Kembara Cyprus ini bermula dari 23 Jun 2018 dengan perjalanan bermula dari KLlA, transit di Bangkok dan Amman sebelum sampai di Larnaka airport, Pulau Cyprus pada 24 Jun lebih kurang 11.15 malam.
Dari (25 - 28) Jun kami menginap di Le Village Hotel yang terletak di Limassol. Bandar ini terletak di Republic Of Cyprus (Cyprus Selatan). Pada 28 Jun kami bertolak ke Turkish Republic of Northern Cyprus (Cyprus Utara) dan berada di sana sehingga 30 Jun. Di sini suami ada lawatan kerja ke METU atau Middle East Technical University. Kemudian kami balik semula ke Cyprus Selatan dan tinggal di sini selama 2 malam lagi, sehingga 2 Julai di mana kami dijadualkan balik ke Malaysia.
Semasa perjalanan pergi dan balik antara Cyprus Selatan dan Utara, kami sempat menjelajah Pulau Cyprus sehingga ke Semenanjung Karpas, tetapi sekadar berhenti dan mengambil gambar sahaja sebagai kenang-kenangan. Alhamdulillah .... satu pengalaman yang sangat menarik!
πJom saya kongsikan pengalaman yang dilalui sepanjang pengembaraan.ini!
Hari ketiga saya berada di Limassol, kami melawat bandar tepi laut, Paphos yang berada sekitar 50 km ke barat Limassol. Ia merupakan pelabuhan terbesar di pulau Cyprus. Ia juga mempunyai sebuah lapangan terbang, yang kedua terbesar di pulau ini. Di masa lalu, Paphos ini merujuk kepada 2 tempat: Paphos Lama yang kini dipanggil Kouklia dan Paphos Baru.
Daerah Paphos mempunyai lebih dari 50 km panjang jalur pantai dengan 27 buah lokasi pantai, di mana 12 daripadanya menerima anugerah pantai terbaik dari sudut kebersihan dan kemudahan yang dimiliki. Selain pantai, Paphos juga mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk pencinta arkeologi, sejarah dan kebudayaan.
Paphos dimasukkan dalam senarai rasmi khazanah budaya dan semula jadi warisan dunia UNESCO kerana tinggalan purbanya yang hebat, dan juga telah dipilih sebagai Ibu Kota Kebudayaan Eropah untuk 2017, bersama dengan Aarhus.
Petra tou Romiou
Dalam perjalanan dari Limassol ke Paphos kami singgah di
Petra tou Romiou atau
"Rock of Roman"( East Roman or Byzantine). Ia juga dikenali sebagai
Aphrodite's Rock, yang sebenarnya ialah tunggul batu yang besar di laut. Tempat ini berdekatan dengan Kouklia (Paphos Lama) dan merupakan salah satu pantai yang sangat terkenal di Cyprus. Setiap tahun beribu orang datang mengunjunginya untuk bermandi-manda di air persekitarannya. Ada satu kepercayaan yang mengatakan, barangsiapa yang berenang mengelilingi batu ini sebanyak 3 kali, dia akan dikurniakan awet muda, kecantikan, kemewahan, kesuburan dan cinta yang sejati πππ
|
Singgah sebentar di Petra tou Romiou Kouklia Paphos Cyprus ... tgh 27 Jun 2018 |
|
Petra tou Romiou di Laut Mediterranean yang membiru indah
.... dilihat dari atas jalanraya |
Tempat ini mempunyai banyak cerita-cerita mitos dan lagenda yang disampaikan dari generasi ke generasi. Salah satu darinya adalah kedudukannya sebagai tempat lahir Aphrodite iaitu nama Yunani bagi dewi cinta. Cerita lagenda ini digabungkan dengan keindahan kawasannya menyebabkan ia menjadi lokasi pelancongan yang terkenal.
|
Petra tou Romiou ..... secara dekat |
|
Keindahan alam yang mempesonakan |
|
Ramai yang bermandi-manda di tepi pantai tetapi lautnya agak merbahaya untuk berenang |
|
Pantainya bukan berpasir ,,,, tetapi berbatu |
|
Car park sebelah kanan, pantai sebelah kiri .....
macamana nak turun? |
Pantai ini terletak di bawah dan sebelah kiri jalanraya yang kami lalu, tetapi jika hendak berhenti kena parking kereta di sebelah kanan jalan. Mula-mulanya terpinga-pinga juga mencari jalan hendak ke pantai di seberang jalan kerana tidak nampak apa-apa laluan di atas jalan. Rupa-rupanya ada sebuah terowong untuk sampai ke sana yang dibina di bawah jalanraya itu ... sangat menarik!
|
Haah .... ini terowongnya untuk sampai ke pantai |
|
Ini lubang masuk/keluar sebelah pantai |
Syukur alhamdulillah ..... Allah memberi kami kesempatan dan peluang untuk menikmati keindahan Laut Mediterranian yang membiru menyejukkan mata. Maha Suci Allah, sungguh hebat ciptaanNya.
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?".... surah Ar-Rahman
Dari sini kami terus ke New Paphos pula. Di sana kami sempat melawat lagi satu tapak arkeologi dan juga pelabuhan terbesar di pulau ini.
1. Kato Paphos Archaeology Park
|
Peta tapak |
Taman arkeologi ini mengandungi bahagian utama yang penting dari Kota Purba Greek dan Rom. Kerja-kerja penggalian masih lagi dijalankan dan kawasan ini termasuk dalam bahagian yang dipanggil Paphos Baru. Di tapak ini terdapat tinggalan binaan dari banyak era: dari era prasejarah sehingga ke zaman pertengahan. Tapak ini juga termasuk dalam senarai Warisan Dunia UNESCO.
Antara penemuan paling penting setakat ini ialah empat buah vila Rom yang besar dan beradun: Rumah Dionysos, Rumah Aion, Rumah Theseus dan Rumah Orpheus, semuanya dengan lantai mozek yang dipelihara. Pertama kali melihat lantai jenis ini, saya dapat bayangkan betapa rumitnya kerja memasang mozek ini dan sungguh teruja melihatnya.
|
Odeon - amphitheater .... berposing depan gambarnya sahaja |
|
Box-office atau tempat tiket untuk masuk ke taman arkeologi |
Untuk masuk ke taman arkeologi ini adalah melalui kawasan pelabuhan. Jadi selepas keluar dari taman ini kami terus berjalan-jalan melihat pelabuhan dan kawasan berdekatan. Pelabuhan ini sangat sibuk dengan berbagai aktiviti dari siang sampai ke malam. Ia dipenuhi dengan bar, kafe, restoran, kedai-kedai menjual ice-cream dan cenderamata. Di sini juga ada sebuah istana abad ke 13 yang menjadi mercutanda Paphos.