Showing posts with label Buyuk Han. Show all posts
Showing posts with label Buyuk Han. Show all posts

Saturday, 25 May 2019

Kembara Cyprus - Nicosia (part 1)

Kembara Cyprus ini bermula dari 23 Jun 2018 dengan perjalanan bermula dari KLlA, transit di Bangkok dan Amman sebelum sampai di Larnaka airport, Pulau Cyprus pada 24 Jun lebih kurang 11.15 malam.

Dari (25 - 28) Jun kami menginap di Le Village Hotel yang terletak di Limassol. Bandar ini terletak di Republic Of Cyprus (Cyprus Selatan). Pada 28 Jun kami bertolak ke Turkish Republic of Northern Cyprus (Cyprus Utara) dan berada di sana sehingga 30 Jun. Di sini suami ada lawatan kerja ke METU atau Middle East Technical University. Kemudian kami balik semula ke Cyprus Selatan dan tinggal di sini selama 2 malam lagi, sehingga 2 Julai di mana kami dijadualkan balik ke Malaysia.

Semasa perjalanan pergi dan balik antara Cyprus Selatan dan Utara, kami sempat menjelajah Pulau Cyprus sehingga ke Semenanjung Karpas, tetapi sekadar berhenti dan mengambil gambar sahaja sebagai kenang-kenangan. Alhamdulillah .... satu pengalaman yang sangat menarik!

😊Jom saya kongsikan pengalaman yang dilalui sepanjang pengembaraan.ini!
Laluan perjalanan balik kami ....
destinasi terakhir ... bandar Nicosia di Cyprus Selatan
Perjalanan kami pada pagi 30 Jun bermula dari Guzelyurt, melalui Trikiomo dan terus ke Dipkarpaz. Kemudian kami turun ke selatan, singgah di Famagusta. Lebih kurang jam 6 petang kami keluar dari bandar ini dan meneruskan perjalanan ke North Nicosia atau Lefkosa, yang merupakan destinasi terakhir kami di Cyprus Utara.

Sebenarnya kami boleh masuk terus ke Nicosia utara ini dari sebelah selatan pada keesokan harinya, kerana kami memang akan berada di sebelah selatan bandar ini selama sehari lagi. Walau bagaimanapun kami putuskan untuk melihat bandar ini dengan menaiki kereta terlebih dahulu kerana takut perlu berjalan jauh jika menyeberang dengan berjalan kaki. Tempat yang ingin dituju pada petang itu ialah Masjid Selimiye yang juga asalnya adalah  sebuah gereja.

Pembinaan bermula dari 1208 dan siap 1326
Hari sudah lewat petang ketika kami sampai di sini, jadi masjid ini sajalah tempat yang sempat dilawati. Kami perlu masuk semula ke sebelah selatan secepat mungkin kerana sekali lagi kami terlupa muat turun 'google map' sebagai panduan untuk mencari tempat penginapan yang telah ditempah lebih awal. Sepanjang perjalanan kami tidak mempunyai data, hanya bergantung pada internet percuma di hotel. Kami ada membeli data tetapi tidak berjaya menggunanya. Jadi malam itu kami hampir-hampir saja tidak menemui tempat tinggal. Hanya nasib menyebelahi kami sekali lagi apabila berjaya sampai ke tempat yang dituju akhirnya, melalui 'gerak hati' 😓. Kejadian ini sama seperti ketika kami mencari hotel yang ditempah di Limassol, di awal pengembaraan ini.

Nicosia 
Akhirnya kami ke Nicosia Utara 2 kali ... pada petang 30 Jun dan pagi I Julai.  Ketika kami berada di Nicosia sebelah selatan, kami telah menginap di sebuah apartmen di Jalan Ledra, yang merupakan jantung Nicosia. Sejak hujung 1963 lagi jalan ini telah disekat untuk memisahkan penempatan penduduk Cyprus keturunan Turki dari penempatan penduduk Cyprus keturunan Greek, disebabkan konflik yang timbul antara mereka. "Buffer Zone" yang diselia oleh PBB telah diwujudkan di sini.

Kemudian zon penyangga atau 'buffer zone' ini telah diteruskan apabila negara Turki campur tangan dalam konflik ini dengan menguasai bahagian utara Cyprus pada 1974. Pencerobohan ini bertujuan untuk membantu orang Islam yang menjadi penduduk minoriti di sini daripada ditindas oleh orang keturunan Greek. Namun pada tanggal 3 April 2008 dinding yang selama puluhan tahun telah berdiri di perbatasan antara Republik Cyprus dan zon penyangga (buffer zone) PBB telah dihancurkan. Ini adalah tempat menyeberang yang ke-6 di buka di Cyprus.

Hujung 1963 - di awal pembahagian dengan hanya menggunakan
gulongan dawai duri ... 
sumber foto: CyprusMail.com
Dinding pembahagi di Ledra Street pada 23 Mac 2008 
sebelum ia diroboh ... sumber foto: HomeboyMediaNews
 
Ledra Street - pagi 1 Julai 2018 .... kibaran bendera Cyprus Utara
dan Turki di hadapan menandakan sempadan  sebelah utara
Nikosia atau Lefkosa adalah ibu negara bagi Cyprus selatan dan utara. Bandar ini pada zaman dahulu dikelilingi oleh tembok-tembok yang dipanggil "Venetian Wall" bagi tujuan mempertahankannya dari serangan musuh. Kini kebanyakan  bangunan baru dan jentera-jentera pengurusan berada di kawasan luar tembok. Manakala apa yang ingin dilihat oleh kebanyakan pelancong pula berada di  kota lama iaitu di bahagian dalam tembok ini.

Sebenarnya tempat yang menjadi tumpuan para pelancong di bahagian utara  tidaklah jauh dari pintu sempadan di Ledra Street ini. Apabila masuk sahaja  melepasi sempadan sudah kelihatan menara Masjid Selimiye. Di bahagian sebelah Cyprus Selatan tidak ada sebarang pemeriksaan imigrasi dibuat untuk ke sebelah utara tetapi waktu masuk dari utara ke selatan akan ada pemeriksaan identifikasi. Walau bagaimanapun di sebelah sempadan Cyprus Utara masih ada pemeriksaan imigrasi.
Dari jauh sudah kelihatan menara
 Masjid Selimiye .... pagi 1 Julai 2018
Nicosia (Lefkosa) Utara

Kawasan kota lama yang dikelilingi 'Venetian Wall'
Kebanyakan tempat menarik yang didatangi ramai pelancong berada di bahagian utara kota lama ini.
Di tengah-tengah kota inilah terletaknya Masjid Selimiye yang asalnya adalah Cathedral of Saint Sophia. Masjid ini juga berada di bahagian utara dalam kota lama ini. Masjid ini telah kami lawati pada petang 30 Jun. Pada pagi 1 Julai kami hanya melawat beberapa tempat sahaja di sini terutamanya Buyuk Han, yang menjadi kebanggaan Nicosia kerana ia adalah antara bangunan lama yang dibaikpulih dengan begitu baik sekali.

Jom ke masjid Selimiye
Ia merupakan masjid yang utama di Cyprus Utara. Banyak majlis-majlis agama dan pesta yang besar-besar diadakan di sini. Bangunan ini juga merupakan gereja Gothic terbesar dan tertua yang masih berdiri teguh di Cyprus dan bangunan bersejarah yang paling besar terdapat di Nicosia. Masjid ini boleh memuatkan seramai 2500 orang  jemaah dalam satu masa.
Masjid Selimiye atau Cathedral of Saint Sophia
Senibina Gothic ... menyerupai gereja-gereja di Peranchis
yang se zaman dengannya
Gereja Gothic selalunya dibina setinggi yang mungkin
 untuk menggapai 'syurga di atas'
Struktur di kanan itu berfungsi seperti penyangga
 kepada masjid ini agar ia tidak mudah runtuh
Struktur masjid masih berdiri teguh walaupun beberapa kali rosak
 disebabkan gempabumi yang banyak berlaku
Lihat betapa tinggi bumbungnya

Di sinilah Raja-raja Lusignan ditabalkan
sebagai Raja Cyprus
Hiasan dalaman yang sangat sederhana
Pada pagi 1 Julai kami masuk sekali lagi ke bandar Nicosia Utara tetapi kali ini melalui bahagian selatan. Tempat pertama yang kami lawat adalah Buyuk Han atau Great Inn. Ia juga dipanggil caravansarai yang mempunyai konsep hotel iaitu tempat persinggahan bagi kafilah atau pedagang yang dalam perjalanan membawa dagangan mereka ke tempat yang ingin dituju. Di sini mereka akan berihat sepenuhnya sebelum meneruskan perjalanan. Buyuk Han merupakan caravansarai yang terbesar di Cyprus dan juga dianggap antara bangunan yang terbaik yang terdapat di pulau ini.

Buyuk Han - pusat kebudayaan
Caravansarai ini kelihatan seperti sebuah kubu. Semasa di bawah penjajahan British, bangunan ini telah dijadikan sebagai penjara utama Nicosia. Ia dibina oleh kerajaan Usmaniyyah pada 1572, setahun selepas merampas Nicosia dari orang Venetian. Kini ia digunakan sebagai pusat kebudayaan, yang mempunyai beberapa galeri dan bengkel serta kedai cenderamata. Terdapat juga beberapa kafe di halamannya.

Bangunan ini mempunyai 2 tingkat dan berbentuk lebih kurang 4 segi  Di tengah-tengahnya ada halaman terbuka  yang dikelilingi oleh bilik-bilik. Ada 68 buah bilik kesemuanya. Di tengah halaman ini juga terdapat sebuah masjid kecil serta sebuah air pancut di bawahnya, sebagai tempat wuduk  Bahagian bawah bangunan dan di sekeliling halaman dijadikan sebagai kandang kuda dan lain-lain binatang, manakala bilik-bilik pedagang berada di atas. Di sebelah timur bahagian luar bangunan ini ada lagi 10 buah unit kedai setingkat.

Tingkap-tingkap di bangunan ini kecil sahaja dan dibuat tinggi di atas. Ini bertujuan untuk menghalang perompak-perompak yang sudah pasti sangat tergoda memasuki tempat yang dipenuhi pedagang-pedagang ini. Mungkin juga di buat kecil kerana kaca agak mahal pada zaman itu. Di setiap bilik ada tempat menyala api serta cerobong di atasnya.
Bangunan Han - 2 tingkat serta halaman terbuka di tengah ..
Salah satu kafe yang terdapat di sini
Kelihatan tangga untuk naik keatas
Ini bahagian atas ... kelihatan pintu dan  tingkap kecil 
bilik di sebelah kanan ... mengadap halaman terbuka

Kelihatan di bawah itu masjid comel ....
.... inilah masjidnya yang berbentuk hexagon ....
..... serta tempat wuduk di bawahnya

Bahagian dalam masjid
Dalam bangunan ini juga ada satu sudut yang mempamirkan sedikit bahan-bahan sejarah Cyprus, terutama maklumat pasal bangunan Buyuk Han ini.

Maklumat sejarah Buyuk Han

Gambar-gambar lama Buyuk Han ketika berlaku kebakaran
dan kerja-kerja membaikpulih
Kedudukan masjid-masjid di Cyprus pada 1878

Kedudukan perkuburan orang Turki pada 1878
Ini bahagian luar Buyuk Han ...
setiap bilik ada cerobong yang berbentuk hexagon
Ini bahagian bangunan yang berada di luar mengadap jalan ...
.... sebahagiannya masih digunakan sebagai kedai-kedai kecil
menjual barangan tempatan ... perhatikan bangunan di hujung
(yang ada kanopi didepannya) itu adalah Kumarcilar Han
Seterusnya kami ke Kumarcilar Han atau Gambler's Inn, yang berada tidak jauh dari Buyuk Han. Ini sebuah lagi caravansarai yang terdapat di sini dan kemungkinan ia dibina di sekitar hujung kurun ke-17. Ia lebih kecil dan sederhana bila dibandingkan dengan Buyuk Han. Namun rekabentuk dan fungsinya lebih kurang sama seperti han-han yang lain. Kini ia digunakan sebagai kafe atau restoran dan juga kedai-kedai kecil yang menjual barangan tempatan.


Kumarcilar Han ... tidak dibenarkan masuk ke dalam
Oleh kerana bangunan ini adalah milik persendirian, orang ramai tidak dibenarkan masuk. Namun di luar ada diletakkan maklumat menggambarkan dengan terperinci bentuk bangunan di dalam berserta  gambar-gambar lama dan terkini bangunan ini.



Selepas ini kami hanya berjalan-jalan di kawasan berdekatan sambil bergambar. Antara objek yang paling unik yang kami jumpa ialah dinding pemisah antara Nicosia utara dan selatan. Di setengah tempat pemisahan hanya berlaku di atas jalan sahaja kerana ia memotong bangunan yang telah ada, tetapi bahagian atas bangunan tidak ada dinding.
Dinding pemisah di bawah di atas jalan ....
memotong bangunan sedia ada di kiri dan kanan jalan
Dinding seperti ini memang banyak terdapat di sini



Tanda arah .... banyak tempat yang boleh dituju
tetapi kami hanya pergi ke arah
Buyuk Han dan Kumarcilar Hani
Kawasan ini tidak jauh dari pintu sempadan
Ini seperti kawasan "no-man's land"
Ya ... sekarang sudah berada semula di Nicosia Selatan
Insya Allah dalam entri yang akan datang saya akan berkongsi tempat-tempat menarik di Nicosia Selatan pula.