke Ipoh. Pada tahun lepas kami balik ke Ipoh juga sama seperti tahun ini, selepas selesai solat Eidil Fitri. Namun pada tahun ini kami hanya sempat balik semalam sahaja kerana keesokan harinya terpaksa ke KLIA untuk perjalanan ke Mesir. Tujuan kami ke Ipoh hanyalah untuk menghantar anak bongsu saya  untuk ditinggalkan dengan emak saudaranya ketika ketiadaan kami.

2 syawal (bersamaan 2 oktober 2008 ) bermulalah jaulah kami ke Mesir. Hari itu sebelum bertolak ke KLIA kami anak beranak singgah di kubur orangtua saya. Sudah hampir 10 tahun saya tidak menziarahi kubur mereka.

Kelihatan Masjid  Muhammad Ali  di belakang......Cairo Egypt Oct 2008

Catatan perjalanan:
2 Oktober ~  5.00 ptg - kami bertolak dari Ipoh selepas menziarahi pusara bapa dan emak.
~ 8.30 mlm - kami singgah di R&R Dengkil untuk makam malam serta solat  jamak Maghrib dan Isyak.
~ 9.30 mlm- kami tiba di Airport KLIA. Selepas bersalam-salaman dengan anak -anak   yang akan meneruskan perjalanan balik  ke Johor  kami pun masuk ke dewan berlepas untuk urusan
check-in dan pertukaran wang.
3 oktober ~   2.00 pg - kami menaiki kapalterbang  ke Dubai. Kami tiba di Airport Dubai lebih kurang pukul 4.30 pg (waktu Dubai ). Kami solat Subuh di situ. Sambil menunggu  penerbangan seterusnya ke
Mesir kami diberi " free refrseshment "  di Cafe Gate 117. Namun bukan semua penumpang layak mendapatkannya. Hanya mereka yang masa transitnya selama 4 jam dan keatas  sahaja yang dibenarkan makan percuma ini.  Kami diberi beberapa biji samosa comel yang panas , sekeping kek dan segelas fresh oren setiap seorang. Sambil menikmati sarapan kami itu, kami memerhatikan mereka yang berada di sekeliling dan kami dapati bukan semua  orang mendapat menu yang sama seperti kami. Kami membuat andaian mungkin makanan yang diberi percuma itu bergantung kepada berapa lama kita transit di Dubai. Walau apa pun sarapan pagi yang kami dapat cukup mengeyangkan.
~   8.50pg - ( ini waktu Dubai ) Setelah menunggu selama 4 jam lebih sedikit kami  pun menaiki
kapalterbang meneruskan perjalanan ke Cairo. Penerbangan ini mengambil masa lebih kurang 3 jam.
10.30 pg - Kami tiba di Airport Cairo. Pada hari itu balai ketibaan penuh sesak dengan  penumpang-penumpang dari pakej pelancongan. Ketibaan kami disambut oleh 2 orang student  Malaysia yang sedang menuntut di Cairo. Kami telah mengupah mereka sebagai pemandu pelancong kami.

~ 12.00 tgh - Tiba di tempat penginapan VIP di Rumah  Pahang. Kebetulan  waktu kami tiba di situ telah masuk waktu Zohor dan semua kaum Adam sibuk ke Masjid untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Jadi suami bersama pemandu pelancongnya terus ke masjid berdekatan,  sementara saya pula beristirehat di bilik melepaskan lenguh di badan.
~ sebelah petang - kami dibawa ke  kilang Asfour Crystal. Tersangatlah cantiknya suasana dalam kedai itu kerana dipenuhi dengan begitu banyak kristal yang bergemerlapan.  Kami telah membeli sebuah lampu dinding kristal yang murah sahaja dan 2 utas gelang tangan kristal sebagai buah tangan. Harga barang yang mahal boleh mencecah beribu  ringgit.
~ sebelah malam - kami berehat di bilik sahaja dan tidur awal kerana keletihan. Satu perjalanan jauh yang amat meletihkan, ditambah pula dengan kesibukan berhari Raya sebelumnya.

4 Oktober ~ 8.30 pg - kami mulakan aktiviti hari itu dengan lawatan ke Giza di mana terdapatnya binaan Piramid-piramid dan juga patung Sphinx ( kepala manusia badan kucing ). Tiket masuk berharga 50 genih ( pound Mesir - LE50).

~tengahari - kami pulang ke bandar untuk menziarah beberapa masjid yang terkenal di Cairo. Bandar ini terkenal dengan gelaran "City with thousand minarets". Antara masjid yang kami ziarah ialah

1.  Masjid Amr-al-A'sr - di sepanjang bulan Ramadhan yang lepas Sheikh Jibril menjadi imam solat tarawikh. Pada malam-malam 27 Ramadhan ke atas, jemaah bersolat tahajjud sehingga ke atas jalan-jalan berdekatan masjid. Kami bersolat Zohor dan Asar di situ.

2. Masjid dan makam Imam As Shafie'  - masjid ini berbeza dari yang lain kerana di kemuncak bumbungnya ada lambang kapal layar. Kebiasaannya di masjid yang lain  guna lambang bulan sabit dan bintang.

3. Masjid Rifae' dan Masjid Sultan Hassan - dua masjid ini duduk sebelah menyebelah. . Solat Jumaat dilakukan bergilir-gilir antara kedua-duanya.

Kami juga sempat menziarahi makam  Imam Hasan Al Banna.

~ sebelah petang - kami ke bazar Khan Khalili berbelanja sedikit untuk  dibawa pulang sebagai souvenir. Terdapat begitu banyak kedai dan gerai di situ tetapi kami hanya pergi lebih kurang separuh sahaja kerana keletihan. Lagi pun waktu maghrib sudah hampir iaitu lebih kurang jam 5.00 petang. Peniaga-peniaga Arab Mesir kasar orangnya. Kalau nak beli barang terus saja ambil. Tidak boleh pilih-pilih sangat, takut nanti  tak jadi ambil peniaganya jadi "bengang".

~ sebelah malam - kami berihat sahaja di bilik. Ingatkan nak pergi meninjau-ninjau shopping kompleks di bandaraya Cairo tetapi terasa malas pula disebabkan keletihan yang masih belum hilang. Rasa-rasanya lebih kurang sama sahaja yang ada di Malaysia.

5 Oktober ~ 9.00 pg - mula lawatan separuh hari. Kami ke Kubu Salahuddin al-Ayubi. Tiket untuk masuk berharga LE40. Didalam kubu ini terdapat 3 buah masjid dan beberapa buah muzium termasuk Muzium Tentera. Kedudukan kubu ini di atas bukit Muqattam. Jadi ketika berada di dalamnya kita boleh melihat sebahagian bandar Cairo di bawah. Selepas lawatan ini sepatutnya kami ke Muzium Firaun tetapi disebabkan beberapa faktor kami tidak jadi ke sana. Mungkin lain kali sahaja kami buat lawatan ke situ jika ada rezeki InsyaAllah.

~ Tengahari - melawat  Masjid  Ibn Thulun. Ia sebuah masjid lama yang dibuat seratus peratus daripada tanah liat . Pembinaannya di sekitar tahun abad ke-13.  Semasa lawatan itu pihak berkuasa sedang melakukan "restoration" atau baikpulih. Keadaannya sama seperti yang dilakukan pada Mesjid al-Hambra di Granada Sepanyol di mana mereka membuat semula ukiran-ukiran yang berupa kalimat Allah di tiang-tiang dan dinding-dindingnya. Ia juga dikenali sebagai Jami' Ahmad Ibn Thulun dan terkenal dengan menara pusingnya tetapi kami sendiri tidak menaikinya kerana ketika itu cuaca sangat panas dan kami juga sudah keletihan.

Alexandria

~ 2.00 ptg - kami bertolak ke Alexandria dan tiba lebih kurang jam 5.00 petang. Sepanjang berada di Alex kami menginap di Windsor Palace Hotel , sebuah hotel di tepi laut. Kawasan ini adalah sebuah kawasan pelancungan  yang sangat cantik pemandangannya terutama di waktu malam. Manakala  hotelnya pula terletak dalam  sebuah bangunan lama. Liftnya boleh dianggap sebagai koleksi antik. Harga biliknya lebih mahal daripada yang terdapat di Malaysia dalam kategori yang sama.

~ sebelah malam - Kami keluar sekejap cari makan, kemudian terus berihat di bilik sahaja kerana masih terasa keletihan daripada aktiviti di siang hari.

6 Oktober~ 7.00 pg - pergi ke tingkat 6 hotel untuk sarapan yang di pakejkan sekali dengan harga bilik. Dewan makannya mengadap ke arah laut. Dari situ sambil menjamu selera bolehlah juga menjamu mata kerana pemandangannya sangat cantik. Selepas bersarapan suami ke seminar di bangunan berdekatan, sementara saya tinggal dibilik sahaja sehingga ke petang.

~ sebelah malam - selepas solat maghrib kami keluar cari makan tetapi terasa agak susah nak pilih sebab tidak pandai berbahasa Arab. Nampak orang makan sedap tetapi bila nak pesan tidak tahu apa yang nak disebut. Jadi makanlah ' sandwich ' sahaja kerana itu yang mudah dipesan. Selepas makan kami berjalan-jalan ke pusat bandar Alex. MasyaAllah orang berpusu-pusu membeli belah seperti waktu siang di Malaysia. Jam waktu itu antara pukul 8.00 malam ke atas. Sebelum pulang ke hotel kami singgah  di pasar malamnya yang mempunyai gerai-gerai kecil dan menjual beraneka jenis barang (lebih kurang pasar malam di Malaysia ). Di sini barangnya lebih murah sedikit berbanding di Bazar Khan Khalili di Kaherah - baju yang ' exactly' sama tetapi harganya yang berbeza anatara LE5-LE10.

7 Oktober ~ pagi - hari ini dan hari seterusnya kami berjalan-jalan di Alex tanpa pemandu pelancung. Selepas sarapan kami membuat lawatan ke Kubu Sultan Qaitbay. Kami berjalan kaki separuh jalan dan kemudian naik teksi hingga ke destinasinya kerana kurang pasti tempat sebenarnya. Waktu pulang kami berjalan kaki sahaja menuju ke bandar. Bayaran masuk ke kubu sepatutnya LE15 seorang tetapi oleh kerana kami Muslim tukang tiket beri kami LE10 sahaja. Keseluruhan bangunan kubu ini dibuat daripada batu bata putih, jadi nampak begitu cerah apabila berada  di dalam. Walaupun lubang-lubang tingkapnya kecil memanjang tetapi masih dapat terasa angin yang bertiup dari laut kerana kubu ini terletak di tepi laut.

~ tengahari -ziarah Masjid Mursi Abdul Abbas. Suami masuk kedalam sekejap sementara saya tunggu di luar kerana wanita kena masuk ikut bahagian lain. Sebenarnya kami hilang 'mood'  untuk menghayati bangunan masjid ini kerana diganggu oleh peminta-peminta sedekah yang berselindung sebagai penjaga kasut dan pembaca doa. Selepas kejadian ini kami  rasa malas pula hendak menziarah masjid-masjid dan maqam lagi kerana di tempat-tempat seperti ini terdapat ramai sangat peminta sedekah yang sangat mendesak . Rasanya orang Islam yang banyak diganggu oleh mereka kerana atas alasan tanggungjawab bersedekah - ye lah... Pelancong kan banyak duit!

~ malam -seperti biasa kami keluar cari makan, sambil berjalan-jalan di tepi laut dan menjamu mata di kedai-kedai berhampiran.

8 Oktober ~ pagi - selepas sarapan kami menaiki teksi untuk pergi ke setesyen keretapi dan mengambil beberapa 'posing' gambar sebagai kenangan. Dari sini kami berjalan kaki ke Amphitheatre, sebuah 'waik-in' muzium atau muzium terbuka  peninggalan orang Rom. Bayaran masuk adalah LE15 seorang. Kami juga bergambar dalam runtuhan Amphitheatre itu.

Kemudian kami menaiki bas pula untuk ke Montaza Garden. Jikalau naik teksi tambangnya sangat mahal, boleh mencecah  sehingga LE25, tetapi  dengan bas tambangnya hanya LE1 seorang. Nasib baik ada seorang hamba Allah yang ingin menolong dengan memesan kepada kami supaya jangan naik teksi. Kena banyak bertanya kerana orang Mesir ini selalunya ' very helpful ' walaupun nampak sangat kasar. Walaupun  tidak tahu berbahasa Arab kena rajin bertanya juga kerana kekadang terjumpa yang tahu berbahasa Inggeris sedikit-sedikit.  Perjalanan dari setesyen bas ke Montaza Garden lebih kurang 1 jam.

~ tengahari - semasa tiba di bandar Montaza kami terasa  lapar kerana memang telah tiba waktu makan tengahari. Jadi kami pun singgah di salah sebuah  kompleks membeli-belah untuk mencari makan. Di sana terdapat beberapa kedai makanan . Kami makan piza dan nasi laban (susu) serta air pepsi cola. Tidak ada banyak pilihan seperti di tempat kita. Lagi pun payah nak minta , melainkan pakai tunjuk sahaja. Selepas makan dan solat jamak qasar di masjid yang terdapat di situ kami terus ke Montaza Garden.

~ petang - kami berjalan masuk ke taman dan dikenakan bayaran sebanyak LE5 seorang. Semasa kami berjalan masuk beberapa teksi mempelawa kami  menaiki teksi mereka untuk pergi jauh ke dalam. Kami menolaknya kerana ingin berjalan dan menikmatinya dengan lebih dekat sambil bergambar. Sememangnya berjalan dalam taman ini amat meletihkan kerana kawasannya terlalu luas. Namun walaupun terasa sangat penat, kami gembira dapat melihat kebun tamar serta pokok dan buahnya yang berbagai jenis dengan lebih dekat. Taman ini  terletak di tepi pantai  dan di atas bukit. Pemandanganya dari sini sangat cantik sekali. Di dalam taman ini juga terdapat sebuah istana yang dimiliki oleh Sultan Faruk  tetapi pelawat tidak dibenarkan masuk.

Ketika kami hendak pulang ke Mansiah ( kawasan hotel kami), kami terjumpa 2 orang pelajar Malaysia yang belajar di sana. Mereka tunjukkan kami  'van putih' (lagi satu jenis kenderaan awam) yang boleh dinaiki untuk pulang ke sana. Kali ini tambangnya lebih sedikit daripada tambang bas (LE1.25 seorang) tetapi masa perjalanannya hanya setengah jam. Nasib baik terjumpa budak-budak perempuan itu, jika tidak  terkial-kial kami mencari kenderaan yang mana satu untuk bawa kami pulang.

Setelah tiba di Mansiah kami terus menahan teksi untuk pergi ke El-Shukafa di kawasan Karunz. Kononnya ingin melawat  binaan Pompey's Pilar dan Catacombs tetapi pintu pagarnya sudah ditutup ketika kami sampai kerana waktu lawatan sudah habis ( antara pukul 4-5 ptg). Jadi kami lihat apa yang dapat dilihat dari luar sahaja. Kami dikenakan tambang sebanyak LE10 walaupun perjalanannya dekat sahaja. Waktu hendak pulang ada teksi yang offer kami dengan bayaran hanya LE5 tetapi kami menolak kerana nak "adventurous" sedikit petang itu. Kami bertekad untuk pulang dengan menaiki 'van putih'. Tanya punya tanya adalah seorang hamba Allah tunjukkan macamana nak balik ke Mansiah. Dia menyuruh kami ikut dia kerana jikalau dia hendak terangkan,  kami pun tidak faham. Rupanya dia bawa kami ke perhentian tram (satu lagi jenis kenderaan awam di Mesir). Sebelum ini pun suami memang ingin cuba naik tram tetapi tidak tahu macam mana. Tambangnya sangat murah, hanya 25 peasrtes (macam sen kita). Tempat tram berhenti agak jauh daripada kedudukan hotel kami. Kami tiba balik ke hotel lewat petang ketika hari sudah gelap. Rasa sudah tidak mampu untuk berdiri lagi kerana terlalu banyak berjalan hari itu.

~ sebelah malam - oleh kerana kaki saya terlalu sakit untuk berjalan lagi serta keletihan, suami telah keluar membeli makanan daripada KFC sahaja dan kami makan di bilik. Kaki saya melecet kena kasut kerana terlalu banyak berjalan. Hari ini kami mencuba semua bentuk kenderaan awam yang ada di bandar Alex- terasa begitu puas walaupun tersangat letih.

9 Oktober ~ pagi - selepas sarapan kami mengambil teksi daripada depan hotel ke Universiti Alexandria dan dikenakan bayaran sebanyak LE10. Pagi itu suami ada temujanji pada pukul 10 pagi dengan Dekan Fakulti Engineering. Saya ikut sekali dengan 'discussion' orang-orang akademik .... terasa  'out of place' pula.

~ sebelah tengahari -masih di uni dan 'terattend' sesi viva salah seorang student PhD nya. Lama juga kami terbuang masa di situ- lebih kurang 2 jam. Lebih kurang pukul 3 ptg baru kami keluar dari kawasan Universiti.

~ sebelah petang - kami melawat National Library dengan menaiki teksi juga daripada depan Uni. Jalan yang dilalui adalah jalan yang sama untuk  pulang ke hotel. Jadi kami dikenakan tambang sebanyak LE3 sahaja. Cantik dan unik librarinya dan untuk masuk ke dalam banyak pula kerenahnya. Setelah berputar-putar sekejap dalam kawasan librari kami pun pulang. Jam menunjukkan pukul 4.30 ptg dan kami masih belum kesempatan menunaikan solat jamak Zohor/Asar.

Kami ingatkan hotel kami berhampiran sahaja kerana jalan yang sama dan nampak dekat. Jadi kami berjalan kaki sahaja. Rupa-rupanya jauh dan lagi sekali kaki saya kesakitan dan kepenatan. Nak tahan dan naik kenderaan awam tak tahu pula nak cakap berhenti di mana.

~ sebelah malam - walaupun kaki saya sakit kami keluar juga kerana hendak mencari kasut kulit untuk anak sulung saya. Kami ingin memberinya sesuatu yang berharga sebagai balasan di atas bantuannya menguruskan adik-adiknya ketika ketiadaan kami. Ini adalah malam terakhir kami di Alex dan malam ini juga kami terjumpa kedai makan yang menjual nasi. Kebetulan 'tauke' kedai ini boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Maka hilanglah kempunan untuk makan nasi setelah beberapa  hari tidak menjamah nasi. Itulah orang Melayu dengan nasinya yang tidak boleh dipisahkan.

Sebelum masuk tidur kami mengemaskan beg kerana kami akan bertolak balik ke Cairo keesokan paginya.

10 oktober ~ pagi - selepas sarapan kami bertolak balik ke Kaherah dan dijemput oleh dua orang pemandu pelancung kami yang datang dari sana. Penerbangan pulang kami di sebelah tengahari. Dalam perjalanan ke Cairo Airport pemandu pelancong kami  membawa kami menyinggah di sebuah Taman Binatang.

~ tengahari - suami dan budak dua orang itu singgah di salah  sebuah masjid yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Mereka solat Jumaat, jadi saya tunggu dalam kereta sahaja. Sebelum sampai ke airport lagi sekali budak berdua itu memberhentikan kereta dan menunjukkan kepada kami kubur Anwar Sadat. Ketika itu ramailah pelancung-pelancung luar negara bergambar di sana . Kami hanya melihat daripada jauh. Dalam perjalanan ini kami juga ditunjukkan bangunan Universiti Kaherah.

~ sebelah ptg - berjaya untuk check-in setelah menunggu sekian lama kerana ada ura-ura mengatakan ada flight delay. Namun semasa di kaunter mengecop paspot, paspot saya telah ditahan tanpa sebab walaupun  paspot suami saya terlepas. Perkara yang sama terjadi pada sepasang lagi suami isteri dari Malaysia.  Kali ini dilepaskan paspot isterinya, manakala paspot suaminya ditahan. Kami tidak tahu nak buat apa melainkan menunggu sebab kami tidak diberi apa-apa penjelasan pun. Suami pula berada di luar kaunter dan dipisahkan dengan pagar. Dia tidak mampu nak buat apa-apa kerana semua urusan berlaku di sebelah dalam.  Setelah menunggu lebih kurang  setengah jam tanpa ada apa-apa tindakan daripada mereka, saya pun membuat kecoh dengan bercakap bahasa Inggeris. Tidak kiralah samaada mereka faham atau tidak dan mujurlah ada yang faham. Akhirnya paspot kami dikembalikan dan bila ditanya apa masalahnya, dia kata "No problem". Aduuuhh....betapa sakitnya hati!

Masalahnya, warganegara dari negara yang bukan Islam mudah pula terlepas tanpa banyak soalan. Kami ini dah jelas orang Islam dari sudut pakaian dan nama yang tertera dalam paspot." Hairan bin  Ajaib". Inilah yang selalu dikatakan musuh orang-orang Islam itu kadang-kadang datang dari orang Islam sendiri.

Beginilah berakhirnya jaulah kami di Mesir.

Mesir sebuah negara tentera yang begitu takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Lihatlah apa yang dia buat pada penduduk Gaza  sekarang ini - sanggup bersekongkol dengan Israel dan menentang saudara seIslamnya dengan menutup pintu sempadan yang menjadi nadi perhubungan  penduduk palestin dengan dunia luar. Wallahua'lam!
Related Post: 

Mesir Bumi Anbiya'










Kenangan-Pusing-pusing di Kota Alex


7 comments:

  1. Assalamualaikum wbt.

    Sy terjumpa this page as I was searching for pemandu pelancong in Cairo. Saudara mentioned abt hiring pemandu pelancong masa ziarah kesana...boleh tak pass saya contact no mereka klu x keberatan...makaseh.
    Pls email to my email addr cheqta@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Waalaikum salam wbt. Terima kasih kerana menyinggah di blog saya. Saya tak de kontek no mereka tapi saya ada emelnya. Semua urusan saya dgn mereka hari itu melalui emel. Saya sudah emel kontek namenya. Harap ini dpt membantu saudara

    ReplyDelete
  3. salam. wat a nice blog =)
    kalau tak keberatan, boleh tak berikan sy emel pemandu pelancong ms ziarah ke mesir.tq.
    olwez_hepi@yahoo.com

    ReplyDelete
  4. Wsalam. Tq for the comment. InsyAllah saya akan emelkan emel pemandu pelancong tuh,

    ReplyDelete
  5. Salam,

    terima kasih atas cerita dalam blog. Boleh jadi panduan kepada saya. kalau tak keberatan, boleh emailkan pemandu pelancung dari pelajar mesir tersebut. terima kasih

    ReplyDelete
  6. Terma kasih kerana sudi membaca blog saya. InsyaAllah saya akan emelkannya.

    ReplyDelete
  7. boleh emailkan kepada saya juga alamat email pemandu pelancong malaysia disana?..sekarang saya berada di cairo...terima kasih..

    ReplyDelete