Showing posts with label dunia. Show all posts
Showing posts with label dunia. Show all posts

Saturday, 12 November 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432

Ini merupakan hari yang bersejarah bagi saya dan keluarga. Inilah kali pertama kami dapat berkumpul seramai mungkin dalam satu masa......lebih kurang 80 orang (tua, muda dan kecil) dalam satu majlis qurban. Saya mempunyai 10 orang adik beradik dan sejak ibu-bapa kami meninggal terasa begitu susah untuk berkumpul adik-beradik. Masing-masing ada komitmen terhadap keluarga sendiri menyebabkan kami jarang berjumpa antara satu sama lain. Malah di Hari Raya Aidil Adha yang bersejarah ini pun hanya 8 orang sahaja daripada kami yang dapat hadir.

inilah sebahagian daripada keluarga yang dapat hadir ke majlis Qurban hari itu
Walau apapun saya tetap bersyukur dapat beraya Haji di kampung ........ rasanya dah lamaaaa betul saya tidak bersembahyang  raya di kampung!

Khutbah Raya di pagi itu agak menarik. Saya, suami dan anak-anak serta beberapa orang ahli keluarga yang lain  menunaikan solat sunat Aidil Adha  di surau Pusat Pendidikan Al-Barakah. Kami berkesempatan bersolat berimamkan  Ustaz Kazim (yang glamour di youtube), pengasas pusat ini. Antara lain isi khutbah pada tahun ini ialah:

Khutbah Pertama

Sikap umat yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidup 

1. Ramai ibu-bapa yang terlalu bimbang tentang apa yang akan dimakan oleh anak selepas kematian mereka, berbanding apa bekalan akhirat yang bakal di bawa. Ramai ibubapa yang terlalu bimbang dengan persiapan dan hasil peperiksaan anak di sekolah dan universiti tetapi tidak menghiraukan apa yang bakal dijawab dengan soalan mungkar nakir dalam kubur dan hitungan atas neraca timbangan Allah di akhirat yang lebih dahsyat. Sabda Nabi,

قَالَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَقُولُ ابْنُ آدَمَ : ” مَالِي مَالِي ، قَالَ : وَهَلْ لَكَ يَابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلَّا مَا أَكَلْتَ  فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ ، فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ  فَأَمْضَيْتَ   - رواه مسلم

Maksudnya : Berkatalah anak Adam : Hartaku! Hartaku! Maka sabda nabi : Sedangkan engkau sebenarnya tidak memiliki daripada hartamu kecuali apa yang telah engkau makan lalu menjadi najis isi jamban, apa yang engkau pakai maka ia menjadi lusuh lalu dibuang atau apa yang engkau sedekah hanya ia yang kekal menjadi bekalan

2. Renungan/tafsiran surah al-A'ala ayat 14-17  .... ia antara surah yang selalu dibaca oleh nabi Muhammad s.a.w dalam solat hari raya.

Antaranya Allah membenci mereka yang menjadikan dunia sebagai tujuan, sebaliknya mencintai mereka yang mengambil dunia sekadar keperluan atau cara meraih keredhaan-Nya. Sesiapa yang menjadikan amal perbuatannya untuk meraih habuan dunia dan bukan mencari redha Allah dan kehidupan akhirat, maka dia akan mendapat apa yang dikehendakinya daripada sebahagian keuntungan di dunia tetapi tidak mendapat bahagian di akhirat. Dari kecil sehingga tua ramai manusia yang menjadikan fokus hidupnya adalah untuk meraih gelaran dan kesenangan dunia. Tidak sedikit dalam kalangan umat Islam sendiri yang hidupnya sibuk sehingga lupa untuk menuntut ilmu sebagai bekal memahami erti iman, Islam dan taqwa. Kerana terlalu ghairah mengejar masa depan dunia, terlupa pentingnya ilmu-ilmu aqidah untuk masa   depan akhirat.  Akibat terlalu sibuknya bekerja, sehingga terlupa untuk belajar tentang solat dan melaksanakannya. Kebanyakan daripada mereka hanya berhenti dari kesibukan tersebut setelah ajal yang amat ditakuti datang tanpa disedari. Sabda Nabi,

رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : ” مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ , فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ , وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ , وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ , وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّتَهُ , جَمَعَ اللَّهُ لَهُ أَمْرَهُ , وَجَعَلَ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ , وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ ” – رواه ابن ماجه

Maksudnya : Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya, nescaya Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kefaqiran berada di depan matanya dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya. Dan sesiapa yang akhirat menjadi harapannya nescaya Allah akan mempersatukan baginya urusan serta menjadikan rasa cukup di dalam hatinya  dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan patuh dan hina.”

3. Keadaan umat Islam yang parah disebabkan beban hutang .... mengikut statistik,  seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 41 tahun, diisytiharkan muflis di seluruh negara dalam tempoh 65 bulan sehingga Mei lepas  yang berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit serta pinjaman peribadi. Budaya berhutang bagaikan berjangkit daripada sikap pemimpin negara yang suka menimbun hutang dengan kehidupan mewah ketika rakyat semakin tersepit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

4. Pemimpin negara yang tidak amanah ......  kita begitu marah dan kecewa apabila melihat bukan sahaja amalan berhutang untuk bermewah dalam menguruskan harta Negara malah berdasarkan Laporan Audit Negara 2010 menunjukkan bagaimana berlakunya begitu banyak penyelewengan, pecah amanah, pembaziran yang melibatkan ratusan juta duit rakyat.

Bila dunia menjadi matlamat hidup maka halal haram diketepi, dosa pahala tidak dihirau lagi, syurga neraka sudah tidak dipeduli. Ingatlah samada kita pemimpin, pegawai, kakitangan atau apa sahaja pangkat kita jangan sama sekali kita mengkhianati harta rakyat. Ingatlah suatu amaran nabi,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” مَنِ اقْتَطَعَ حَقَّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينِهِ ، فَقَدْ أَوْجَبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ ، وَحَرَّمَ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ” ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ : وَإِنْ كَانَ شَيْئًا يَسِيرًا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : وَإِنْ قَضِيبًا مِنْ أَرَاك


Maksudnya : “Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.”  Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ya!, sekalipun sebatang kayu arak (kayu untuk bersugi)

5.  Kegagalan melaksanakan perintah wahyu Allah yang nyata iaitu al-Quran, termasuk dalam melaksanakan hukum hudud yang pernah dilaksanakan di Negara kita sebelum kedatangan penjajah ...... kita tidak mampu mengambil roh pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Contohnya dalam kes zina;

Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui pernah berzina. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini.

Alasan rakyat tidak faham sepatutnya disusuli dengan usaha memberi faham tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya termasuk Belanjawan 2012 tidak ditekan bantuan kepada pengajian agama dan program menangani masalah kerosakan akhlak. Apa yang lebih menyedihkan program hiburan yang merosakkan semakin subur termasuk lambakan filem seram yang menyuburkan amalan khurafat dan tahyul sedangkan ia merupakan antara perkara yang boleh merosakkan aqidah. Sabda Nabi,

قَالَ رَسُوْلُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً  -رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang mendatangi dukun yang meramal atau mendakwa tahu(sesuatu yang ghaib) maka tidak diterima solatnya selama 40 malam

6. Krisis kecelaruan identiti ........ satu kajian  menunjukkan lebih 6 juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Perkara ini semakin parah apabila adanya suatu kumpulan yang menganjurkan Festival Seksualiti Merdeka bertujuan untuk menyokong dan memperkasa cara hidup bebas golongan lesbian, gay, bisexual and transgender yang jelas merosakkan akhlak. Program ini akhirnya diharamkan oleh pihak keselamatan setelah dibantah di seluruh negara walau pun ia telah pun dianjurkan dengan restu pemerintah sejak tahun 2008 lagi. Sabda Nabi,

نْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” أَرْبَعَةٌ يُصْبِحُونَ فِي غَضَبِ اللَّهِ ، وَيُمْسُونَ فِي سَخْطِهِ ، أَوْ يُمْسُونَ فِي غَضَبِهِ ، وَيُصْبِحُونَ فِي سَخْطِهِ ، شَكَّ الْمُحَدِّثُ ، قِيلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : الْمُتَشَبِّهُونَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ ، وَالْمُتَشَبِّهَاتُ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ ، وَالَّذِي يَأْتِي الْبَهِيمَةَ ، وَالَّذِي يَأْتِي الرَّجُلَ  - رواه الطبراني والبيهقي

Maksudnya: “4 kelompok manusia yang bangun dari tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah kemurkaan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan Baginda bertanya: Siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”

Khutbah kedua

Seruan berjihad untuk Islam

1.Menjadi kewajipan umat Islam menukar sistem jahiliah kepada  Islam ...... keluar daripada kegelapan kufur kepada terangnya iman. Sekiranya umat Islam tidak berani menukar system tersebut maka keadaan Negara hanya bertukar pemimpin yang akan meneruskan kezaliman dan penindasan. Kita doakan semoga pertukaran kepimpinan di Mesir, terbaru di Libya serta tidak ketinggalan kemenangan Parti Islam di Tunisia akan memberi sinar kepada Islam dan umatnya bukan meneruskan penderitaan seperti di Afghanistan dan Iraq sebelum ini.

2.Mengambil iktibar daripada tindakan kerajaan Belanda yang mengharamkan sembelihan cara Islam dan Yahudi atas alasan menyakitkan binatang.

Kajian saintifik diketuai oleh Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah kejutan elektrik yang digunakan di beberapa negara Barat. Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado pula mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih. Dr Aisha El-Awady pula mengatakan pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya. Kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. Inilah keindahan Islam yang sentiasa menanamkan sifat ihsan termasuk ketika menyembelih binatang

Akhir sekali Ustaz Kazim memberi nasihat kepada para jemaah yang masih ada ibu -bapa agar menghargai kehadiran mereka ketika masih hidup.  Belai dan ambil berat terhadap mereka. Beliau yang baru kehilangan ibunya terasa ada kekosongan dalam kehidupannya kini walaupun dikelilingi oleh orang-orang yang tercinta.

Bahagian akhir ini tidak termasuk dalam teks ucapan khutbah dari Majlis Agama Islam.