Lawatan ke Pasir Salak ini dibuat pada 30 Julai 2023, pada hari yang sama kami melawat Galeri Rumah Lat di Batu Gajah.
Kedudukan Kampung Gajah berdekatan dengan Pasir Salak |
Di sepanjang Sungai Perak di daerah Kampong Gajah ini terdapat kampung-kampung tua. Kewujudan kampung ini boleh dilihat sebagai petanda betapa pertempatan telah lama wujud di sini. Kewujudan kampung-kampung ini membuktikan bahawa daerah Kampung Gajah ini amat bersejarah di negeri Perak.
Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Kini Pasir Salak berbangga dengan adanya Kompleks Sejarah Pasir Salak. Kompleks ini dibina di Pasir Salak kerana di sinilah mula tumpahnya darah pejuang-pejuang Malaysia menentang penjajah British.
Kedudukan kompleks Sejarah Pasir Salak |
Nama Pasir Salak berasal dari pasir di tepi sungai Perak yang dipenuhi kulit buah salak. Salak ialah sejenis buah, kulitnya berwarna coklat, isi agak putih dan pokoknya seperti Pokok Nipah. Sungai Perak yang di sini airnya jernih kerana ia jauh dari kawasan pencemaran air lombong bijih timah yang amat-amat keruh. Oleh kerana itu banyaklah pokok salak tumbuh liar di kawasan ini dan sesetengahnya ditanam.
Buah salak |
Sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat di tepi sungai sebagaimana penduduk Pasir Salak. Di sungai inilah penduduk kampung menyara hidup dengan menjadi nelayan sungai, bot penambang, menghanyutkan buluh dan balak, mengangkut buah durian dan lain-lain buah-buahan ke Teluk Intan.
Sebelum tahun 1980, ramai penduduk kampung di tepian Sungai Perak terpaksa menaiki bot penambang berenjin untuk pergi ke bandar Teluk Intan. Sebelum tahun 1987, penduduk Pasir Salak terpaksa naik bot penambang kayuhan tangan untuk pergi ke Kampung Gajah yang terletak di seberang sungai. Sehingga 2005, Pasir Salak masih lagi merupakan sebuah kampung tradisional Melayu beridentitikan rumah kutai dan rumah limas negeri Perak.
Pada tahun 1987, sebuah jambatan telah dibina antara Kampung Gajah dengan Pasir Salak. Sejak itu perkhidmatan bot penambang telah ditutup, bekalan air dibekalkan ke merata kampung dan jalan tar dibina ke semua hujung kampung.
Latarbelakang sejarah
Pasir Salak sinonim dengan sejarah kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British yang memandai-mandai mengutip cukai mengikut peraturan mereka. Lantaran itu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam bingkas bangun menjulang keris apabila Sultan Abdulah iaitu Sultan Perak pada tahun 1874 yang curiga, kesal dan 'terlajak' dengan Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di dalam HMS Pluto di Pulau Pangkor.
Mengikut fakta sejarah Perang Perak bermula dan terjadi di sini pada tahun 1875 selepas setahun Sultan Perak setuju menerima nasihat Residen British. Residen British yang pertama di Perak ialah J.W.W. Birch yang buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa.
Ia bermula apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani dan Perak secara rasmi berada di bawah perlindungan kerajaan British. Perjanjian tersebut juga mewajibkan kerajaan negeri Perak menerima seorang penasihat yang akan menasihati Sultan atas semua urusan berkaitan pentadbiran negeri Perak kecuali hal yang melibatkan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Namun nasihat yang difahami oleh Sultan dan pembesar-pembesar Melayu yang menandatangani perjanjian tersebut bukanlah seperti yang dimaksudkan oleh pihak British. Nasihat di sini adalah bahasa diplomasi keatas pemerintah yang bermakna setiap “nasihat” Residen mestilah dituruti.
Bermula dari titik inilah yang menyebabkan orang-orang Melayu rasa tidak dihormati sehingga membawa kepada terbunuhnya J.W.W. Birch pada 2 November 1875 sewaktu umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 2.
Tiga hari kemudian, tentera British memulakan siri serangan untuk membalas dendam di atas kematian Birch dalam peristiwa yang disebut sebagai Perang Perak.
Jom ke kompleks!
Kompleks ini dibina pada tahun 1990 atas inisiatif Tan Sri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu dan telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Terletak di tebing Sungai Perak, kompleks sejarah ini dibina dengan harapan supaya generasi-generasi muda akan sentiasa memperingati peristiwa berdarah Pasir Salak pada tahun 1875 yang merupakan kemuncak dalam gerakan orang Melayu menentang penjajah Inggeris di Perak serta mengenang akan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
Bangunan-bangunan yang berada di dalam kompleks ini dibina dengan bercirikan rumah tradisional Melayu Perak. Kompleks ini dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Sri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.
Contoh rumah tradisional Melayu Perak .... model rumah dan rumah dalam komik Lat The Kampung Boy |
Pada hari kami melawat kompleks ini, hujan turun dengan sangat lebat, sehingga menghalang kami keluar dari kereta. Ketika kami berjaya masuk ke kawasan kompleks hujan masih turun renyai-renyai. Suasana tenang dan damai dapat dirasai ketika berada di kompleks yang sangat luas kawasannya.
Walaupun kawasan kompleks nampak cantik dan terjaga namun agak sedih melihat keadaan bangunan yang kelihatan terabai dan semakin rosak. Banyak kawasan yang sudah tidak boleh dimasuki, mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
Lanskap yang sangat cantik ...... binaan dalam gambar ini adalah "lookout tower" tetapi berkunci |
Pemandangan di tepi Sungai Perak ... kawasan di hadapan muzium atau Terowong Masa |
Sundial atau Jam Matahari tetapi sudah tidak berfungsi |
Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.
Kami bernasib baik kerana terowong masa masih boleh dikunjungi pada hari itu. Sebenarnya ia adalah sebuah muzium dan ia dinamakan sebagai Terowong Sejarah. Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak. Di sini juga terdapat Galeri Keris.
Pintu masuk terowong Sejarah |
Kaunter tiket |
Dalam terowong sejarah ini tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. Tidak tahulah apa tujuan larangan ini .... mungkin untuk keselamatan negara seperti larangan di setengah bahagian dalam kawasan lapangan terbang😀
Sempat ambil gambar ini sebelum diberitahu pasal larangan mengambil gambar dalam muzium |
Sebahagian besar kawasan muzium sangat gelap. Saya rasa perlu ada pencahayaan yang lebih agar pengunjung di kalangan warga emas seperti kami terasa lebih selesa apabila membaca maklumat-maklumat yang dipamerkan. Sebahagian besar juga kawasan dalam muzium terasa sangat panas kecuali di Galeri Keris. Tidak pasti samada penyaman udara sengaja ditutup atau ia mengalami kerosakan. Dengan suasana yang gelap dan keadaan yang panas kami tidak mampu untuk berlama-lama di dalamnya.
Dapur Keris |
Salah satu keris yang dipamerkan dalam Galeri Keris ... gambar yang diambil secara curi-curi |
Kompleks sejarah ini sangat berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancong ke daerah Kampung Gajah secara khusus dan Perak secara amnya. Namun ia perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan terlebih dahulu jika ingin mengembalikan kegemilangannya semula.
Video memaparkan suasana dalam kawasan kompleks yang tenang dan damai, diambil dari dalam bangunan muzium, dari anjungnya.
Keadaan di luar kompleks pun sangat menyedihkan ... tanda nama jalan yang hampir roboh |
Pandak Endut adalah salah seorang watak yang utama dalam perancangan pembunuhan Residen British yang pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch
Kalau ada yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pasal Muzium Nelayan, boleh membaca di bawah ini ....