Showing posts with label tips. Show all posts
Showing posts with label tips. Show all posts

Friday, 24 September 2021

Kesalahan Ibu Bapa Mendidik Anak

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.
Jikalau kita perhatikan perangai anak-anak ini secara dekat, ada anak-anak yang sangat mendengar kata, tidak melawan cakap. Namun ramai yang kita lihat anak-anak ini menjerit, menangis, melawan apabila tidak dapat apa yang mereka kehendaki. Perbezaan sikap ini banyak bergantung pada cara didikan dan sikap ibu-bapa sendiri dalam mengendalikan ragam anak-anak.

Nasihat atau tips pada ibu bapa yang ingin anak-anak yang mendengar cakap.
Sumber: https://mysumbermaya.com

1. Tidak perlu jadi pemarah, cukup jadi tegas.

Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai suka marah tetapi tidak tegas. Bab menjerit, kebanyakan ibu-bapa, no 1, tetapi cakap selalu "tak serupa bikin".

2. Jangan suka megugut anak dengan perkara yang kita tahu, kita tidak akan buat pun.

Kalau hendak ajar anak pasal "akibat" pun, pastikan cakap apa yang kita akan buat sahaja.

Contoh, "Pergi mandi sayang, kalau tak nanti mama tak bawa pergi taman petang ni". Kalau dia tidak buat, tidak perlu marah, tidak perlu menjerit, tetapi bila sampai petang, jangan bawa dia pergi ke taman, walaupun dia menangis, menjerit masa itu.

Biar anak kita tahu, kita bukan pemarah tapi kita tegas. Setiap apa yang kita cakap, kita akan buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakapkan, walaupun tanpa menjerit.

3. Katalah anak kita cuba merayu meminta maaf, dan berjanji tidak akan buat lagi, kemudian dia minta dibawa pergi ke taman pada hari yang sama dia buat kesalahan itu, maka jangan bawa, walaupun dia sudah meminta maaf.

Katakan pada dia, “Hari ni sayang dah buat salah, mama tak mau bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar kata, kita pergi esok.”

Jangan kesalahan ibu bapa mendidik anak ini terjadi disebabkan perkara yang remeh. Esoknya bila kita suruh anak mandi, dia akan mula teringat, "akibat" semalam di mana mama dan papanya betul-betul tidak bawa dia pergi ke taman. Dia mula berfikir ... "Hari ni kena dengar cakap".

4. Bila anak dengar kata, berikan reward atau ganjaran. Jangan hanya tahu mengugut bila anak tidak dengar kata tetapi tidak berikan ganjaran apabila dia mendengar kata.

5. Jangan lupa berdoa pada Allah swt. Usaha kita ini asbab sahaja, tetapi yang memberi rezeki anak yang mendengar kata itu adalah Allah swt, bukan kita sendiri.

Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sepatutnya menjadi role model untuk dicontohi anak-anak mereka terutama daripada segi mengamalkan gaya hidup sihat. Anak ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang membentuk anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.

Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” dan "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi" sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa.

Pendidikan awal bermula dari rumah. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.

Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibu bapa dalam mengawal tingkah laku serta perhubungan anak-anak mereka. Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini tetapi ini semua dapat dikawal jika ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam kaedah mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak.