Thursday, 5 August 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Genting Highlands

Ini percutian kedua kami sejak negara dilanda wabak covid-19. Kami telah merancang percutian ini bagi meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-38 yang jatuh pada 9 Oktober 2020. Alhamdulillah, Allah telah memberkati rumahtangga kami sehingga mampu bertahan sampai kini. Selama ini kami tidak pernah menyambutnya secara beria-ria seperti kali ini. Mungkin sebab sudah berasa jemu berada di rumah di kebanyakan masa, di musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan ) ini, mendorong kami mengambil kesempatan hari istimewa ini.😍 untuk pergi bercuti sekali lagi.

Kami telah merancang percutian selama 4 hari 3 malam, iaitu 2 malam di Genting Highlands dan semalam di Fraser Hill, dari 7 Oktober hingga 10 Oktober 2021. Pada April 2018 kami juga telah membuat pengembaraan yang sama dalam siri Kembara Tanah Tinggi  yang pertama. Kedua-dua tanah tinggi ini berada di Banjaran Titiwangsa.

Perjalanan bermula dari Parit Raja Batu Pahat, ke Genting,
Kg Janda Baik, Bentong, Bukit Fraser, dan balik semula terus ke BP
Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran ini menganjur dari selatan Thailand hingga ke Gunung Ledang di Johor. Ia sebenarnya menganjur dari Banjaran Himalaya dan puncak tertingginya ialah Gunung Korbu yang terletak di Perak. Banjaran ini menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Di sini juga terdapat tiga buah pusat peranginan iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.

Semasa di Genting, kami duduk di Hotel Swiss Garden. Kami telah mengambil pakej bilik berserta sarapan dan makan malam yang ditawarkan oleh pihak hotel. Kami tiba di hotel di awal petang Rabu dan kami tidak ke mana-mana kerana cuaca pun tidak berapa baik. Esoknya baru kami pergi berjalan-jalan di Genting. Alhamdulillah bilik hotel sangat selesa.😀
Bilik selesa dengan pemandangan yang cantik
Taman di luar dining hall

Khamis 8/10/2020
Ini merupakan lawatan kali kedua kami ke Genting Highland. Walaupun terdapat banyak tempat-tempat menarik yang baharu dibuka di sini sejak lawatan kami pada kali yang pertama, namun kami hanya memilih aktiviti yang dirasakan sesuai dengan jiwa kami yang sudah menjadi warga emas.

Hari ini kami bercadang naik cable car ke puncak gunung. Kami naik dalam pukul 11 pagi dari stesen Awana dan terus ke SkyAvenue. Kita juga boleh turun di Stesen Chin Swee dengan mengguna tiket yg sama, sebelum meneruskan perjalanan ke puncak. Kereta boleh ditinggalkan di tempat letak kereta, bersebelahan Genting Highlands Premium Outlets.
Awana SkyCentral
Dari Awana Skyway ke SkyAvenue hanya 10 min
 tetapi kalau berkereta mungkin dalam 15 min
Bangunan  Genting Highlands
Premium Outlets di belakang 

Ticket TypeStandard Gondola*Glass Floor Gondola
One-WayReturnOne-WayReturn
StandardRM9RM16RM21RM35
Malaysian Senior
Citizen
RM5RM10RM12RM24
Ini gondola yang diguna
Gondola yang digunakan ada 2 jenis, yang biasa dan yang berlantai cermin. Ada tiket harga istimewa bagi warga emas yang berumur lebih 60 tahun seperti yang ditunjuk dalam jadual. Kami mengambil gondola yang berlantai cermin dan suami mendapat tiket harga potongan kerana menepati syarat. Saya pula bayar harga tiket yang biasa iaitu RM35 return.

Ini adalah cara yang paling mudah untuk sampai ke puncak. Ia hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Stesen Awana ke stesen SkyAvenue, yang bersambung terus dengan SkyAvenue Shopping Mall.


 Rasa cemas 😟jugak
bila pijak atas lantai kaca ni
Berhenti di Chin Swee station
tapi kami tak turun
Stesen cable car ... waktu naik dan turun dari puncak

Floor plan Skytropolis Indoor Theme Park
Sebaik tiba di puncak kami terus menuju ke bangunan berdekatan dan terjumpa Skytropolis Indoor Theme Park ini. Mengikut maklumat taman ini terletak di First World Plaza dan berdekatan dengan SkyAvenue. Mengikut peta di atas ada beberapa jalan keluar menuju ke dua-dua tempat ini. Kami memang tiada merancang apa-apa aktiviti tertentu, melainkan berjalan-jalan sambil bergambar. Bila masuk bangunan dan nampak dari atas suasana yang begitu meriah di bawah, kami pun terus ke sana untuk melihatnya dari dekat.
Skytropolis Indoor Theme Park
Dengan keluasan lebih dari 400,000 kaki persegi, Skytropolis Indoor Theme Park menjanjikan keseronokan tanpa henti untuk semua orang dalam keluarga!😀😀😀 Alami dunia pengembaraan di lokasi yang mudah .... ini kata-kata manis yang mempromosikan tempat ini.

Skytropolis menyerupai satu karnival futuristik dengan pelbagai tarikan menarik dan lampu berwarna-warni. Sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan, taman tema dalaman ini menawarkan pelbagai tarikan bayar-per-perjalanan (pay-per-ride) untuk para pengunjung dari semua peringkat umur. Terdapat lebih daripada 20 mainan seperti ini di dalamnya. Seperti yang disebut di atas kami hanya berjalan-jalan melihat sekeliling, melihat orang ramai serta aktiviti yang sedang berjalan.

Di puncak sinilah kebanyakan aktiviti berlaku dan hotel-hotel juga banyak terdapat di sini. Di sinilah terletaknya  First World Hotel, hotel terbesar di Asia dengan lebih 6,000 buah bilik bajet. Di sini juga terletak  satu-satunya pusat perjudian yang sah 😡di Malaysia - mini Las Vegas sendiri di puncak gunung sejak tahun 1971. Selain daripada ini, terdapat taman hiburan yang menyediakan aktiviti yang menyeronokkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak, sementara SkyAvenue dan First World Plaza adalah kompleks membeli-belah yang berwarna-warni dengan restoran, hiburan dan butik. Walaupun begitu pada hari tersebut banyak tempat yang masih tidak beroperasi.
First World Hotel .... 7351 bilik
First World Plaza ... suasana seperti malam
tetapi sebenarnya pukul 12.30 pada 8 Okt 2020
Pusat peranginan ini bertengger di puncak Gunung Ulu Kali dengan ketinggian 1.800 meter. Terletak di sempadan Selangor sekitar 35km dari Kuala Lumpur, Genting merupakan lokasi percutian hujung minggu yang popular bagi mereka yang ingin melarikan diri dari cuaca panas bandar. Ia dihubungkan dengan lebuh raya, jalan raya dan perkhidmatan kereta kabel melalui Awana Skyway.

Genting mempunyai cuaca sejuk antara 20 ° C hingga 26 ° C pada siang hari dan 15 ° C hingga 20 ° C pada waktu malam. Cuaca berkabus adalah perkara biasa dan ribut petir sering terjadi menjelang akhir tahun. Namun, ia boleh dikunjungi pada bila-bila masa, kerana jalan-jalan di atasnya dibina dengan kukuh, yang mampu menahan kebanyakan tanah runtuh.

Pada hari yang cerah, puncaknya yang menghadap ke lembah hutan hujan yang subur membentang ke arah KL, dapat dilihat dengan jelas, satu pemandangan yang menakjubkan bagi pengunjung di samping menikmati cuaca yang sejuk dan persekitaran gunung yang tenang. Di lembah di sekitar Genting juga terdapat banyak tempat-tempat pelancongan termasuk tempat makan hotspot, tempat percutian homestay di kampung-kampung, destinasi alam dan banyak lagi.
Malangnya kebanyakan masa kami
berada di puncak diiringi dengan hujan
Pada kesokan harinya cuaca bertambah baik dan kami telah melawat Colmar Tropika  dan Kampung Janda Baik dalam perjalanan ke Bukit Fraser. Insya Allah kita akan jumpa dalam posting seterusnya.



Related Posts:

No comments:

Post a Comment