Showing posts with label pasar. Show all posts
Showing posts with label pasar. Show all posts

Sunday, 8 March 2020

Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 2)

11 Oktober 2018  
Ini adalah hari terakhir saya dan suami berada di kota Batu, Jawa Timur. Catatan pergerakan kami pada hari sebelum boleh dilihat di SINI.

Hari ini kami ingin berjalan-jalan di kota Batu dari pagi sampai ke petang. Oleh kerana itu kami telah memesan kereta sewa bersama supirnya untuk membawa kami ke beberapa destinasi pelancong yang tersedia ada. Di sini sangatlah banyak tempat-tempat menarik yang boleh kita lawati. Namun kami hanya sempat pergi ke beberapa destinasi yang dicadang oleh supir kami.

1. Coban Rais - Batu Flower Garden
Coban Rais atau Air Terjun Rais adalah salah satu di antara banyak air terjun yang terdapat di kota Batu.  Dari kota Batu ke sini lebih kurang 30 minit. Namun dari kawasan tempat meletak kenderaan, kita perlu berjalan kaki untuk meneruskan perjalanan ke lokasi air terjun. Bagi yang tidak mampu hendak berjalan jauh, sperti kami, ada khidmat 'Ojek' yang banyak tersedia di sini dengan bayaran tertentu mengikut sejauh mana kita pergi, samada ke air terjun atau setakat kebun bunga sahaja.
Terpaksa naik 'ojek' .... ini waktu turun semula ke bawah
Batu Flower Garden juga terletak dalam kawasan air terjun ini dan satu lagi ialah Bukit Bulu. Kita akan berjumpa dua tempat ini terlebih dahulu sebelum ke air terjun. Kebun Bunga ini berada di lereng bukit. Berbagai jenis bunga ditanam dan sangat sesuai dijadikan lokasi berfoto bagi yang suka bunga.
Batu Flower Garden
Pemandangan bukit yang sangat cantik
Sebahagian dari bunga yang ada di kawasan ini
The Hobbiton ( rumah Hobbit) di lereng Bukit Bulu
Di sini disediakan banyak kemudahan atau spot untuk menikmati keindahan alam perbukitan yang sesuai untuk berswafoto. Namun di kebanyakan spot dikenakan bayaran serta perlu menggunakan kamera pengendali. Mereka ada pakej-pakej tertentu dengan bayaran yang berbeza. Di bawah adalah antara contoh aksi yang diambil dengan menggunakan kamera pihak pengendali.
Hai.... apalah yang dipandang tuh?
Hahaha .... berlakon jer nih😎
Batu Flower Garden ...... 11 Okt 2018
Tercapai jugalah cita-cita nak duduk dalam rumah
atas pokok walaupun sebentar sahaja😁
2. Memetik Epal di Kusuma Agrowisata
Kawasan ini terletak lebih kurang 1000 meter dari permukaan laut dan berudara sejuk. Kusuma Agrowisata dibuka pada 1991 dan merupakan salah satu perintis Wisata Agro di Indonesia. dan satu-satunya wisata agro yang ada kemudahan hotel. Keluasan tempat ini mencapai 60 hektar dengan berbagai macam kemudahan disediakan.
Banyak aktiviti menarik yang terdapat di sini
selain dari memetik buah epal
Selain dari aktiviti memetik di kebun epal, kita juga boleh memetik di kebun limau, jambu merah, buah naga, strawberry dan sayur hidroponik bebas racun serangga. Ada berbagai pakej memetik buah serta bayaran yang berbeza mengikut pilihan kita. Istimewanya di sini setiap kumpulan pelawat ditemani oleh seorang pemandu yang akan menceritakan hal-hal yang berkaitan tentang buah-buah tersebut.
Untungnya pemandu kami juga menjadi camera man
Dibenarkan  memetik beberapa biji epal
untuk dibawa pulang
Buah epal yang baru dipetik dan dibawa pulang
Kerepek epal ... sedap
Ini ladang epal  dilihat dari luar pagar
Di sebelahnya ada kebun buah naga
Pondok makan buah epal percuma
.... yang bertudung hitam itulah pemandu-pemandu sini
Makan sampai kenyang ....
Memetik maklumat dari sesawangnya:
Selain wisata petik, kami juga menawarkan wisata outbound dimana Anda dapat bermain War Game di arena airsoft gun kami, mengendarai ATV di mini off-road track kami atau bergelantungan dan meluncur dari menara Flying Fox.

Ketika di sana kami tidak terjumpa mereka yang sedang melakukan aktiviti ini. Pastinya ia berada di bahagian lain. Ini menunjukkan betapa luasnya kawasan ini. Namun kami ada nampak waterpark yang berkonsepkan buah-buahan yang sangat menarik. Kami juga ada melalui satu kawasan luas yang seolah sedang dipersiapkan untuk aktiviti baharu yang akan datang. Memang tepat seperti yang disangka, melalui pencarian di internet, ini adalah kawasan baharu yang dipanggil De Tjangkul. Ia secara resmi dibuka pada hujung tahun 2018.

De Tjangkul ini merupakan tempat melancong yang menyediakan spot-spot foto menarik. Di antaranya adalah rumah ala Belanda, Rumah Terbalik, ayunan atau buaian, belon udara, karpet aladin, basikal udara dan lain-lain. Termasuk juga dalam kawasan baharu ini ialah bahagian aktiviti yang diberi nama 'Edukasi Pertanian'. Contohnya  satu suasana perdesaan telah diwujudkan di sini dengan pemandangan persawahan. Mereka telah  menggunakan kawasan seluas satu hektar menempatkan aktiviti-aktiviti tersebut.
Mungkin ini tapak-tapak sawah yang dimaksudkan
....... masih dalam pembangunan
Ini pula seperti tapak pelancaran belon panas
Sebuah rumah zaman dahulu .... termasuk sebahagian
dari aktiviti 'Edukasi Pertanian'
.... dalam rumah bahagian dapur ...
..... berehat sekejap di ruang depan ... keletihan
Walaupun begitu  kami ada pergi ke Muzium Pertanian yang sebenarnya adalah sebahagian dari aktiviti Edukasi Pertanian. Di sini diceritakan jenis tumbuhan, peralatan pertanian, alat bajak, hingga barang-barang antik zaman dahulu. Bagaimana cara menanam epal, limau, perawatannya, sampai proses penuaian juga dijelaskan di dalam muzium.  

Muzium Edukasi Pertanian
Video yang menceritakan tentang buah epal
Akhirnya bapak ayam ini menunjukkan jalan keluar ...
Resort and Convention Hotel
3. Eco Green Park 
Ketika kami berada di sini kami sudah agak keletihan kerana sudah banyak berjalan di kedua tempat sebelum ini. Eco Green Park ini juga merupakan taman yang cukup luas dengan keluasannya sampai 5 hektar. Oleh kerana disebabkan keletihan dan kesuntukan masa, kami tidak pergi ke semua bahagian yang ada tetapi hanya memilih bahagian-bahagian tertentu.

Misi utama taman adalah sebagai medium pembelajaran bertaraf antarbangsa melalui konsep 'fun and study', dan bernuansakan alam yang "mesra alam". Ia menggabungkan berbagai unsur seperti alam sekitar, budaya dan seni. Pengunjung dapat belajar banyak hal mengenai ekosistem di sini
Penjagaan alam sekitar .... belajar tentang asal-usul bumi
 bencana alam dan kerosakan alam sekitar
Bahagian 'guna semula' .... wood recycle
.... gajah yang dibuat dari barang bekas elektronik
termasuk tv, printer dan scanner.
Bahagian  koleksi serangga yang sudah diawetkan
...... jumlah kumbang yang digunakan untuk
membentuk gambar di atas sebanyak 1221 ekor
.... yang ini pula memerlukan 228 ekor kupu-kupu
Mana serangganya? .... kena perhatikan betul-betul
 Cantik lobster ini .... udang kara atau udang karang?
Adakah ini juga termasuk dalam ketegori serangga?
Insectarium - bahagian ini adalah rumah bagi serangga-serangga dunia di Eco Green Park. Pengunjung dapat melihat bermacam jenis serangga dari berbagai belahan dunia di sini. Selain itu, pengunjung juga dapat melihat habitat langsung serangga-serangga tersebut yang dibuat sesuai dengan asalnya. .
Salah satu dari jenis burung yang tidak boleh terbang
....burung merak juga termasuk dalam jenis walking bird
Walking Bird -  di sini kita dapat melihat berbagai jenis burung yang tidak boleh terbang.

Hidroponik - pengunjung dapat melihat aneka tanaman hidroponik dan bagaimana cara melakukan penanaman dengan sistem hidroponik.

Tanaman melalui hidroponik

Plaza Muzik - beristirehat sambil menikmati suara musik.
Plaza Muzik - di sini terdapat sebuah kolam yang besar, dan di atasnya ditempatkan banyak permainan yang dibuat dari besi.  Di sekeliling kolam disediakan alat seperti tembak-menembak yang boleh menyemburkan air untuk diarahkan ke permainan di tengah kolam yang apabila terkena maka besi tersebut boleh mengeluarkan bunyi. Selain itu ada pula jenis pam untuk mengisi tong kecil yang jika penuh maka tong tersebut akan terbalik dan air yang ada akan tumpah, dan berbagai lagi. Tujuannya untuk memperkenalkan konsep tenaga atau energy.
Ini bahagian Jungle Adventure ...
kami tidak masuk hanya lalu sahaja
Ini bahagian World Parrots
Ini pula Parrot Show ... kebetulan baru hendak bermula
ketika kami  lalu di bahagian ini

Ini bahagian Duck Kingdom
Sebenarnya banyak lagi binatang-binatang lain yang ada di sini yang diletakkan dalam habitat masing-masing seperti di bahagian Owl House, Animal Farm, Eagle Park dan World Pheasant. Kami terpaksa pendekkan lawatan kami ke sini kerana petang itu kami akan ke Surabaya. Sebelum keluar dari sini kami singgah terlebih dahulu di bahagian Rumah Terbalik. Ini merupakan rumah terbalik kedua yang pernah dilawat, yang pertama di Sabah.

Bahagian dalam rumah terbalik .... ruang tanu
.... ini tingkat bawah (sebenarnya atas)
Rumah terbalik di sini sangat berbeza dari yang di Sabah. Di sini banyak menggunakan sensor untuk mewujudkan perasaan teruja kepada pengunjung. Perabotnya boleh bergoyang dan bergerak secara khusus seperti akan terjatuh, tetapi sebenarnya tidak. Ia menggunakan sistem sensor tubuh manusia, di mana jika didekati manusia, perabot akan bergerak sendiri. Begitu juga dengan lampu-lampunya yang akan menyala dan tutup dengan sendiri apabila kita keluar dan masuk ke ruang-ruang yang ada dalam rumah ini. Sangat menarik dan teruja.

Akhirnya dalam pukul 3 petang kami keluar dari sini. Lagi sekali terjumpa dengan figura-figura yang dibuat dari bahan buangan.

Transformer
Robot dari talipon lama
Sebelum balik ke hotel kami menyinggah di Pasar Apung Batu Malang. Pasar ini berada dalam satu komplek dengan Muzium Angkut tetapi tidak memerlukan apa-apa bayaran untuk masuk. Kami ke sini untuk membeli cenderamata dan ole-ole untuk dibawa pulang, yang banyak dijual di sini, dan juga untuk makan tengahari yang sudah terlewat.
Pasar Apung Nusantara ... petang 11 Okt 2018
Pasar Apung merupakan destinasi pelancong yang menyajikan nuansa klasik berteraskan kebudayaan khas nusantara di Kota Batu. Ia terletak dalam satu kawasan seluas setengah hektar. Apabila berada di sini kita terasa seperti kembali melangkah ke zaman dahulu. Pengunjung juga disambut dengan keindahan dari sungai buatan yang mengelilingi tempat-tempat makan khas nusantara,
Peta pasar apung ... untuk memudahkan hala tuju
Gerai makan di bangunan Madura
Sungai buatan ...  boleh sewa perahu untuk mengelilingi sungai ini
Resto Cheng Ho
Boleh dikatakan semua kegiatan di semua tempat yang kami lawati sangat sesuai bagi mereka  yang ingin bercuti dan melakukan aktiviti bersama keluarga terutamanya dengan anak-anak. Selepas habis urusan di pasar apung kami terus balik ke hotel dan lebih kurang jam 6 petang kami bertolak ke Surabaya dengan menaiki kereta dari pihak universiti.

Related post:

1. Kota Batu - Swiss Kecil di Pulau Jawa (part 1)


2. Surabaya - Kota Pahlawan