Friday, 22 July 2016

Memori Indah di Tanah Haram


Tanah Haram

Petikan daripada KonsultasiSyariah.com

Kata haram, memiliki dua  kata akar yang berbeza.

Pertama, Kata haram [حرام] diturunkan dari kata haruma – yahrumu [حَرُمَ – يَـحْرُمُ] yang maksudnya terlarang, terlarang untuk dilakukan (al-mamnu’ min fi’lih). (al-Mu’jam al-Wasith)

Kedua, kata haram ditarik dari kata al-ihtiram, yang maksudnya kehormatan (al-Mahabah).

Dalam al-Misbah al-Munir dinyatakan,

والحرمة بالضم ما لا يحل انتهاكه والحرمة المهابة وهذه اسم من الاحترام مثل : الفرقة من الافتراق

Kata al-Hurmah (haram)  maksudnya sesuatu yang tidak boleh dilanggar. Kata al-Hurmah juga dimaksudkan al-Mahabah (kehormatan), diturunkan dari kata al-Ihtiram. Seperti kata al-Furqah dari al-Iftiraq. (al-Misbah al-Munir, 2/357)

Sekalipun asal katanya berbeza, namun sebenarnya kedua makna berkait. Sesuatu yang terlarang disebut haram, kerana jika itu dilakukan, bererti melanggar kehormatan orang yang melarang.

Allah melarang banyak hal dalam syariatnya, salah satunya dalam rangka menjaga kesucian syariat dan kehormatan dirinya. Jika orang melanggarnya, dia akan terjerumus dalam kenistaan dan kehinaan.

Dari keterangan di atas, kita dapat memahami makna dari istilah tanah haram. Dia disebut tanah haram, kerana ada banyak larangan yang tidak boleh dilanggar.

Dalam al-Misbah al-Munir dinyatakan,

والبلد الحرام أي لا يحل انتهاكه

“Tanah haram,ertinya tanah yang tidak halal untuk dilanggar.” (al-Misbah al-Munir, 2/357)

Ini sesuai dengan firman Allah,

إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَٰذِهِ الْبَلْدَةِ الَّذِي حَرَّمَهَا وَلَهُ كُلُّ شَيْءٍ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Aku hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan negeri ini (Mekkah) Yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nya-lah segala sesuatu, dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri” (QS. An-Naml: 91)

Dalam hadis dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW menyebutkan rahsia penamaan Mekah dengan tanah haram,

إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ ، فَهْوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ ، وَإِنَّهُ لَمْ يَحِلَّ الْقِتَالُ فِيهِ لأَحَدٍ قَبْلِى ، وَلَمْ يَحِلَّ لِى إِلاَّ سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ

“Sesungguhnya kota ini, Allah telah memuliakannya pada hari penciptaan langit dan bumi. Dia adalah kota suci dengan dasar kemuliaan yang Allah tetapkan sampai hari Kiamat. Belum pernah Allah halalkan berperang di dalamnya, sebelumku. Dan Allah tidak halalkan bagiku untuk memerangi penduduknya, kecuali beberapa saat di waktu siang (ketika Fathu Mekah).

Selanjutnya, Nabi SAW sebutkan hukum yang berlaku, sebagai konsekuensi Allah jadikan tanah ini sebagai kota haram. Beliau bersabda,

فَهْوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ؛ لاَ يُعْضَدُ شَوْكُهُ ، وَلاَ يُنَفَّرُ صَيْدُهُ ، وَلاَ يَلْتَقِطُ لُقَطَتَهُ إِلاَّ مَنْ عَرَّفَهَا ، وَلاَ يُخْتَلَى خَلاَهُ

Dia haram dengan kemuliaan yang Allah berikan, sampai hari kiamat. Tidak boleh dipatahkan ranting pohon-nya, tidak boleh diburu haiwannya, tidak boleh diambil barang hilangnya, kecuali untuk diumumkan, dan tidak boleh dicabut rerumputan hijaunya. (HR. Bukhari 3189 & Muslim 3289)


Madinah dan Mekah

Inilah 2 kota suci atau tanah haramain bagi orang Islam. Bagi kita orang Melayu lebih gemar menggelar kedua kota ini sebagai 'Tanah Suci' dari 'Tanah Haram' kerana perkataan 'haram' itu agak mengelirukan. Apa-apa pun setiap dari kita yang ke sana ikhlas dengan tujuan untuk beribadah pasti akan meninggalkan kenangan manis atau indah ketika di sana, 

Pemergian saya ke sana bersama suami serta seorang anak perempuan baru-baru ini dengan tujuan untuk menunaikan ibadah umrah selama 11 hari, juga meninggalkan kenangan yang indah ....  memori indah yang dirindui. Tiap-tiap hari selama seminggu, kami berpeluang bermunajat kepada Allah di hadapan kaabah. Tiap-tiap waktu solat pula kami berjemaah di Masjidil Haram sepanjang berada di sana. Inilah memori yang paling dirindui kerana ketenangan yang dirasai ketika berada di dalam masjidil Haram, tidak pernah saya rasai di mana-mana. Ketika berada di dalamnya, seolah-olah terlupa hal dunia buat sementara.

Dalam melaksanakan ibadah umrah ini, kita juga tidak terlepas daripada pantang larang ketika berihram. Inilah sebahagian dari larangan yang tidak boleh dilanggar ketika di Tanah Haram.



Di zaman kamera berada dalam talipon bimbit ini, maka kita bebas boleh mengambil gambar-gambar di dalam atau di luar masjid ...... tidak seperti zaman dahulu di mana dilarang terus membawa   masuk
kamera ke dalam masjid. Kini dan selamanya, kameralah yang menjadi perakam utama kenangan dari peristiwa-peristiwa yang bersejarah dalam kehidupan kita.
Di zaman yang kamera tidak lagi memerlukan gulongan filem untuk berfungsi, maka berlambak-lambaklah foto yang diambil. Mungkin ada yang sampai kebosanan berposing ........ hehehe! Kami juga tidak ketinggalan dalam aktiviti menarik ini, beraksi di setiap tempat yang diziarahi.

Tidak ketinggalan kami juga merakam setiap aktiviti kami sepanjang perjalanan dari KLIA, ke Madinah, Mekah dan balik ke Jeddah. Semoga ia menjadi kenangan di masa hadapan.

Jom ikut saya

Bersarapan bersama anak-cucu di KLIA2 - 27 Jan 2016
Flight 2.30 ptg ...... kapalterbang Air AsiaX
King Abdulaziz International Airport (KAIA) Jeddah ....
urusan imigrasi mengambil masa lebih kurang sejam untuk selesai
Bargasi sudah dapat ....... sekarang tunggu bas untuk meneruskan
perjalanan ke Madinah al- Munawwarah, kota suci kedua umat Islam
At last! ...... basnya sudah sampai... jenuh menunggu!
Jom kita ziarah ke Madinah!

Bergambar di lobi hotel di Madinah - 28 Jan 2016 .....
sebelum ke Raudhah di Masjid Nabawi
Baru lepas keluar dari Raudhah - legaaa.....
Keadaan di Raudhah masih sama seperti dahulu - bersesak, berhimpit

Dalam Raudhah tetapi masa untuk lelaki .... lapang tidak bersesak
Indah senibinanya ....... bahagian dalam masjid Nabawi

Keadaan di luar Masjid Nabawi .... 29 Jan 2016 (Jumaat)
Keadaan waktu pagi dan selepas solat Jumaat
             
Jom pergi jauh sikit!


Payung-payungnya terbuka di luar masjid .....
memberi teduh kpd para pengunjung  dari cahaya matahari yg kuat
.... panas tetapi sejuk!
Suasana malam berhampiran masjid ........ kelaparan kerana
 tidak pulang ke hotel sejak dari solat Jumaat hingga malam.
**Cuba masuk Raudhah lagi sekali  menuggu dari jam 8 - 11 mlm
Kedai-kedai berhampiran Masjid  Nabawi

Lawatan ke Bukit Uhud - 30/1/2016

Otw ke Bukit Uhud singgah di sebuah ladang tamar......
jangan dibeli buah tamar di sini ...mahal!
Kenangan bersama bas yang membawa kami melawat Jabal Uhud

Dah sampai ke destinasi ......
Bukit Uhud terletak 7 km ke utara bandar Madinah
Hanya bergambar di kaki Bukit Uhud ....
 mutawif tidak membenarkan kami menaiki bukit kerana kesuntukan masa


Seperti mana-mana tempat yang menjadi tumpuan pelawat.....
terdapat pasar terbuka yang menjual pelbagai barangan
"Melontarlah" pulak kita ......
Anika barang yang dijual .... dari ubatan, pakaian, aksesori sehingga makanan.
Di sini boleh beli buah tamar dengan harga yang berpatutan

Di kawasan ini juga terdapat Kuburan Syuhada'

Jom ke Mekah

Tiba di bandar Mekah al-Mukarramah,  kota suci pertama umat Islam
lebih kurang pukul 11.30 mlm
Selesai sudah umrah pertama kami
sebelum subuh ..... 31 Jan 2016
Clock Tower. ...... antara landmark utama yang berada
berhampiran Masjidil Haram
Mekah 31 Jan 2016 - suasana di luar masjidil haram selepas solat Subuh
Mekah 31 Jan 2016 - suasana pagi berhampiran masjid
.....jalan menuju ke hotel penginapan kami
yes!.....inilah hotel kami yang jaraknya lebih kurang 400m dari masjid
Bangunan tambahan masjid sedang rancak dibina

Jom masuk Masjidil Haram

`Suasana dalam masjid ..... berhampiran kawasan Kaabah
Bahagian jemaah wanita di kawasan Kaabah..
Jemaah wanita tidak dibenarkan solat berdekatan Kaabah

Setiap hari berkesempatan bermunajat di depan Kaabah.....alhamdulillah!
Kaabah kelihatan jelas dari kawasan jemaah lelaki ......kelihatan juga
kerja-kerja pembinaan tambahan masjid yang berjalan  rancak
Senibina masjid ........ struktur dalaman serta hiasan yang indah
kawasan Saei
Lawatan ke Jabal Rahmah (Jabal Arafat) - 1/2/2016

Papan tanda di belakang menunjukkan ini kawasan Bukit al Rahmah
Kelihatan di belakang manusia mendaki naik ke bukit
Kami pun turut menaiki bukit
Dah sampai ke atas ..... pendakian yang tidak sukar
kerana siap ada anak-anak tangga ke atas
Menikmati pemandangan kawasan berdekatan dari atas bukit

Salahlaku yang dibuat oleh sesetengah jemaah ........ walaupun sudah
diberitahu namun masih ada yang tetap melakukan kesalahan tersebut

Pemandangan di Mina

Mina digelar Tent city/bandar Khemah ....
 .........  merata-rata khemah
Arah menuju ke Jamrah .....
Tempat melontar jamrah (Aqabah, Ula dan Wustha) 
..... 5 layer walking bridge
Lawatan ke Gunung Bercahaya (Jabal Nur) - 4/2/2016

Jabal Nur di waktu siang
Lawatan di sebelah malam ...... saya hanya mendaki sehingga
 ke kaki bukit kerana masalah kesihatan (sakit lutut)
Sediiih rasanya tak dapat naik bersama suami dan anak ke atas menikmati
keindahan pemandangan ini ..... kelihatan nun jauh Mecca Clock Tower
 yang terletak bersebelahan  Masjidil Haram
Kalau kita suka melawat tempat bersejarah di Mekah,
tidak lengkap jika tidak melawat Gua Hira
.....yang terletak di Jabal Nur atau Gunung Bercahaya
Pintu masuk ke Gua Hira ...... hanya boleh menempatkan 4 orang
Tempat Nabi mula-mula menerima wahyu dan
 tempat persembunyian (beruzlah) sebelum kenabiaannya 

Jom balik ke Jeddah - 6/2/2016

Masjid Ar-rahmah ........ masjid terapung Jeddah
Singgah di sini untuk solat Zohor-Asar sebelum ke KAIA 
Singgah di pantai berdekatan menikmati keindahan alam ciptaan Allah
sambil makan tengahari yang dibekalkan dari Mekah
Salah satu pemandangan yang cantik dari Masjid Terapung ar-Rahmah 

Dah sampai KAIA Jeddah ......6 Feb 2016
Rakan sebilik .... foto kenangan sebelum berpisah
Goodbye Jeddah!


Wednesday, 24 February 2016

Labbaikallahumma Labbaik - Aku memenuhi panggilanMu (2)


Bacaan Talbiah:


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ


Labbaikallahumma Labbaik

Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik

Innalhamda Wan Ni'mata

Laka Wal Mulk

Laa Syarikalak

Erti bacaan talbiyah:

Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Kenangan lalu

Masih terdengar-dengar lagi bacaan talbiah yang kami baca beramai-ramai di dalam bas hampir 3 minggu lepas ketika melaksanakan ibadah umrah. Pada 27 Januari lepas, saya, suami dan seorang anak perempuan telah pergi membuat umrah. Ini umrah pertama kami selepas menunaikan ibadah haji pada tahun 2002. Pakej umrah kami bermula dari 27 Januari sehingga 7 Februari 2016 melalui Al-Zahabi Travel.

Pada 2011 saya ada menulis di sini melahirkan perasaan rindu saya kepada Mekah dan Madinah dan keinginan melihat kaabah sekali lagi. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah sekali lagi dalam keadaan saya yang kurang cergas. Dalam tulisan itu saya mengharapkan ibadah haji saya diterima oleh Allah, seterusnya mendapat haji mabrur. Pada ibadah umrah kali ini juga saya mengharapkan perkara yang sama. Amat rugi sekali jika ibadah umrah kita tidak diterima memandangkan begitu banyak wang ringgit dan tenaga yang dikeluarkan demi menunaikan ibadah ini.

Puas!......selama seminggu, tiap-tiap hari tengok kaabah dan bermunajat di hadapannya
Kelihatan pancuran emas yang mengalirkan air dari bumbung kaabah

Perkongsian

Kali ini saya bukan hendak menulis khusus pasal pengalaman ibadah umrah ini sahaja tetapi lebih kepada pengalaman menjalani kehidupan selama seminggu di sekitar Masjidil Haram, sebagai seorang musafir. Di Madinah tidak banyak yang hendak dikongsikan kerana kami hanya berada di sana selama 3 hari. Saya  juga ingin berkongsi beberapa panduan atau tips yang boleh saya rumus dari pengalaman yang dilalui.

Panduan pertama dan utama yang ingin dikongsikan ialah bagaimana memilih pakej umrah yang terbaik untuk diri kita. Setiap dari kita inginkan yang terbaik tetapi ada kalanya kekangan kewangan tidak mengizinkan kita memilih pakej yang diidamkan. Tips yang akan saya berikan hanya sesuai bagi mereka yang mempunyai bajet yang 'ketat' dan ada masalah kesihatan. Kami pergi bertiga dan saya pula ada masalah sakit lutut yang tidak membolehkan saya berjalan jauh. Kalau boleh saya ingin mencari pakej yang menawarkan tempat tinggal, 3 orang sebilik serta yang jaraknya  hanya 50m dari masjid, dan ini mustahil berlaku dengan bajet yang telah kami tetapkan.

Kami telah menetapkan bajet hanya sekitar RM5,000 seorang, dan melalui Al-Zahabi Travel kami mendapat pakej yang menawarkan lebih kurang RM5,200 seorang. Sudah tentu ini bukan pakej yang diidamkan, yang jauh lebih mahal dari ini. Walau apa pun kami terpaksa berpuas hati dengan apa yang kami dapat.....yang penting hajat untuk membuat umrah tercapai dan masalah lain yang akan datang terserah pada Allah SWT. Kami iringi pemergian kami dengan doa...."Semoga Allah permudahkan urusan ibadah umrah kami"

Apabila kita mencari travel agent untuk umrah, kita tidak boleh hanya melihat kepada harga pakej dan status agen sahaja. Tidak semestinya pakej yang mahal dan syarikat agennya besar, bermakna semuanya akan baik belaka. Saya ada terbaca dan mendengar cerita dari mutawwif umrah kami, di mana agen-agen yang ternama ini juga kadang-kadang  tidak terlepas  dari kelemahan-kelemahan dalam khidmat yang  mereka beri kepada para jemaah mereka.

Fakta dan Tips

1. Harga pakej - banyak bergantung pada

-  syarikat kapalterbang yang dinaiki (penerbangan terus, transit, tambang murah dll)

-  masa (musim cuti sekolah, Ramadan dll)

-  khidmat yang ditawarkan (mutawwif, makan, jumlah *umrah yang diberi, tempat yang diziarah. kursus dll)
     *umrah ni bermakasud pihak agen membawa kita ke miqat secara 'percuma'. Contohnya, Al-Zahabi menawarkan 3 kali umrah kepada kami dengan membawa kami ke miqat Bir Ali, Ja'ranah dan Hudaibiyah dengan bas. Maknanya tambang bas sudah termasuk dalam harga pakej. Jikalau kita pergi sendiri, contohnya ke Tanai'm (lagi satu miqat), tambang teksi yang paling murah pun sebanyak 60 Riyal, pergi dan balik. Ada syarikat agen yang menawarkan hanya 2 kali umrah.

- berapa orang sebilik ( 2,3,4 atau 5?)    .....lagi ramai lagi *murah
   *murah ..... kami mengambil pakej 4 orang sebilik. Jadi saya dan anak perempuan terpaksa berpisah daripada suami.Dalam pakej ini jumlah bilangan penghuni bilik ini sahaja yang berbeza tetapi servis yang lain-lain semua sama. Ada sedikit kesusahan yang dialami apabila berkongsi ramai sebilik iaitu giliran ke bilik air selain masalah komunikasi dengan suami. Namun rasanya berbaloi dengan penjimatan harga yang didapati dari pakej ini.

-  jarak hotel dari masjid.....lagi dekat lagi *mahal
    *mahal ..... di Madinah hotel yang diberi berjarak 150m dari Masjid Nabawi. Tidak terlalu jauh tetapi disebabkan saya sakit lutut, terasa jugalah 'keletihan' berjalan. Jadi kami tidak balik ke hotel setiap lepas waktu solat. Ada kalanya kami terpaksa tidak balik makan tengahari atau malam jika ada urusan lain antara waktu solat kerana tidak sempat hendak balik hotel.
...... di Mekah pula jarak hotel kami dari Masjidil Haram ialah 400m. Bagi saya memang terasa jauh tetapi bagi yang sihat tidak berapa jauh. Di sini juga kami buat seperti di Madinah tetapi kami selalu balik ke hotel dengan menaiki teksi. Tambang teksi 10 Riyal sekali jalan ( kena tawar- menawar). Purata kami menghabiskan antara 30-40 Riyal sehari untuk tambang teksi. Jadi 7 hari tambang teksi kami (3 orang) ialah antara 200-300 Riyal. Perbelanjaan tambahan ini juga berbaloi kerana jika kami ambil pakej hotel yang lebih dekat, kami terpaksa membayar tambahan beribu RM jumlahnya untuk 3 orang. Ada agen yang menawarkan pakej yang tidak sampai RM5,000 tetapi bila dilihat jarak hotel dari masjid hampir 1km .... ini terlalu jauh bagi saya.

2. Mutawwif - jika boleh buat pilihan carilah agen yang menawarkan mutawwif yang muda dan lebih aktif dalam memberi khidmat nasihat ketika di Tanah Haram. Kami kurang berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh mutawwif kami. Mungkin kerana faktor umur.

3. Kursus - hadir kursus yang diberi terutama bagi mereka yang firstimer. Walaupun telah pernah pergi haji atau umrah sebelum ini elok juga hadirkan diri. Kursus ini dapat membantu kita supaya bertambah yakin melaksanakan ibadah yang bukan tiap-tiap hari kita buat. Kadang-kadang ada perkara yang kita terlupa berkait dengan ibadah ini.... yang mana satu rukun, yang mana wajib dan yang mana pula sunat umrah. Kemudian ada larangan yang boleh dan tidak boleh kita buat ketika berikhram dan lain-lain lagi, yang barangkali kita sudah lupa.

4. Kebanyakan agen menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Waktu makan telah ditetapkan dan jika kita lewat, kita kenalah tanggung risiko kehabisan makanan. Makanan di luar sangat mahal terutama di kedai-kedai besar, ditambah pula nilai ringgit yang menurun. Makanan ringan seperti biskut, saya bawa dari Malaysia untuk menjimatkan kos atau perbelanjaan. Ia menjadi bekalan makanan saya antara waktu ketika menunggu waktu solat di masjid, jika saya lapar. Air minum tidak menjadi masalah kerana ada disediakam air zamzam dalam masjid. Ubat-ubatan juga elok dibawa dari Malaysia.

Bekalan air zamzam yang disediakan di dalam masjid
5. Zikir...... سبحانالله والحمدلله ولااله الا الله والله اكبر ...... menjadi sumber tenaga saya. Setiap kali saya berjalan dan terasa lutut begitu sakit, saya akan membaca zikir di atas dan alhamdulillah saya mampu terus berjalan. Keadaan ini berlaku ketika berjalan kaki  dari hotel ke masjid atau sebaliknya, ketika tawaf dan terutama ketika sai'. Saya hampir-hampir kena naik kerusi roda ketika hendak membuat sai' pertama dan kedua tetapi membatalkan niat di saat akhir kerana takut tidak mendapat kepuasan sebenar bersai' dengan cara itu. Lagi pun sewa kerusi roda itu boleh mencecah sehingga 70 Riyal. Akhirnya saya berjaya melaksanakan 3 umrah dengan berjalan secara sempurna....alhamdulillah!

6. Ditipu - berhati-hati dengan penjaja di jalanan. Saya dan seorang lagi ahli kumpulan kami telah diperdaya oleh penjaja-penjaja ini. Saya telah membeli 3 helai baju abaya yang dijual murah kononnya, secara tergesa-gesa (seolah-olah memaksa), tetapi apabila diperiksa secara teliti ketika di bilik, ternyata semua baju itu sudah rosak. Kawan saya pula telah terbeli quran wakaf tiruan dengan harga yang jauh lebih murah dari yang asli. Quran yang ori ada cop untuk diwakafkan ke masjid dengan harga 50 Riyal sebuah tetapi quran tiruan berharga hanya 20 Riyal sebuah dan tiada cop untuk wakaf. Beliau terpaksa beli yang lain untuk diwakafkan ke Masjidil Haram.

7. Hilang
-  bukan setakat selipar saja yang hilang di tanah suci. Orang juga boleh hilang. Ketika kami di Mekah ada 2 orang Malaysia (lelaki dan perempuan) yang hilang di samping beberapa warganegara lain. Notis kehilangan mereka ini ditampal di tiang-tiamg di tepi jalan. Melalui mutawwif kami, dikhabarkan lelaki yang hilang itu telah dijumpai kembali dalam keadaan kebingungan. Jadi perlu berhati-hati sangat dengan orang 'jahat' di sini. Mereka boleh jadi pemandu teksi, pekerja masjid, pencuci. buruh binaan atau sesiapa sahaja. Kebanyakan mereka adalah pekerja asing, bukan orang Arab.

-  satu lagi yang selalu sangat hilang di sini ialah selipar, samada yang disimpan di luar atau dalam masjid. Semasa buat haji pada 2002 suami saya kehilangan seliparnya di Masjidil Haram. Pada kali ini  giliran saya pula hilang selipar di Masjid Nabawi. Kemudian anak perempuan saya pula kehilangan seliparnya (yang baru dibeli di Madinah) di Masjidil Haram. Sedih sangat dia kerana belum puas lagi pakai selipar itu, sudah hilang. Allahu akbar!....tak tau nak kata apa. Kawan saya yang ditipu dengan quran tiruan itu juga kehilangan selipar sebanyak 2 kali. Jadi untuk mengelak perkara itu berulang kami bawalah selipar ke mana sahaja kami solat tetapi jika ingin bertawaf terpaksa juga ditinggalkan selipar di mana-mana yang selamat dan kena ingat tempat  yang ditinggalakan. Pernah 2 kali berlaku pada kami ...... terlupa tempat di mana kami menyimpan kasut dan menghabiskan masa hampir setengah jam mencarinya.

Rak kasut di tepi dinding dalam Masjidil Haram
......di sini juga selipar boleh hilang...angkara siapa agaknya?
8. Sim kad talipon bimbit - pakejnya sangat mahal. Kalau kita hendak berkomunikasi antara keluarga tentulah memerlukan sekurang-kurangnya 2 sim kad. Jikalau satu sim kad sahaja, pakej permulaannya sudah berharga 70 riyal ..... 2 kad kita kena berbelanja sehingga 140 riyal. Kadang-kadang kad yang dibeli tidak boleh berfungsi, mengikut kata mereka yang sudah berpengalaman. Oleh kerana itu ramai di antara kami tidak dapat menggunakan talipon sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Keadaan ini sangat menyusahkan apabila kita perlu berkomunikasi antara satu sama lain apabila terpisah. Saya dan suami ada terfikir ..... lain kali mungkin boleh guna walkie talkie sebagai alternatif. Sekurang-kurangnya boleh berhubung ketika berada di hotel atau di kawasan masjid.

9. Kulit kering - jika pergi ketika musim sejuk pastikan bawa bekalan 'body lotion' yang banyak dan juga pelembap muka. Ketika kami di Madinah cuaca sangat sejuk dan kering menyebabkan luka-luka di jari-jari tangan saya kerana kulit terkoyak di tepi-tepi kuku, sehingga ada yang bernanah. Jika ada yang bernanah, pakaikan inai yang banyak terjual di sana. Selain daripada tangan, kulit tapak kaki juga akan mengering dan menjadi kasar sehingga boleh menyebabkannya berdarah apabila bergesel dengan setoking yang dipakai, jika dibiarkan. Seluruh badan juga akan terasa gatal setiap kali lepas mandi. Untuk mengelak daripada keadaan yang tidak selesa ini, sapulah seluruh badan dengan 'body lotion'.

10. Akhir sekali perbanyakkan doa dan ikhlaskan ibadah kita hanya untuk Allah SWT. Saya sentiasa berdoa sepanjang di sana agar Allah permudahkan urusan ibadah kami. Ternyata doa saya dimakbulkan ...... saya mampu melaksanakan ibadah saya dengan sempurna walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik. Saya tidak mendapat selsema dan batuk di sana walaupun saya jenis yang mudah dijangkiti. Walaupun begitu saya terkena juga batuk dan selsema ketika dalam kapalterbang sewaktu perjalanan pulang.

Allah itu maha besar. Masalah-masalah kesihatan yang saya hadapi di sini seperti penyakit 'berangin', yang menyebabkan kita sukar menyimpan wuduk, tidak saya hadapi ketika di tanah suci. Dua kali pengalaman berada di tanah suci menyakinkan saya akan sifat rahmah Allah terhadap hambanya ...... alhamdulillah! Saya juga bersyukur semua aktiviti yang dirancang untuk kami berjalan lancar tanpa sebarang gangguan yang besar. Terima kasih pada Al-Zahabi di atas khidmat yang tidak cemerlang tetapi 'mencukupi'.

Akhir kalam ... semoga ibadah umrah kami diterima Allah  dan mendapat haji mabrur ....... ameen