Showing posts with label Guangzhou. Show all posts
Showing posts with label Guangzhou. Show all posts

Sunday, 27 June 2021

Jalan-jalan di China 2 - Shamian Island

Lawatan ke Guangzhou ini merupakan percutian terakhir kami ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya

Pada pagi 1 September 2019 kami melawat Masjid Huaisheng. Selepas menziarahi masjid ini kami ke Shamian Island pula, lagi satu lokasi yang terkenal di kalangan pelancong

Pulau ini asalnya merupakan beting pasir. Shamian bererti "permukaan berpasir" dalam bahasa Cina. Kerajaan Qing menyerahkannya kepada Perancis dan Inggeris. Pada tahun 1859 kerja-kerja  mengubah beting pasir ini menjadi pulau dimulakan.Tanah ini berada di Sungai Mutiara, dan di bahagian gelongsoran tanah, terusan digali untuk memisahkannya dari daratan, serta mengubahnya menjadi kawasan perdagangan. 
Peta Pulau Shamian
Pulau ini telah diwartakan sebagai kawasan bersejarah yang mampu mengembalikan semula ingatan kita pada zaman penjajahan Eropah, dengan jalan pejalan kaki yang tenang dan nyaman, diapit oleh pokok-pokok dan dilapisi oleh bangunan bersejarah. Dianggarkan lebih daripada satu pertiga bangunan yang terdapat di pulau ini dibina pada zaman penjajahan abad ke-19. Oleh kerana itu tarikan atau aktiviti utama di sini adalah bersiar-siar di jalan-jalan sambil menikmati suasana yang tenang. Pulau ini hanya 900 m  panjangnya, dari timur ke barat, dan 300 m dari utara ke selatan, menjadikannya tempat yang mudah untuk dijelajahi dan dinikmati dengan berjalan kaki.

 Jom kita bersiar-siar!
Ketika kami di sini, banyak sekali kerja-kerja pembinaan sedang berlangsung. Banyak juga tempat yang tidak dibenarkan lalu dan bersiar-siar. Lawatan kami banyak tertumpu di taman di tepi Sungai Mutiara kerana keadaan saya yang tidak mampu berjalan terlalu jauh.
Taman di tepi sungai yang cantik dan tenang
Pemandangan di seberang Sungai Mutiara
Sungai Mutiara .... lagi pemandangan dari pulau
Banyak sekali kerja-kerja pembinaan di kawasan berdekatan


Jalan-jalannya diapit oleh pokok-pokok
 dan bangunan-bangunan lama

Antara bangunan lama yang kami jumpa ketika
berjalan keluar dari pulau ini
Bangunan Shamian Sports Club
Setiap bangunan lama ini ada plak yang mencatitkan sejarah asal bangunan seperti gambar di atas. Bangunan ini telah dibina di akhir zaman Dinasti Qing sebagai  Shamian Lawn Tennis Club untuk orang British. 

Kami datang sebentar sahaja ke sini. Kalau duduk lama sedikit, mungkin boleh meninjau lebih jauh dan menikmati lebih lama keindahan suasana pulau.


Related posts:
Jalan-jalan di China 2 - Masjid Huaisheng Guangzhou

Jalan-jalan di China 2 - Makam Saad Abi Waqas

Jalan-jalan di China 2 - Pearle River Cruise Guangzhou

Jalan-jalan di China 2 - Guangzhou

Jalan-jalan di China - Nanjing Yangtze River Bridge

Jalan-jalan di China - Berbuka di Restoran Lee's Hotpot Nanjing

Jalan-jalan di China - Masjid Jingjue Nanjing

Jalan-jalan di China - Shanghai

Friday, 28 May 2021

Jalan-jalan di China 2 - Masjid Huaisheng Guangzhou

Lawatan ke Guangzhou ini merupakan percutian terakhir kami ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya

Pada 1 September kami berpeluang menziarah sebuah lagi masjid tua di negara China. Jika di Malaysia masjid paling tua mungkin dibina pada abad ke-15, tetapi di negara China terdapat banyak masjid yang dibina jauh lebih awal dari itu. Menjadi tanggapan umum bahawa Islam wujud buat pertama kali di Malaysia pada abad ke-9 atau ke-10 .... di mana? Terakhir terdapat perbezaan pendapat, negeri mana yang paling awal menerima Islam. Namun salah satu masjid yang tertua di China, Masjid Huaisheng Guangzhou, sudah berdiri sejak tahun 627 M. Ini menunjukkan orang dari negara China menganut agama Islam jauh lebih awal dari orang Malaysia.

China mempunyai penduduk Muslim yang minoriti iaitu seramai 23 juta orang. Mereka terdiri daripada etnik Hui, Uyghur, Kazakh, Dongxiang, Kirgiz, Salar, Tajik, Baoan, Uzbek dan Tatar. Meskipun demikian, bilangan masjid di negara itu begitu banyak. Mereka mempunyai 35,000 buah masjid, 57,000 orang imam, 720 buah pertubuhan Islam dan 10 institut Islam. Malaysia pula  yang penduduk Islamnya majoriti, mempunyai hanya seramai 21 juta penduduk Islam daripada lebih kurang 33 juta penduduk.

Masjid Huaisheng .... salah satu masjid yang tertua di China
Dikatakan Masjid Huaisheng sudah berdiri sejak tahun 627. Tepatnya pada masa Dinasti Tang sekitar tahun 618 – 907. Pada ketika itu, agama Islam diperkenalkan di China untuk pertama kali. Masjid Huaisheng dibangun oleh orang-orang Arab. Maksud dari nama masjid tersebut adalah “mengingat orang bijak” untuk menghormati Nabi Muhammad SAW. Menurut manuskrip lama, masjid ini dibina oleh Sa'ad ibn Abi Waqqas, sahabat Rasulullah SAW. Dia juga adalah umat Islam pertama yang bermisi ke China pada tahun 650. 

Dinasti Tang merupakan satu jangka  masa di mana banyak sekali pedagang Muslim datang ke negeri China melalui Silk Road atau Jalan Sutra. Silk Road merupakan laluan perdagangan yang menghubungkan negara-negara Timur dan Barat pada ketika itu. Hubungan pertama Islam dengan China terjadi di Guangzhou. Seterusnya, ajaran agama tersebut menyebar ke wilayah lain. Dapat dikatakan bahwa Guangzhou merupakan tempat lahirnya Islam di China.
Menara Cahaya atau Menara Rumah Api
Masjid Huaisheng, juga dikenali sebagai Masjid Menara Cahaya atau Masjid Rumah Api, merupakan salah satu dari 4 masjid tertua di China. Manakala tiga masjid tertua lainnya adalah Masjid Quanzhou Kylin, Masjid Yangzhou Crane, dan Masjid Hangzhou Phoenix. Masjid ini mungkin sudah wujud sewaktu Dinasti Tang, atau dalam tahun-tahun awal Dinasti Song. Masjid ini dibina semula pada 1350 dan kemudian pada 1695 selepas dimusnahkan dalam suatu kebakaran.  Ada kemungkinan masjid telah melalui beberapa pengubahsuaian yang tidak tercatat waktunya.

Menara Cahaya atau Rumah Api
Bangunan yang paling menonjol di dalam masjid adalah Rumah Api (menara).  Dikatakan bahawa menara itu digunakan sebagai mercusuar. Menara Rumah Api Huaisheng telah dibina pada zaman yang lebih terdahulu daripada masjid. Tidak dapat dipastikan bila menara itu dibina, tetapi ia dipercayai senibina Islam tertua yang ada di China. Menara Cahaya berbentuk bulat dan hujung yang runcing dengan ketinggian sekitar 36 meter (118 kaki), terletak di sebelah barat daya masjid. Masjid Huaisheng memiliki gaya senibina tradisional China yang dipadukan dengan gaya senibina Arab. Menara ini mempunyai ciri khas gaya senibina Arab dengan hujung runcing di bahagian atas.

Dari menara inilah masjid itu mendapat nama lain - Masjid Menara Cahaya.  Seorang muazin akan naik ke menara untuk melaungkan azan pada waktu solat. Dikatakan bahawa menara itu juga digunakan sebagai mercusuar untuk memimpin arah kapal-kapal yang melewati sungai Zhujiang. Sebaik kapal-kapal tiba di sini, mereka akan mengambilnya sebagai tanda mereka telah tiba di permulaan laluan sutra maritim atau laut. Selain itu, pelaut sering naik ke menara untuk melihat keadaan cuaca.  Para pengunjung boleh menaiki menara tersebut melalui tangga heliks atau lingkaran tetapi kami tidak menaikinya pada hari itu.

Menara Melihat Anak Bulan
Terdapat juga di sini bangunan untuk melihat anak bulan, yang merupakan menara gerbang persegi dengan dasar batu pasir merah yang dibina semasa Dinasti Ming (1368 - 1644) dan atap berlapis yang diubahsuai di zaman Dinasti Qing (1644 - 1911). Menara ini digunakan untuk melihat anak bulan bagi menentukan waktu untuk Puasa dan Ramadhan.
Dua keping gambar yang disambung untuk
menunjukkan reka bentuk bumbung tradisional China
menyebabkan dinding kelihatan seperti dinding berbucu
....... sebenarnya  lurus sahaja
Bangunan untuk melihat anak bulan .... dinding dibina semula ketika
zaman Dinasti Ming, bumbungnya dari Dinasti Kangxi
dan dibuat semula pada pada zaman Dinasti Qing
.... ini dinding sebenar...
Jom masuk Masjid!

Bahagian dalam masjid ... ciri unik boleh dilihat pada tiangnya
Dewan solat .... 
Ini di bahagian luar bangunan masjid ... di pintu utama
 terdapat hiasan tulisan khat  di sebelah kiri dan kanan pintu
Kaligrafi Arab terlihat di seluruh dinding dan tiang yang ada di sana. Beberapa tulisan dalam karakter Mandarin juga terlihat. Tiang seri dewan dihiasi dengan kaligfrafi tulisan Arab tetapi bercirikan kaligrafi China. Dari jauh kelihatan seakan-akan seperti tulisan China. Begitu juga di dinding sebelah pintu masuk dewan.

Sekarang kita berjalan-jalan di halaman masjid pula. Banyak benda-benda menarik terdapat di sini. 
Apa yang menarik di sini ....?
Ancient well atau perigi lama yang tidak pernah kering .... airnya yang
 segar dan bersih menjadi sumber utama air di masjid untuk berwudhuk dll
Pagar batu yang bersejarah ...
..... inilah pagarnya yang dibina pada zaman Dinasti Ming
mengikut maklumat di papan tanda
Selain daripada ini, kita akan berjumpa banyak bahan-bahan bersejarah dalam bentuk binaan dan hiasan Masjid. Beberapa bebatuan yang dipakai untuk menutupi halaman balai atau dewan utama berasal dari Dinasti Ming. Sebuah plak dengan kata-kata "Jiao Chong Xi Yu" diberikan kepada masjid oleh Maharaja Guangxu dari Dinasti Qing (1901). Ia dicap oleh maharaja dan keempat-empat perkataan itu dipercayai ditulis oleh Maharani Balu Cixi. Kata-kata itu bermaksud "Islam berasal dari Makkah Barat".
"Jiao Chong Xi Yu"..... "Islam berasal dari Makkah Barat".

Mud Wall .... dibina ketika zaman Ming setebal 70-80 cm
Tidak pasti apa keistimewaan struktur ini .....
Terdapat beberapa restoran halal di jalan bertentangan dengan masjid ini. Salah satunya Restoran Nur Bostan,cukup terkenal dan menyajikan pelbagai hidangan termasuk masakan Cina dan beberapa hidangan popular dari negara lain juga.

 Ayam dan daging halal juga terdapat di sini. Orang Islam yang datang untuk solat senang mendapatkan bekalan makanan halal mingguan mereka dari sini kerana barang-barang ini tidak begitu mudah didapati di kawasan lain. Keadaan ini juga menggalakkan pelawat-pelawat muslim mengunjung masjid kerana kemudahan mendapat makanan halal. 
Bahagian luar bangunan masjid
Kawasan di luar masjid
Kedai halal menjual daging lembu, kambing dan ayam
Di hadapan restoran Nur Bostan
Kami juga tidak melepaskan peluang menjamu selera di restoran Nur Bostan. Jom masuk!
Suasana dalam Restoran Nur Bostan
Menu restoran
Hand made Uighur noodle dengan daging kisar berserta sup kambing
Kuih dan roti Uighur ... dibeli 
di restoran Nur sebagai bekalan
Selepas menziarahi masjid ini kami ke Shamian Island, lagi satu lokasi yang terkenal di kalangan pelancong. Sebelum keluar dari restoran kami membeli sedikit makanan yang berupa kuih dan roti orang Uighur, sebagai bekalan bila berjalan-jalan nanti. Al maklum, di sini amat susah kalau hendak mencari makanan halal .... bila jumpa terus beli.

Ok .... Jom ke Shamian Island pula!
Jumpa di entri yang lain, insya Allah ....


Thursday, 1 April 2021

Jalan-jalan di China 2 - Makam Saad Abi Waqas


Lawatan ke Guangzhou ini merupakan percutian terakhir kami ke luar negara sebelum wabak covid-19 melanda satu dunia sehingga kini, yang melarang perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran. Kami bertolak ke Guangzhou pada malam 28 Ogos 2019 dari lapangan terbang Senai Johor, dan tiba pada esok paginya

Di Guangzhou, China, terdapat satu makam sahabat yang dikatakan makam Saad bin Abi Waqas. Boleh dikatakan makam ini sangat popular di kalangan pelancong Malaysia, selain terkenal sebagai pusat memborong barangan murah.  Bahkan Makam Saad Bin Abi Waqas juga merupakan salah satu tarikan yang popular di Guangzhou di kalangan pelancong Islam dari negara lain.

Kami juga sempat menziarahi makam ini pada pagi Jumaat 30 Ogos 2019. Kami sengaja memilih hari ini supaya suami dapat bersolat Jumaat di masjid dalam kompleks ini, sebagai tujuan utama. Sebenarnya makam ini terletak dalam sebuah kompleks yang besar dan masjid yang terdapat di sini bukanlah masjid tua yang didakwa dibina oleh Saad Abi Waqaas seperti yang kebanyakan orang sangka, walaupun masjid ini juga dikenali sebagai Masjid As-sahabi Abi Waqas. Ia lebih dikenali sebagai Masjid Xianxian.

Tujuan kedua kami adalah kerana kebiasaannya terdapat pasar orang Islam yang menjual berbagai barangan seperti tudung, kopiah, dan termasuk makanan halal, pada setiap hari Jumaat di sebelah kompleks ini. Malangnya😞 pada hari tersebut pasar ini tidak dibuka kerana kawasan berdekatan sedang melakukan kerja-kerja pembinaan. Selepas solat Jumaat terpaksalah kami mencari makan tengahari pada hari itu di tempat lain.
Dalam bilik yang menempatkan binaan kubur ....  kebiasaanya ada kumpulan
membaca Yasin sebelum menunaikan solat Jumaat ..... pagi 30 Ogos 2019
Ini ruang di luar pintu bilik .... berbagai bangsa datang menziarahi kubur ini
Ada satu amalan pelik yang saya perhatikan dibuat oleh masyarakat Islam China ketika menziarahi kubur ini. Pengunjung Islam yang datang akan menyalakan api pada colok dan mencacakkannya dalam bekas yang disediakan di luar kawasan makam. Ia akan menimbulkan bau harum di kawasan tersebut. Amalan membakar colok sebagai pengharum telah diamalkan sejak turun-temurun oleh masyarakat Cina di Tanah Besar China termasuk dalam kalangan mereka yang beragama Islam.

Membakar colok dalam bahasa Cina ialah ‘jing xiang’ (Mandarin). Jing bermaksud mempersembahkan’ dan xiang pula ‘wangi’. Maka, jing xiang maksudnya ‘mempersembahkan wangian’. Budaya membakar colok dalam ritual seperti yang disebut di atas juga merupakan simbolik kepada tanda hormat, sama ada untuk orang yang lebih tua atau tokoh yang dihormati.
Amaran dan arahan cara mengguna colok
Bekas yang disediakan untuk mencacak colok
Bolehlah dirumuskan bahawa penggunaan colok dan seumpamanya lebih merupakan budaya dan ia tidaklah bertentangan dengan agama jika bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang, damai dan harum. Ia hanya menjadi haram sekiranya digunakan dalam ritual yang membawa kepada syirik terhadap Allah SWT ..... satu pengetahuan am yang baharu bagi saya😐 kerana selalu sangat melihat pembakaran colok untuk tujuan keagamaan.
Pintu Gerbang masuk ke kawasan perkuburan lama
Apakah benar ini kubur Saad Abi Waqas?
Perdebatan soal apakah makam tersebut benar-benar makam Saad bin Abu Waqqash terus didalami para ahli sejarah. Pernyataan ini sebenarnya membuka peluang untuk sebuah kebenaran. Lembaga dakwah Islam Guangzhou pun menyebut makam ini dengan nada ... “It is said that Shaabi Tomb was the tomb where Abi Waqas was buried,” satu kenyataan yang ada keraguan di situ, walaupun makamnya memang wujud dan dikenali sebagai makam Saad bin Abi Waqas.

Papan tanda makam yang didakwa milik Saad bin Abi Waqas
Ahli sejarah Islam sebenarnya sepakat mengatakan bahawa Saad bin Abi Waqas meninggal dunia di lembah Aqiq, Madinah dan dimakamkan di perkuburan Baqi'. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh kebanyakan ahli hadis seperti Imam Ahmad, Muslim dan An Nasa'i. Jadi makam siapakah di Guangzhou itu? 

Seorang sejarawan Islam China, Haji Ibrahim Tien Ying Ma merungkai kekeliruan ini di dalam bukunya yang bertajuk "Perkembangan Islam di China". Beliau menyatakan bahawa terdapat seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Saad bin Lubaid Al Habsyi yang mana telah memeluk Islam pada zaman permulaan dakwah Islam. Saad bin Lubaid telah mengikuti rombongan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah ketika Islam ditindas kafir Quraisy.

Beliau tidak lama tinggal di Habsyah dan kemudian mengikut pedagang-pedagang Yaman belayar ke timur jauh. Pelayar Yaman sememangnya sudah belayar ke timur jauh sejak dari zaman sebelum Islam. Pelabuhan yang biasa disinggahi oleh orang Yaman dari pelabuhan Aden ialah Hormuz (Iran)- Gujerat (India)- Poli (Pidie/Pedir, Aceh)- Kedah Tua - Sinraf (Panduranga, Champa- sekarang Phan Rhang, Vietnam) - Guangzhou.
 
Saad bin Lubaid akhirnya menetap di Guangzhou, menjalankan usaha dakwah serta wafat di sana. Kebetulan dalam catatan China juga menukilkan Khalifah Uthman bin Affan pernah mengutuskan Saad bin Abi Waqqas ke Xian, China bagi menemui Maharaja Gao Zhong (Dinasti Tang). Oleh kerana itu berlaku kekeliruan di kalangan orang-orang Islam di China. Makam Saad bin Lubaid Al Habsyi disangka makam Saad bin Abi Waqas.

Kalaupun kubur yang ada di China itu bukan kubur Saad bin Abi Waqas tetapi pastinya kubur tersebut adalah kubur seorang berbangsa Arab yang memiliki jasa besar kepada perkembangan Islam di China. Begitu juga jelas peranan besar Sa’ad bin Abu Waqas dalam menyiarkan Islam di China, tidak dapat diragukan lagi. Baik dari catatan sejarah China maupun catatan sejarah Arab, keduanya bersetju dalam hal ini.

Kubur-kubur lama yang berdekatan dengan makam
Saad ?? ..... dijaga dengan rapi
Dalam kawasan kompleks ini terdapat banyak kubur-kubur lama dan juga para syuhada'.  Mungkin mereka ini semua juga berperanan dan berjasa dalam mengembangkan Islam di negara China. Mengikut catatan sejarah hubungan awal Islam dengan China terjadi di Guangzhou. Kemudian ajaran agama tersebut menyebar ke wilayah lain. Dapat dikatakan bahawa Guangzhou merupakan tempat lahirnya Islam di China. Itulah sebabnya mengapa terdapat begitu banyak masjid-masjid lama dan tua di negara ini dan Masjid Huaisheng (bukan masjid dalam kompleks ini) yang berada di Guangzhou, dikatakan antara masjid yang tertua di negara China.
Papan tanda menunjuk ke arah ...
"Pavilion for three Muslim Martyrs"
(beberapa perkataan Inggerisnya kurang tepat ejaannya)😮
Ini kawasan kuburnya
Kawasan Kompleks Masjid Saad Abi Waqaas
Kawasan kompleks masjid ini bagaikan satu taman yang besar, dengan keluasan lebih kurang 25,000 meter persegi. Apabila berjalan di sini terasa nyaman sekali. Ia sebenarnya adalah tanah perkuburan khas bagi menghormati 40 mubaligh Muslim Arab terkenal yang dikebumikan di tanah perkuburan ini. 

Tempat yang bertanda 14 itu adalah kedudukan makam yang didakwa sebagai makam Saad Abi Waqas, dan yang bertanda 6 itu pula adalah Masjid Xianxian atau Masjid As-sahabi Abi Waqas.
Hadapan pintu pagar kompleks dan 
hadapan pintu masuk masjid
Pintu Masjid As-sahabi Abi Waqas
Masjid Xianxian Guangzhou, yang terletak di Guihuagang, adalah tempat bersejarah Islam yang sangat terkenal. Ia pertama kali dibina pada tahun ketiga Zhenguan, Dinasti Tang (618-907), dan sehingga kini ia mempunyai sejarah lebih dari 1300 tahun. Masjid Xianxian meliputi kawasan seluas 1.860 meter persegi dengan kawasan pembinaan sekitar 1,077 meter persegi.

Bangunan utamanya termasuk ruang solat, Walaupun maklumat dari internet mengatakan Masjid Xianxian mempunyai ruang solat dua tingkat, kami tidak perasaan bahagian binaan yang ini. Ia dikatakan boleh memuat sehingga 3,000 orang untuk mengerjakan solat. Semua dewan dan kemudahan lain di dalam tanah perkuburan dibina dengan gaya Dinasti Ming.
Dewan solat masjid .... sementara menunggu solat Jumaat
Para Jemaah dari berbagai bangsa
Mihrab dan mimbar masjid
Suasana di luar pintu masjid selepas
Solat Jumaat .... 30 Ogos 2019
Masjid Xianxian juga disebut Pemakaman HuiHui (bunyi berulang?), kerana suara di dalamnya akan bergema, mengikut maklumat dari internet. Ramai dari kalangan penduduk tempatan tidak berapa tahu tempat ini kalau disebut masjid. Kami menaiki teksi ke tempat ini walaupun dekat sahaja sebenarnya dengan hotel kami, kerana saya ada masalah berjalan. Banyak teksi yang tidak sudi mengambil kami  bila ditunjuk nama masjid (mungkin tidak pasti tempatnya?) dan yang sudi menghantar itu pun mengenakan tambang yang berganda-ganda.

Pada hari tersebut saya juga sempat melaksanakan solat Jumaat di masjid ini tetapi saya bersolat di luar, di kawasan yang telah disediakan kerana kebetulan di situ ada kerusi yang boleh saya duduk semasa solat. Sebenarnya ada juga bilik solat wanita yang disediakan di belakang kawasan ini.
Kawasan solat wanita yang disediakan di luar masjid
Alhamdulillah .... kami berjaya menambah koleksi masjid yang dilawati di luar negara, apatah lagi masjid ini berumur lebih dari 1300 tahun!


Related posts:
Jalan-jalan di China 2 - Shamian Island



Jalan-jalan di China 2 - Guangzhou

Jalan-jalan di China - Nanjing Yangtze River Bridge

Jalan-jalan di China - Berbuka di Restoran Lee's Hotpot Nanjing

Jalan-jalan di China - Masjid Jingjue Nanjing

Jalan-jalan di China - Shanghai