Showing posts with label remaja. Show all posts
Showing posts with label remaja. Show all posts

Monday, 27 September 2021

Akhlak Remaja Bermula di Rumah

Sumber foto: Mr Google

" Baiti Jannati " ( Rumahku Syurgaku ). Satu gambaran bahawa rumahlah segala-galanya bermula dan tempat untuk kita dapat mengecapi kebahgiaan. " Syurga itu di bawah tapak kaki  ibu ", hadis dari Al-Tabarani. Hadis ini pula memberitahu bahawa kecemerlangan kehidupan seseorang itu bermula dengan mendampingi dan melayani kehendak seorang ibu.  Rumah dan ibu dikaitkan dengan syurga ...... suatu tempat yang menjadi idaman semua manusia yang beriman. Untuk mendapatkan syurga bukanlah semudah membeli barang. Ianya " priceless ". Hanya mereka yang bertakwa dan beriman yang layak mendapatkannya. Dari sini jelas dapat dilihat bahawa semua yang baik itu berpunca dari rumah yang didiami oleh seorang ibu atau bapa serta anak-anaknya. Rumahlah institusi pendidikan pertama bagi anak-anak.

Kata pepatah, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya ". Samalah  juga bila mendidik anak-anak. Semua nilai-nilai yang mulia dalam Islam perlu diterapkan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Janganlah kita biarkan mereka terbiasa dengan sifat-sifat yang negatif  semasa kecil kerana ini akan menyulitkan kita memperbetulkannya apabila remaja kelak. Wujudkanlah suasana "solehah" dalam rumah agar anak-anak tidak kekok dengan amalan-amalan dan cara hidup seorang muslim yang sebenarnya. Tarbiyah tidak cukup dengan hanya secara teori tetapi memerlukan amalan -amalan yang berterusan. Kita boleh hantar anak-anak ke sekolah agama untuk mendapatkan ilmu Islam, tetapi apakah kita yakin mereka mampu mempergunakannya dalam kehidupan mereka? Di sinilah peranan ibu-bapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan menjalani dan sekaligus memberi gambaran kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Peranan Ibu-bapa

Apabila membincangkan tajuk ini kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang peranan dan tanggungjawab ibu-bapa dalam mendidik dan mentarbiyah anak-anak. Ibu-bapa perlulah melihat anak-anak dalam kontek yang bebeza-beza agar timbul rasa keinsafan dalam diri dan rasa bersyukur terhadap anugerah Allah SWT ini. Cuba lihat bagaimana keadaan pasangan-pasangan yang tidak dikurniakan anak...... betapa 'kepinginnya' mereka kepada anak-anak.

1. Anak sebagai anugerah
Bila dilihat dari sudut ini, anak bukanlah rezeki semata-mata kerana tidak semua orang dapat anak sepertimana rezeki-rezeki yang lain. Semua orang tanpa terkecuali mendapat rezeki masing-masing..... cuma banyak dan sedikit sahaja yang membezakannya. Firman Allah yang bermaksud:

 “Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami dari sisi Engkau zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. (QS Ali Imran: 38)

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Namun malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT dengan melakukan  tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

2. Anak adalah perhiasan hidup.
Orang kata anak adalah permata hati pada ibu bapanya. Dalam al-Quran pula  Allah berfirman yang bermaksud:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.
(QS Al-Kahfi:46)

 Dalam hal ini anak diletakkan sebagai perhiasan dan kekayaan dunia bagi orang tuanya. Jika seorang anak itu dianggap sebagai perhiasan, maka sudah semestinya ia perlu dijaga dengan baik, digilap selalu agar sentiasa kelihatan cantik dan indah. Anak itu juga menjadi suatu yang sangat berharga kepada kedua ibu-bapa. Oleh kerana itu menjadi kewajipan para ibu dan bapa menyusun dan mengatur tarbiyah anak-anak  supaya mereka menjadi anak-anak yang indah  akhlaknya menurut nilai-nilai Islam. Didiklah mereka menjadi insan yang disukai oleh orang ramai sebagaimana indahnya  sebutir mutiara, tiada siapa yang membencinya. Pasangan -pasangan yang akan mendapat anak juga digalakkan berdoa seperti di bawah:

Ya Allah kurniakanlah kami zuriat yang terbaik, sesungguhnya Kau mendengar doa kami’.

3.  Anak adalah amanah,
Ini bermakana ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua ibu bapa. Islam menggesa setiap ibu bapa mengambil berat aspek pentarbiyahan atau pendidikan anak-anak. Firman Allah yang bermaksud:

  “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”
(QS At-Tahrim: 6)

Ayat itu menjelaskan ibu bapa perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.Tentunya dalam hal ini, pendidikan agama serta menerapkan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna. Iman dan hidayah bukan seperti meninggalkan harta pusaka berbentuk fizikal, tetapi iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Tanggungjawab ini tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa bantuan daripada anak-anak.  Maksudnya, anak-anak remaja yang sudah boleh berfikir, juga perlu ada perasaan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Anak-anak yang bermasalah akan menyukarkan ibu-bapanya menjalankan tanggungjawab mereka.  
 
4. Anak adalah ujian.
 Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (QS Al Anfal : 28)

Anggaplah kerenah anak-anak yang  menimbulkan berbagai-bagai masalah itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT. Ibu-bapa yang terpaksa berdepan dengan anak-anak yang seperti ini haruslah banyak bersabar . Berdoa dan bermunajat untuk anak-anak agar mereka diberi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT. Jangan sekali-kali mendoakan keburukan terhadap anak-anak apabila dalam keadaan marah, takut-takut doanya termakbul ketika itu. Maksud hadis:

Dari Abi Hurairah, bahwasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang diridhai Allah ’Azza wa Jalla tanpa berpikir panjang, Allah akan mengangkatnya beberapa derajat dengan kata-katanya itu. Dan seorang hamba yang berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa berpikir panjang, Allah akan menjerumuskannya ke neraka Jahanam dengan kata-katanya itu”.
 (HR Bukhari, Ahmad, dan Malik).

Kebiasaan berbicara baik sudah masuk ke dalam memori otak bawah sedar, sehingga tanpa dipikir panjang pun, yang keluar dari lisannya selalu baik. Namun dalam keadaan marah selalunya apa yang diucapkan terkeluar dari kendalian otak yang bawah sedar sehingga terucap kata-kata keji yang dimurkai Allah.

5. Anak adalah pewaris
Pertama, anak akan mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan. Kedua, anak juga akan mewarisi agama dan perjuangan ibu-bapa. Anak-anak mestilah dididik agar membelanjakan harta yang diwarisi di jalan Allah SWT. Begitu juga dengan agama, anak-anak perlu diberitahu betapa pentingnya mempertahan dan memperjuangkan agama Islam yang dianutinya. Anak sebagai Zuriat (Penerus Keturunan), adalah anugerah Allah swt yang akan meneruskan garis keturunan dan cita-cita orangtua. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." ( QS Al-Baqarah:132)

6. Anak sebagai penerus amal soleh
Doa anak kepada ibu -bapa walaupun sesudah mati diterima oleh Allah SWT. Lain-lain Amal yang boleh dibuat oleh seorang anak terhadap ibu-bapanya yang telah meninggal dunia seperti bersedekah bagi pihak mereka dan menjelaskan hutang-hutang mereka samada dengan Allah maupun dengan manusia lain.

From Abu Hurayrah, may Allah be pleased with him, that the Messenger of Allah said:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّااِمنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَة

 (When a son of Adam dies, his deeds cease apart from three: a righteous child who will pray for him,
knowledge from which others may benefit after him, or ongoing charity.)

Makna hadis:

Apablia seorang anak Adam meninggal segala amalannya terputus kecuali tiga: anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya, ilmu yang manusia mendapat manfaat darinya dan sedekah yang berterusan. (HR Muslim)

7. Anak sebagai penyejuk hati
Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami  isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”. (QS Al-Furqan:74)

Kita semua sangat mengharapkan hadirnya anak yang soleh dan solehah yang boleh menyejukkan hati dan mata, yang dalam kehidupannya taat beragama dan berakhlak mulia, serta taat  kepada kedua ibu bapanya. 

8. Anak itu membawa rezki
Allah swt berfirman yang bermaksud:

  “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka.”  (QS Al An’am:151)

Walaupun anak itu sendiri bukan rezeki, tetapi kita harus yakin bahawa anak-anak yang lahir ke bumi sudah membawa rezki. Jika anak-anak itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah, yang membesar dalam beribadah kepada Allah, maka semakin bertambahlah kurnia yang Allah berikan kepada kedua orang tuanya. Hidup menjadi semakin berkat dengan kehadiran mereka. 

9.  Anak sebagai musuh. 
Allah swt berfirman yang bermaksud:

 “Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS At-Taghabun:14)

Di sini kita perlu lebih berhati-hati bagaimana anak-anak itu boleh menjadi musuh orangtua, kerana kemungkinan mereka boleh menjauhkan kita dari zikir kepada Allah dan berjuang di jalan-Nya dan boleh melemahkan tekad kita. Semoga kita boleh memaafkan mereka dan menyantuninya dengan penuh kasih sayang.

Bersyukurlah ibu-bapa yang dikurniakan anak, tidak kira dalam keadaan apa pun mereka itu berada.... yang bijak , yang kurang cerdik, yang kacak, yang tidak cantik, yang sempurna, yang kurang upaya, yang berakhlak, yang panjang akal dan sebagainya. Mereka telah diamanahkan kepada kita, maka lindungilah mereka dan penuhilah keperluan-keperluan mereka setakat yang termampu. Semua itu bermula di rumah....jangan harapkan pihak sekolah atau pengasuh melaksanakan tanggungjawab yang  sepatutnya kita pikul.

Bagi pihak anak-anak pula bersyukurlah dengan apa yang telah disediakan oleh kedua ibu-bapa. Jika kita terasa apa yang didapati daripada ibu-bapa itu masih belum mencukupi keperluan, cuba bayangkan mereka yang tidak ada ibu-bapa langsung. Jadilah anak yang tahu membalas jasa kedua ibu-bapa bagi menandakan kesyukuran kita terhadap mereka.

Related posts:

Pemuda-pemudi berakhlak tunjang negara

Thursday, 1 August 2019

Pemuda-pemudi Berakhlak Tunjang Negara

Mukaddimah

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para pemimpin negara dan 'kita' yang prihatin.. Mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang

Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa suatu hari nanti dan merekalah yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara , negeri, daerah, kawasan, tempat kerja atau pun setidak-tidaknya sebagai ketua keluarga apabila sudah berumah-tangga nanti.. Nabi pernah bersabda yang bermaksud:

” Setiap daripada kamu adalah pemimpin.yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya. Pemimpin negara bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah pemerintahannya; seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami serta anak-anaknya; seorang hamba bertanggungjawab terhadap harta tuannya; kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas mereka yang dalam jagaan kamereka merupakanwaris kepimpinan negara pada masa akan datang.mu.”

( Hadis Sahih Bukhari )

Tiada siapa dalam dunia ini yang boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Sebagai pelajar , maka menjadi tanggungjawab mereka untuk belajar. Sebagai anak mereka juga ada tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa. Sebagai abang, kakak, adik., rakan , jiran dan berbagai-bagai lagi tanggungjawab yang boleh dipikul oleh seorang remaja.

Peranan Remaja

Remaja memainkan peranan penting dalam menentukan maju atau mundurnya suatu bangsa. Malah remaja menjadi tunggak harapan negara. Remaja juga disebut sebagai generasi penerus yang berperanan penting dalam perjuangan bangsa dan negara. Zaman remaja adalah masa muda dalam kehidupan yang penuh dengan tenaga, harapan dan semangat. Adalah penting agar golongan remaja ini diberi didikan dan pengetahuan yang jelas supaya jangan sampai tenaga yang penuh energetik itu disalahgunakan, sehingga timbul berbagai-bagai masalah yang tidak diinginkan samada kepada masyarakat atau pun dirinya sendiri.

Pemuda adalah barisan pemimpin pelapis negara yang akan mencorakkan lanskap negara masa depan. Jikalau rosak akhlak remaja hari ini, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri dari mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral. Disebabkan inilah remaja hari ini mesti diberi bimbingan dan didikan serta pengetahuan yang cukup sebagai persediaan membina barisan pelapis pemimpin negara yang berwibawa.

Persediaan awal ke atas remaja mestilah memfokuskan kepada 3 peranan remaja yang utama:

1. Remaja sebagai individu
2. Remaja sebagai anak
3. Remaja sebagai ahli masyarakat

1. Remaja sebagai individu

Apa yang dimaksudkan disini ialah tanggungjawab remaja terhadap Rabbnya yakni Allah SWT yang telah menciptanya . Dia hendaklah melihat dirinya sebagai hamba Allah yang kerdil, yang sentiasa mengharapkan petunjuk, pertolongan dan bantuan dariNya. Justeru untuk menjadi remaja yang cemerlang dan berkualiti mereka hendaklah berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya

2. Remaja sebagai anak

Sebagai seorang anak adalah menjadi kewajipannya mematuhi segala arahan ibu dan bapanya., selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Dia harus berusaha menjadi anak yang soleh dengan melakukan kebaikan kepada kedua mereka serta berlemah lembut dengan mereka ketika berbicara. Arahan ini jelas disebut dalam al-Quran surah al-Isra` ayat 23 yang bermaksud :

” Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

3. Remaja sebagai ahli masyarakat

Apabila seseorang remaja itu berakhlak mulia , dengan sendirinya dia akan menjadi ahli masyarakat yang baik, berbudi dan perihatin. Dia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan oleh kerana itu dia harus memainkan peranannya . Jika dia tidak mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dia hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Sentiasa bekerjasama dalam perkara kebaikan agar kehidupan lebih cemerlang sebagaimana pepatah mengatakan , ”Bersatu teguh bercerai roboh.”

Namun apa yang membimbangkan adalah hampir setiap hari terdapat laporan mengenai masalah sosial dan jenayah yang melibatkan remaja. Pembangunan modal insan yang diperlukan oleh negara sewajarnya bermula dari sekolah. Ini termasuk usaha membangunkan peribadi yang baik dalam kalangan pelajar dengan menyemai nilai-nilai murni. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, sama ada sekolah, institusi keluarga atau pihak lain yang berkenaan.

Remaja berkualiti

Remaja berkualiti adalah remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu dia tidak seratus peratus bergantung pada ibu-bapa atau orang lain. Remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan; dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai personaliti yang menarik iaitu dalam dirinya ada banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk .

Peranan Ibu-bapa

Ibu-bapa tidak boleh berlepas tangan dari tanggungjawab mendidik anak-anak ini. Golongan bawah umur ini amat mudah untuk terjebak di dalam kegiatan yang  membawa bahaya kepada diri mereka serta orang sekeliling mereka. seperti gangsterism, kongsi gelap, lepak, merokok, ponteng sekolah, merempit dan lain-lain lagi.

Tidak ada satu faktor penentu yang boleh menjadi penyebab utama terhadap berlakunya segala masalah atau perlakuan anti sosial ini. Ianya boleh berlaku akibat daripada pelbagai punca seperti kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga terutamanya pihak ibu-bapa serta penjaga terhadap anak-anak jagaan mereka, kurangnya pendedahan pendidikan di sekolah khususnya mengenai aspek masalah sosial yang kian menular dalam masyarakat dalam negara kita, silap memilih kawan, tiada tempat yang sesuai untuk dituju sekiranya menghadapi masalah, kurangnya penguatkuasaan undang-undang yang mengawal salah laku golongan bawah umur seperti larangan penjualan rokok serta bahan-bahan larangan yang lain khususnya terhadap golongan bawah umur dalam negara kita, pengaruh media dan internet yang susah untuk dikawal dan lain-lain punca lagi.

Akhlak remaja juga bermula dari rumah. Oleh kerana itu sangat penting ibu-bapa memainkan peranan mereka dalam menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak ini.

Cara mendidik anak ada diajarkan oleh Allah SWT seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 13-19 yang dapat kita simpulkan sebagai berikut :

1. Menanamkan jiwa tauhid.
2. Menghargai dan menghormati orang tua.
3. Memelihara dan memperlakukan orang tua dengan baik.
4. Kejujuran, bahawa tidak ada satupun yang dapat disembunyikan di hadapan Allah SWT.
5. Mendirikan sholat dan ibadah lain.
6. Mengajak kepada perbuatan baik dan mencegah perbuatan munkar.
7. Bersabar.
8. Melarang keangkuhan dan kesombongan dalam pergaulan.
9. Sederhana dalam sikap, berjalan dan berbicara.

Realiti hari ini

Negara kita masih berhadapan pelbagai masalah sosial seperti ancaman dadah yang serius serta jenayah juvana termasuk melibatkan kekerasan. Lebih menggusarkan, ancaman baharu seperti ketagihan bahan khayal seperti gam, petrol dan cecair pemetik api turut mencemari golongan muda yang bakal menjadi modal insan dan pemimpin akan datang.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini. Antaranya ialah melalui aspek pengukuhan undang-undang dengan mewujudkan akta khusus bagi membendung salah laku dikalangan golongan kanak-kanak dan remaja dalam negara kita.

Marilah kita sama-sama membantu menangani masalah sosial di kalangan mereka ini dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita dan berusaha memperbaiki keadaan dengan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.

Related posts:

Akhlak Remaja Bermula Di Rumah

Thursday, 23 April 2009

Seloka: Remaja Hanya SE"X"



Ramai sekali orang melatah,
Enaknya remaja semua dilapah,
Membujur lalu melintang patah,
Aku kini tualah sudah.


Janganlah kalian tersalah anggap,
Akan usia dan badan tegap,
Hingga bercakap tergagap-gagap,
Angkuh dan ego tak boleh cakap.

Namun remaja cuba teliti,
Yang mana betul lagi bererti,
Antara nafsu dan ikut hati,
Semuanya palsu menyesal nanti.

Ego kita jangan turuti,
Kalau diturut kesallah nanti,
Allah dah kurnia “aqal dan hati”,
Lekaslah guna sebelum mati.

Ingatlah Allah dan juga Nabi,
Remaja bukan hanya sekali,
Esok di akhirat sekali lagi,
Maka segeralah cuba insafi.

Apakah remaja untuk di tiau?,
Jadi samseng dan kutu rayau,
Atau lepak tegur tak hirau,
Hingga negara pun kacau bilau!.

Akibat khayal makan pil tidur,
Nayalah diri kerana terlanjur,
Yang tahu hanya untuk berhibur,
Akhirnya tertidur di atas kubur,

Sibuk kenapa gila nak cuba,
Entah kenapa nasihat tak guna,
Kalau dadah memangnya tuba,
Akhirnya hidup merana jua.

Lalang dan semak tempat sembunyi
Ingin nikmati gam yang dibeli,
Ramailah hancur dan hilang budi,
Emak dan ayah tak dipeduli.

Malam dan siang tiada bezanya,
Anak derhaka entah di mana,
Jangan cuba hendak ditanya,
Ayah dan ibu pun ditengkingnya.

Hancurlah sudah hati siibu,
Ayahpun bingung hati berbuku,
Namun sianak berhati batu,
Yang dibuat apa dimahu.

Agaknya ini salah siapa?
Salah ibukah yang mengandungnya
Entah ayah yang manjakannya?
Kerana terlanjur begini jadinya?

Atau kerajaan yang memerintah?
Longgok hiburan untuk diratah,
Itu sebabnya remaja melatah,
Ramai terkorban hatinya patah.

Entahlah siapa hendak dituding,
Melihat semua menambah runsing,
Akibat gejala sosial meruncing,
Jelasnya dirilah termakan pancing.

Apalah gunanya tuding menuding,
Hanya menambah fikiran pusing,
Ada baiknya bawa berunding,
Nak mengatasi ikhlas yang penting.

Yang diperdebat hanya remaja!,
Apakah yang lain tak buat dosa?,
Saham mereka tidak dikira?,
Eloknya semua mesti disita.

Kalau dikira apa kurangnya,
Angkara mereka yang dah dewasa,
Lihatlah bukti dimedia massa,
Ironisnya haruan makan anaknya.

Remaja janganlah nak naik marah,
Eloklah terima berhati fasrah,
Memfokus kalian tidaklah salah,
Agaknya di situlah punca masalah.

Jelasnya semua dah serba salah,
Akibat melanggar perintah Allah,
Hadis dan Quran letak di sebelah,
Akhirnya negara ditimpa masalah.

Nak selesaikan segala masalah,
Yakinlah agama dah tunjuk arah,
Ayuh rujuklah segera kitabullah,
Selesaikan masalah usah berbalah.

Eloklah diteropong ke dalam diri,
Kuman dan virus dah serang hati,
Ambillah ubat dengan teliti,
Lekaslah rawat sebelum mati.

Ingatlah sekelian para remaja,
Remaja bukan sekali saja,
Esok di akhirat fikirkan juga,
Mahukah menjadi ahli neraka?

Andainya tidak segeralah taubat,
Janganlah hanya asyik tau buat,
Ayuh, segeralah mencari ubat,
Hampiri masjid buatlah ibadat.

Ayuhlah segera berbuat bakti,
Nak buat apa nanti menanti,
Yang degil biarkan di atas titi,
Andai terjatuh menyesal nanti.

Sayangilah diri dan keluarga,
Eloklah akhlak sentiasa dijaga,
Kelak menjadi penghuni syurga,
Allah dah janji jangan curiga.

LilLahi Ta’alalah amalan kita,
Iltizam mengamal ajaran agama,
Ramaikan masjid kita bersama,
Enak bersama ‘alim ulama.

Marilah bersihkan jiwa dan raga,
Ajaran agama sentiasa dijaga,
Janganlah malu mulalah segera,
Amalan kita bawa ke syurga.

Hati tak usah memikir cerca,
Amalan baik pemberat neraca,
Namun pelajaran teruslah baca,
Yang berjaya ceria di depan kaca.

Ayuhlah perjuangkan segala cita,
Semua menyokong tanpa cerita,
Elaklah dahulu ingin bercinta,
Kelak merana lain pula cerita.

Apa diburu sicantik jelita,
Lepas ijazah lainlah cerita,
Impian semua akan tercipta,
Rajinlah usaha mencapai cita.

Emak dan ayah tentu gembira,
Melihat anak menurut kata,
Akan dikabul segala pinta,
Jangan persia harapan mereka.

Akhirkata inilah sahaja,
Berpisah sementara menyuci jiwa,
Yang membaca diharap ceria,
Esok lusa bertemu jua.

Sekian terima(lah) kasih)

Azhari(s)

Telah dihasilkan
pada: 30 Ogos 2003.

Petikan dari: December 12, 2007 ambuyatelbinangkit