Minggu lepas ada berita pasal berlakunya ribut di sebuah bazar Ramadhan di Jasin Melaka, di mana 3 orang telah maut. Ada pihak yang mengatakkan bahawa peniaga-peniaga di situ tidak solat Jumaat (ia berlaku pada petang Jumaat) dan Maghrib ....... seolah-olah kejadian itu sebagai satu balasan dan peringatan Allah terhadap mereka.
Lihatlah betapa kuatnya ribut yang dihantar oleh Allah SWT sehingga khemah-khemah itu berterbangan seperti kertas yang ditiup angin.
Selepas kejadian itu saya ada bersembang-sembang dengan anak lelaki saya yang kebetulan belajar di Melaka. Saya bertanya jika ada di kalangan kawan-kawannya yang tidak berpuasa. Dia kata, "Tak ada ........ tetapi yang tak sembahyang adalah...". Maknanya mereka berpuasa tetapi tidak solat......Apakah hukumnya puasa mereka ini? Ikutilah artikel ini seterusnya.
Ada sebahagian umat Islam yang mahu menjalankan ibadah puasa tetapi tidak mahu melakukan solat. Ibadah puasa dijalani dengan penuh, tetapi solat lima waktu ditinggalkan. Ini satu kekeliruan, sebab sikap Islam sendiri adalah tunduk dan patuh kepada Allah secara mutlak. Islam sebagai sebuah din adalah satu kesatuan yang tidak boleh diperkotak-katikan, disiat-siat dan dipilih-pilih sesuai dengan keinginannya. Firman Allah,
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَـبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذلِكَ مِنكُمْ إِلاَّ خِزْىٌ فِي الْحَيَوةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَـمَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الّعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَـفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. (al-Baqarah:85).
Perlu diketahui bahawa solat adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan solat bererti dia merobohkan agama. Jika agama telah roboh, maka puasanya pun menjadi sia-sia dan tidak ada pahalanya sedikit pun.
Berbalik kepada perbincangan di atas, ada sebahagian umat Islam yang rajin melakukan ibadah, termasuk juga solat tetapi hanya di bulan Ramadhan saja. Sepanjang bulan Ramadhan rajin mengaji, rajin ke masjid, solat berjema’ah, banyak bersedekah, tetapi sebaik habis Ramadhan, kehidupannya berubah 180 darjah.... penuh dengan maksiat.
Fenomina ini dapat kita lihat dalam program-program khas sempena Ramadhan yang ditayangkan di kaca TV....... seolah-seolah penonton hanya perlu dididik atau diberi ilmu ketika di bulan Ramadhan sahaja. Rancangan berbentuk hiburan dihentikan sementara.
Persoalannya ..... adakah Allah mengharamkan kemaksiatan hanya di bulan Ramadhan, sementara pada sebelas bulan lainnya kemaksiatan itu halal? Adakah Allah mewajibkan ibadah hanya di bulan Ramadhan, setelah itu kewajipan dicabut lagi dan hanya diturunkan di tahun depan?
Islam mengajar manusia cara hidup yang berpandukan al-Quran dan sunnah, sedangkan kehidupan manusia sepanjang masa, bukan hanya di bulan Ramadhan. Maka orang yang masih memiliki kebiasaan seperti ini hendaklah bertaubat...... menyesal dan berhenti dari kebiasaan buruk ini. Mulakan dengan Ramadhan tahun ini. Seterusnya, senantiasa menjaga ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Dalam beribadah ini hendaklah memegang firman Allah,
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
Maksudnya:" Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
(al-Hijr:99)
Dan juga sabda Rasulullah;
عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِىِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِى فِى الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ .
Maksudnya:Dari Sufyan bin Abdullah ats-Tsaqafi, ia berkata; Aku bertanya, ”Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku sesuatu di dalam Islam yang tidak akan saya tanyakan kepada seorangpun selain engkau” beliau bersabda, ”Katakanlah, aku beriman kepada Allah lalu istiqamahlah” (HR Muslim)
Istiqamah dalam iman membawa kepada istiqamah di dalam beribadah. Ini adalah kerana hakikat iman mencakupi amal, iaitu dengan melakukan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
No comments:
Post a Comment