Monday, 22 February 2010

Kampung Pulau Gaya Asli - Sungguh Unik!

Semasa lawatan saya ke Kota Kinabalu baru-baru ini, salah satu  destinasi pelancongan yang menarik dan menjadi target lawatan kami  ialah kampungan rumah atas air. Hari terakhir kami di sana,  kami telah berkesempatan menyewa sebuah bot yang membawa kami ke Kampung Pulau Gaya Asli. Di Pulau Gaya terdapat lima buah kampung iaitu  Kampung Pondo, Kersuapan, Lok Urai, Lok Baru dan Kampung Pulau Gaya Asli.
Kampung Pulau Gaya Asli
Kami membayar sebanyak RM40 untuk satu bot. Hari itu laut agak bergelora juga, membuatkan bot yang dinaiki seperti dipukul. Kalau lalu jalan darat, rasanya seperti terlanggar benda di atas jalan. Hati berdebar-debar juga (berlaku setiap kali naik bot)  kerana kelemahan kami yang tidak tahu berenang. Walau apapun,  pada hari itu kami dibekalkan jaket keselamatan ....... tenanglah hati sikit!

Dalam perjalanan ke pulau itu kami melalui sebuah penempatan yang agak terpisah dari yang berada di pulau. Ia terletak lebih jauh ke tengah laut dan rupa-rupanya itu adalah penempatan pendatang asing dari Filipina. Kadangkala mereka ini diserbu oleh pihak keselamatan. Manakala yang tinggal berhampiran dengan Pulau Gaya kebanyakannya adalah dari kalangan bangsa Bajau dan Ubian.
Penempatan pendatang asing dari Filipina

Apabila sampai di Kampung  Pulau Gaya Asli kami dibawa ke SM Pulau Gaya. Kami ditinggalkan di situ selama lebih kurang 15 minit untuk meninjau sekolahnya. Lawatan kami hari itu hanyalah ke sekolah ini. Jadi kami tidak berkesempatan untuk melihat kampungnya dengan lebih dekat. Kami juga tidak pergi ke SK Pulau Gaya yang terletak di bahagian lain tetapi hanya melihatnya dari jauh.  Walau bagaimanapun ianya adalah satu pengalaman yang unik ....... sekolah di atas air ..... lengkap seperti sekolah biasa ...... ada air-cond, ada surau, ada bot lagi menggantikan bas! Malangnya kami tidak dibenarkan masuk lebih jauh ke dalam ........ jadi kami tidak dapat melihat padang permainannya. Mengikut pemandu kecil kami (berumur 11 tahun) mereka bermain di "bawah" ....... di daratlah agaknya.
SMK Pulau Gaya yang terletak di Kampung Pulau Gaya Asli

Salah satu kemudahan yang ada di SMK Pulau Gaya ... satelit besar
Bot Sekolah yang berperanan sebagai kenderaan rasmi
Surau ........ lagi satu kemudahan penting yang disediakan pihak sekolah
Selepas lawatan ke sekolah, kami dibawa pusing-pusing dan melihat dari jauh beberapa buah pulau yang  berhampiran. Kami juga melihat beberapa aktiviti harian yang menjadi norma kehidupan di  perkampungan itu ........ ada bot yang menghantar bekalan air bersih. Bekalan air bersih harus dibeli untuk tujuan makan dan minum,  tetapi untuk tujuan membasuh dan mandi-manda, mereka menggunakan air hujan yang dikumpul.
Bot yang membekalkan air bersih dari KK
Bagi kita yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang mewah, mungkin akan mendapati kehidupan seperti itu agak  menyusahkan ......  cantik dilihat tetapi realitinya tidak seindah gambarannya. Namun bagi mereka yang sudah biasa itulah kehidupan yang mereka inginkan ...... tidak akan berpindah walaupun diberi alternatif. Bagi mereka yang ingin berdikari  dan memiliki rumah sendiri pula, inilah pilihan yang terbaik yang mereka mampu .......  kerana dengan hanya berbekalkan RM5000, mereka sudah boleh membuat sebuah rumah di pulau itu.



1 comment:

  1. kg. pulau gaya was so amazin.. even do i never step my feet there but i heard the place is awsome...

    ReplyDelete