Showing posts with label blog. Show all posts
Showing posts with label blog. Show all posts

Tuesday, 20 April 2010

2 Tahun Menjadi Blogger

Alhamdulillah, bulan April 201o saya masih lagi bertahan sebagai seorang blogger yang  mempunyai blog yang juga masih aktif. Sebenarnya bulan ini genap 2 tahun saya berblog dan saya berharap  akan dapat meneruskan aktiviti ini dengan menghasilkan atau memasukkan artikel-artikel yang lebih bernas yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada masyarakat di luar sana, insyAllah.

Hujung minggu baru-baru ini saya mengikuti satu aktiviti Mukhayyam. Dalam salah satu modul aktivitinya, menghendaki kami menuju ke lokasi tapak perkhemahan dari starting point dengan mengguunakan Google Earth. Di antara dua tempat ini ada beberapa checkpoint yang perlu dicari sebelum sampai ke destinasi yang dituju. Di akhir program kami juga dikehendaki menghasilkan satu persembahan dengan menggunakan power point. Kami diminta merakam segala aktiviti yang dilalui sepanjang program dengan mengambil gambar yang akan dijadikan sebagai bahan power point.

Para peserta mukhayyam sebahagian besarnya terdiri dari "orang lama" yang sangat lemah dalam penggunaan IT ini. Hendak masukkan gambar ke dalam komputer pun "tak reti". Sebenarnya kami "orang lama" ini bukanlah tidak pandai tetapi kami merasakan tidak ada keperluan kepada kemahiran tersebut menyebabkan kami tidak mempelajarinya. Apabila perlu dan ada kemahuan boleh saja kami pelajarinya dengan mudah.

Saya hanya belajar beberapa kemahiran yang membolehkan saya memblog. Kemahiran seperti membuat power point dan alat-alat persembahan yang lain memang saya tidak tahu kerana saya tidak ada sebab untuk mempelajarinya. Saya tidak ada keperluan kepada kemahiran tersebut kerana saya hanyalah seorang suri rumah.

Apa-apa pun saya patut berasa bangga dengan kebolehan saya  berblog. Tidak ramai di kalangan rakan-rakan saya yang ada blog. Namun demikian mereka mempunyai kemahiran-kemahiran  lain yang diperlukan semasa menjalankan tugas mereka, kerana mereka adalah insan-insan yang berkerjaya. Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah kita tidak perlu mempunyai kesemua kemahiran yang ada sekali gus..........tetapi cubalah mempelajari sedikit demi sedikit mengikut keperluan diri dan jangan putus asa. Masih belum terlambat walaupun umur semakin singkat.

Perjalanan masih jauh .......
Pengetahuan IT yang saya ada hanyalah terbatas kepada pengetahuan asas yang diperlukan untuk memblog. Perjalanan masih jauh untuk mencapai tahap membuat blog yang canggih. Hari ini pengunjung ke blog saya hanya mencapai angka lebih kurang 4,500 orang dalam masa 2 tahun kewujudannya. Saya mengharapkan jumlah pengunjung yang berlipat ganda di akhir tahun ini walaupun menyedari ianya memerlukan komitmen yang lebih tinggi untuk berjaya.


Monday, 27 April 2009

Genap setahun memblog



Bulan April 2009 genap setahun  lamanya saya 'memblog'. Ketika mula membangunkan blog saya bertekad untuk menulis sekurang-kurangnya satu artikel dalam sebulan. Ini bertujuan untuk memastikan blog saya itu terus 'hidup'. Untuk memulakan sesuatu projek memang mudah tetapi untuk  "maintain" , menjadi satu masalah kepada kebanyakan manusia. Ia memerlukan komitmen dan disiplin diri.

Namun apabila saya melihat kepada "archives" yang dipaparkan pada "sidebar", saya dapati ada satu bulan (November) yang tidak ada sebarang "post". Jadi saya cuba mengingati kembali kenapa saya 'termiss' bulan itu. Bila dingati semula itulah masanya rumah saya dipecah masuk di mana kami telah kehilangan dua buah laptop dan dua biji talipon. Selama sebulan kami tidak mempunyai komputer dan 'broadband' kami terbiar tidak terguna walaupun berbayar. Saya sangat menyesali akan kehilangan laptop peribadi saya itu kerana ia adalah pembelian hasil daripada titik peluh saya bekerja sebagai "cleaner" semasa saya menemani suami buat Phd di UK. Ada 'sentimental value' pada laptop itu. Sehingga sekarang masih belum terganti laptop yang hilang itu.

Berbalik kepada keadaan kami yang tidak boleh 'berinternet' selama lebih kurang sebulan itu, anak bongsu saya bagaikan 'mati kutu' . Dia merengek-rengek sepanjang bulan itu dengan pertanyaan, "Bila nak beli komputer baru..... rugi jer internet tak boleh guna", katanya. Ada satu tahap di mana dia mogok tidak mahu becakap dengan kami kerana tidak melayani permintaannya. Untuk  'menyejukkannya', suami terpaksa membawa dia ke pejabatnya pada satu hujung minggu agar dia boleh menggunakan komputer pejabat sambil suami buat kerja pejabatnya yang tidak pernah habis.

Apabila ditanya nak buat  apa melayari internet, mungkin ada kerja sekolah atau lain-lain.  " Saja!" , jawabnya ringkas. Melihatkan keadaannya sepanjang tidak boleh 'berinternet' itu saya berkata -kata dalam hati, "Teruknya budak ini, macam orang ketagih!" . Itulah kesannya internet pada generasi anak-anak ini. Anak saya baru berumur 11 tahun pada masa itu, tetapi dia telah diperkenalkan kepada komputer sejak kecil lagi dan mengenali dunia internet pula sejak berumur 5 tahun. Tambahan pula dia mula menjejak kaki ke sekolah semasa di UK, dan di sana penggunaan komputer serta internet sangat meluas di sekolah-sekolah.

Apa-apa juga dalam kehidupan ini jika dibuat secara berlebihan akan membahayakan diri, memberi kesan yang negatif dan tidak produktif.

Lihatlah pada hadis-hadis Nabi yang memesan kepada kita supaya bersikap sederhana dalam urusan hidup kita.

“Orang yang mencapai kejayaannya ialah orang yang bertindak di atas prinsip Islam dan hidup secara sederhana. (HR. Ahmad Tirmidzi, Ibnu Majah, dikutip oleh mishkat, Edisi Urdu, Opcit Vol II, hal 245, No. 4934)

“Barang yang sedikit tetapi cukup (untuk memenuhi keperluan hidup) adalah lebih baik daripada banyak (tetapi menjadikan mereka lupa diri) dan menyesatkanya (dari jalan hidup yang sederhana). (Abu Naeem, Dikutip oleh Mishkat, Opcit. Vol II, hal. 348, No. 4962).