Monday, 16 August 2021

Kelebihan Bulan Muharam


Banyaknya nikmat Allah tidak terkira. Berakhir musim haji yang penuh barakah, muncul pula bulan Muharam yang mengandungi pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang disediakan untuk hamba yang beriman dan mengharap keredhaan-Nya.

Muharam adalah bulan yang mulia di sisi Allah taala. Firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
(At-Taubah 9:36)
Maksud bulan haram yang disebut dalam ayat di atas, dijelaskan dalam sepotong hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Bakrah r.a. (maksudnya):
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya zaman beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Syakban.”
Di dalam ayat di atas, Allah melarang manusia melakukan kejahatan dan kezaliman sama ada terhadap diri sendiri atau terhadap makhluk-Nya yang lain dalam bulan-bulan haram. Apakah ini membawa maksud pada bulan-bulan lain kejahatan dan kezaliman tidak dilarang? Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah menyebut bulan haram secara khusus sebagai bulan yang diharamkan melakukan kezaliman sebagai tanda memuliakan bulan tersebut, pada hal perbuatan jahat dan zalim dilarang sepanjang masa dan tempat. Begitu juga dengan firman Allah mengenai musim haji yang bernaksud:
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji...”
(Al-Baqarah 2:197)
Allah larang membuat maksiat dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji tidak bererti di luar musim haji harus membuat maksiat dan bertengkar.
Yang manakah bulan haram paling afdal?
Ayat dan hadis di atas menyebut bahawa terdapat empat bulan haram. Adakah semuanya sama atau ada antara empat bulan itu lebih afdal daripada yang lain?
Menurut Ibn Rajab (736H-795H), ulamak berbeza pendapat mana antara bulan haram yang paling afdal? Al-Hasan dan lain-lain berpendapat yang paling afdal adalah bulan Muharam. Pendapat ini ditarjih oleh sekumpulan ulamak mutakhirin. Wahab bin Jarir meriwayatkan daripada Qurrah bin Khalid daripada al-Hasan, dia berkata: “Sesungguhnya Allah memulakan tahun dengan bulan haram dan menutupnya dengan bulan haram. Maka tidak ada bulan dalam setahun, selepas Ramadan, lebih mulia di sisi Allah selain bulan Muharam. Ia dinamakan bulan Allah al-Asomm (yang padu dan padat) kerana tersangat mulianya.”
An-Nasa’i meriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. katanya: “Saya bertanya Nabi s.a.w., malam apakah yang paling afdal dan bulan apakah yang paling afdal?” Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sebaik-baik malam adalah pertengahannya dan bulan paling afdal ialah Syahr-Allah (bulan Allah), iaitu yang kamu panggil Muharam.” Ibn Rajab menambah, maksud Muharam bulan paling afdal yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam Hadis ini ialah bulan yang paling afdal selepas bulan Ramadan.
Hadis lain yang menunjukkan kelebihan bulan Muharam ialah yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa paling afdal selepas bulan Ramadan ialah bulan Allah yang dimuliakan (Muharam). Dan solat paling afdal selepas fardu ialah solat malam.”
Dalam hadis yang disebut di atas, kita dapati Nabi s.a.w. menisbahkan atau menamakan bulan Muharam ini sebagai bulan Allah. Ia sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa mulianya bulan ini.
Dalam bulan ini telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, peristiwa datangnya pertolongan Allah memenangkan kebenaran yang dibawa oleh pesuruh-Nya dan tumpasnya kebatilan yang cuba dipertahankan oleh musuhnya.
Antara peristiwa penting itu ialah Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. serta kaumnya daripada ancaman Firaun yang zalim, manakala Firaun serta pengikutnya mati lemas dalam keadaan yang hina.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan, apabila Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya mengapa mereka berpuasa pada hari tersebut. Mereka menjawab, “10 Muharam adalah hari berlakunya peristiwa besar di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan kaumnya serta melemaskan Firaun dan pengikutnya. Musa telah berpuasa pada hari ini (10 Muharam) sebagai tanda bersyukur, maka kami pun ikut berpuasa.”
Mendengar jawapan itu, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Maka kita (umat Islam) lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu (orang Yahudi).” Ibnu ‘Abbas menambah, maka Nabi s.a.w. berpuasa dan menyuruh umat Islam berpuasa.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah hadis yang sama dengan menambah: “Hari itu (10 Muharam) juga merupakan hari mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judi. Maka Nuh berpuasa sebagai tanda syukur.”
Kelebihan puasa hari ‘Asyura (hari ke-10 Muharam)
Daripada Abi Qatadah r.a., seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w. mengenai puasa hari ‘Asyura. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
Daripada ar-Rabi’ binti Mu’awwiz , Rasulullah s.a.w. menghantar utusan ke kampung-kampung orang Ansar di sekitar Madinah supaya menyampaikan pesanannya: “Sesiapa yang bangun pagi dengan niat berpuasa pada hari ini (10 Muharam), hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Dan sesiapa yang bangun pagi tidak berpuasa, maka teruskanlah.” Ar-Rabi’ berkata: “Selepas itu kami sentiasa berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh anak-anak kecil kami berpuasa. Kami membawa mereka ke masjid dengan membawa bersama permainan daripada bulu. Apabila mereka menangis meminta makanan, kami beri mereka permainan untuk melekakan mereka sehinggalah tiba waktu berbuka.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cara berpuasa ‘Asyura:
1. Yang paling afdal ialah berpuasa pada hari kesembilan (tasu’a) dan ke-10 (‘asyura). Ini berdasarkan Hadis riwayat Muslim daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa hari kesembilan dan ke-10.”
2. Berpuasa pada hari ke-10 dan ke-11. Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Hendaklah kamu berbeza dengan Yahudi. Berpuasalah satu hari sebelumnya atau satu hari selepasnya.”
(Riwayat Ahmad dan Ibn Khuzaimah)
3. Berpuasa pada hari kesembilan, ke-10 dan ke-11 kerana terdapat hadis Ibnu ‘Abbas yang diriwayat secara marfu’ bermaksud: “Berpuasalah satu hari sebelumnya dan satu hari selepasnya.”
4. Berpuasa pada hari ke-10 sahaja. Hal ini berdasarkan hadis Abi Qatadah r.a. iaitu ketika seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w. mengenai puasa hari ‘Asyura, baginda sallallahu alaihi wasallam menjawab (maksudnya):
“Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
Dipetik daripada :http://www.malaysiaharmoni.com
Penulis: Ustazah Maznah Daud

No comments:

Post a Comment