Friday 29 August 2008

Dairi Kehidupan


Pada 31 hb Ogos ini saya dan anak-anak akan menyertai suami ke Singapura untuk majlis konvonya. Dia akan menerima ijazah kedoktoran , akhirnya , selepas berhempas pulas selama lebih kurang 5 tahun. Kebetulan harinya jatuh sama dengan hari negara menyambut merdeka; terasa seolah-olah seperti merdeka juga bagi pihak saya, kerana itu adalah puncak kerjayanya. Saya berharap selepas ini agar suami saya tidak lagi sibuk membina kerjayanya.

Selama 4 tahun kami berada di luar negara mengikuti suami membuat PhDnya. Selama 4 tahun itulah kami tidak pulang ke Malaysia. Dalam jangka waktu yang begitu panjang sudah tentu berbagai-bagai pengalaman yang telah kami anak-beranak lalui. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya bermusafir meninggalkan negara dan adik-beradik yang tercinta. Ini adalah fasa kehidupan saya yang kali ketiga berada di perantauan. Kali pertama ketika saya sendiri menyambung belajar selepas tamat Tingkatan 5. Manakala kali yang kedua pula ialah juga semasa mengikuti suami menyambung pelajarannya membuat kursus Master.

Saya amat bersyukur terhadap Allah SWT di atas kejayaan suami yang tercinta. Di tahun-tahun terakhir kursus PhDnya, siang dan malam, bila berkesempatan, kami berdoa kepada Allah agar dia mampu menyelesaikan kursus Phd itu. Tanpa bantuan dari Allah yang Maha Esa, kita mungkin tidak dapat melepasi halangan-halangan yang timbul. Tekanan yang begitu hebat boleh membuat seseorang itu "kurang siuman" ketika membuat Phd. Itulah sebabnya saya sangat bersyukur perkara-perkara seperti itu tidak berlaku kepada suami.

Bak kata pepatah Melayu, "Jauh perjalanan banyak pengalaman". Itulah apa yang kami anak beranak alami semasa beberapa tahun berada di luar negara. Sekali lagi saya bersyukur kerana kami diberi peluang untuk melihat kehidupan bangsa lain di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ia adalah satu pengalaman yang amat berharga terutama bagi anak-anak saya. "Sambil menyelam minum air", kami dapat pengalaman di atas tiket suami sambung belajar.

Sebenarnya kami mengambil risiko apabila suami memutuskan untuk sambung belajar di luar negara. Masalah kami ialah anak-anak yang sedang membesar yang akan menduduki peperiksaan yang penting, yang akan menentukan halatuju masa hadapan mereka. Apabila mereka berada di luar negera sudah tentu ada peperiksaan  { PMR, SPM, Matrix } yang tertinggal. Pikir punya pikir kami bertekad untuk meneruskan cita-cita suami dengan sokongan kuat dari saya (semestinya!). Alhamdulillah kini setelah hampir 2 tahun kami kembali ke tanahair, semuanya berjalan lancar tanpa ada masalah besar. Anak-anak semua dapat meneruskan pelajaran seperti orang lain, berkat dari doa dan keyakinan kami iaitu kami bertwakkal kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment