Thursday, 23 April 2009

Seloka: Remaja Hanya SE"X"



Ramai sekali orang melatah,
Enaknya remaja semua dilapah,
Membujur lalu melintang patah,
Aku kini tualah sudah.


Janganlah kalian tersalah anggap,
Akan usia dan badan tegap,
Hingga bercakap tergagap-gagap,
Angkuh dan ego tak boleh cakap.

Namun remaja cuba teliti,
Yang mana betul lagi bererti,
Antara nafsu dan ikut hati,
Semuanya palsu menyesal nanti.

Ego kita jangan turuti,
Kalau diturut kesallah nanti,
Allah dah kurnia “aqal dan hati”,
Lekaslah guna sebelum mati.

Ingatlah Allah dan juga Nabi,
Remaja bukan hanya sekali,
Esok di akhirat sekali lagi,
Maka segeralah cuba insafi.

Apakah remaja untuk di tiau?,
Jadi samseng dan kutu rayau,
Atau lepak tegur tak hirau,
Hingga negara pun kacau bilau!.

Akibat khayal makan pil tidur,
Nayalah diri kerana terlanjur,
Yang tahu hanya untuk berhibur,
Akhirnya tertidur di atas kubur,

Sibuk kenapa gila nak cuba,
Entah kenapa nasihat tak guna,
Kalau dadah memangnya tuba,
Akhirnya hidup merana jua.

Lalang dan semak tempat sembunyi
Ingin nikmati gam yang dibeli,
Ramailah hancur dan hilang budi,
Emak dan ayah tak dipeduli.

Malam dan siang tiada bezanya,
Anak derhaka entah di mana,
Jangan cuba hendak ditanya,
Ayah dan ibu pun ditengkingnya.

Hancurlah sudah hati siibu,
Ayahpun bingung hati berbuku,
Namun sianak berhati batu,
Yang dibuat apa dimahu.

Agaknya ini salah siapa?
Salah ibukah yang mengandungnya
Entah ayah yang manjakannya?
Kerana terlanjur begini jadinya?

Atau kerajaan yang memerintah?
Longgok hiburan untuk diratah,
Itu sebabnya remaja melatah,
Ramai terkorban hatinya patah.

Entahlah siapa hendak dituding,
Melihat semua menambah runsing,
Akibat gejala sosial meruncing,
Jelasnya dirilah termakan pancing.

Apalah gunanya tuding menuding,
Hanya menambah fikiran pusing,
Ada baiknya bawa berunding,
Nak mengatasi ikhlas yang penting.

Yang diperdebat hanya remaja!,
Apakah yang lain tak buat dosa?,
Saham mereka tidak dikira?,
Eloknya semua mesti disita.

Kalau dikira apa kurangnya,
Angkara mereka yang dah dewasa,
Lihatlah bukti dimedia massa,
Ironisnya haruan makan anaknya.

Remaja janganlah nak naik marah,
Eloklah terima berhati fasrah,
Memfokus kalian tidaklah salah,
Agaknya di situlah punca masalah.

Jelasnya semua dah serba salah,
Akibat melanggar perintah Allah,
Hadis dan Quran letak di sebelah,
Akhirnya negara ditimpa masalah.

Nak selesaikan segala masalah,
Yakinlah agama dah tunjuk arah,
Ayuh rujuklah segera kitabullah,
Selesaikan masalah usah berbalah.

Eloklah diteropong ke dalam diri,
Kuman dan virus dah serang hati,
Ambillah ubat dengan teliti,
Lekaslah rawat sebelum mati.

Ingatlah sekelian para remaja,
Remaja bukan sekali saja,
Esok di akhirat fikirkan juga,
Mahukah menjadi ahli neraka?

Andainya tidak segeralah taubat,
Janganlah hanya asyik tau buat,
Ayuh, segeralah mencari ubat,
Hampiri masjid buatlah ibadat.

Ayuhlah segera berbuat bakti,
Nak buat apa nanti menanti,
Yang degil biarkan di atas titi,
Andai terjatuh menyesal nanti.

Sayangilah diri dan keluarga,
Eloklah akhlak sentiasa dijaga,
Kelak menjadi penghuni syurga,
Allah dah janji jangan curiga.

LilLahi Ta’alalah amalan kita,
Iltizam mengamal ajaran agama,
Ramaikan masjid kita bersama,
Enak bersama ‘alim ulama.

Marilah bersihkan jiwa dan raga,
Ajaran agama sentiasa dijaga,
Janganlah malu mulalah segera,
Amalan kita bawa ke syurga.

Hati tak usah memikir cerca,
Amalan baik pemberat neraca,
Namun pelajaran teruslah baca,
Yang berjaya ceria di depan kaca.

Ayuhlah perjuangkan segala cita,
Semua menyokong tanpa cerita,
Elaklah dahulu ingin bercinta,
Kelak merana lain pula cerita.

Apa diburu sicantik jelita,
Lepas ijazah lainlah cerita,
Impian semua akan tercipta,
Rajinlah usaha mencapai cita.

Emak dan ayah tentu gembira,
Melihat anak menurut kata,
Akan dikabul segala pinta,
Jangan persia harapan mereka.

Akhirkata inilah sahaja,
Berpisah sementara menyuci jiwa,
Yang membaca diharap ceria,
Esok lusa bertemu jua.

Sekian terima(lah) kasih)

Azhari(s)

Telah dihasilkan
pada: 30 Ogos 2003.

Petikan dari: December 12, 2007 ambuyatelbinangkit


No comments:

Post a Comment