Friday, 29 April 2011

Abu Zar Al-Ghifari - seorang Aalim yang Tidak Layak Memimpin

Dalam sejarah Islam Abu Zar Al-Ghifari dikenali sebagai sahabat yang paling bersikap terbuka dan berterus terang. Beliau sangat tegas dalam menyatakan kebenaran, tanpa ragu-ragu kepada sesiapa saja  tanpa mengira mereka adalah kawan atau sebaliknya. Jiwanya suci, bersih dan kehidupannya amat mudah.

Abu Zar tidak suka kepada kehidupan yang bermewah-mewah. Semasa pemerintahan Khalifah Othman, masyarakat Islam mula suka mengumpul harta dan menjalani kehidupan yang mewah dan bermegah-megah. Keadaan ini sangat meresahkan Abu Zar kerana ianya bertentangan dengan prinsip kehidupannya yang sangat sederhana. Ini menyebabkan beliau banyak mengkritik cara pemerintahan Khalifah Othman, dan seterusnya mewujudkan suasana tegang antara beliau dan pemerintah. Akhirnya beliau diminta oleh Khalifah Othman untuk tinggal di kawasan terpencil bernama Rubza di luar kota Madinah bagi mengelak gangguan berterusan daripadanya.

Pernah suatu ketika Abu Zar meminta jawatan dalam kerajaan daripada Rasulullah SAW, tetapi telah ditolak. Mengapa? Ini jawapan Rasulullah SAW:

“Aku lihat kamu  adalah seorang yang lemah (tidak berupaya) melaksanakan tugas dengan baik, aku menyayangimu seperti aku sayangi diriku sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.”    (Riwayat Muslim)

Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana takutkan Allah, Kelemahan Abu Zar ini amat jelas pada Rasulullah SAW. Malah baginda telah meramalkan semasa perang Tabuk bahawa Abu Zar nanti akan meninggal seorang diri dan dibangkitkan juga seorang diri. Kelemahannya ialah dalam keterampilan bermasyarakat sehingga menyebabkan dia dibuang daerah. Sebagaimana yang diramalkan oleh Rasulullah SAW, Abu Zar memang meninggal seorang diri dengan hanya ditemani oleh isteri dan anak perempuannya. Jenazahnya telah diuruskan oleh beberapa orang pengembara dari Iraq, juga seperti yang telah diramalkan oleh Rasulullah SAW.

Ada beberapa orang lagi di kalangan para sahabat yang telah meminta jawatan daripada Rasulullah SAW tetapi telah ditolak. Daripada Abd Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda:

Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) –
Had(ith Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Ini bermakna tidak semua orang mampu jadi pemimpin walaupun ilmunya banyak. Banyak faktor yang perlu diambil kira apabila kita memilih pemimpin. Syarat utama untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah kelayakan, iaitu mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyarakat, wibawa, akhlak mulia, mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah. 

Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tetapi bergelumang dengan dosa, manakala yang kedua, kuat agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab:

“Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya dapat menbina keutuhan negara dan kepentingan umat. Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manafaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang dipimpinnya.”

Ini kerana kepentingan untuk orang ramai lebih diutamakan daripada kekurangan akhlak dan moralitinya.

2 comments:

  1. Diceritakan bahawa Abu Zar wafat diuruskan oleh orang-orang soleh dari Iraq. Benarlah kata-kata Rasulullah. isi kandungan artikel ini sangat memberikan hujah kepada situasi negara kita.

    Selalu apabila berhujah dengan rakan, mereka selalu menyatakan pendirian bahawa parti A mesti meminpin kerana diungguli oleh para Alim Ulama'. Walhal dengan keadaan kawasan naungannya yang sangat mundur menyerlahkan tanggapan luaran orang.

    ReplyDelete
  2. Kenapa guna perkataan ramal.. Kata2 rasulullah datang dari wahyu bukan ramalan sendiri..makanya perkataan rasul itu pasti berlaku bukan ramalan..

    ReplyDelete