Petikan dari post pertama:
Inilah pertama kali kami sampai ke bandar Sungai Rengit. Untuk menyimpan kenangan ini, kami telah pergi ke datarannya untuk bergambar sambil menikmati keindahan laut. Kemudian kami ke Teluk Ramunia mencari pantai, kalau ada .... 😃😃 tak jumpa! Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.Kali pertama kami ke sini (Sungai Rengit) pada 21 Ogos 2021. Kemudian kami ke sini sekali lagi dari 27 hingga 29 Disember 2021 bersama keluarga kerana ia menjadi lokasi pilihan Hari Keluarga kecil kami yang biasa dibuat pada hujung tahun.
Seperti yang disebut pada petikan di atas, ada beberapa tempat menarik yang kami tidak dapat pergi atas sebab-sebab tertentu, terutama Teluk Ramunia😃kerana tidak terjumpa jalan masuk. Menariknya lawatan kali ini kami memang bermalam dan beraktiviti di sini. Tepatnya kami tinggal di Arena Sepang Resort yang berada di Kampung Teluk Ramunia.
Resort ini menghadap laut Selat Singapura |
Jom kita ke Arena Sepang Resort terlebih dahulu sebelum menyambung ke tempat lain ...
Video memberi gambaran suasana dalam resort ini
Ada beberapa lagi tempat yang kami belum pergi tetapi sempat melawatnya kali ini sebelum pulang. Antaranya Spider Garden, jeti lama dan Tanjung Belungkor. Kami juga berpeluang menikmati keenakan makan lobster di Sungai Rengit. Ketika pertama kali ke sini, ada juga mencari warung lobster yang halal untuk menjamu selera, tetapi banyak kedai makan masih belum dibuka ketika itu.
Warung Lobster Melayu Tepian Pantai Sg Rengit
Mula-mula kita ke warong lobster, di mana kami makan tengahari di sini pada 28 Dec 2021. Lobster ni makanan orang "have-have"😉 kerana seekor lobster berharga RM 200 (siap masak). Hari itu kami ambil 6 ekor lobster dengan harga RM 1200, di samping lauk-pauk yang lain kerana ada juga ahli keluarga yang tidak makan seafood😃 Kami ini bukanlah dari kalangan ketegori orang yang biasa bermewah seperti ini, tetapi hari itu adalah hari yang special kerana 'Tok Wan' meraikan rezeki 'duit pencen' dengan membelanja anak-cucu 'makan besar'. Ini juga merupakan salah satu acara 'bonding' kali ini bersama keluarga kecil kami.
Selesai makan bergambar pula buat kenang-kenangan |
Ni meja Tok Wan, meja cucu-cucu di belakang ... sedap masakan lobsternya |
Lobster telur masin |
Suasana dalam restoran
Lobster dari Australia |
Spider Garden
Ini lagi satu tempat menarik yang harus dilawat ketika berada di sini. Tempat ini menepati peribahasa Inggeris yang menyebut "Don't judge a book by it's cover" dan sebaliknya bertentangan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi "Indah khabar dari rupa"😄Apa yang menariknya ialah tempat ini mesti dinikmati atau merasainya, bukan hanya sekadar melihat dari jauh. Rupanya sangat tidak "menarik" tetapi apabila berada di dalamnya terasa begitu tenang sekali ... macam ingin terus berada di situ.
Tempat ini dibuat dari jala-jala yang lama dan bahan-bahan buangan yang dikutip dari pantai Teluk Ramunia oleh seorang yang bernama Hamzah di belakang rumahnya. Ketika kami ke sana masuk masih percuma. Terkini saya tidak pasti kerana mengikut maklumat dari internet sejak 2 bulan lepas, sekarang mereka ada menyediakan tapak campsite pondok rehat serta tandas, tempat BBQ, port memancing dan jumping spider besar.
Sesuai dilawati bersama keluarga ... bersantai dengan tenang di tepi pantai yang menghadap Laut China Selatan |
Anak-anak mesti suka melantun di atas lantai ini
Jeti Lama
Petikan dari post pertama:
Bercerita pasal jeti ini, ada satu jeti lama yang menjadi lokasi popular bagi mereka yang suka bersuafoto, iaitu jeti lama Sungai Rengit di Kg Sungai Rengit Pengerang. Ketika kami ke sini tidak tahu pula wujudnya struktur jeti lama yang sangat menarik ini. Mungkin akan mencarinya kalau ke sana lagi insya Allah. Mengikut kata mereka yang sudah ke sini disarankan datang pada awal pagi atau hampir maghrib untuk mendapat pemandangan yang memukau. Terpaksa pinjam gambar dari google untuk menunjukkan keindahannya .
Melawat jeti lama ini memang dimasukkan sebagai aktiviti hari keluarga pada pagi 28 Disember 2021. Kami ke sini pada awal pagi seperti yang disarankan oleh mereka yang telah ke sini. Alhamdulillah berjaya juga ke sini akhirnya, dan pemandangan pada pagi itu sangat indah sekali kerana cuaca yang sangat baik. SubhanAllah ... keindahan alam semulajadi ciptaan Allah yang tiada tandingannya.
Satu pemandangan yang memukau ... 28 Dis 2021-7.21 pg |
Beramai-ramai menantikan matahari terbit di ufuk timur
di sebalik jeti lama yang menganjur ke Selat Singapura
Tanjung BelungkorPetikan dari post pertama:
Lepas itu kami ke Tanjung Pengelih, salah satu dari jeti yang menawarkan perkhidmatan feri ke Singapura dan beberapa pulau berdekatan. Satu lagi jeti adalah di Tanjung Belungkor yang juga terletak di Pengerang, Sebenarnya kami terlupa hendak ke sini.
Akhirnya kami ke jeti Tanjung Belungkor dalam perjalanan balik ke Batu Pahat pada 29 Disember 2021. Pada masa itu, jeti ini masih belum dibuka selepas ditutup disebabkan PKP.
Selain daripada cerita jeti dan marina awam, ada satu lagi lokasi menarik di Tanjung Pengelih ini. Kami pun tidak tahu ia wujud sehinggalah membaca mengenainya di internet, iaitu Pengerang Coastal Battery (unit bersenjata), yang merupakan salah satu tinggalan kubu Tentera British semasa Perang Dunia Kedua. Ia terletak di kampong Tanjung Pengelih dan merupakan kubu pertahanan Tentera British terbesar dan terkuat bagi pertahanan rantau ini dari serangan tentera Jepun ketika perang dunia kedua. Kemudahan yang terdapat di kubu ini termasuk tempat simpanan peluru, wisma pegawai, hospital dan bilik jentera bawah tanah.Semasa lawatan kali kedua ini kami juga pergi sekali lagi ke Tanjung Pengelih bertujuan untuk melihat kubu tentera British sepertimana yang disebut di atas. Malangnya kawasan ini telah dipagar kerana mungkin ia menjadi sebahagian daripada kawasan PULAREK TLDM, iaitu sebuah pusat latihan tentera laut.
Salah satu daripada roadside pillboxes yang terdapat di Tanjung Pengelih |
Inilah di antara beberapa tempat baru yang kami lawat di sini semasa lawatan kali kedua kami.
No comments:
Post a Comment