Showing posts with label Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Indonesia. Show all posts

Monday, 25 May 2020

Bali - Pulau Seribu Pura


Pulau Bali merupakan destinasi pelancongan yang sangat terkenal di dunia. Pulau yang masyhur dengan jolokan sebagai pulau seribu pura atau kuil ini memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta pemandangan alam yang cantik.

Lawatan ke Bali ini dibuat pada hujung tahun 2018 (28 Okt -1 Nov) dan ini merupakan lawatan pertama kami ke pulau Bali tetapi yang kelima ke Indonesia. Sekali lagi perjalanan kami ke sini sempena urusan kerja suami yang perlu hadir seminar di sini.

Pulau Bali yang merupakan sebahagian Kepulauan Sunda Kecil mempunyai keluasan sepanjang 153 km dengan lebar 112 km. Ia beriklim tropika sama seperti dengan kawasan-kawasan Indonesia yang lain. Bahagian selatan Bali terdiri dari kawasan dataran rendah yang dialiri sungai-sungai, manakala bahagian utara adalah sebaliknya. Ibu kota Bali ialah kota Denpasar, dan kota Ubud pula merupakan pusat kesenian.


Kuta, SanurSeminyakJimbaran dan Nusa Dua .... antara
destinasi pelancongan utama
Pada zaman kerajaan Majapahit, hampir seluruh nusantara beragama Hindu. Namun seiring dengan datangnya Islam, berdirilah kerajaan Islam di nusantara yang menyebabkan keruntuhan Majapahit sekitar tahun 1500. Kebanyakan orang Hindu datang dari Pulau Jawa. Lebih dari 90 peratus penduduk Bali adalah penganut Hindu yang berbangsa Melayu. Kali pertama nampak orang Melayu menyembah patung terasa macam pelik juga.😕 Agama lainnya termasuk Islam, Kristian dan Budha.
Orang Melayu yang beragama Hindu .... sebahagian
dari upacara sembahyang mereka
Kami tinggal di sini ... The Patra Bali Resort & Villas
Resort yang kami duduki ini berada di Kuta, salah satu destinasi pelancong yang popular. Tempat ini tidak jauh dari pantai dan juga berhampitan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali. Selain dari kehadiran jaluran pantai yang indah di Kuta, juga disediakan banyak aktiviti yang menarik pelancong ke bandar ini. Walaupun pantai Kuta dikatakan pantai yang paling popular di Bali, kami tidak ke sana kerana tidak berminat dan juga kerana mempunyai bajet masa yang sangat terhad.

Kami telah kehilangan beberapa jam pada hari pertama kerana penerbangan yang telah dibatalkan dan terpaksa mengambil penerbangan yang seterusnya  di sebelah petang. Kami tiba lebih kurang pukul 9 malam di The Parta, tempat penginapan yang telah disediakan untuk kami. Pada hari kedua dan ketiga suami kena hadir seminar. Jadi kami ada masa lebih kurang 2 hari sahaja untuk berjalan-jalan di sini.
Status saya dalam fb selepas tiba di Bali melahirkan kelegaan ...
Di Bali ini agak susah untuk berjalan-jalan tanpa kenderaan. Kemudahan pengangkutan awam tidak meluas. Jadi kami telah menyewa sebuah kereta tanpa supir (pemandu) untuk tujuan ini. Di sini agak mudah untuk sewa kereta pandu sendiri, tidak seperti di pulau Jawa dan Sumatra. Kami mencari semasa sudah berada di Bali .... tidak perlu booking awal.

Ini kereta yang disewa  selama 2 hari
Kami menggunakan masa 2 hari ini dengan merancang perjalanan yang boleh membawa kami melawat ke sebanyak tempat yang mungkin mengikut citarasa kami. Di sini ada banyak kuil dan aktiviti 'kehinduan' yang dijadikan sebagai objek pelancongan. Kami cuba mengelak melawat tempat-tempat yang seperti ini. Berikut adalah beberapa tempat dan aktiviti yang sempat kami pergi dan buat.

1. Pura Tanah Lot
Walaupun kami bertekad tidak mahu melawat pura, tetapi tempat pertama yang kami lawat di Bali ialah pura Tanah Lot😁 Ada beberapa faktor yang menyebabkan kami memilih tempat ini. Pertama kerana kami ingin melihat pemandangan tepi laut yang sangat indah terutama pada saat matahari terbenam. Kami memang berminat dan suka dengan aktiviti melihat fenomena alam ini. Faktor kedua adalah kerana tempat ini yang paling dekat untuk membolehkan kami membuat perjalanan pergi dan balik sebelum lewat malam. Ini disebabkan kami hanya boleh memulakan perjalanan selepas jam 3.30 petang setelah suami selesai menghadiri seminarnya.

Kami sampai di Tanah Lot ketika lewat petang dan berkesempatan bersama ramai pelancong yang lain menantikan saat terbenamnya matahari. Petang itu sangat ramai pelancong di sini.
Ramainya yang merakam detik-detik matahari terbenam
..... pada 30 Okt 2018 jam 18:11
Di Bali terdapat 7 pura di tepi laut dan Pura Tanah Lot adalah di antara salah satu yang terkenal  sebagai tempat pelancongan utama di Bali. Pura Tanah Lot terdiri dari 2 pura yang terletak di atas batu besar. Satu terletak di atas bongkahan batu dan satunya terletak di atas tebing. Ia merupakan pura tempat memuja dewa laut. Keunikan dari Pura Tanah Lot adalah lokasinya yang berada di atas sebuah batu karang besar di pinggir laut. Pada ketika air laut pasang, pura akan dikelilingi air laut dan menghalang kita dari berjalan ke sana.
Ketika air laut surut .... membolehkan pelawat berjalan ke pura
Menurut sejarah Tanah Lot yang berdasarkan legenda, Dang Hyang Nirartha memindahkan batu karang (tempat bermeditasinya) ke tengah pantai dengan kekuatan spiritual. Batu karang tersebut diberi nama Tanah Lot yang maksudnya batu karang yang berada di tengah lautan. Pura Tanah Lot sejak sekian lama telah terdedah kepada proses penghakisan akibat ombak dan angin. Oleh sebab itu, pemerintah Bali melalui Projek Pengamanan Daerah Pantai Bali melakukan pemasangan tetrapod sebagai pemecah gelombang dan memperkuatkan tebing di sekeliling pura berupa karang buatan. Dikatakan 1/3 daripada bongkah batu karang yang dilihat sekarang merupakan batu karang buatan.

Untuk sampai ke pura ini pelawat perlu berjalan melalui deretan kedai-kedai yang menjual cenderamata Bali, di kiri dan kanan jalan yang menuju ke laut.
Melalui jalan ini yang menuju ke laut
Di hujung jalan adalah laut
Melalui pintu gerbang masuk ke kawasan pura
Pemberitahuan: Pura Penataran Luhur Tanah Lot
Hanya menghayati fenomena ini dari atas tebing
Pada 31 Oktobet kami telah membuat pengembaraan ke utara pulau Bali. Penerbangan balik kami dijadualkan pada 1 November sebelah malam. Jadi kami telah merancang satu perjalanan yang memastikan kami sempat balik semula ke selatan sebelum penerbangan kami. Alhamdulillah .... Allah permudahkan  semuanya  berjalan seperti yang dirancang. Ada beberapa tempat yang kami berhenti untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Jam 10.15 pagi kami sudah siap untuk memulakan perjalanan. Kami mengambil laluan yang berbeza untuk perjalanan pergi dan balik. Kami sengaja berbuat demikian kerana mengambil kira jarak dan tempat baharu yang boleh kami singgah ketika dalam perjalanan tersebut. Di awal pengembaraan ini kami telah memilih untuk melalui jalan yang bertol yang memerlukan bayaran melalui e-kad.
Sebelum sampai plaza tol ternampak patung ini
yang dibina dalam bulatan jalan ... satu kebiasaan di Bali
meletak patung di merata-rata tempat
Plaza tol Ngurah Rai .... terpaksa beli e-kad untuk membayar tol

Lebuhraya yang dilalui
Laluan perjalanan ke utara Bali ...
Hotel Melamun di pantai Lovina tempat yang dituju
2. Pasar Seni Sukawati
Ini adalah tempat kedua kami melawat di Bali dan yang pertama kami singgah dalam 'Kembara Bali' ini. Tempat ini termasuk di antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong kerana ia berdekatan dengan lokasi-lokasi pelancongan yang lain. Sini adalah tempat yang baik untuk membeli cenderahati Bali untuk dibawa pulang.
Dirakam pada 31 Okt 2019 .... 12.01pm
Salah satu pusat jualan yang ada di sini
Pura di Sukawati .... pemandangan yang sangat biasa di Bali
3. Tegalalang Rice Terraces
Dari pasar seni Sukawati kami teruskan perjalanan ke kota Ubud yang merupakan pusat kesenian. Dari Ubud kami ke Tegalalang yang terletak di utara bandar Ubud, sekitar 20 minit perjalanan.
Kampung Tegallalang yang terletak di lembah sebuah bukit  terkenal dengan teres sawah padinya. Teres sawah padi yang menghijau meliputi lereng bukit dan pohon kelapa melambai-lambai ditiup angin, persis sebuah lukisan yang indah. Tidak hairan mengapa ia menjadi lokasi pilihan ramai pelukis pemandangan.
Kota Ubud ... penanda jalan ke Tegalalang
Pemandangan bak lukisan
Sawah padi berteres Tegallalang ....
kami hanya melihatnya dari atas
Teres sawah padi ini berusia lebih 2,000 tahun. Para petani menggunakan alatan tangan yang kuno untuk membentuk teres seperti tangga di lereng gunung ini. Diperkukuh oleh tembok penahan, teres ini ialah sistem yang direka untuk memanfaatkan air yang mengalir turun dari puncak bukit. Siatem ini dipanggil subak.

Terdapat deretan kedai menjual pakaian, cenderahati, lukisan dan makanan di sepanjang kiri dan kanan jalan di desa Tegalalang ini. Tiada bayaran dikenakan untuk berhenti di spot cantik di sini kecuali bayaran meletak kenderaan..Kami tidak turun dan  masuk ke sawah tetapi hanya berhenti sebentar untuk menikmati pemandangan sawah padi yang mempesonakan dari atas.
Sebahagian dari deretan kedai yang terdapat di sini
4. Kintamani
Persinggahan kami seterusnya adalah di Restoran Batur Sari yang terletak di desa Penelokan Kintamani. Restoran ini berada di tanah tinggi dan menawarkan tempat makan untuk pengunjung dengan pemandangan terus gunung dan danau. Kami ke sini untuk makan tengahari di samping menikmati  keindahan pemandangan gunung Batur. Udara di sini juga sejuk dan nyaman.
Restoran Batur Sari .... tidak mudah mencari restoran halal
sumber foto: google earth
Restoran ini menyediakan makanan secara buffet. Makanannya biasa-biasa sahaja dari berbagai citarasa. Namun apa yang sangat 'osem' di sini ialah pemandangan yang 'dihidangkan'😍Sambil menikmati makanan yang diambil kita boleh duduk menghadap dan menikmati pemandangan gunung Batur dan hamparan sisa letusan gunung api, yang di kelilingi danau.
Makanan yang diambil hari itu
Tempat duduk yang paling 'osem'
Ini tempat duduk jenis 'pondok'
Gambar kenangan bersama gunung Batur .... 31 Okt 2018
Kawasan Kintamani juga merupakan tempat tumpuan pelancong. Selain melihat pemandangan alam pegunungan dan danau, pelancong yang datang ke Kintamani boleh melakukan aktiviti berendam di kolam air panas semulajadi yang berada di desa Toya Bungkah dan melawat pura Ulun Danu Batur.
Iklim sejuk dan udara segar daerah pegunungan juga menjadi daya tarikan pelancong ke sini.
Diambil lebih kurang jam 4 petang ... kurang jelas pemandangan
Hampir di sepanjang pinggir tebing disediakan tempat untuk mengambil gambar. Waktu terbaik untuk dapat melihat pemandangan gunung Batur dari desa Penelokan adalah di pagi hari sekitar pukul 09:00 – 12:00. Biasanya setelah pukul 12:00 tengahari, kabus mula kelihatan turun dan perlahan akan menutupi pemandangan gunung Batur.

5. Pantai Lovina
Dari Kintamani kami terus ke Hotel Melamun di Pantai Lovina tanpa henti  dan tiba lewat petang. Tujuan kami ke sini adalah untuk aktiviti melihat ikan lumba-lumba. Aktiviti ini biasanya bermula di awal pagi. Inilah sebabnya mengapa kami ingin bermalam di sini. Pantai Lovina terletak di Bali Utara, 10 km dari pekan Singaraja. 
Tanda nama Pura Ulun Danu Batur dan notis ada upacara keagamaan
Dalam perjalanan keluar dari Kintamani saya sempat merakam beberapa keping gambar dari dalam kereta. Jikalau kita berkenderaan di Bali memang selalu terjumpa notis "berhati-hati - ada upacara keagamaan" dan selalunya ia  menyebabkan kesesakan lalu-lintas.

Kampung Batur
Tanda arah ke Singaraja
Pantai Lovina adalah salah satu objek pelancongan di Bali yang memperlihatkan keindahan ikan lumba-lumba, kerana di sini kita memang berpeluang melihat lumba-lumba berenang dan meloncat di habitat semulajadinya. Untuk tujuan ini kita perlu pergi ke tengah laut dan melihat lumba-lumba dengan menggunakan perahu nelayan. Lumba-lumba pantai Lovina bermain di tepi pantai pada pagi hari. Oleh karena itu biasanya bot-bot akan bertolak dari pinggir pantai bermula dari pukul 6 pagi.

Kami hanya memutus untuk mengikuti aktiviti 'Dolphine Watching and Sunrise' di Selat Bali ini ketika sudah berada di Bali. Jadi menempah bilik hotel di pantai Lovina dibuat ketika di Kuta tetapi botnya belum dicari. Namun tidak lama selepas berada di hotel sudah ada orang yang menawarkan perkhidmatan botnya .... alhamdulillah.

'Dolphin Wathing and Sunrise' di Selat Bali
Pada pagi 1 November 2018 seperti yang telah ditetapkan waktunya, kami dibawa ke pinggir pantai untuk menaiki bot. Kami telah menempah bot Pak Putu. Harga sewa bot ini berbeza-berbeza, bergantung pada jumlah penumpang. Oleh kerana kami berdua sahaja sebagai penumpang pada hari itu, sudah tentu bayaran sekepala lebih mahal. Namun yang untungnya kami boleh menetapkan aktiviti dan masa sendiri. Walaupun begitu waktu bertolak untuk melihat ikan lumba-lumba masih sama iaitu pukul 6 pagi. Pukul 7.15 pagi kami sudah sampai semula di pantai kerana kami tidak buat snorkeling atau bermandi-mandi di laut.
Pantai Lovina di pinggir Selat Bali
Bot tersedia menanti  penumpang
Bot yang dinaiki ... Dhyon no 11
Pak Putu memberitahu kami bahawa dia akan bawa kami ke pantai sebelah utara kerana di sana tidak banyak bot yang pergi. Kebanyakan bot yang bawa pelancong pergi ke pantai sebelah barat. Memang benar seperti yang dikata ketika berada di sana tidak banyak bot yang bersama kami pada pagi itu, seperti yang diceritakan dalam 'review' pengalaman mereka yang telah melalui aktiviti ini.
Alhamdulillah ...  teruja  dan puas sangat 😍
melihat dolphin ini bermain-main
menyambut sinaran matahari yang baru terbit
SubhanAllah .... keindahan langit sejurus selepas matahari terbit
Perjalanan pulang ke Kuta

Lebih kurang pukul 10 pagi kami sudah mula bertolak balik ke Kuta. Namun sebelum itu kami bersarapan dahulu di hotel. Kami sangat berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh pihak hotel dengan harga yang boleh dikatakan agak murah (hanya RM 140 semalam). Keadaan bilik yang baik serta selesa dan harga termasuk minuman percuma ketika baharu masuk bilik dan sarapan pagi. Hotel ini juga ada kolam renang.

Bergambar kenangan di tepi kolam renang
Lobi hotel ... kecil sahaja hotel ini
Unik ....tempat hiasan bentuk separuh perahu
Selamat tinggal Hotel Melamun
Sebelum meneruskan perjalanan balik kami menyinggah terlebih dahulu di pantai Lovina untuk bergambar dengan monumen lumba-lumba yang terkenal di sini. Kami juga membeli beberapa cenderahati di gerai-gerai yang terdapat di pantai ini.
Kenangan di pantai Lovina
Kenangan di pantai Lovina bersama kereta sewa
Maklumat asal usul nama Lovina
Laluan balik dari Singaraja ke Kuta melalui Denpasar
Kami memulakan perjalanan balik dari pekan Singaraja. Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, laluan balik ini adalah berbeza dari yang diambil ketika datang ke sini. Dalam perjalanan kami sempat  melihat pemandangan panorama yang menakjubkan di 3 buah tasik yang terdapat di daerah yang dilalui.

6. Twin Lake (danau Buyan dan Tamblingan)
Sebenarnya kami tidak pergi ke dua tasik ini tetapi hanya ke 'viewpoint' untuk melihat keindahan tasik dari tanah tinggi. Untuk tujuan ini kami terpaksa melencong sedikit dari laluan balik ini dan pergi ke tempat yang ditanda dalam peta sebagai Twin Lake View.
Kedudukan viewpoint, danau Buyan, Tamblingan dan Beratan
Twin lake atau danau kembar  adalah panggilan untuk danau Buyan dan Tamblingan, yang terletak berdampingan dan kelihatan begitu indah, mengagumkan, sehingga tempat tersebut menjadi destinasi melancong yang cukup menarik di daerah Buleleng. Jika dengan kendaraan bermotor jarak dari tempat meletak kenderaan di danau Buyan ke lokasi destinasi melancong danau Tamblingan lebih kurang sekitar 13 kilometer, sedangkan danau kembar ini terletak bersebelahan dan hanya dipisahkan oleh hutan seluas 1 km.
Keindahan pemandangan tasik kembar

Berdekatan dengan lokasi khas untuk melihat pemandangan tasik ini terdapat sebuah 'Guest House' dan restoran. Ia juga berdekatan dengan sempadan wilayah Desa Gobleg. Masuk 4 km ke dalam wilayah ini ada Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa. Ada berbagai-bagai aktiviti yang disediakan di resort ini mengikut maklamat yang diiklankan di pintu gerbang Desa Gobleg. Selepas menikmati keindahan panorama tasik kembar ini kami berpatah balik dan meneruskan perjalanan ke danau Beratan yang jaraknya hanya lebih kurang 8 km dari sini.
Puncak Bagus  Restaurant & Guest House ... senibina Bali
Pintu Gerbang ke wilayah Desa Gobleg ... jika diteruskan ke sini
7. Danau Beratan Bedugul
Walaupun danau Beratan ini hanya 8 km jauh dari danau Buyan tetapi kedua tasik ini berada di dua buah daerah yang berbeza. Danau Buyan terletak di daerah Beleleng manakala danau Beratan pula terletak di dataran tinggi Bedugul dalam daerah Tabanan. Danau Beratan Bedugul kini merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular di Bali. 

Tasik Beratan berada di jalur jalan wilayah yang menghubungkan Denpasar-Singaraja (laluan balik kami). Di tengah danau terdapat sebuah pura iaitu Pura Ulun Danu Beratan, salah satu pura terbesar yang ada di Bali. Pura ini berjarak sekitar 70 km dari lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan lebih kurang 50 km dari pusat kota Denpasar.

Pemandangan Danau Beratan
Danau kembar dan danau Beratan terbentuk kerana letusan gunung Lesung (atau Lesong) yang dahulunya pernah aktif. Dari letusan gunung Lesung tersebut terbentuklah kaldera, iaitu danau alam seperti danau Beratan, Buyan dan Tamblingan ini. Gunung Lesung sendiri tidak aktif lagi, bahkan sekarang ditumbuhi dengan hutan belantara. Tinggi gunung Lesung sekitar 1.860 m dari permukaan laut,

Kami tiba di kawasan Bedegul ini sekitar pukul 11 lebih sedikit. Di tepi tasik ini ada banyak gerai menjual cenderamata dan makanan. Kawasan ini ada ramai orang Islam dan mudah untuk mencari makanan halal. Kami singgah di salah sebuah gerai makan untuk mengisi perut yang sudah mula lapar. Selain gerai-gerai yang ada, kita juga akan didatangi wanita-wanita yang menjual strawberry kerana di sini ada diusahakan kebun strawberry.

Di sini juga terdapat sebuah masjid yang besar, iaitu Masjid Besar al-Hidayah. Kebiasaannya kami akan singgah melawat mana-mana masjid yang kami jumpa tetapi kali ini kami terpaksa meninggalkan aktiviti ini kerana kesuntukan masa. Masjid ini berada di kedudukan yang sangat tinggi yang mempunyai berpuluh-puluh anak tangga untuk sampai ke kawasan masjid. Sudah tentu ia akan mengambil masa untuk turun dan naik tangga masjid, ditambah pula sakit lutut yang tidak menizinkan saya untuk naik tangga. Kami hanya ada masa 3 jam sahaja lagi sebelum temujanji dengan penyewa kereta di airport Ngurah Rai.
Membeli ole-ole untuk dibawa pulang
Masjid Besar al-Hidayah ...
... dengan mudah boleh dilihat dari jalanraya
Dikatakan masjid al-Hidayah ini sudah ada sejak 1926. Ia berdiri dengan megah di sebelah barat danau dan sudah pasti dari halaman masjid kita dapat menikmati keindahan pemandangan danau Beratan. Mengikut alamatnya masjid ini berada di desa Candi Kuning, Bedegul, Kec. Baturiti, Kab. Tabanan, Bali.

Syukur alhamdulillah, kami sampai balik ke Kuta tanpa sebarang musibah walaupun kadang-kadang tersesat beberapa kali dan melalui jalan-jalan sempit tanah tinggi yang menggerunkan. Sesat-lerat inilah risiko yang perlu diambil jika memandu sendiri di tempat asing. Oleh kerana kami ada lagi sejam sebelum kembalikan kereta sewa ini, kami ke Krisna Oleh-Oleh Bali Sunset Road. Tempat ini amat sesuai untuk mencari ole-ole Bali bagi mereka yang tidak suka tawar mwnawar ketika membeli. Semua barangnya ada tanda harga.
sumber foto :https://www.bali.com/shopping_Kuta
Semoga kita jumpa lagi di lain entri insyaAllah. Boleh tonton video Dolphin Watching saya di bawah